Jalan Tok Hakim, KB. Dan Pasar Malamnya

>> Thursday, September 9, 2010




JALAN Tok Hakim, Kota Bharu Dan Kisah Pasar Malamnya

JALAN Tok Hakim ialah sebatang jalan pendek di pusat bandar Kota Bharu, Banda Raya Islam. Di kepala jalan Tok Hakim itu terdapat pasar malam. Penjual-penjual di situ tidak ramai, hanya beberapa orang sahaja yang membuka gerai untuk berniaga di situ setiap malam.

Beigtu jugalah setiap bulan Ramadan. Tidak ada penambahan muka baru yang menjual di situ. Mungkin yang berbeza ialah makanan-makanan yang disediakan lebih terpilih, lebih banyak ragam dan lebih banyak quantitinya, disesuaikan dengan selera pembeli di musim puasa.

Pembeli-pembelinya bukan sahaja orang-orang Islam, tapi juga orang-orang bukan Islam, termsuk para pelacong yang mencari makanan tradisi dan mungkin juga mereka yang menginap di sekitar kawsan itu.

Ruang tempat berniaga juga amat sempit dan terbatas. Di sekitar ruang kosong di hadapan Pejabat Penerangan lama yang dijadikan Pusat Penerangan, setelah pejabat Penerangan pindah ke Wisma Perekutuan, Jalan Bayam.

Ia terletak berhampiran dengan Simpang Empat Bata, dan tak jauh daripada bangunan Dewan Perniagaan Melayu Kelantan yang terletak di belakang Pejabat Penerangan.

Tidak berapa jauh dari situ juga, di Jalan Tg. Cik terletak pula bekas pejabat Utusan Malayu di tingkat satu Bangunan UMNO Kota Bharu, di mana pemberitanya pada sekitar tahun 1970an dahulu ialah Allahyrham, Ustaz Rafie Hj. Taib yang tinggal di bahagian belakang pejabat tersebut bersama dengan keluarganya. Kami sangat mesra dan beliau melayan aku macam keluarganya sendiri.

Di jalan Tok Hakim itu juga dulunya terdapat sebuah lorong menuju ke sebuah kawasan setinggan yang bukan sahaja suasana kelilingnya hanyir dan kotor, tapi juga penuh dengan noda, kerana di situlah terletaknya salah sebuah sarang pelacuraan kelas murahan yang terekenal dengan panggilan” Lorong “Tuuaa”. Tapi sarang pelacuran itu telah lama tiada kerana kawasan itu telah dirobohkan dan dibangunkan oleh pehak berkuasa.

Di sekitar tahun 10970an dan 1980an dahulu penjual-penjual membuka gerai-gerai pasar malam mereka di kiri kanan jalan, atau mengamnbil ruang yang kecil di kaki lima sesuai dengan barnng-barang yang diperniagakan, seperti kacang goring dan kacang sira.

Di simpang empat Bata itu juga di sebelah kiri Jalan Sultan Zainab, membelok dari Jalan Tok Hakim menuju ke Masjid al-Muhammadi terdapat dua buah gerai buah-buahan yang cukup populer yang berniaga sampai jauh malam. Gerai-gerai ini turut memeriahkan lagi suasana di Jalan Tok Hakim itu. Gerai-gerai buah itu sudah lesap, ditelan oleh arus pembangunan.

PADA MASA ITU setiap malam di Jalan Tok Hakim itu terdapat berbagai-bagai jenis makanan, termasuk berbagai-bagai jenis nasi, seperti nasi kerabu, nasi beriani, nasi dagang, nasi kapit, nasi tumpang, nasi minyak, laksa dan laksam, dan berbagai-bagai jenis kueh mueh tradisi Kelantan, jala emas, akok, tepung pelita, tahi itik, pulut bakar panas yang dibakar di situ, dan sebagainya.

Pembeli-pembelinya ramai, termasuk mereka yang datang dari tempat yang jauh hanya semata-mata untuk membeli makanan yang dijual di situ. Kira-kira pukul 12.00 malam baru perniagaan di situ ditutup, bila seorang demi seorang penjual kembali ke rumah masing-masing, kerana barang-barang jualan mereka telah kehabisan.

Sewaktu kami bekerja malam, di Syarikat Dian, dan masih bujang, di mana pejabat kami tak jauh letaknya dari situ, maka di pasar malam Jalan Tok Hakim itulah kami mencari dan memilih makanan-makan malam kami. Enak dan menyegarkan. Hingga kami menjadi biasa dengan penjual-penjualnya, dan diberi sedikit keistimewaan bila kami membelinya.

Tapi bila kami mendirikan rumahtangga dan pejabat kami berpindah ke Lundang, kami tidak lagi menumpu ke pasar malam Jalan Tok Hakim, apa lagi setelah aku berpindah ke Kuala Lumpur.

Sedar-sedar bila kami mengunjunginya, pasar malam Jalan Tok Hakim itu tidak semeriah dahulu lagi, penjualnya telah jauh berkurangan, tapi lebih ramai sedikit daripada hari ini, tahun 2010, salah satu sebabnya kerana ruanganya yang amat terbatas, menyebabkan para penjual berpindah ke tempat lain. Tapi ke mana mereka?

Di antara penjual di situ yang baru kami kenali pada waktu itu sekitar tahun sembilan puluhan ialah seorang wanita yang telah lanjut usianya. Dia menjual beraneka jenis kueh mueh yang populer. Dari segi zahirnya, dia memang tidak lagi layak berdiri di gerai makanan di situ hingga larut malam. Kami merasa amat simpati dengannya.

Entah bagaimana, pada suatu malam, wanita itu meluahkan rasa hatinya terhadap isteriku, Asiah [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] yang singgah di gerainya untuk membeli kueh mueh. Pada ketika itu berkebetulan tidak ada pelanggan kecuali isteriku.

Wanita itu dengan nada yang hiba menceritakan dia mempunyai seorang anak lelaki yang menjadi tonggak harapannya. Dia memberi pelajaran yang sebaik-baiknya kepada anaknya itu untuk berjaya dalam kehidupan. Katanya dia bekerja siang malam untuk mecari wang bagi menampung persekolahan anaknya hingga peringkat tinggi.

Katanya anaknya itu telah berjaya dalam pelajarannya dn kemudiannya mendapat pekerjaan yang baik. Dia selalu membantu ibunya dengan hasil pekerjaanya itu, dan mereka tinggal bersama. Hidup mereka mulai selesa, sejak anak lelakinya itu mulai bekerja.

Katanya pada suatu hari datanglah seorang wanita yang dikenalinya ke rumahnya dan meminta persetujuan untuk menjodohkan anak perempuannya dengan anak lelaki orang tua itu. Pada mula-mulanya dia keberatan untuk melepaskan anak lelakinya kepada wanita tersebut, kerana merasa bimbang dia akan disia-siakan nanti.

Selepas itu, wanita tersebut berulang-ulang kali pergi ke rumahnya dengan muka manis merayu supaya dia memberi persetujuannya. Wanita itu juga berjanji, mereka tidak akan menyia-nyiakan orang tua itu, malah sebaliknya akan membenarkan anak dan menantunya terus tinggal bersama orang tua seperti biasa.

Akhirnya katanya, dia memberi persetujuan. Anak lelakinya itu bernikahlah dengan anak perempuan wanita itu. Tapi malangnya beberapa hari selepas mendirikan perkahwinan anak lelakinya itu tidak lagi balik-balik ke rumah, dan sumbangan kewangan yang biasa diberikan setiap bulan juga telah dihentikan.

Sehingga hari itu sudah beberapa tahun berlalu, dan dia masih belum lagi dapat melihat kelibat wajah anak lelakinya itu. Dia percaya anaknya berubah sikap kerana angkara wanita yang menjadi bisannya itu.

“Beginilah nasib hamba” keluhnya. “Tapi tak apalah, hamba masih kuat, masih boleh cari makan di sini untuk seusap pagi dan sesuap petang. Nak buat macam mana, nasib hamba memang begini”. Dia menutup ceritanya, kerana beberapa orang pembeli mulai bertanyakan itu dan ini.

Tapi sejak beberapa tahun yang lalu wanita malang itu tidak ada lagi di situ. Masih jelas dalam ingatanku tempat dia berniaga. Dan aku harap anak lelakinya itu telah berubah, kembali ke pangkuan bundanya yang begitu berjasa kepadanya sebelum wanita itu kembali ke pangkuan Ilahi.

Setiap kali aku pergi membeli di pasar malam Jalan Tk Hakim itu, yang bermula sejak awal petang, secara spontan aku terkenangkan wanita malang itu, dan selalu mencari-carinya walaupun sudah pasti dia tak ada. Silapnya kami dulu tidak pernah menanya namanya dan tempat tinggalnya, selain daripada di sekitar bandar Kota Bharu juga dan tidak begitu jauh dari situ.

Namun nasib ibu bapa atau wanita yang malang seperti wanita di Jalan Tok Hakim itu masih terus terdapat dalam masyarakat. Terdapat di sana sini di seluruh negara. Mereka ditinggal, disisih, dan dibuang oleh anak-anak mereka sendiri seperti sampah sarap.

Mek Maria Harun, 75 tahun, bukanlah satu-satunya wanita malang ditinggalkan anak sendiri. Dia telah menetap di Rumah Orang-orang Tua Tanpa Waris, di Kuala Nerang Terengganu selepas kematian suaminya dan setelah ditinggalkan oleh anak perempuan kandungnya sendiri selepas mendirikan rumahtangga dengan lelaki pilihannya

Sesunguhnya ada di antara anak-anak yang sanggup meninggalkan ibu bapa yang berjasa kepada mereka semata-mata kerana cinta. Kononnya kerana cintakan seoerang lelaki atau cintakan seorang wanita anak-anak sanggup meminggir dan melupakan ibu bapa dan sanak saudara mereka sendiri sebagaimana disenandungkan dalam sebuah puisi sesat yang berbunyi:

“Nasi lemak buah bidara
Batang selasih hamba lurutkan,
Buang emak, buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan”.

Pantun di atas direka oleh orang-orang yang sesat dan untuk diikuti oleh orang-orang yang sesat dan membawa mereka ke tempat yang sesat.

Kenapa tidak didendangkan dengan kisah ini?

Seseorang telah bertemu dengan Rasulullah saw. dan berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta dan anak, tapi ayahku hendak menguasai hartaku”.

Maka bersabdalah Baginda saw., “Engaku dan hartamu adalah milik ayahmu”. H Shahih Sunnan Ibnu Majah.

Dan dalam sebuah Hadis lagi Baginda saw. bersabda, “Terhinalah kemudian terhinalah kemudian terhinalah”. Ditanya kepada Rasulullah saw., “Siapakah wahai Rasulullah?”.

Maka Baginda saw. pun bersabda, “Barangsiapa yang mendapatkan kedua orang tuanya waktu salah seorang di antaranya atau keduanya telah lanjut usia, kemduian ia belum masuk syurga” HR: Muslim.

Justeru itu, berbahagialah mereka yang segera mengambil kesempatan untuk berbakti kepada kedua orang tuanya, agar tidak dilewatkan dengan kematian, menyebakan dia menyesal kerananya.

Malang dan celakalah mereka yang membuat penghinaan dan penganiyaan terhadap orang tuanya di dunia dan di akhirat nanti.

Demikianlah Pasar Malam Jalan Tok Hakim masih segar dalam ingatan kami dengan aneka kisahnya yang gembira dan sedih tapi tidak mampu untuk dicatat semuanya dalam ruang yang terbatas ini.
xxxxxxx

Bisik Pondok Rahmat:
Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah. Seuntai Kasih. Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP