Sakit Mata

>> Sunday, April 4, 2010


SAKIT MATA

Secebis Memori: Hj. Mohammed Zain Saleh


Kami baru beberapa hari balik daripada menunai ibadat haji di tanah suci Makkah. Saya pergi bersama isteri saya Asiah Yaakob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya]. Semoga Allah S.W.T. mengurniakan kepada kami Haji Mabror. Kami bersyukur kepada Allah kerana penggemabaran rohani kami berjalan dengan lancar dan kami berjaya menunaikan ibadat haji tanpa halangan, serta berjaya mengatasi halangan-halangan yang biasa ditempuh para jemaah haji sebagai ujian dari Allah.

Dalam perjalanan pulang setelah selesai menunai ibadat haji kami menaiki bas dari Makkah ke Jeddah untuk menunggu kesampaian kapalterbang MAS yang akan membawa kami pulang ke tanahair. Saya tak ingat berapa jam, tapi kami terpaksa menunggu di Jeddah dalam masa yang agak lama juga. Seperti biasalah cuaca hari itu panas. Kami tinggal beramai-ramai di bawah khemah-khemah besar.

Pada masa itu di lapangan terbang Jedah ramai orang berjual berbagai-bagai jenis barang selain dari makanan. Pakaian usah dikatakan. Tak cukup duit kalau hendak membelinya.

Tak disedariku, rupa-rupanya isteriku pergi mandi, kerana dia merasa rimas akibat cuaca yang panas. Tak lama selepas mandi dia menyatakan rasa tidak sedap badan, macam nak demam. “Itulah”, kataku, “panas-panas begini orang tak mandi”. Dia hanya senyap sahaja.

Setelah naik kapal terbang, badannya bertambah panas, terpaksa menelan panadol yang kami bawa dari tanahair lagi. Kesejukan badannya bertambah. Batuk-batuk sedikit. Tapi tidaklah teruk. Boleh berjalan dan boleh bercakap. Dia berada dalam keadaan seperti itu sehinggalah kami sampai ke rumah. Namun begitu, dia bersedia untuk menemui doktor, kerana katanya dia akan segera baik dengan sendirinya dalam masa beberapa hari sahaja.

Tapi setelah beberapa hari berlalu ada gejala lain yang baru terasa membimbangkanya, dan ini membawa dia terpaksa menemui doktor. Kami pergi menemui seorang doktor swasta di pekan kecil Binjai, yang letaknya

tidak berapa jauh dari rumah kami yang terletak di Kampung Padang Bongor.

Saya tidak masuk menemaninya menemui doktor dalam bilik. Katanya, “Tak apalah,biar Yah seorang sahaja. Papa tunggu luar sahajalah”.

Tidak lama kemudian, dia pun keluar. Wajahnya masih ceria seperti biasa. Tiada riaksi yang membimbangkan. Lega rasa hati.

“Tak ada apa-apa”. Katanya sambil melabuhkan punggungnya di kerusi di sebelahku, “Ubat pun doktor tak beri. Tunggu nak bayar sahaja ni”. Jelas beliau seterusnya.

Setelah membuat bayaran kami pun meninggalkan klinik itu. Setelah enjin kereta dihidupkan, dan kereta mulai berjalan, dia pun berkata, “Doktor tadi sakit mata. Matanya merah”.

“Yakah?”, tanyaku mencari kepastian.

“Ya betul. Doktor yang beritahu dia sakit mata. Yah pun rasa pedih dan gatal mata ni. Dah berjangkit dengan doktor ni”. Kebetulan waktu itu wabak penyakit mata mulai menular. Dia memberitahu doktor memintanya datang sekali lagi tiga hari selepas itu untuk ulang periksa.

“Kalau betul sakit mata, doktor tu tak patut buka klinik, nanti berjangkit kat orang lain. Nyanya nanti, “Kataku spontan.

“Tulah”, katanya sambil mengeluarkan cermin muka dalam tas tangannya dan memerhati matanya. Pada pandanganku matanya biasa sahaja.

Bila sampai ke rumah dia masih bersungut-sungut matanya terasa pedih, senak dan sakit-sakit. Pagi esoknya dia meminta menantu kami Sayafi memebeli ubat sakit mata di farmsi, katanya dia takut penyakit matanya itu menjadi melarat.

Pada hari ketiga kami pergi menemui doktor tersebut di klinik yang sama. Saya menawarkan diri untuk menemaninya masuk menemi doktor, tapi katanya tak payahlah. Saya pun menunggu di luar sahaja.

Setelah selesai dia pun keluar. Wajahnya ceria dan manis seperti biasa. “Doktor dah konfirm tak ada apa-apa. Tak payah risaulah”, katanya sambil tersenyum melerek.

Setelah selesai menjelas bayaran yang dikenakan, kami pun meninggalkan klinik itu. Setelah motokar kami agak jauh meninggalkan klinik itu, dia pun berkata,”Doktor tidak sakit mata. Kata doktor matanya merah tempoh hari kerana dijolok dengan pembaris oleh anak lelakinya yang nakal. Hari ini matanya dah tak berapa merah lagi”.

Saya ketawa mendengarnya.”Jangan mudah berprasangka” kataku, “susah jadinya”. Saya ketawa lagi.

Dan isteriku pun ikut tertawa sama, “Tulah..!”, katanya semacam keluhan sambil menjeling manja ke arahku. Senyum manisnya terus terserlah, tambah memikat.

“Tak sakit mata lagilah tu”, katanya dengan senyum. Isteriku pun turut tersenyum meleret, membalas senyumku.

[Sekalung al-fatihah untuk isteriku.

Ya Allah limpahilah rahmatMu

Ke atasnya]

xxxxxxxxxxxxx

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP