Seloka tradisional

>> Saturday, May 29, 2010




Sedap Duduk Rumah Tunang........

1]

Itik Tok Tih, itik Tok Tanjung

Buah loner, buah tempoyak,

Adik putih mengilik buyung,

Kacip pinang abang sepiak.

[Saya pernah mendengar Allyahyarham emak saya dua atau tiga menyebut seloka di atas ketika saya masih kecil dalam sitiwasi yang masih belum saya ingat. Saya tinggal di Kampung Salor, sebuah kampung tradisi yang terletak dalam perjalanan antara Pasir Mas-Kota bharu mengikut jalan Salor lama. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.

[Tapi malangnya ada orang yang nakal telah mengubah seloka ini menjadi berbau lucah,]

2]

Gelap gugup di Sungai Pinang

Tahan racip di hujung galah

Sedap duduk di rumah tunang

Makan nasi dengan gulai telur.

[Saya belum masih belum ingat daripada siapakah pertama kali saya mendengar seloka itu. Pada masa kanak-kanak dahulu saya pun kadang-kadang menyebutnya juga bila ada bersama kawan-kawan dan melihat langit gelap kerana hujan hendak turun, tanpa apa-apa tujuan]

3]

Angkat cerana tak ada tembakau

Mari Saman kita balik.

[Ia merupakan sebahagian daripada seloka yang dilagukan oleh kanak-kanak ketika hendak memulakan sejenis permainan tradisi orang Kelantan. Namun ia merupakan satu sindirian yang tajam untuk orang dewasa.]


Saya harap ada di kalangan pembaca yang dapat memberi ulasan atau komen terhadap seloka itu, ataupun menambah pantun/seloka tradisi di tempat masing-masing]




*******************

Read more...

YUSUF ZAKY YAACOB

YUSUF ZAKY YAACOB


Dato’ Yusuf Zaky Yaacob diputerakan pada 13 Jun 1928 di Kota Bharu, Kelantan.

Beliau adalah salah seorang tokoh ulung negeri Kelantan khasnya dan di Malaysia amnya. Sebagai seorang cerdik pandai Islam, namanya menonjol harum dalam brbagai-bagai bidang; beliau adalah seorang usahwan, seorang penulis yang tajam dan produktif, seorang penggiat masyarakat yang terkenal, seorang pendidik dan pendakwah berkaliber.

Sebagai pengarang beliau menghabiskan seluruh hidupnya di bidang penulisan yang telah diceburinya sejak belia lagi.

Beliau pernah belajar di Madrasah Muhammadiyah [Melayu] Majlis Agama Islan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dan kemudian belajar di Sekolah Arab Jam’ Merbau Ismaili, Kota Bharu.

Beliau pernah dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Agung Kesatuan Melayu Muda [K.M.M]. Kemdian bersama-sama rakannya menubuh Persekutuan Pemuda Asuhan Bekerjasama dan dilantik menjadi penasihatnya.

Pada tahun 1949 beliau melanjutkan pelajaran ke Mesir dan belajar di Azhar Universiti, dan kemudian belajar di American University di Khairah. Semasa di Mesir beliau dipilih menjadi Yang DiPertua Persatuan Pelajar Melayu Semenanjung Khairah.

Selepas enam tahun di Mesir beliau kembali ke tanah air. Beliau menceburkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan politik. Beliau dilantik oleh kerajaan negeri sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan Negeri Kelantan Bahagian Kedua yang masih dipakai hingga sekarang.

Beliau menubuhkan sebuah percetakanan, iaitu Pustaka Dian Press yang memulakan operasinya pada 2 Mac 1957, di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu. Kemudian pada 20 Julai 1950 Pustaka Dian Press pindah ke Jalan Cik Su Kota Bharu.

Kemudian bila perniagaan bertambah maju Pustaka Dian Press berpindah ke Jalan Tengku Chik pada 30 April 1963. Kemudian pada 11 April 1969 berpindah ke Lundang, di bangunannya sendiri dan dikenali dengan nama Syarikat Dian Sdn. Bhd, dan kemudian namanya bertukar kepada Dian Darulanim Sedn. Bhd., setelah wujudnya kerjasama dengan kerajan negeri Kelantan.

Pada tahun 1961 beliau menerbitkan “Dian Daijes” sebuah majalah ilmiah yang julung kali diterbitkan di Malaysia. Penerbitan Dian terpakasa ditamatkan kerana kekurangan tenaga.

Sekitar ahun 1980 beliau menerbitkan majalah SANTAJIWA yang bererti “Santapan Jiwa”. Majalah ini pun terpaksa ditamatkan penerbitannya kerana kekurangan tenaga.

Pda tahun 1990 beliau menerbitkan pula majalah PERISTIWA tapi tidak dapat bertahan lama, terpakasa ditamatkan juga penerbitannya.

Sepanjang masa tersebut dari tahun 1975 hingga 1995 beliau dilantik menjadi ketua Pengarang Pangasuh, sebuah majalah yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.

Selain daripada menghasilkan begitu banyak rencana beliau juga menghasilakan berbagai-bgai jenis buku, berupa karya sendiri atau terjemahan.

Salah satu hasil karya beliau yang terbesar ialah tafsir agung Fi Zilal Al-Quran karya Syed Qutb.

Beliau pernah menjadi Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kelanan [SPN], dan Ahli Aggota Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan.

Mengenang jasanya yang besar itu beliau dikurniakan dengan gelaran Dato’ oleh KDYMM Al-Sultan Kelantan. Pada tahun 1982 dikurniakan Ijazah Kehormat Serjana Persuratan pada tahun 1982 dan dikurniakan gelaran tokoh buku oleh kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1992 dan dikurniakan gelaran Tokoh Maal Hijrah 1998/1419 oleh Majis Agama Islam dan Istidat Melayu Kelantan.

Beliau meninggal dunia pada pagi Syawal 1419 bersamaan dengan 19 Januari 1999.

[Rencana ini adalah cubitan daripada tulisan penulis yang tersiar dalam Majalah Pengasuh bulan Mac-April 1999. Penulis adalah pengarang di Syarikat Dian lebih dari 15 tahun dan sebahagian besar masanya bersama dengan Allahyaham Dato’ Yusuf Zaky].

xxxxxxxxxxx

Read more...

Pedoman Kebangsaan dan Perlembagaan Negeri - Ahmad Maher Ismail Az-Zahari

>> Wednesday, May 26, 2010


“PEDOMAN KEBANGSAAN

DAN PERLEMBAGAAN NEGERI”

Oleh: Ahmed Maher Ismail Az-Zahari

Mufti Kerajaan Kelantan


Pembicara:Mohammed Zain Saleh

“Kejayaan sesuatu keluarga itu terasas dan terbangun di atas bekerjasama dan berkasih saying di antara orang-orang yang menjadi ahlinya akan tetapi hal membuat baik ini bukanlah tertentu kepada keluarga atau anak beranak sahaja bahkan kepada sesiapa jua pun wajiblah diperbuat seperti itu juga kerana ia daripada baik budi pekerti yang wajib tiap-tiap seorang bersifat”. Hj. Ahmed Maher.

xxxxx

Di atas adalah tajuk buku hasil karya Allahyarham Yang Berhormat, Hj. Ahmed Maher Ismail Az-Zahari, Mufti Kerajaan Kelantan.

Buku itu diterbitkan pada tahun 1949 bersamaan dengan 1368 Hijrah, dan dikeluarkan leh Yaakob bin Hj. Hassan, dan dicetak oleh Al-Hikmah Press, Kelantan.

Di kulit hadapan buku itu, di bawah tajuknya terdapat penjelasan berbunyi, “Pada menyatakan hak dan kewajipan bagi anak-anak negeri dan susunan pendirian sesebuah kerajaan. Serta peri menyatakan perhubungan di antara kerajaan-krajaan dan lain-lainnya yang sangat mustahak diketahui oleh semua golongan bangsa Melayu”.

Di kulit belakangnya dihiasai dengan gambar Bangunan Parlimen Mesir yang dipanggil “Rumah Mesyuarat Undangan Kerajaan Mesir [Parlimen]”.

Kandungannya pula telah dijelaskan oleh pengarangnya dalam kata-kata pendahluannya yang berbunyi, “Kandungannya ialah mengupaskan hak-hak tiap-tiap seorang warga negara dan tanggungan-tanggungan yang terletak di atas dirinya serta sedikit huraian berkenaan dengan pengertian kerajaan, bahagian-bahagiannya dan jenis-jenisnya, dan juga cara pemerintahan yang telah disusun dan kerajaan yang besar-besar yang bertammadun, persambungan setengah-setengahnya [kerajaan] dengan setengah dan lain-lain lagi yang mana sangat fardhu diketahui oleh tiap-tiap seorang”.

Ia mengandungi 14 bab, bermula dengan bab pertama bertajuk “Manusia” dan berakhir dan bab ke-14 berjodol [Hal Ehwal Kerajaan-kerajaan – Perhubungan Di antara Kerajaan-kerajaan”.

Penulis pada waktu itu memegang jawatan Mufti Kerajaan Kelantan dan juga Yang DiPertua Majlis Ulamak.

Dalam kata alu-aluannya, Hj.Nik Mahmud bin Ismail, Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, bertarikh 24 Jamadilakhir 1365 [25 Mei 1946] antara lain menegaskan, “Wahai buah hatiku terimalah dan pedomankanlah diri dengan pedoman kebangsaan dan susunan perlembagaan negeri yang tidak ternilai banyak harganya mudah-mudahan cahaya yang terpancar daripada pedoman ini merupakan perjalanan tuan dengan sebaik-baik rupa di hadapan segala mata yang memandang tinggi atas jenis bangsa tuan”.

Sedikit Tentang Pengarangnya

Ahmed Mahir nama sebenarnya ialah Ahmad bin Ismail [Tok Kemuning] bin Hj, Abdul Hamid, dilahirkan di Makkah pada tahun 1905.

Pernah memasuki pengajian tahfiz al-Quran, belajar agama di Masjid Muhammadi Kota Bharu, di Surau Tok Khursani, [Muhammad Hassan], dan pernah belajar di Al-Azhar Mesir. Beliau merupakan ulama Melayu yang julung-julung mendapat Syahadah ‘Aliah di Mesir.

Pernah mengajar agama di Masjidilharam. Setelah balik ke Kelantan, pada tahun 1931 Pernah menjadi pengarang Majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan.

Kemudian beliau dilantik menjadi Ketua Pelajaran Majlis Agama Islam Kelantan, dan pada tahun 1935 dilantik menjadi Kadhi Besar Kelantan.

Pada tahun 1939 dilantik menjadi Mufti Khas kepada Almarhum Sultan Ismail, dan seterusnya dilantik menjadi Pemangku Mufti Kerajaan Kelantan. Kemudian pada tahun 1942 dilantik menjadi Mufti Kerajaan Kelantan.

Selain daripada menulis rencana beliau juga menghasilkan buku-buku antaranya Kitab Suluh Awam dan Pedoman Kebangsaan dan Perlembagaan Negeri yang dibicarakan di sini.

Beliau seorang yang ahli dalam ilmu mantik, falsafah, balaghah dan nahu Arab, serta amat meminati kesusasteraan Arab.

Beliau seorang yang petah bercakap dan cekap berhujah.

Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu, 17 Zulhijjah 1387, bersamaan dengan 16 Mac 1968 dalam usia 68 tahun.

Ya Allah cucuri rahmat ke atanya. Amin.

Read more...

Bawang Merah

BAWANG MERAH (Shallot)

Kandungan:

A]Melicin Kulit Muka

B]Mencegah Rambut Gugur

C]Menghilang Bau Busuk Kaki

Resipi:

A]Kuah Pedas

B]Bawang Goring

C]Pnyicah Ikan

Kita percaya semua wanita Melayu kenal dengan bawang merah, kerana ia banyak dipergunakan dalam masakan orang Melayu. Malah hampir semua masukan tradisional Melayu menggunaka bawang merah. Wanita yang tidak kenal bawang merah, mungkin menunjukan dia seorang yang tidak peka dengan dapur.

Selain daripada digunakan untuk masakan bawang merah juga digunakan untuk merawat masalah-masalah fizikal yang tertentu.

Bacalah seterusnya.

Unntuk Penawar

a] Melicin Kulit Muka

Bahan:

5 ulas bawang merah.

Madu secukupnya.

Caranya:

Bawang merah dibuang kulitnya, dibersihkan dan ditumbuk atau dikisar sampai hancur. Masukkan kedua-dua bahan ke dalam sebuah mangkuk, kacau hingga rata. Sapukan ke seluruh muka pada waktu malam sebelum tidur. Biarkan semalaman. Pagi esok cucuilah muka bersih-bersih.

B]Mencegah Rambut Gugur

Bahan:

5 ulas bawang merah.

Sedikit asam jawa.

Sedikit air suam.

Cara:

Bawang merah ditumbuk hingga hancur, kemudian masukkan ketiga-tiga bahan dalam sebuah mangkuk, ramas-ramaskan hingga sebati.

Basuhkan kepala dengan adunan tersebut, dan biarkan selama kira-kira selama 15 minit. Kemudian cuci kepala hingga bersih dengan air biasa.

Amalkan dari masa ke masa.

C]Menghilang Bau Busuk Kaki

Bahan:

Beberapa ulas bawang merah.

Cara:

Tumbuk bawang merah sampai hancur.

Sapu dan gosok-gosok bahan tersebut kepada kaki, termasuk celah-celah jari, sebelum tidur pada waktu malam. Biarkan ia kering dan menyerap.

Bagi besok bersihlah kaki. Sebaik-baiknya diamal setiap malam selama tujuh malam berturut-turut untuk satu amalan.

[Hati-hati untuk orang yang alahan]

SAJIAN

A]Kuah Pedas

5 sudu lada hitam.

12 ulas bawang merah.

12 hiris halia.

4 ulang bawang putih

1 sudu teh biji sawi

Sedikit air asam jawa.

8 tangkai lada kering.

Garam secukup rasa.

Cara:

Lada hitam ditumbuk halus.

Bawang merah dibahagi dua. Separuh ditumbuk halus dan separuh lagi dimayam.

Halia ditumbuk hancur.

Bawang putih dibahagi dua. Separuh ditumbuk halus dan separuh dimayang.

Pijarkan minyak di atas dapur. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang dimayang dan biji sawi.

Bila nampak kuning, masukkan rempah-rempah dan lada kering, air asam jawa, garam dan masukkan 5 gelas air.

Biarkan mendidih. Boleh dijadikan kuah itu untuk dimakan dengan nasi.

B]Bawang Goreng

Bawang goreng untuk dimakan dengan sup atau mi rebus, nasi goreng, atau mi goreng dan lain-lain untuk menambahkan enak lagi makan.

Cara:

Ambil bawang merah sebanyak yang disukai. Buang kulitnya dan mayangkan.

Pijarkan minyak, masukkan bawang yang dimayang tadi, kacau-kacaukan bawang itu hingga timbul, dan bila kelihatan hampir kuning, segeralah angkat, dan letak di atas dulang yang beralaskan kertas serap minyak. Kalau tak ada letakkan dalam tapisan.

Serak-serakkan supaya cepat kering dan garing.

Bawang goreng ini boleh disimpan lama. Masukkan ia ke dalam tin yang bertuutp rapat untuk digunakan masa yang perlu.

C]Penyicah Ikan

Bahan-bahan:

5 ulas bawang merah yang kecil

3 ulas bawang putih

Sedikit belacan dibakar hangus

12 tangkai cili api.

Sedikit cekur.

Semangkuk santan

Garam secukup rasa.

Cara:

Semua bahan ditumbuk atau dikisar sampai lumat.

Masukkan semua bahan yang dikisar itu ke dalam sebuah mangkuk yang berisi santan, masukkan garam, dan kacau-kacaukan hingga rata.

Makan dengan ikan kerongan [cencaru] atau terbuk panggan tawar sebagai penyicah.

Wallahu’aklam.

Read more...

GARA-GARA SAMPAH MASUK TELINGA

Pagi itu aku dan anak lelakiku, Ahmad Syaibani Zaini berada di sebuah bengkel kereta di Pasir Tumbuh. Kami sedang menunggu kereta yang sedang diservis siap. Tiba-tiba handfon dalam kocek seluarku berbunyi.

Sebelum menekan butang jawapannya, aku tenguk nama pemanggilnya pada kaca handfon, tertera nama anak perempuanku yang pada waktu itu berada di rumah.

Selepas memberi salam dan mendengar jawapanku, dia terus menceritakan tentang telinga anak perempuan bongsunya ada biji-biji polistring besar sedikit daripada kepala macis api.

“Bagaimana boleh berlaku? Tanyaku sedikit kecemasan,

Katanya dia bermain-main dengan bunga plastik di atas meja tamu Di hujung bunga-bunga itu plastk itu dedebu bunga yang kecil yang diperbuat dari polistring dan diletakkan begitu sahaja. Cucuku itu mengambil dua biji dedebu bunga tiruan itu dan menyumbatkan ke dalam telinganya. Kakaknya yang melihat perbuatannya itu tidak sempat menghalangnya.

Sebutir daripadanya telah dapat dikeluarkan dan tinggal sebutir lagi tak dapat dieluarkan. Untuk keluarkan benda itu dari telinga cucuku itu memanglah tidak mudah. Dia seorang yang aktif, selalu bergerak dan petah bercakap walaupun usianya baru lebih sedikit dua tahun. Cakapnya macam kanak-kanak besar.

Justeru sampah dalam telinga cucuku itu tidaklah membimbangkan, aku pun tidaklah tergesa-gesa untuk pulang, kemudian menelefon balik kepada anak perempuanku supaya menunggu suaminya pulang yang pada waktu itu ada urusan penting di bandar Kota Bharu. Kemudian bolehlah dia bawa cucuku itu ke klinik. Walau bagaimana pun sampah dalam telinganya itu pasti dibuang.

Tengah hari itu selepas makan dan solat Zohor mereka suami isteri keluar bersama dengan anaknya itu untuk mencari doktor. Hari itu hari Sabtu. Aku tak ikut sama, kerana aku rasa aku tidak akan tahan dengan kerenah cucuku itu bila dia berhadapan dengan doktor.

Setelah beberapa jam berlalu, anak perempuanku menilfon memberitahu mereka telah pergi jumpa doktor di klinik swasta. Pertama mereka pergi ke sebuah klinik pakar, tapi pada hari itu, hari Sabtu doktor pakarnya tak bertugas, mereka dinasihatkan supaya mencari doktor lain.

Katanya selepas itu mereka ke klinik biasa. Tapi di klinik itu doktor yang bertugas adalah masih baru dan tidak mempunyai cukup pengalaman, dia tidak berani berbut-buat apa, apa lagi cucuku menunjukkan sikap agresif. Doktor itu mencadangkan kepada mereka supaya pergi ke hospital.

Waktu itu hampir pukul 5.00 petang. Klinik-klinik swasta pun hampir di tutup untuk hari itu. Mereka pun tergesa-gesa pergi ke sebuah klinik lagi.

Tapi doktor di klinik itu pun tidak sanggup mengeluarkan sampah dari telinga cucuku itu kerana sikapnya yang agresif. Dia bimbang takut berlaku sesuatu yang tidak diingin berlaku pada telinga cucu ku itu. Dia mencadangkan supaya mereka menemui seorang doktor pakar yang ditunjukkannya.

Mereka sampai ke rumah menjelang Maghrib dan kelihatan agak sedikit kecewa, kerana masih belum menemui doktor yang sanggup mengeluar sampah yang begitu kecil dalam telinga anak mereka.

Mereka suami isteri sudah tentu ingin memberi “khidmat” yang terbaik kepada anak perempuan mereka itu. Sudah tentu mereka tidak sampai hati melihat anaknya itu diberi layanan yang tidak memuaskan.

Pagi esoknya mereka menemui doktor pakar telinga. Kata doktor oleh sebab anaknya itu “aktif”, dia tidak sanggup mengeluarkannya secara biasa, takut-takut berlaku perkara yang tidak diingini. Oleh itu anak itu perlu dibius, untuk mengeluarkan sampah dalam telinganya. Katanya bagi anak yang tidak “cergas” sampah itu mudah sahaja dikeluarkan.

Proses untuk melakukannya mengambil masa juga. Justeru anak itu baru diberi makan, dia memerlukan beberapa jam baru boleh dibius. Sementara menunggu itu dia perlu dimasukkan ke wad.

Beberapa jam kemudian anak itu pun dibawa masuk ke dewan bedah. Dan setelah kira-kira 15 minit brada di dalamnya, dia pun dibawa keluar dengan mulutnya mulai becok. Sampah sudah dibuang dari telinganya.

Katanya dia lapar, dia nak makan. Tapi dia tidak boleh lagi, kerana kena tuggu lagi dua jam selepas dibius baru boleh diberi makan. Tadi pun sebelum dibawa masuk ke dewan bedah dia telah dipuasakan selama beberapa jam.

Setelah anak itu diberi makan, semuanya selesai. Mereka kedua boleh tersenyum lebar, puas hati, walaupun ongkos yang perlu dibayar mencecah ribuan ringgit untuk mengeluarkan sampah yang begitu kecil dalam telinga anak mereka.

Pagi besok bila anakku pergi ke tempat kerja, dia merasa bersyukur bila mendengar ada kawan-kawan sekerjanya yang membawa anak mereka menemui doktor biasa untuk mengeluarkan sesuatu yang masuk ke dalam telinga mereka terpaksa “dikerjung” oleh doktor. Tubuh anak itu dibalut dengan kain selimut dan dipegang oleh beberapa petugas untuk mendiamkannya bagi membolehkan doktor mengeluar sampah dalam telinga mereka.

Bagaimana trumanya anak itu tidaklah diketahui. Inilah yang tidak diingini oleh anakku. Kasihan kepada anaknya. Belanja lebih sedikit tak apa, asalkan hati puas. Alhamdulillah.

Anakku mengeluh mendengar cerita kawan-kawannyanya itu, dan bersyukur kerana anaknya itu tidak mengalami nasib seperti yang dialami oleh anak-anak kawannya itu.

Walau pun sudah beberapa hari berlalu, walau pun tidak “dikerjungkan” seperti anak-anak kawannya itu, tapi anak kecil yang belum berusia tiga tahun itu, sekali sekala masih kedengaran memarahi ibu, memarahi papanya, dan memarahi doktor kerana “membuat dia seperti itu”. Dan tidurnya juga masih belum nyenyak benar seperti biasa. Nampaknya dia masih truma.

xxxx

Read more...

Mencari Redha Allah

>> Saturday, May 22, 2010

Mencari Redha Allah

DI BAWAH NAUNGAN KAABAH

Oleh:Hj.Mohammed Zain Saleh


Setiap hari sepanjang berada di Tanah Suci Makkah, kami mengunjugi dengan rasa penuh keharuan, kami terpesona dengannya, kami kagum dengannya, kami selalu merasa rindu untuk berada di sisinya. Dia adalah rumah Allah, Kaabah yang mulia, kiblat solat umat Islam di seluruh dunia. Itulah yang membawa kami, suami isteri, melintasi samudera, melepas bukit bukau dan melewati gunug ganang, melayang ke angkasa raya di dada langit yang luas terbentang.

Kami berangkat ke Tanah Suci Makkah bersama-sama dengan jemaah-jemaah haji yang lain menerusi Batuta Travel yang memberi bimbingan yang baik kepada kami ketika berada di tanah air lagi dan terus membantu kami semasa berada di Tanah Suci Makah untuk menunai ibadat haji dengan lebih sempurna. Dan inilah membawa kami berada di Masjidilharam dan di sisi Kaabah yang mulia itu. Kami ditempatkan di Hotel Jazira yang letaknya dekat dengan Masjidilharam yang memudahkan kami untuk berulang alik dengan kerap mengunjungi Masjidilharam dan Kaabah dengan hanya berjalan kaki sahaja.

Kaabah adalah satu-satunya rumah ibadat yang tertua di dunia. Ini adalah salah satu rahsia keagungannya dari sejak dahulu hingga sekarang. Allah berfirman dalam kitab suci al-Quran, maksudnya:”Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia [beribadat kepada Tuhannya] ialah Baitullah yang berada di Makkah, yang berkah dan dijadikan petunjuk hidayah kepada manusia”. Ali-Imaran:96


Ketika berada di sisi Kaabah kita akan merasa sesuatu keajaiban sedang menyelubungi dirikita. Pada waktu yang bercahaya dan kudus itu, kita akan lupakan segala-galanya, kita lupa pada keluarga di tanah air, kita lupakan segala harta dan kekayaan kita [kalau ada], kita lupa pada pangkat dan darjat kita [kalau ada], kita lupa siapakah kita, kerana pada waktu yang murni itu, seluruh perasaan kita, fikiran dan jiwa kita tertumpu kepada kebesaran dan keagungan Allah S.W.T., dan secara spontan pula kita akan mengingati Akhirat yang akan kita tempuhi nanti sebagai manusia yang hidup, kerana yang setiap yang hidup mesti akan menemui ajalnya. Secara semula jadinya, mati itu tunangan hidup.

Setiap detik, sepanjang hari, sepanjang siang dan malam, sepanjang 24 jam, baik dalam waktu cuaca panas terik, waktu mata hari tegak berdiri di atas kepala, atau pun dalam keadaan cuaca dingin, waktu hujan turun mencurah-curah, Kaabah yang mulia itu tidak pernah kesepian dari pengunjung-pengunjungnya yang bertali arus bertawaf di sekelilingnya.

Sepanjang bertawaf itu tidak putus-putus akan kedengaran laungan takbir, tahil, tasbih dan tahmid yang memuji dan membesarkan Allah, bergema dan terus bergema, dari bumi yang suci ini, terus menerawang angkasa, membelah langit yang tidak berhujung dan bertepi itu, kita berada di tengah-tengah lautan manusia yang bergerak seperti bergelombang, bersama-sama makhluk lainnya, lelaki dan perempuan, orang-orang yang sempurna dan tidak sempurna fizikalnya, orang-orang yang sihat dan orang-orang yang sakit, orang-orang yang kerdil dan orang-orang besar yang tinggi pangkatnya yang berada bersama-sama dalam lautan manusia dalam keadaan sama dan setara di sisi rumah Allah yang mulia ini.

Pada itu kita merasa, Kaabah yang menjadi lambang ketuhanan itu seolah-olah sebuah bola mata hari yang menjadi pusat sistem cekerwala di mana kita manusia yang mengelilinginya seperti bintang-bintang yang beredar mengelilinginya. Waktu itu Kaabah menjadi lambang ketetapan dan keabadian Allah, sedangkan kita manusia yang berbundung-bundung mengelilinginya menjadi lambang kegiatan dan perilaku makhluk-makhluk ciptaanaNya.

Dalam masa bertawaf itu kita tidak boleh berpisah dan terasing dari makhluk-makhluk yang lain itu, kita mesti bergerak bersama, walau apa pun keadaan kita, kita mesti bersama dengan mereka, bergerak ke satu arah dan tujuan, dan mempunyai matalamat yang sama, dalam keadaan setaraf dan setara tanpa apa-apa perbezaan. Demikianlah lambang kehidupan kita di dunia dalam masyarakat biasa di luar sana setiap hari dan sepanjang masa untuk mencari keredhaan Allah.

Dalam keadaan seperti itu kita merasa diri kita telah tercaing-caing, berkepng-keping yang tidak lagi sempurna keadaannya, dan kita merasa seolah-olah roh kita akan keluar dari jasad kita kerana ingin menikmati kebahagian abadi yang dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang yang salih, beriman dan bertakwa.

Dalam keadaan sebak keharuan itu tiba-tiba kita merasa pipi kita basah, dibanjiri oleh air mata yang jatuh memberai dari tasik mata kita yang bersih dan murni. Tapi kita tidak tahu pula, kenapa kita menangis, apa yang membuat kita menangis? Kita terharu, tapi apa yang membaut kita terharu? Semuanya tidak dapat kita pastikan? Kita menangis mungkin kita terlalu cinta dan khusyuk? Kita menangis mungkin kerana mengingatkan segala dosa-dosa kita? Kita menangis mungkin kerana merasa menyesal dan mengharap keampunan dan keredaan Allah yang Maha Pengampun? Kita menangis mungkin kerana mengharap Allah akan memebasakan kita daripada segala macam penderitaan yangn kita tanggung selama ini?

Dan kita menangis mungkin merasa cinta yang melimpah-ruah terhadap Allah, kagum terhadap kebesaran dan kemuliaanNya, dan merasa menyesal kerana melakukan dosa-dosa dengan melanggar segala perintah dan laranganNya selama ini? Kita menangis mungkin kerana semuanya itu, ataupun kerana sebab-sebab yang tidak kita ketahui dan sedari? Sesungguhnya air mata mudah tumpah di sisi rumah Allah yang mulia ini!

Namun begitu ada juga orang yang tidak menangis, tidak tumpah air matanya melihat Kaabah, tapi bukan kerana hati mereka keras dan degil. Mereka tenggelam dalam keasyikan melihat, merenung dan memerhatikan rumah Allah itu dengan ketenteraman dan ketenangan yang terpancar-pancar pada wajahnya yang berseri-seri. Dia mungkin menyedari dan sedang memikirkan segala dosa yang telah dilakukannya di masa-masa yang lalu dengan penuh penyesalan serta menghunjam keazaman dalam hatinya tidak akan mengulangi lagi segala dosa yang dilakukannnya itu, dan berjanji akan mengubah segala tingkah lakunya yang buruk itu dan mengerjakan amal salih semata-mata untuk memburu keredaan Allah yang Maha Besar.

Pendeknya sepanjang berada di sisi Kaabah di bawah naungannya yang aman dan damai itu kita sentiasa merasa berhadapan dengan Allah yang mengalirkan rasa khusyuk dan cinta kudus yang tidak bertepi terhadap Allah, di mana kita sedang berada di tengah-tengah lautan cinta yang tidak ada batasnya lagi.

Kaabah itu letaknya betul-betul di bawah Baitul Makmur yang bertentangan dengan Arasy di mana puluhan ribuan Malaikat tawaf, kerana Baitul Makmur adalah Kaabah bagi penghuni-penghuni langit ketujuh, sedangkan Kaabah di Makkah adalah tempat tawaf makhluk Allah yang ada di bumi. Sesungguhnya setiap lapisan langit ada rumah Allah tempat pernghuni-penghuninya beribadat, dan rumah Allah yang berada di langit dunia, iaitu langit pertama, ialah Baitul ‘Izzah.

Dan tiang Kaabah itu pula terpacak terhunjam jauh ke dalam perut bumi sampai ke lapisan yang ketujuh, sebagaimana diriwayatkan oleh Abdul Razzaq dari Mujahid yang bermaksud,”Allah S.W.T.telah menjadikan tempat [tapak] Batiullah itu [Kaabah] 2000 tahun sebelum meciptakan makhluk lainnya dan tiangnya sampai ke lapisan bumi ketujuh”.

Sesungguhnya setiap orang yang beriman bila berhadapan dengan Kaabah, berada di sisinya, berteduh di bawah naungannya sudah tentu mereka akan terpesona dengannya, jiwa raga mereka terpesona dengannya, dengan kesannya menimpa akal fikiran dan perasaan mereka. Justeru iman mereka akan meningkat, dan mencetuskan azam di hati mereka untuk datang mengunjungi Kaabah lagi, di masa-masa akan datang, kerana sesungguhnya kita tidak pernah merasa puas-puas berada di sisinya, berada di bawah naungan rumah Allah yang suci dan murni.

Seperti orang lain juga, kami, penulis dan isteri [Allahyarham Asiah Yaacob- ya Allah cucurilah rahmatMu ke atasnya] yang memang berharap dan berdoa semoga kami akan kembali lagi ke Makkah, bersolat di Masjidilharam, beteduh di bawah naungan Kaabah untuk beribadat mencari keredhaan Allah, demi kebahagian kami, di dunia dan akhirat yang kekal dan abadi.

Amin!


Kenangan Semasa di Tanah Suci

Read more...

Seks Dalam Kehidupan

>> Thursday, May 20, 2010

SEKS DALAM KEHIDUPAN
Oleh:Hj. Mohammed Zain Saleh

Semua orang mengetahui bahawa seks adalah sebahagian daripada alam kehidupan kita, di mana Allah S.W.T. secara fitrah menjadikan kita secara berpasang-pasangan atau berjodoh-jodohan antara lelaki dan perempuan.

Allah berfirman, maksudnya:”.......bahwa Kami jadikan bagi kamu, dari jenis kamu, jodoh-jodoh yang kamu bersenang-senang kepadanya, dan Ia jadikan di antara kamu percintaan dan kasih sayang”. Ar-um:21.

a] Perbezaan pandangan tentang Seks antara satu bangsa dengan satu bangsa.

Pada umumnya perbezaan bangsa dan budaya menyebabkan wujudnya perbezaan dalam pandangan dan tindak tanduk seks. Belia-belia Orang Asli yang tinggal jauh di pendalaman sudah tentu mempunyai pandangan dan sikap yang berbeza dengan rakan-rakan sebayanya yang tinggal di bandar-bandar, khususnya di bandar-bandar metropolitan.

b]Kaum lelaki mempunyai lebih banyak kebebasan seks daripada kaum wanita.

Dalam masyarakat manusia di seluruh dunia, termasuk negara kita Malaysia kaum lelaki mempunyai kebebasan seks yang lebih luas dari kaum wanita. Masyarakat barat pun tidak berkecuali, walaupun mereka memperjuangkan hak sama rata antara lelaki dan perempuan.

Itulah sebabnya, hampir dalam semua masyarakat dunia masih lagi memandang dengan penuh kehinaan terhadap wanita-wanita yang berlaku curang, tapi tidak demikian pandangan mereka terhadap lelaki yang melakukan kecurangan seks. Wanita yang melahirkan anak zina akan dipandang dengan penuh kehinaan, tapi lelaki yang berzina hingga melahirkan anak haram itu boleh melepaskan diri dan bergoyang kaki. Dalam hal ini msyarakat lebih bertimbang rasa kepada kaum lelaki.

c] Perkahwinan yang dilakukan di atas kecenderungan seks semata-mata tidak berjaya.

Perkara ini brlaku kerana seks hanya merupakan sebahagian daripada begitu banyak faktor yang membina kebahagian hidup sesebuah rumahtangga.

Seseorang lelaki yang mengahwini seseorang wanita kerana godaan nafsu berahi semata-mata, sudah tentu akan mengalami kesukaran untuk mempertahankan perkahwinan mereka dalam jangka masa yang berpanjangan, kerana kebiasannya tarikan seks yang dimiliki oleh seseorang wanita itu akan berangsur-angsur pudar dengan peningkatan usia mereka.

Buka mata luas-luas dan lihat keliling kelalang anda untuk mencari kebenaran.

e]Isteri bersikap lebih agresif dari wanita ketika berasmara.

Dalam sesetengah kejadian, ada isteri yang bersikap lebih panas dari suaminya yang dingin ketika mereka melakukan hubungan kelamin. Atau di masa-masa tertentu ada isteri yang lebih panas dari suaminya ketika menjalinkan hubungan seks.

Ia bukan satu kesalahan atau abnormal jika isteri lebih agresif dari suaminya. Itu perkara biasa.

f] Tidak berkahwin kerana takut melakukan hubungan seks.

Menurut pendapat ahli psikologi, takut melakukan hubungan seks menjadi salah satu faktor menyebabkan seseroang lelaki atau wanita enggan untuk berkahwin, dan mereka lebih suka memilih hidup membujang, terutama di kalangan mereka yang terpelajar pada hari ini.

g]Seorang wanita yang bekerja boleh menjadi ibu dan isteri yang baik.

Fakta-fakta menujukkan bahawa ribuan wanita Malaysia yang berkerja setiap hari dari berbagaibagai keturunan dan bekerja dalam berbagai-bagai bidang masih mampu menjadi isteri dan ibu yang baik kepada suami dan anak-anaknya.

Ia lebih banyak bergantung kepada kecekapan seseorang isteri yang bekerja itu membahagikan masa di antara tugas pejabat dengan urusan rumahtangga. Dan ia juga tergantung kepada sejauh mana sikap dan penerimaan suaminya terhadap isterinya yang bekerja itu.

h]Pertunangan yang lama dan kebahagian rumahtangga.

Haruslah diingat bahawa pertunangan yang lama itu tidaklah menjamin kepada kebahagian sesebuah rumahtangga yang akan dibina nanti.

Malah tidak jarang berlaku, pertunangan yang lama itu berakhir dengan kehancuran sebelum daripada mereka diijabkabulkan sebagai suami isteri.

Puncanya mungkin dari pihak lelaki dan mungkin pula dari pihak wanita. Dan tidak jarang pula dari kedua-dua belah pihak.

i]Kesan perkahwinan ibu bapa terhadap perkahwinan anak-anak mereka.

Kajian-kajian menunjukkan bahawa seseorang anak yang dilahirkan dalam sebuah rumahtangga yang bahagia dan berjaya lebih berpeluang memebntuk sebuah rumahtangga mereka sendiri yang harmoni, bahagia dan berjaya.

Tapi pengalaman-pengalaman di sekeliling kelalang kita menunjukkan bahawa anak-anak yang dilahir dan dibesarkan dalam sebuah rumahtangga yang porak peranda pun mampu membentuk sebuah rumahtangga mereka sendiri yang berjaya dan bahagia hingga ke akhir hayat mereka.

Sebenarnya banyak faktor yang mempengaruhi sikap dan tindak tanduk seseorang untuk menjadikan seseorang manusia itu normal untuk membolehkan mereka membentuk sebuah rumahtangga yang harmoni dan berjaya.

j]Penyesuaian diri dalam rumahtangga tidak berlaku secara automatik.

Ya kemampuan untuk menyesuaikan diri di antara suami dan isteri tidak berlaku secara automatik. Ia tergantung kepada beberapa faktor, seperti kasih sayang, mempunyai perancangan yang teratur, agama, kesedian untuk berbincang, bertimbang rasa, dan sebagainya.

Justeru itu untuk mencapai kebahagian umahtangga, suami dan isteri hendaklah sama-sama berusaha dengan gigih dan mewujudkan kerjasama yang padu antara suami isteri yang saling cinta menyintai, faham memahami antara satu sama lain dalam pembinaan sebuah mahligai rumahtangga yang sejahtera, harmoni dan bahagia.

Insyallah.

Read more...

Keah-kesah Dari Alam Barzakh

>> Monday, May 17, 2010


1]JAGOAN LAWAN MUNKAR NAKIR
Oleh: Hj.Mohammed Zain bin Saleh
[Setelah dikemaskini pada 6 Mac 2011]

Peristiwa ini telah lama berlaku, di sebuah desa yang jauh terpencil, di pendalaman Kalimantan, Indonesia. Di desa itu ada seorang lelaki yang terkenal gagah, berani dan handalan yang digelar jagoan. Tidak siapa yang berani menentangnya. Dia seorang guru yang mempunyai ilmu kebatinan dan persilatan ynag amat tinggi. Dia mempunyai anak-anak murid yang cukup ramai yang datang dari segenap ceruk dan rantau. Seperti lumrahnya orang seperti ini disegani, ditakuti dan dimalui.

Sebagai seorang jagoan ulung dia pernah bertarung selama berhari-hari tanpa henti-henti dan tanpa makan dan minum.

Jasadnya tidak lut dimakan senjata. Dia dipercayai kebal.

Si jagoan ini dipercayai menjalin persahabatan yang ikrab dengan makhluk-makhluk halus untuk dijadikan teman dan tempat meminta bantuan dan pertolongan.

Namun begitu tidak ada siapa pun makhluk Allah yang boleh menyanggah takdir Ilahi. Dia yang Maha Berkuasa dan Maha Menentukan segala-galanya. Manusia hanya boleh merancang, tapi membuat penentuannya adalah Allah belaka.

Pada suatu hari jagoan yang sentiasa meningkat masyur namanya itu dengan tiba-tiba dan tak semena-mena jatuh sakit. Tidak dapat dipastikan dengan jelas apakah jenis penyakit yang menyerangnya itu. Tiba-tiba sahaja pada suatu pagi, dia merasa terlalu amat berat untuk bangkit daripada pembaringannya. Badannya terasa amat lemah dan kaku. Kedua belah tangannya yang selama ini kuat dan sasa itu begitu susah untuk diangkat. Dan badannya pula terasa macam digayuti batu besar.

Seperti biasa di jagoan ini berusaha untuk merawat dirinya sendiri dengan menggunakan segala kemampuan ilmu yang ada padanya. Tapi tidak berjaya. Malah setiap hari penyakitnya bertambah tenat juga. Tubuhnya yang selama ini kuat dan gagah perkasa, makin lama bertambah susut juga. Dia tidak pernah berfikir seorang jagoan sepertinya akan ditimpa penyakit ganjil seperti itu yang tidak diketahui sebab dan puncanya. Dia sering mengeluh kesal, marah, geram dan menyumpah-nyumpah, dan mengutuk dirinya sendiri.

Isterinya mencadangkan seorang bomoh lain dipanggil untuk merawatnya, tapi dia enggan dan mentah-mentah menolaknya, kerana katanya buat malu dia sahaja. Seorang jagoan yang begitu tinggi ilmu sudah tentu tidak layak memanggil orang lain untuk merawatnya. Dia rela mati daripada berbuat demikian.

Murid-muridnya yang begitu ramai itu pun sudah tentu tidak mampu berbuat apa-apa untuk menolong guru mereka. Mereka merasa amat sedih melihat nasib yang menimpa gurunya itu.

Akhirnya kira-kira sebulan kemudian, dalam keadaan hati yang dirangkul kekecewaan dan hancur luluh, si jagoan itu pun menghembuskan nafasnya yang akhir di hadapan isteri dan beberapa orang murid kepercayaannya yang berkebetulan berada di sampingnya. Tubuhnya yang selama ini kuat dan sasa itu telah terkulai layu tidak bermaya lagi di mamah penyakit yang diturunkan Allah.

Sebagai seorang Islam, jenazah jagoan itu dimandi, dikafan dan disembahayangkan seperti lumrah sebelum diusungkan ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.

Setelah jenazah selesai disembahayangkan dan sebelum keranda ditutup untuk dibawa ke tempat persinggahan yang terakhir, salah seorang anak muridnya, tiba-tiba muncul dari muka pintu rumah membawa sebatang alu lesung atau antan dan segera meletakkan di sisi jenazah dalam keranda untuk dikebumikan bersama dengannya.

“Maaf”, katanya kepada ustaz yang menguruskan jenazah itu, “ini pesanan terakhir guru kami sebelum dia mati”.

Mula-mulanya ustaz yang tahu tentang hukum hakam itu membantah, tapi bila dikerasi juga oleh anak-anak murid di jagoan itu, dia pun mendiamkan diri tidak berani membantah walaupun tidak bersetuju, kerana bimbang berlakukan perkara-perkara yang tidak diingini.

Bberapa orang yang masih berada dalam rumah itu pun saling pandang memandang kehairannan, tapi tidak berani berkata apa-apa. Mereka bertanya-tanya dalam hati, kenapa, mengapa, buat apa dan, dan........?? Tapi semua mereka diam walau pun tidak setuju, memandangkan murid-murid sang jagoan itu garang-garang.

“Ikut suka hati kamulah”, kata ustaz dengan suara hampa dan kecewa dengan nada yang hampir tidak kedengaran.

Kemudian keranda pun ditutup dan terus dipikul oleh anak-anak murid si jagoan ke tanah perkuburan. Bila sampai, jenazah terus diturunkan ke dalam lubang kubur yang telah siap digali, dan sebelum tanah ditimbus antan itu diletak di sisi mayat oleh murid sang jagoan tadi.

Seperti biasa, setelah kerja menimbus kubur selesai, talkin dan doa pun dibacakan untuk jenazah yang terbaring dalam kubur, sepi dan kaku sendirian dalam bumi yang gelap gelita. Tiada kuasa, tiada kehebatan, tiada kejagoan, tiada harta, tiada murid dan tiada segala-galanya selain daripada amalan semasa hidup di dunia yang menjadi teman. Dari tanah manusia dijadikan, maka kepada tanah mereka disimpan. Dari Allah mereka datang, kepada Allah mereka kembali. Kematian adalah sesuatu yang pasti untuk seluruh kehidupan di maya pada ini

Seteah selesai mereka pun meninggalkan tanah perkuburan itu, kecuali beberapa orang anak muridnya yang setia masih terpaku di tepi pusara. Suasana telah kembali sepi, Tiba-tiba mereka tersentak kerana mendengar bunyi yang ganjil dari arah kubur guru mereka. Serentak dengan itu mereka melihat tanah perkuburan itu begerak-gerak dan hampir terangkat. Kemudian bunyi bising dalam kubur itu telah hilang. Kesepian kembali melabuh.

Salah seorang daripada mereka mencadangkan kepada kawan-kawannya yang masih terpenga-penga itu supaya mereka menggali kubur itu untuk melihat apa yang berlaku. Mula-mulanya salah seeorang daripada mereka membantah, tapi bila didesak oleh tiga orang sahabatnya, dia pun bersetuju.

Menggali kubur baru seperti itu tidaklah sukar, kerana tanahnya masih lembut dan belum kemas. Mereka pun menggalinya dengan hati yang penuh debaran. Tidak lama kemudian mereka dapat melihat mayat gurunya. Mereka amat terkejut, kerana keadaan mayat gurunya telah jauh berubah. Kain kafannya telah trkoyak rabak dan mayat hampir bogel. Antan yang terletak di sisi mayat itu telah tersumbat dari mulut terus ke dubur. Mayat telah disula dengan antan. Mata mayat tersembul keluar dengan lidah terjelir. Amat menggerikan. Amat menaktukan.

Tanpa berkata apa-apa mereka terus melompat naik, dan segera menimbus semula tanah perkuburan itu.

Setelah selesai mereka pun tergesa-gesa meninggalkan kubur itu. Muka mereka pucat lesi. Mereka lesu dan gementar, dan berjalan dengan guntai.

“Aku baru faham, kenapa guru meminta supaya dia ditanamkan dengan antan. Rupa-rupanya dia ingin berlawan dengan Munkar dan Nakil. Masyaallah. Lihat tadi apa dah jadi?".

Kemduian kesepian menjengah kembali. Langkah-langkah mereka makin cepat meninggalkan tanah perkuburan dengan hati yang digegarkan oleh ketakutan yang tidak dapat dibayangkan

Semoga hati mereka disinar oleh cahaya keimanan, kembali ke jalan yang benar menuju keredaan Allah.

[Cerita ini disusun daripada Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Rashid di Madrasah Keramat Jaya, Kuala Lumpur pada 20hb. Jun, 1980].
xxxx

Kisah di atas antara lain cuba menunjukan bahawa seksa kubur itu nemang ada. Rasulullah S.A.W. pernah memper peringatan kepada umatnya.

MAYAT DISEKSA DALAM KUBUR

Baru-baru ini penulis terbaca sebuah kisah yang berciri yang sama tentang seksa kubur. Dalam buku itu dikisahkan tentang mayat seorang pemuda berusia 18 tahun yang digali semula selepas tiga jam dikebumikan dan didapati telah jauh berubah seperti seorang yang sangat tua.

Di samping itu terdapat tanda-tanda yang jelas menunjukkan dia telah diseksa dengan teruknya selama tiga jam selepas dikebumikan. Tulang-tulang kaki dan tangannya telah hancur. Darah bersembah keluar daripada mayat menunjukkan dia telah dipukul dengan teruknya.

Menurut penulis buku itu, Mohamad Sodikin Rahman-"Misteri Keajaibaan Dunia" pemuda itu meninggal dunia di sebuah hospital di Oman.Tapi kuburnya telah digali semula kerana ayahnya merasa ragu tentang diagnosa yang dilakukan oleh doktor terhadap anaknya itu dan dia ini mengetahui apakah sebenarnya yang menyebabkan kematiann anaknya itu.

Foto menunjukkan mayat pemuda itu bekas kena seksa juga disertakan. Untuk mengetahuinya dengan lebih jelas bacalah buku tersebut yang banyak mengandungi perkara-perkara ganjil yang menginsafkan terdapat di dunia ini yang menjadi tanda kebesaran dan keagungan Allah SWT.
xxxxxxxxx



3]Pengalaman Nurul Dalam Kubur

Nurul Farah, 19 tahun seorang pelakon, ketika ditanam hidup-hidup dalam kubur yang sempit dan gelap itu mendakwa mendengar berbagai-bagai jeritan meminta tolong di samping mendengar hentakan tapak kaki yang sungguh dasyat dekat dengan kepalanya.


Pada masa itu kata Nurul dia terbayang Malaikat Munkar Nakir datang untuk menanya tentang amalannya. Tapi nasib baik katanya, tanah perkuburan di mana dia dikebumikan dikorek semula dan dia diangkat naik dari kubur.


Dia juga mendakwa mendengar bunyi bising seperti seseorang berjalan mengheret rantai besar untuk memukul ahli kubur yang berdosa.


Pada masa kejadian itu berlaku, Nurul sebenarnya masih belum mati, tapi sedangkan melakonkan sebahagian daripada acara pengkebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara dalam drama Karma Salina arahan pengarah terkenal, Erma Fatima tidak lama dahulu.


Sebelum dikebumikan, Nurul Farah yang menjadi mayat itu, dibungkus dengan tiga lapis kain putih, kemudian dimasukkan ke dalam keranda dan seterusnya dikebumikan ke dalam liang lahad dan tikambus seperti kubur biasa.


Ketika berada dalam liang lahad itulah dia mendakwa mendengar berbagai-bagai suara jeritan meminta tolong yang datang dari segenap penjuru liang lahad di mana dia dikubumikan.


Nurul Farah menceritakan pengalaman seramnya itu kepada Mingguan Warta Perdana dan ceritanya terpapar pada muka hadapan akhbar itu keluaran 2 Januari 2011.


Katanya pengalaman tersebut amatlah berharga kepadanya serta banyak memberi keinsafan kepadanya.


Kita berharap dan berdoa semoga peristiwa luar biasa ini akan mengurniakan taufik dan hidayah bukan sahaja kepada Nurul Farah tapi juga kepada kita semua dalam mencari keredaan Allah dalam menjalani hidup di dunia yang fana ini.


Itulah tujuan saya mengungkapkan kisah ini kembali untuk renungan kepada sesiapa yang tidak sempat membacanya.




Renunglah:

"Dan berapa banyaknya umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka yang mereka itu lebih besar kekuatannya daripada mereka ini, maka mereka [yang telah dibinasakan itu] telah pernah jelajah di beberapa negeri. Adakah [mereka] dapat tempat lari [dari kebinasaan]?-Qaaf:36.


Bisik Pondok Rahmat:

Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

Read more...

RAHSIA WAKTU KELAHIRAN ANDA

>> Thursday, May 13, 2010

RAHSIA WAKTU KELAHIRAN ANDA
Catatan: Hj. Mohamed Zain Saleh
Setiap manusia yang hidup mesti menempuh proses kelahiran yang tertentu oleh ibunya dan di masa-masa tertentu yang tertentu pula sebagaimana telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. Selepas dilahirkan sebagai seorang Islam bayi yang baru menemui dunia itu akan didendanglkan dengan lagu Azan yang menyambut kelahirannya selepas disambut oleh mak bidan.

Orang-orang tua kita telah membahagikan waktu kelahiran manusia itu kepada lapan waktu yang berbeza-beza, dan setiap waktu kelahiran itu mereka percaya mempunyai pengaruh tertentu terhadap seseorang.

Saya dedahkan waktu-waktu itu dan rahsia-rahsia yang tersembunyi di sebaliknya untuk renungan bersama. Namun begitu, kita sama sekali tidak boleh mempercayainya sebagai satu kebenaran yang mutlak, kerana banyak lagi faktor yang boleh mempengaruhi kehidupan seeroang menjelang kematiannya.

Ia hanya berupa andaianya yang dibuat secara pengamatan oleh orang-orang tua kita, yang mungkin benar dan mungkin tidak, dan mungkin berlaku secara kebetulan sahaja. Dan yang pastinya ia bukan sama sekali Ramalan Nasib atau Bintang Dua Belas.

1.Waktu Subuh
Seseorang yang dilahirkan dalam waktu subuh dipercayai mempunyai cita-cita yang tinggi dan kemahuan yang besar untuk dicapainya,

Dia akan mencapai kejayaan dalam semua usaha atau pekerjaan yang dilakukannya. Tegasnya seorang usahawan yang berjaya. Sudah tentu ianya amat menguntungkannya.

Justeru itu dia seorang bakal jutawan yang mempunyai harta yang banyak.

2]Waktu Mata Hari Naik
Seseroang yang dilahirkan pada waktu mata hari dipercayai seorang yang rajin bekerja atau berusaha, tanpa mengenal penat lelah.

Dan dia memperolehi hasil setakat apa yang diusahakannya itu. Inilah barangkali yang dikatakan “kalau secupak tak jadi segantang”.

3]Waktu Dhuha
Seseorang yang dilahirkan pada waktu Dhuha dikatakan tidak mempunyai peluang razeki yang luas. Dia terpaksa berusaha keras, membanting otak dan tenaga untuk mencari razeki. Segala pendapatan yang diperolehi adalah hasil daripada berpenat lelah dan bersusah payah.

4]Waktu Zohor
Seseorang yang dilahirkan pada waktu Zohor dipercayai seorang yang dihormati dan dimulai oleh orang-orang yang mengenalinya, dan orang-orang yang di sekelilingnya, termasuklah keluarganya yang memberi kemuliaan yang tinggi kepadanya.

Dia seorang yang mempunyai kedudukan yang tinggi darjat dan martabatnya.

5]Waktu Asar
Seseorang yang dilahirkan pada waktu Asar dipercayai mempunyai kedudukan yang lebih baik daripada ahli-ahli keluarganya yang lain, malah dipercayai mempunyai kedudukan yang lebih mulia daripada mereka.

6]Waktu Maghrib
Seseorang yang dilahirkan pada waktu mata hari sedang terbenam dipercayai seorang yang bakal mempunyai harta yang banyak. Dia seorang yang jutawan.

Dia seorang yang pemurah, tangannya sentiasa terbuka luas untuk menghulurkan tanpa teragak-agak.

Di samping itu, dia seorang pemaaf, yang mudah memberi maaf kepada orang lain tanpa menyimpan dendam.

7]Waktu Isa
Seseorang yang dilahirkan pada waktu Isa dipercayai seorang yang mempunyai hati yang suci dan mulia.

Dia tidak kedekut, malah seorang yang dermawan yang tidak keberatan untuk menghulurkan sumbangan dan bantuan.

8]Waktu Akhir Malam
Seseorang yang dilahirkan di waktu akhir malam dipercayai seorang insan yang beriman dan bertakwa. Dia seorang yang wara’, seorang ahli ibadat.

Justeru itu doanya berkat dan dikabulkan oleh Allah S.W.T.

Sekian. Wallahua'lam.

Read more...

>> Monday, May 10, 2010






KEMBARA

SUNGAI DURIAN-CAMERON HIGHLANDS
Bersama:Hj.Mohammed Zain Saleh]

Sejarah ringkas
Cameron Highlands

Cameron Highlands was named after William Cameron, a British government surveyor who stumbled across a plateau in 1885 during a mapping expedition on the Titiwangsa Range. Failing to mark his discovery on the map, the location of the plateau was finaly confirmed by subsequent expeditions after which Sir Hugh Low suggested that this would be an ideal location for a retreat and farmland. A narrow path to the highlands was then cut through the dense jungles for the highlands.
Nothing much happened after that until 1925 when Sir George Maxwell visited the highlands and decided to develop it as a hill station. A development committee was then formed which functioned until 1931.Cameron Highlands was a haven for the British who were stationed in Malaya as it provided relief from the hot and humid tropical climate of the lowlands.
Once the road was constructed, wealthy residents and British government officials started building retreats on the slopes of the highlands. Later, some settled here permanently and a business community developed. Farming was the main activity here at that time. In 1929, John Archibaid Russell, who was the son of a British administrative officer started a tea plantation which is now the famous BOH Tea Plantation.
The Highlands developed successfully until the outbreak of the World II where the Japanese invasion ini 1941 forced the Brtish troops and civilians out of the highlands. The Japanese continued to administer the area since they saw the highlands farms as a vital food source for their troops. When the Japanese troops retreated from Malaya in 1945 the British gradualy returned to the highlands until the independence of Malaya from the British in 1957”.

Dipetik dari buku:
Cameron Highland Tourist Information
Guide Book 2010.



Kami bertolak dari rumah di Sungai Durian, Kuala Krai pada hari Jumaat, 7 Mei, 2010 [22 Jamadil Awal 1431], kira-kira pukul 8.15 pagi dan berhenti sekejap di Dataran Peladang tempat kami berkumpul untuk berkonvoi dengan kereta ke Cameron Highlands, dan memulakan perjalanan pada pukul 8.30 pagi menyusuri Jalan Kuala Krai-Gua Musang.

Cameron Highlands ialah salah sebuah daripada tiga tempat peranginan di aras tinggi di Pahang. Dua lagi ialah Bukit Fraser dan Genting Highlands, tempat perjudian yang terbesar. Dulunya Cameron Highlans terletak di bawah Daerah Raub, tapi kini telah menjadi sebuah daerah yang tersendiri, Daerah Cameron Highlands, dengan Pegawai Daerahnya yang tersendiri yang terletak di tanah tinggi itu.

Pagi itu jalan tak sibuk, malah boleh dikatakan lengang, kerana hari cuti am di Kelantan Darulnaim. Hampir tidak ada lori yang mengangkat dan memunggah barang. Justeru kereta berjalan lancar menuju destinasi dengan dikelilingi oleh suasana pagi agak sejuk di sekeliling jalan. Mentari masih belum bersinar di dada langit.

Jalan Berlekuk-lekik
Tidak apa-apa yang menarik di sepanjang perjalanan itu. Jalan pun boleh dikatakan baik. Tapi selepas melepasi bandar Gua Musang, kami membelok ke kiri di simpang tiga menuju ke Cemeron Highlands dan ke Kuala Betis, kami merasa terganggu kerana jalan yang tidak rata, berlekuk-lekik yang tidak dapat dilihat oleh mata pemandu. Malah kadang-kadang kami melambung naik bila kenderaan dengan tidak sengaja terjun lekuk-lekik yang agak dalam.

Bila sampai ke Lojing pandangan bertukar dari hutan kepada pemandangan peneduh-peneduh pokok yang ditanam oleh para pengusaha untuk memayungni pokok-pokok yang mereka tanam daripada ditimpa kepanasan yang terik, kebanyakannya pokok-pokok bunga dan sayur-sayuran yang sensitif kepada panas terik. Peneduh-peneduh itu bertaburan di sana sini seperti sebuah kawasan perumahan mega yang ribuan banyaknya, seperti cendawan tumbuh di musim hujan.

Kami sampai kira-kira pukul 11.30 pagi di Cameron Highlands. Setelah singgah sebentar meninjau- barang yang dijual di kedai-kedai di pinggir-pinggir jalan, kami pun terus menuju ke tempat penginapan, di mana kami tinggal beramai-ramai di sebuah aprtmen, lima tingkat. Di Tanah Rata. Kami dapat tingkat atas sekali dan tinggal hanya bersama dengan keluarga kami seramai 9 orang, 4 orang kanak-kanak, [cucu-cucuku], dan 5 orang dewasa anak-anak dan menantu-menantuku.

Tengah hari itu kami sempat sembahayang Jumaat di Masjid Tanah Rata, buat pertama kali. Masjid itu terletak di atas sebuah bukit tidak jauh dari jalan besar. Khutbah Jumaat yang dibaca oleh Imam hari itu pun cukup menginsafkan, ia membicarakan tentang mati dan persediaan-persediaan untuk menghadapi kematian.

Keluargaku yang ikut bersama, ialah anakku Noorbaiti Zaini dan suaminya Safayi, dan empat orang anaknya, Syafiqah Zaini, Syafiq Zaini, Syamil Zaini dan Syaafiya Zaini [cucu-cucuku], Syaibani Zaini dan isterinya Emi.

Kesejukkan
Petangnya mereka keluar untuk membuat lawatan sendiri-sendiri tapi aku tidak keluar dan tinggal di apartmen sendirian, kerana cuaca telah mulai terasa berubah sejuk. Sejak umur kian meningkat, lebih-lebih lagi selepas kematian isteriku, Asiah Yaakob, kira-kira hampir setahun yang lalu, aku kian tidak tahan dengan kesejukan. Justeru aku merasa bimbang bila merasa kesejukan yang melampau, termasuk kesejukan aircond. Mujur aku tidak ikut mereka, kerana menjelang waktu Maghrib hujan turun,walaupun tidak lebat, tapi menyebabkan cuaca bertambah dingin di bumi Cameron Highlands ini. Aku terasa tidak tahan dengan kesejukan, hingga kaki terpaksa diurut dengan minyak dan dipakaikan dengan stoking di samping memakai baju tebal. Telinga kananku pun mulai merasa memberat. Tapi alhamdulillah, sebeluam tiba waktu Isa’ keadaan suhu badanku hampir kembali normal, dan dapat menunaikan solat Maghrib.

Aku tidak turun ke mana-mana hingga keesokannya. Kami meninggalkan apartmen itu kira-kira pukul 9.30 pagi untuk melawat tempat-tempat tertentu sebelum menuju ke rumah masing-masing. Kerana kesuntukan masa kami hanya singgah di beberapa buah tempat sahaja yang menjual pokok-pokok bunga dan membeli sedikit pokok-pokok bunga untuk ditanam di rumah kami di Pasir Tumbuh. Pokok-pokok bunga yang dibeli itu selain daripada warnanya yang cantik juga payah untuk didapati di tempat kami dan kalau ada pun harganya jauh lebih tinggi sedikit.

Memanglah pokok-pokok bunga yang dijual di Cameron Highlands ini ada banyak jenisnya, dan harganya lebih murah jika dibandingkan dengan yang dijual di tempat kami. Demikian juga dengan harga sayur-sayuran. Kami juga singgah di pasar dan membeli sedikit barang-barang keperluan untuk dibawa balik.

Taman Rama-rama?
Kami juga masuk ke Taman Rama-rama. RM 5 untuk orang dewasa, dan RM2 untuk kanak-kanak. Kami tidak nampak ada begitu ramai rama-rama dan tidak juga dapat melihat banyak jenisnya sebagaimana yang kami harap-harapkan. Pada sangkaanku taman rama-rama ini mestilah mempunyai berbagai-bagai jenis rama-rama yang berwarna warni yang cantik rupanya dengan berbagai-bagai bentuk yang luar biasa seperti yang aku pernah lihat di luar sana, di kampungku umpamanya.

Selain daripada rama-rama yang kami rasanya hanya ada satu warna sahaja, warna gelap, dan satu bentuk sahaja badannya, ada juga hewan-hewan lain yang ditontonkan di taman itu, seperti beberapa jenis ular, sepasang angsa, sepasang ayam belanda, seekur belalang gergasi yang dipanggil “King of Grasshoper”.× Kehadiran hewan-hewan itu menimbulkan bau yang kurang selesa.

Bila kami keluar dari taman rama-rama itu, jalan bertambah sesak. Kenderaan terpaksa bergerak perlahan-lahan untuk sampai ke satu-satu tempat yang dituju. Pelancung pun bertambah ramai. Mereka datang dengan menaiki bas dan kebanyakannya berkereta. Aku lihat kebanyakan mereka membeli-belah. Jarang yang bertangan kosong.

Mengikut congokku pada hari itu sahaja beratus-ratus ribuan ringgit telah dibelanjakan oleh pelancong tempatan, sebahagiannya dari Kelantan untuk membeli-belah di Cameron Highlands pada hari minggu seperti itu.

Setelah selesai membeli belah di pasar kami pun bertolak pulang. Dalam perjalanan pulang kami merasa tidak begitu selesa, kerana keadaan jalan lekuk-lekkknya lebih banyak dan lebih dalam daripada ketika kami menuju ke Cameron Highlands kelmarin. Banyak kali kami melambung dari tempat duduk bila kereta terjatuh ke dalam lekuk-lekik yang sukar untuk dielak oleh pemandu. Jika ada penumpang warga emas yang kurang kuat belakangnya, atau ada orang yang sakit belakang atau pinggang, sudah tentu bila sampai ke rumah nanti mereka terpkasa berihat atau memanggil tukang urut atau memakan ubat tahan sakit.

Saya percaya keadaan jalan tidak rata dan berlekuk-lekik seperti itu sudah lama, kerana anak saya, Faris Zaini yang pergi ke Cameron Highlands kira dua tahun yang lampau telah bersungut-sungut dan kesal dengan keadaan jalan yang tidak rata dan berlekuk-lekik itu.

Saya harap pihak berkuasa dapatlah segera membaiki jalan yang sudah sekian lama terbiar berlekuk-lekik tanpa dibaiki itu untuk memberi keselesaan dan keselamatan kepada pelancung yang sering menghabiskan masa dan belanja yang bukan sedikit di Cameron Highlands setiap minggu atau di musim-musim percutian.

R and R Gua Musang
Di sepanjang jalan antara Cameron Highlands dan Simpang Tiga Kuala Betis itu tidak ada sebuah kedai makan atau minum di mana kita boleh berhenti untuk makan, minum, solat dan bererhat sekejap sebelum meneruskan perjalan ke Gua Musang atau ke rumah masing-masing. Saya percaya Insyallah jika ada sebuah atau dua buah kedai yang terletak di tepi jalan dan di tempat strategik di sepanjang perjalanan itu sudah tentu akan mendapat sambutan daripada pengguna-pengguna jalan tersebut. Saya harap ada para peniaga kita yang memikirkan hal ini.

Kami berhenti untuk bersolat dan makan di R and R Gua Musang [Rawat dan Rehat]. Harga makanan di R and R Gua Musang ini juga membingongkan. Kami dapati harga jauh berbeza antara sebuah gerai dengan sebuah gerai yang lain walaupun makanan yang sama. Umpamanya sepinggan nasi berlaukkan setongkol ayam di gerai A, harganya RM5.00, tapi di gerai B harganya RM7.00. Pada umumnya hampir semua harga makanan di sini lebih mahal daripada makanan yang dijual di ibu negara Kuala Lumpur.

Untuk mengelak daripada pembeli merasa tertipu dan tertekan, eloklah kiranya senarai harga makanan itu dipamerkan dengan lebih jelas untuk pemerhatian pengguna. Seperti dipamerkan harga sepinggan nasi putih dengan setongkol ayam ialah RM3.50. Demikian juga seterusnya dengan harga makanan-makanan yang lain, dan diletak di tempat yang mudah dilihat. Senarai harga yang ada sekarang diletak terlalu tinggi di atas pintu gerai menyebabkan pembeli sukar untuk menilitinya, dan terpaksa beridri di depan pintu gerai agak lama dan mendongak kepala untuk membaca harga-harga barang yang hendak dibeli yang begitu banyak senarai bilangannya. Lagi pun tak mungkin semua barang yang disenarikan itu terdapat di gerai berkenaan dan kalau ada pun tak mungkin dengan harga yang sama kerana senarai harga makanan itu nampaknya telah begitu lama dipasangkan di setiap pintu gerai.

Saya juga suka mengingatkan satu perkara lagi iaitu supaya pihak yang berkenaan memasang papan kenyataan yang terang menyatakan larangan merokok di kawasan gerai menjual makan itu. Kerana setiap kali saya berhenti, saya sering melihat ada seorang atau dua yang merokok selepas makan di gerai itu. Ini menganggu dan membahayakan orang lain.

Pada para pengguna pula saya suka juga mengingatkan bila sudah makan, kalau melihat orang ramai yang masih berdiri dan mencari-cari meja untuk makan, bila sudah makan, janganlah belama-lama di meja dengan berbual-bual kosong. Berilah ruang kepada orang lain untuk makan. Carilah tempat lain untuk berihat. Kasihan orang lain yang hendak makan.

Demikian juga pengguna surau di situ, kalau hendak berihat atau tidur sekejap kerana keletihan, tidurlah di tempat yang manasabah, jangan tidur di bahagian hadapan, kerana menyusahkan orang untuk bersolat.. Tidurlah arah ke belakang atau di tempat yang terembunyi sedikit dalam surau itu supaya tidak menganggu orang yang hendak bersolat, dan mereka pun tidak akan merungut, malah merasa simpati dengan anda yang keletihan itu.

Setelah makan kami meneruskan perjalan ke rumah dan selamat sampai ke rumah di Sungai Durian pada petang Sabtu 8.Mei, 2010 [23 Jamadiawal 1431].

Alhamdulillahi Wasykurillah.



×Penulis tidak menterjemahkan perkataan “king” dengan erti “Raja”. Bagi penulis perkataan Raja itu satu institusi yang mulia yang tidak boleh dipakai sebarangan tempat yang tidak layak. Saya tidak bersetuju dengan juara lawak dipanggil dengan gelaran “Raja Lawak”, atau pemandu motosikal yang laju digelarkan “raja pecut” dan sebagainya, kecuali penggunaan pada nama-nama tertentu yang sudah lama dipakai, sejak turun-temurun lagi, seperti “ulam raja”, “pisang raja” dan sebagainya.

Read more...

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP