Kanak-kanak Dan Jenayah Seks

>> Tuesday, July 6, 2010

KANAK-Kanak-Kanak Dan Jenayah Seks


SEORANG lelaki, Kamis atau Mahusin telah dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan pada 29 Mei, 1974 kerana didapati bersalah membunuh seorang kanak-kanak perempuan, Noridah bte Muhammad, 11 tahun seorang pelajar selepas merogolnya dalam sebuah ladang getah. Mahkamah Tinggi Persekutuan telah menolak rayuannya.

Di Bolivia pula, seorang lelaki yang ditangkap polis yang terkenal dengan nama Benigno Nogales Quiroga mengaku bahawa dia telah merogol seramai 140 orang kanak-kanak lelaki di bandaraya negara itu. Selain itu dia juga didapati sedang mengurung beberapa orang kanak-kanak di sebuah desa berhampiran dengan bandar itu untuk tujuan ganas tersebut.

Demikianlah dua contoh kekejaman seks yang menimpa kanak-kanak yang berlaku dari masa ke masa di serata tempat di seluruh dunia. Dalam kejadian itu, yang berbeza ialah objek yang menjadi mangsanya; dalam kejadian pertama kejadian itu berlaku terhadap seorang kanak-kanak perempuan tapi dalam kejadian kedua ia berlaku terhadap kanak-kanak lelaki.

Sebenarnya daripada seluruh kegiatan seks yang sumbang dalam semua masyarakat, kegiatan seks antara orang-orang dewasa dengan kanak-kanaklah yang paling mengharukan dan menimbulkan kemarahan di kalangan umum.

Menurut istilah keinginan untuk melakukan kegiatan seks dengan kanak-kanak dipanggil "peclophilia" yang menurut bahasanya bererti “Cinta kepada kanak-kanak”.

Walaupun kejadian sumbang seperti ini, sering berlaku dari masa ke masa, tapi banyak tanggapan yang salah telah timbul berhubung dengan perkara ini, terutama di kalangan orang-orang awam.

Dan menurut pakar-pakar, rahsia ini lebih tebal menyelubungi di kalangan wanita dewasa daripada kaum lelaki, kerana sampai kini hanya sedikit sahaja yang diketahui apakah yang menarik keinginan seks wanita-wanita dewasa terhadap kanak-kanak. Sebaliknya, di kalangan lelaki rahsianya telah banyak yang terbongkar hasil kajian teliti yang dilakukan oleh pakar-pakar dari masa ke masa.

Menurut tanggapan umum bahawa kejadian seks yang buruk ini dilakukan oleh orang-orang tua, orang-orang tua yang sakit otak dan mati pucuk. Demikian juga dianggapkan bahawa tindakan-tindakan buruk itu selalunya diekori dengan kekerasaan, malah juga pembunuhan seperti yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak perempuan di Kuantan dalam perisitwa yang disebut di atas.

Dengan tanggapan begitu, adalah dipercayai bahawa kanak-kanak yang menjadi mangsa itu diambil oleh lelaki yang tidak dikenali, kemudian dibawa ke suatu tempat yang asing untuk melakukan kegiataan-kegiatan jantina yang buruk itu, dan kanak-kanak itu dipercayai akan dibunuh.

Tapi kejadian yang sebenarnya, menurut penyiasatan pakar-pakar berbeza dengan itu. Tanggapan salah ini timbul kerana berita pembunuhan kanak-kanak selalu diperbesar-besarkan, terutama menerusi akhbar-akhbar kerana mempunyai unsur sensasi.

Kanak-kanak yang menjadi mangsa itu pula, mungkin lelaki dan mungkin perempuan. Walaupun begitu, dalam kebanyakan dorongan seks itu dihalakan kepada satu jenis seks sahaja. Hanya sedikit kejadian sahaja, orang-orang dewasa itu tertarik terhadap kedua-dua jenis seks, iaitu terhadap kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan. Dan kanak-kanak yang menjadi mangsa itu pastinya belum mendaki umur baligh.

Kebanyakan kegiatan seks yang melibat kanak-kanak perempuan jarang sekali berlaku perogolan. Ia hanya merupakan semacam “permainan” seperti merenung, memujuk, menyentuh, membelai dan kadang-kadang merancap. Kegiataan-kegiatan seks seperti ini sebenarnya biasa dilakukan oleh kanak-kanak itu dalam meneroka alam seks.

Kiiranya lelaki itu melakukan hubungan seks dengan seorang kanak-kanak perempuan, ini mungkin ada hubungan dengan kekacauan otak yang lain yang dihidapi olehnya. Dalam hal ini kekerasaan juga jarang tercetus dan bukan tipikalnya, kecuali dalam keadaan-keadaan yang ganjil kerana panik.

Menurut penyiasatan pakar-pakar, ada tiga kumpulan manusia yang didapati mempunyai runtunan seks terhadap kanak-kanak, iaitu:

Pertama, di kalangan remajawan.

Kedua, di kalangan usiawan lewat tigapuluhan tahun.

Ketiga, di kalangan usiawan lewat limapuluhan tahun.

Dengan itu terbukti bersalahan dengan tanggapan umum, bahawa di kalangan orang-orang tua sangat kecil bilangannya mempunyai nafsu terhadap kanak-kanak.

Menurut pakar-pakar, ketiga-tiga golongan ini mempunyai alasan-alasan yang berbeza-beza yang melorongkan mereka terlibat dalam kegiatan seks dengan kanak-kanak.

Golongan pertama, itu di kalangan remajawan yang mempunyai runtunan nafsu terhadap kanak-kanak perempuan mungkin kerana perkembangan jantina dan emosinya telah terbantut. Justeru itu mereka tidak dapat menyesuaikan kegiatan seksnya dengan wanita-wanita yang seusia dengannya.

Golongan yang kedua, iaitu usiawan lewat tigapuluhan tahun terdiri dari lelaki yang telah berkahwin atau masih mempunyai isteri. Tapi lelaki ini mengalami kehampaan dalam hubungan jantina dengan isterinya itu atau dengan wanita-wanita lain yang lebih tua darinya. Justeru itu dia mencari kepuasan jantina dalam permainan seks yang keanak-anakan dengan kanak-kanak, bukannya dalam hubungan jantina dengan wanita-wanita dewasa.

Golonan ketiga, ialah orang-orang tua yang biasanya disifatkan berada dalam kesepian dan kematian pucuk. Tindakan jantinanya dengan kanak-kanak timbul kerana kesepian yang dialaminya itu telah terisi dalam hubungannya dengan kanak-kanak. Dan akibat dari hubungan itu pula timbulnya dorongan seks tersebut.

Orang lelaki yang melakukan hubungan sejenis dengan kanak-kanak merupakan kejadian yang luar biasa, bukan sahaja kerana dia bermain dengan kanak-kanak, tapi juga kerana dia memilih kaum sejenis sebagai objek untuk melepaskan kebuasan nafsunya yang tiada terkekang itu. Walau bagaimanapun terdapat perbezaan yang jauh antara orang dewasa yang saling rela merelakan dalam hubungan sejenis dengan orang-orang dewasa dan kanak-kanak.

Perbuatan merancap, permainan seks dengan mulut dan sebagainya lebih kerap berlaku dalam hubungan sejenis orang dewasa dengan kanak-kanak. Perbuatan itu lebih kerap dilakukan secara berencana, daripada secara kebetulan. Dan ia didapati lebih kerap dilakukan berulang kali.

Dalam perkara ini patut diberikan perhatian yang serius ialah hubungan antara lelaki tersebut dengan kanak-kanak yang dijdikannya mangsa itu. Demikian juga peranan yang dimainkan oleh kanak-kanak itu dalam kejadian sumbang tersebut.

Semua penyiasatan dengan terang menunjukkan bahawa antara lelaki dan kanak-kanak itu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Mereka mungkin mempunyai hubungan kekeluargaan, atau lelaki itu sahabat keluarga mereka. Ataupun lelaki itu salah seorang daripada tetangganya, dan pada umumnya mereka tinggal dalam suasana hidup yang sama.

Justeru itu, kebanyakan kejadian itu berlaku di rumah lelaki itu ataupun di rumah kanak-kanak itu sendiri, dan hanya sebilangan kecil sahaja berlaku di tempat-tempat lain, seperti di park-park, pawagam atau di tempat-tempat umum lain.

Dalam hal ini dapatlah dikemukakan satu contoh yang berlaku di Kuala Lumpur. Seorang lelaki penganggur, M. Kolanthi Vello, 45 tahun telah cuba merogol seorang kanak-kanak perempuan 8 tahun, dikenali dengan nama “Miss X” di mahkamah. Peristiwa itu berlaku di rumah kanak-kanak itu sendiri ketika dia tinggal sendirian. Tapi nasib baiknya, ketika perkara itu hampir ke puncaknya, Kalonthi Vello menjdi panik bila melihat bahagian sulit kanak-kanak itu berdarah. Kemudian dia telah ditangkap dan didakwa. Dia mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 4 tahun.

Selain dari itu, peranan yang dimainkan oleh kanak-kanak itu sendiri dalam sesetengah kejadian juga tidak harus diketepikan. Kuriositi kanak-kanak sendiri selalu memberi sumbangan terhadap kejadian tersebut. Dalam hal ini kanak-kanak yang tidak menerima kasih sayang yang wajar di rumah mereka, lebih mudah terlibat dalam kegiatan-kegiatan seks seperti itu, malah kadang-kadang menjadi sebab yang utama kepada kejadian itu.

Oleh sebab itu bertindak melarang kanak-kanak pergi dengan orang-orang asing yang tidak dikenali untuk mencegah hal ini daripada terjadi tidaklah berkesan walaupun tindakan itu memang baik, terutama untuk mencegah diculik atau dilarikan. Tindakan memberi amaran kepada kanak-kanak supaya awas dan beringat-ingat terhadap saudara mara, sahabat-handai dan jiran tetangga pula akan menimbulkan kesan-kesan yang lain, iaitu ketakutan, kebimbangan dan keraguan di hati mereka.

Hanya satu tindakan yang paling baik ialah dengan jalan menimbulkan kesedaran kepada kanak-kanak bahawa ada sesetengah orang dewasa mempunyai problem untuk melibatkan kanak-kanak dalam kegiatan jantina mereka. Tindakan ini bukan sahaja merupakan perisai yang sebaik-baiknya kepada kanak-kanak, tapi akan melorongkan jalan kepada kanak-kanak itu untuk memberitahu orangtuanya bila kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti itu menimpanya. Kerana itu, memang baik kalau masaalah ini dijadikan pendidikan umum jantina untuk kanak-kanak.

Harus diambil ingatan, jika kejadian sumbang ini benar-benar terjadi, maka reaksi yang keras daripada ibubapa selalunya menimbulkan masalah psaikologikal yang lebih serius kepada kanak-kanak itu daripada akibat kejadian itu sendiri. Sikap tenang dan waras amatlah berguna dalam hal imi.

[Rencana penulis ini penah disiar dalam SANTAJIWA Januari-Febuari 1975 dengan nama pena ZAINI. Disiarkan kembali semoga memberi faedah]

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP