>> Friday, June 11, 2010


RAHSIA TEMPURUNG JANTAN MENJAGA KESIHATAN




Pada suatu hari dalam tahun 1980-an penulis pergi melawat ke Hospital Besar Kota Bharu untuk menziarahi seorang kawan yang ditempatkan dalam wad di situ. Ketika keluar dari wad, penulis secara kebetulan bertemu dengan seorang kawan yang baru lepas menziarahi keluarganya yang dimasukkan ke hospital yang sama tapi wad yang berlainan. Sambil berjalan menyusuri lorong menuju ke pintu untuk keluar dari kawasan hospital, kawan penulis itu menceritakan pertemuannya dengan seorang lelaki yang juga turut menziarahi keluarganya yang sakit itu.

Antara lain katanya, “Tadi saya bertemu dengan seorang tua yang telah lanjut usianya. Hampir seratus tahun. Tapi dia masih sihat, cergas dan tubuhnya kuat. Setiap hari katanya dia banyak berjalan kaki dan mengerjakan tanah ladang dan sawah”.

“Eh, hebatnya, “ kata penulis spontan, “apa rahsianya dan apa amalannya setiap hari?”.

“Mengikut ceritanya, selain daripada mengerjakan tanah sawah dan ladang, amalannya yang istimewa ialah memijak tempurung kelapa jantan. Katanya kerana amalan itulah menyebabkan dia tidak pernah sakit kepala, tidak pernah sakit pinggang, sakit urat, atau sakit dada. Selera makanya pun baik”. Kata kawan penulis itu lagi.

Penulis tidak mengambil berat tentang cerita orang tua itu memijak tempurung jantan. Tapi tidak lama selepas itu, penulis mengetahui tentang ilmu memicik kaki untuk menyembuhkan berbagai-bagai jenis penyakit badani. Sejak itu mulailah penulis kaitkan dengan kisah orang tua yang memijak tempurung jantan itu.

Tapi tahukah anda apa yang dikatakan tempurung jantan itu? Tempurung jantan ialah tempurung kelapa di bahagian atasnya bila sebiji kelapa dibelah dua, di mana bahagian atas inilah akan keluar tunasnya bila sampai masanya untuk menjadi benih kelapa yang baru. Bahagian muncung tempurung jantan ini jika ditebuk memang mudah untuk membuat lubang untuk mengeluarkan air kelapa. Bahagian atas inilah kelapa muda diparas untuk diambil airnya atau isinya. Sementara separuh tempurung bahagian bawah di panggil tempurung betina.

Pada masa dahulu, di kampung-kampung, berjalan menggunakan tempurung jantan adalah meruapakan salah satu permainan yang digemari oleh kanak-kanak Dalam permainan ini, dua belah tempurung jantan diperlukan dan kedua-kedua tempurung itu ditebuk lubang kecil bahagian atasnya dan diberi bertali untuk dipegang supaya tempurung itu melekat di kakinya dan bagi mengimbang badan bagi mereka yang berjalan menggunakanya. Malah kadang-kadang mereka adakan perlawanan berjalan dengan tempurung jantan.

Penulis rasa konsep berjalan kaki beralaskan tempurung jantan ini hampir sama dengan berjalan di atas lantai berbonjol-bonjol kecil yang dibuat khas untuk dipijak dengan kaki tanpa alas. Penulis harap marilah kita cuba mengamalkannya di rumah masing-masing. Ia hanya memerlukan beberapa belah tempurung jantan. Tempurung-tempurung ini pula boleh diperolehi daripada kedai-kedai yang menjual kelapa parut atau kedai menjual santan yang biasanya dibuang sebagai sampah. Pilihlah tempurung-tempurung yang baik dan yang rata bahagian belahannya dan masih utuh, bukan daripada buah kelapa yang telah busuk.

Setelah tempurung jantan itu diperolehi, bersihkanlah sisa-sisa sabut-sabut yang masih melekat di bahagian luar hingga menjadi tidak berbulu dan licin dan tidak menganggu tapak kaki bila dipijak nanti. Kemduian bersihkan pula sisa-sisa isi kelapa yang masih melekat pada bahagian dalam tempurung hingga licin, supaya ia tidak mengotorkan lantai dan tidak mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan nanti.

Letakkan tempurung itu di mana-mana tempat yang mudah diambil dan tidak menganggu pandangan. Bila hendak digunakan, aturlah tempurung-tempurung itu dekat dengan dinding untuk membolehkan anda menggunakan tangan anda mengimbangi badan anda supaya tidak terjatuh ketika anda berdiri di atas tempurung itu, kemudian pijaklah tempurung itu secara bergilir-gilir selama beberapa minit dengan menggunakan seluruh bahagian tapak kaki anda yang berkaki ayam, dengan memberi tumpuan kepada bahagian tengah tapak kaki tanpa memakai kasut atau selipar.

Bila anda memijak tempurung itu, anda akan merasa kesannya daripada tapak kaki menjalar naik ke betis, naik ke pinggang, naik ke leher dan terus ke kepala. Selepas itu anda akan merasa ringan dan selesa.

Amalkanlah selalu, insyallah kesihatan anda pada umumnya akan bertambah baik, dan bila kesihatan anda baik, maka minda anda pun akan baik.

Pada masa dahulu, tempurung kelapa juga digunakan oleh kanak-kanak lelaki yang baru bersunat, dan masih belum sembuh, untuk menggendurkan ketegangan pada “barangnya”. Kerana bila berlaku ketegangan tempat luka yang masih berbalut itu akan menimbulkan rasa sakit. Bila berlaku demikian, tempurung kelapa itu akan mereka gunakan untuk mengetuk kepala lutut mereka berulang-ulang kali bagi menggendurkan ketegangan dan sekali gus menghilangkan rasa sakit. Sekian.

Wallahhua’klam.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP