Pedoman Kebangsaan dan Perlembagaan Negeri - Ahmad Maher Ismail Az-Zahari

>> Wednesday, May 26, 2010


“PEDOMAN KEBANGSAAN

DAN PERLEMBAGAAN NEGERI”

Oleh: Ahmed Maher Ismail Az-Zahari

Mufti Kerajaan Kelantan


Pembicara:Mohammed Zain Saleh

“Kejayaan sesuatu keluarga itu terasas dan terbangun di atas bekerjasama dan berkasih saying di antara orang-orang yang menjadi ahlinya akan tetapi hal membuat baik ini bukanlah tertentu kepada keluarga atau anak beranak sahaja bahkan kepada sesiapa jua pun wajiblah diperbuat seperti itu juga kerana ia daripada baik budi pekerti yang wajib tiap-tiap seorang bersifat”. Hj. Ahmed Maher.

xxxxx

Di atas adalah tajuk buku hasil karya Allahyarham Yang Berhormat, Hj. Ahmed Maher Ismail Az-Zahari, Mufti Kerajaan Kelantan.

Buku itu diterbitkan pada tahun 1949 bersamaan dengan 1368 Hijrah, dan dikeluarkan leh Yaakob bin Hj. Hassan, dan dicetak oleh Al-Hikmah Press, Kelantan.

Di kulit hadapan buku itu, di bawah tajuknya terdapat penjelasan berbunyi, “Pada menyatakan hak dan kewajipan bagi anak-anak negeri dan susunan pendirian sesebuah kerajaan. Serta peri menyatakan perhubungan di antara kerajaan-krajaan dan lain-lainnya yang sangat mustahak diketahui oleh semua golongan bangsa Melayu”.

Di kulit belakangnya dihiasai dengan gambar Bangunan Parlimen Mesir yang dipanggil “Rumah Mesyuarat Undangan Kerajaan Mesir [Parlimen]”.

Kandungannya pula telah dijelaskan oleh pengarangnya dalam kata-kata pendahluannya yang berbunyi, “Kandungannya ialah mengupaskan hak-hak tiap-tiap seorang warga negara dan tanggungan-tanggungan yang terletak di atas dirinya serta sedikit huraian berkenaan dengan pengertian kerajaan, bahagian-bahagiannya dan jenis-jenisnya, dan juga cara pemerintahan yang telah disusun dan kerajaan yang besar-besar yang bertammadun, persambungan setengah-setengahnya [kerajaan] dengan setengah dan lain-lain lagi yang mana sangat fardhu diketahui oleh tiap-tiap seorang”.

Ia mengandungi 14 bab, bermula dengan bab pertama bertajuk “Manusia” dan berakhir dan bab ke-14 berjodol [Hal Ehwal Kerajaan-kerajaan – Perhubungan Di antara Kerajaan-kerajaan”.

Penulis pada waktu itu memegang jawatan Mufti Kerajaan Kelantan dan juga Yang DiPertua Majlis Ulamak.

Dalam kata alu-aluannya, Hj.Nik Mahmud bin Ismail, Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan, bertarikh 24 Jamadilakhir 1365 [25 Mei 1946] antara lain menegaskan, “Wahai buah hatiku terimalah dan pedomankanlah diri dengan pedoman kebangsaan dan susunan perlembagaan negeri yang tidak ternilai banyak harganya mudah-mudahan cahaya yang terpancar daripada pedoman ini merupakan perjalanan tuan dengan sebaik-baik rupa di hadapan segala mata yang memandang tinggi atas jenis bangsa tuan”.

Sedikit Tentang Pengarangnya

Ahmed Mahir nama sebenarnya ialah Ahmad bin Ismail [Tok Kemuning] bin Hj, Abdul Hamid, dilahirkan di Makkah pada tahun 1905.

Pernah memasuki pengajian tahfiz al-Quran, belajar agama di Masjid Muhammadi Kota Bharu, di Surau Tok Khursani, [Muhammad Hassan], dan pernah belajar di Al-Azhar Mesir. Beliau merupakan ulama Melayu yang julung-julung mendapat Syahadah ‘Aliah di Mesir.

Pernah mengajar agama di Masjidilharam. Setelah balik ke Kelantan, pada tahun 1931 Pernah menjadi pengarang Majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan.

Kemudian beliau dilantik menjadi Ketua Pelajaran Majlis Agama Islam Kelantan, dan pada tahun 1935 dilantik menjadi Kadhi Besar Kelantan.

Pada tahun 1939 dilantik menjadi Mufti Khas kepada Almarhum Sultan Ismail, dan seterusnya dilantik menjadi Pemangku Mufti Kerajaan Kelantan. Kemudian pada tahun 1942 dilantik menjadi Mufti Kerajaan Kelantan.

Selain daripada menulis rencana beliau juga menghasilkan buku-buku antaranya Kitab Suluh Awam dan Pedoman Kebangsaan dan Perlembagaan Negeri yang dibicarakan di sini.

Beliau seorang yang ahli dalam ilmu mantik, falsafah, balaghah dan nahu Arab, serta amat meminati kesusasteraan Arab.

Beliau seorang yang petah bercakap dan cekap berhujah.

Beliau meninggal dunia pada hari Sabtu, 17 Zulhijjah 1387, bersamaan dengan 16 Mac 1968 dalam usia 68 tahun.

Ya Allah cucuri rahmat ke atanya. Amin.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP