Hujan Antara:Suka Dan Duka

>> Saturday, July 10, 2010



HUJAN: Antara: Suka Dan Duka


AIR sangat penting kepada kehidupan manusia. Malah manusia, tidak mungkin hidup tanpa air, Sebahagian besar daripada tubuh manusia terdiri dari air. Sebahagian besar daripada muka bumi dilitupi air, iaitu air laut atau lautan. Laut yang lebih kecil dipangil laut, sementara laut yang lebih besar dipanggil lautan.

Ada banyak laut di dunia ini, seperti Laut Mati, Laut Caspian, Laut China Selatan, Laut Sulu dan sebagainya, tapi laut yang lebih besar yang dipanggil lautan itu hanya ada 5 buah sahaja, iaitu Lautan Pacific, Atlantic, Antartic, Arctic, dan Lautan India. Kelima-lima lautan ini jika disatu akan meliputi kawasan lebih daripada 71 peratus permukaan bumi ini. Lautan yang terluas ialah Lautan Pacific, iaitu 181,000,000 kilometer persegi [70,000,000 batu persegi].

Air laut adalah merupakan air asli yang paling tulin, dan mengandungi kira-kira 96.5 peratus air. Kira-kira 2.9 peratus lagi air laut itu mengandungi sodium dan kalorin yang membentuk rasa masin atau garam pada air laut itu. Justeru garam itu cair dan melarut dalam air, maka larutan garam tetap berada dalam air tanpa hilang-hilang, maka itulah sebabnya air laut atau lautan itu bertambah masin dari masa ke masa.

Selain itu, dalam air laut juga terdapat kira-kira 0.3 peratus sulphate dan 0.1 peratus magnesium, dan lain-lain bahan yang terdapat dalam air laut ialah logam seperti emas, perak, plumbun, mercuri, tembaga dan uranium, dan berbagai-bagai bahan lain lagi.

Allah jadikan lautan sebagai wadah untuk menerima air-air dari daratan. Air yang mengalir dari sungai-sungai di daratan, biasanya berpunca dari tanah-tanah tinggi, punncak-puncak bukit bukau dan gunung ganang, yang mengalir dan terus mengalir, memenuhi segala perlembahan dan akhirnya setelah menjelajah dan mengembara ribuan kilimetr jauhnya, sampailah ia ke laut.

Air-air sungai inilah yang membawa bersamanya sodium dan kalorin yang disapunya daripada permukaan bumi sepanjang perjalanan yang ditempuhnya itu dan inilah yang menyebabkan air laut menjadi masin atau bergaram.

Air laut yang berasal dari daratan ini bila panas, meruap dan naik ke udara, lalu berkumpul dan membentuk awan yang mengandungi kumpulan air, dan bila angin laut bertiup, maka awan-awan yang terbentuk dari wap air itu bertebaran ke daratan, dan akhirnya gugur semula ke bumi sebagai hujan, menuruni cerun, memasuki takungan air, tasik, paya dan sungai dan akhirnya mengalir sampai pula ke laut. Hujan itu berlaku bila wap air bertukar dari gas kepada cecair menerusi proses yang dipanggil kitar air. Demikianlah kitaran perjalanan air itu penuh hikmah.

Hujan-hujan itu amat besar gunanya kepada makhluk-makhluk bumi, malah pada umumnya manusia tidak mungkin hidup tanpa hujan. Bila hujan turun, tumboh-tumbohan menjadi subur, benih-benih bercambah, dan bunga-bungi berkembang.

Pokok-pokok itu bukan sahaja berbunga dan berbuah untuk menjadi habuan manusia dan haiwan, tapi juga yang pentingnya akan menyerap sebahagian besar daripada karbon dioksida dan juga mengeluarkan oksijan, gas yang amat penting kepada kehidupan manusia dan juga lain-lain hidupan sebagai bahan untuk pernafasan. Tanpa oksijan manusia tidak boleh bernafas, dan tanpa benafas manusia tak boleh hidup. Biasanya ¾ daripada tumboh-tumbohan adalah terdiri dari air.

Mengikut penyiasatan, air hujan hari ini tidak lagi seperti air hujan di masa-masa yang lampau, yang boleh digunakan dengan sesuka hati untuk diminum, untuk dgunakan untuk memasak dan untuk mencuci, kerana ada sesetengah air hujan di dunia hari ini telah tercemar oleh bahan-bahan kimia yang dihasilkan oleh kilang-kilang dan aneka industri yang tumboh dengan pesat sejajar dengan kemajuan yang pesat pada hari ini. Bahan kimia yang cemar ini diresap ke dalam lapisan udara bumi untuk dicurah kembali ke bumi sebagai air hujan yang mengandungi asid atau dalam berbagai-bagai bentuk air hujan lain, seperti salji yang menyebabkan air itu masam.

Salah satu tempat di dunia yang amat terdedah keapda hujan asid ialah utara Sweden. Kilang-kilang indusri dan stesen-stesen kuasa arang batu yang banyak terdapat di Eropah telah mengeluarkan bahan-bahan kimia yang naik ke lapisan udara, lalu ditiup angin jauh ke arah utara, dan bila sampai di utara Sweden, udara-udara yang lembab itu gugur ke bumi sebagai hujan asid yang merbahaya dan boleh membawa maut. Kadang-kadang air hujan itu lebih masam dari cuka. Perkara ini dengan jelas menunjukkan berlaku akibat kerakusan manusia sendiri yang telah berjaya merosakkan alam semulajadi yang dijadikan Allah.

Pada suatu ketika dahulu, tasik-tasik di Eropah dan Amerika Utara, manjadi tempat yang selesa dihuni oleh habitat-habita air, tapi hari ini oleh sebab tasik-tasik di situ telah berasid atau menjadi masam, akibat tangan manusia sendiri, menyebabkan ribuan ekur ikan yang menjadi penghuni tasik-tasik di Scandinavia, Wales, Scotland dan juga tasik-tasik di Amerika Syarikat dan Kanada telah terbunuh, demikian juga hidop-hidopan yang lain, seperti pokok-pokok pain menjdi binasa dan mati.

Selain dari hujan asid, hujan yang amat lebat juga boleh mangancam keselesaan dan keselamatan manusia. Sebahagian besar daripada petani tidak sukakan hujan yang begitu lebat dan berpanjangan. Penoreh-penoreh getah tidak sukakan hujan, kerana batang pokok getah yang basah tidak sesuai untuk ditoreh kerana boleh memendekkan usia hayatnya. Kalau batang getah telah ditoreh, tiba-tiba hujan turun menyebabkan air hujan akan masuk ke dalam cawan susu getah yang menyebabkannya penuh dan melilih serta tumpah keluar. Dan ini sudah tentu merugikan.

Penanam-penanam tembakau juga tidak sukakan hujan lebat, kerana hujan lebat boleh merosakkan daun tembakau, apa lagilah kiranya ladang tembakau mereka ditenggelami air hujan yang melimpah selama beberapa hari yang boleh membunuh pokok-pokok tembakau mereka.

Hujan yang lebat yang turun mencurah-curah itu pula boleh merosakkan buah-buah durian yang sedang berputik, hujan lebat yang menenggelamkan bumi boleh merosakan tanam-tanaman, seperti sayur-sayuran, segala macam ubi, baik ubi kayu, ubi keledek, ubi setawi dan sebagainya, serta menumbangkan pokok-pokok betik yang amat sensitif dengan air yang berlebihan.

Penjual-penjual air batu dan ais kerim tidak sukakan hujan, tapi sebaliknya pejual-penjual kacang goreng dan putu halba pula sukakan hujan, kerana hujan tolong melariskan jualan mereka.

Dan hujan-hujan lebat yang berlanjutan itu bukan sahaja mengancam manusia dan tumbuh-tumbuhan tapi juga haiwan-haiwan, merosakkan harta benda, jalan-jalan dan jalan raya-jalan raya, merosakan kendaraan yang tenggelam, meruntuhkan jambatan, bukit-bukau, menumbangkan pokok-pokok besar bila airnya meluncur deras, menghanyutkan rumah-rumah kediaman dan barang-barang yang boleh alih dan tidak boleh alih, malah boleh menghayut dan melemaskan manusia yang telah ditakdirkan mati dalam air, dalam banjir. Pendeknya bila hujan lebat ia boleh bertukar menjadi banjir, banyaklah kerosakan yang ditimpakannya.

Banjir besar telah berlaku pada tahun 1887 di Sungai Hwang atau Sungai Kuning di negara China yang dikenali dengan gelaran “Kesedihan Negeri China”. Ia digelar demiki kerana Sungai Kuning itu selalu dilanda banjir yang hebat dan menimpakan kerosakan yang bukan sedikit. Dalam banjir pada tahun 1887 itu seramai 900,000 orang telah terkorban.

Sebaliknya pula, bila banjir surut, tanah-tanah kering menjadi subur kembali, bergembur dan berbaja, musuh-musuh tanam-tanaman yang utama, tikus dan ulat-ulat banyak yang terkorban dan dihanyut air, dan seterusnya bumi akan menjadi menghijau semula dengan izin Allah S.W.T.

Demikian juga hujan yang terlalu sedikit pula, ataupun tidak ada hujan lansgung, juga boleh menimpakan akibat yang buruk seperti hujan yang terlalu lebat juga. Kawasan padang Pasir Sahara menjadi bertambah luas setiap tahun, salah satu daripada sebabnya kerana mendapat hujan yang terlalu sedikit. Gurun Atacama di Chile, Amerika Selatan menanggung kemarau selama 400 tahun, hanya berakhir pada tahun 1971 bila hujan turun.

Salah satu cara yang penting untuk mendapat air yang bersih dan selamat untuk digunakan ialah dengan mengadakan sistem kumbahan untuk mencegah kotoran masuk ke dalam sungai yang airnya sering digunakan untuk berbagai-bagai tujuan oleh manusia, dan sering menjadi punca utama kepada berbagai-bagai jenis penyakit yang dideritai oleh manusia.

Justeru, andainya air yang bersih dan selamat diminum itu dibekalkan kepada seluruh penduduk dunia, maka bererti 80 peratus dari kesakitan dan penyakit yang dihidapi oleh manusia selama ini dapat dicegah. Tapi malangnya, hampir 2 bilion penduduk dunia hari ini, kebanyakannya di negara-negara membangun tidak mempunyai sumber air minum yang selamat secara minima pun yang menjadi punca kepada berbagai-bagai jenis penyakit, kerugian penghasilan dan malah juga kematian.

Demikianlah hikmat hujan dan air yang mengandungi rahsia suka dan duka- suka jika ia memberi kebaikan, dan duka jika ia menimpakan bencana. Semuanya ketentuan dari Ilahi belaka, tergantung kepada undang-udang sebab dan musabab, di mana kita sebagai makhlukNya hendaklah menerimanya dengan syukur dan sabar, iaitu syukur jika ia menyenangkan, dan sabar jika ianya menyusahkan. Akal kita terlalu singkat untuk menyelami apa yang tersirat di sebalik semua itu.

Hiduplah dengan Mahabbah dan harmoni dengan alam ciptaan Allah.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP