Seuntai Kenangan

>> Tuesday, March 8, 2011


SEUNTAI KENANGAN

Suatu Subuh


Pagi Jumaat


Bulan di hujung kampong


Sekali tenggelam


Sekali timbul


Sekali kecil


Sekali besar


Sekali terang


Sekali gelap


Timbul


Tengelam


Di situ ada Tuhan


Yang mentadbir segalanya.


Tiba-tiba tersentak


Dalam keheningan pagi


Kenangan yang merindu


Pemergian insan


Menghiris tangkai hati


Terasa kesepian


Membadai


Mengocak


Tasik kalbu


Hampir tersedu daku


Dalam sepi


Dalam rindu


Yang terburai


Dalam ihsan Tuhan.


Gema takbir mendayu


Menyelimut kesepian pagi


Yang jernih tenang


Langkah-langkah menuju Allah


Di rumahMu


Kami bersujud


Kami berzikir


Berdoa


Pohon keampunan


Keredaan


Untuk diri


Untuk semua yang tercinta


Aman sejahtera


Sekuntum mawar di sudut hati


Ayah dan bonda


Anak-anak dan keluarga.


Ya Allah cucurilah rahmatMu ke atas mereka semuanya


Kurniakan syurga Engkau untuk semua yang tercinta


Wahai Tuhan yang Maha Pengasih.


Amin!


Ingatan saya melayang kepada kisah seorang artis Indonesia Widyawati, 60 tahun yang telah kematian suaminya Sophan Sophian.


Widyawati walaupun berusia 60 tahun tapi masih ada lelaki yang berminat kepadanya dan cuba mendekatinya, tapi Widyawati tidak dapat menerima, malah menyatakan, dia tidak bersedia untuk menggantikan Almarhum suaminya itu dengan mana-mana lelaki sekalipun.


Walaupun pada waktu itu suaminya itu telah meninggal 1,000 hari, tapi beliau masih teringatkan suaminya itu.


Cinta Widyawati terhadap suaminya Sophan tidak dapat ditukar ganti. Beliau ingin terus hidup sendirian selepas Sophan meninggal kerana merasa suaminya masih ada bersama-sama dengannya.


Katanya Almarhum suaminya Sophan adalah segala-gala bagi dirinya. Tidak ada lelaki yang sama seperti suaminya itu dan tidak mahu suaminya itu digantikan dengan sesiapa pun.


Dia masih mengingati kehidupannya yang menyenangkan semasa bersama dengan suaminya. Katanya kalau Sophan bangun terlebih dahulu daripadanya di waktu pagi, suaminya itulah yang menyediakan sarapan untuknya.


Di samping itu Sophan juga akan menyediakan pakaian yang akan dipakai oleh isterinya itu.


Justeru itu hingga ke saat ini dia masih terkenangkan suaminya itu yang dijemput Allah mendahuluinya.


Widyawati seorang aktres populer di Indonesia dilahirkan pada 12 Julai 1950 berkahwin dengan lelaki yang dicintainya, Sophan Sophian pada 9 Julai, 1972 di Masjid Al-Azhar.


Sementara suaminya Sophan Sophian pula, aktor populer di Indonesia, juga seorang ahli politik, dilahirkan pada 26 April 1944, meninggal dalam kemalangan jalan raya, pelanggaran motosikal di Sragen, Jawa Tengah pada 17 Mei, 2008. Beliau meninggal di Hospital Sragen.


Mereka dikurniakan dengan dua orang cahayamata, iaitu Roma dan Romi.


Kisah hidup suami isteri itu dalam babak-babak tertentu dalam dunia rumahtangga mereka hampr seirama dengan kehidupan rumahtangga kami suami isteri.


Setiap pagi, sejak bertahun-tahun kebelakangan, sayalah dengan senang hati menyediakan sarapan pagi untuk isteri saya, iatu oat yang direndam dengan air panas mendidih dan dicampur dengan sedikit garam sebagai penyedap selera. Sedangkan saya pula gemar makan oat yang dimasak, dicampur dengan susu, kismis, dan ketika hendak makan diamsukkan madu ke dalamnya. Tapi sejak keblakangan itu menu itu diubah sedikit supaya lebih berkhasiat.


Selain dari oat Allahyarhmah juga suka makan dadar gandum tebal yang dicampur bawang besar yang dimayam dan dadar itu digoring garing atau ranggup tapi kurang minyak untuk sarapan pagi atau makan tambahan waktu malam. Sayalah tukang buat dadar itu, malah di kalangan keluarga saya terkenal sebagai pakar pembuat dadar.


Dari segi pakaian pula saya tidak memilih pakaian yang hendak dipakainya secara langsung seperti Sophian. Tapi biasanya sebelum berpakaian untuk ke majilis-majlis tertentu, Allahyarhmah isteri saya akan memberitahu saya terlebih dahulu apa yang hendak dipakainya dan apa warnanya dan setelah dipakainya beliau akan memperagakan kepada saya. Biasanya apa yang dipakainya memang saya setujui, tapi kadang-kadang jika saya merasa tidak “kena”, saya akan memberitahunya dengan sopan, dan beliau tidak akan keberatan untuk menukarnya dengan yang lain, termasuklah tudung kepalanya.


Selepas kematian isteri saya, setiap pagi, ketika menyediakan sarapan untuk diri sendiri, saya akan terkenangkan isteri saya, malah kadang-kadang terasa hendak menyediakan sarapan seperti biasa untuk orang yang telah tiada di sisi lagi itu.


Oleh itu saya rasa saya faham bila Widyawati mengatakan dia tidak dapat melupakan detik-detik hidup di samping suaminya yang begitu prihatin terhadap dirinya yang merupakan suatu kenangan manis yang tidak akan terpadam dari lipatan hatinya.


Semalam saya bermimpi.


Sewaktu keluar dari sebuah pejabat, saya nampak ada seorang peniaga sedang menjual kain-kain helai, pakaian wanita yang sudah siap dan juga tudung kepala wanita yang dilonggoknya di atas lantai bangunan.


Pada mula-mulanya saya terus melintasi timbunan pakaian yang dilonggokkan di atas lantai berhampiran pintu pejabat itu. Tapi selepas berjalan beberapa langkah, saya pun berhenti, dan berpatah balik, kerana terlintas dalam fikiran saya untuk membeli sesuatu kepada isteri saya.


Waktu berdiri di hadapan longgokan pakaian itu, tiba-tiba hati saya menjadi berkecamuk, kerana saya teringat isteri saya telah tidak ada lagi, beliau telah kembali ke rahmatullah kira-kira setahun lebih yang lalu.


Perasaan sedih, terharu dan sayu silih berganti, bertindih-tindan mencukakan hati saya yang telah pun terhiris luka.


Tiba-tiba saya melihat seorang rakan sekerja saya sedang berjalan menghala ke arah saya, dan tanpa teragak-agak saya terus memeluknya sambil tersedu-sedu.


Dengan kehairanan dia bertanya “Kenapa ni?”. Saya lalu menceritakan niat saya untuk membeli pakaian untuk isteri, sedangkan isteri saya telah meninggal dunia. Itu yang membuat saya sedih dan terharu.


Dia memeluk saya dengan erat, sambil memberi nasihat kepada saya supaya perbanyakkan sabar dan istighfar.


Dan dalam keadaan terisak-isak itu saya pun tersedar……Ini kali pertama saya menangis dalam mimpi tentang isteri saya. Setiap malam saya bermimpi bertemu dengan isteri saya, tapi selalunya dalam suasana yang riang dan gembira, atau berakhir dengan kegembiraan. Hanya kali ini mimpi yang membuat saya menangis tersedu-sedu………


Waktu itu kira-kira sejam lagi azan subuh akan kedengaran bergema dari masjid yang tidak jauh dari rumah saya. Masih ada ruang untuk solat dan seumpamanya sementara menunggu azan subuh dikemundangkan.


Saya terkenang beberapa hari yang lalu, seorang jiran datang ke rumah dan menceritakan beberapa hari sebelum itu dia bermimpi bertemu dengan isteri saya, Asiah [ya Allah limpahi rahmatMu ke atasnya] yang dipanggilnya “Kak Yah” datang ke rumahnya.


“Kak Yah tak kata apa-apa”, beritahu jiran saya itu, “dia hanya tersenyum gembira. Barangkali dia hanya nak tengok kami”.


Andainya anda seorang isteri, ataupun seorang suami, dari masa ke masa anda hendaklah mengambil masa untuk merenung sejenak, menanya diri sudahkah anda melakukan sesuatu yang boleh menjadi kenangan manis kepada pasangan anda, kenangan yang akan kekal melintasi sempadan tempat dan masa, sebagaimana yang berlaku kepada Widyawati itu? Sesuatu yang tidak mestinya hadiah yang besar atau hebat seperti sebuah gedung atau istana, tapi sesuatu yang mungkin kelihatan amat kecil dan tidak berharga, namun menyentuh perasaan dan hati pasangan anda dan akan menjadi kenangan manis yang akan hidup dalam kenangan di sepanjang hayat sebagaimana yang berlaku kepada Widyawti itu?


Jangan membuat alasan sekarang anda sibuk atau tidak ada masa untuk berbuat demikian. Tunggulah dulu nanti kesibukan anda telah reda atau anda telah mencapai usia pencen barulah anda akan memikirkannya?


Tapi tahukah anda berapa lama lagi anda mempunyai masa untuk berada di samping orang yang anda kasihi itu? Lihatlah alam keliling. Lihat tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok di sekeliling kelalang anda. Daun-daun yang gugur itu, bukan sahaja daun yang kering, tapi daun-daun yang hijau pun gugur bertaburan juga. Demikian juga buah-buahnya, yang gugur itu bukan sahaja buah-buah tua dan masak, tapi buah-buah muda dan masih putik pun gugur berselerakan juga. Demikian juga dengan pokok-pokok yang mati itu, bukan sahaja terdiri dari pokok-pokok tua, tapi pokok-pokok muda juga tiba-tiba boleh menjadi layu, kering dan mati? Demikianlah ibarat umur manusia.


Jiran baru saya itu, sepasang suami isteri yang usianya masih belum mencecah tiga puluhan tahun. Usia perkahwinannya masih belum begitu panjang, dan mereka baru mempunyai seorang cahaya mata. Rumah mereka walau pun sudah siap, tapi belum siap sepenuh, walaupun sudah diduduki, kerana laman dan pagar rumahnya masih dalam proses pembikinan terakhir. Kedua-duanya memang kelihatan sihat dan segar sebagaimana manusia biasa.


Tapi pada suatu hari, setelah tinggal kira-kira sebulan di rumah baru yang indah mengikut citarasa mereka berdua, salah seorang daripada mereka yang hidup rukun dan damai itu dengan tidak disangka-sangka telah dijemput Allah kembali ke hadratNya. Suaminya telah kembali kerahmatulah setelah mengalami masa uzur yang amat singkat sekali akibat penyakit yang tidak diduga sama sekali.


Bayangkanlah bagaiamana sepasang suami isteri yang hidup dalam suasana yang bahagia dan penuh kasih saying tiba-tiba kehilangan orang yang dikasihi dan menjadi pengharapan keluarga. Sudah tentu mereka mempunyai rancangan-rancangan masa hadapan yang panjang untuk diraih dalam hayat kekeluargaan mereka nanti yang menjadi impian dan harapan setiap keluarga bahagia. Tapi seperti biasa, manusia hanya mampu merancang, namun yang akan menentukan segalanya ialah takdir yang terletak di tangan Ilahi.


Pasangan yang masih hidup walaupun reda dengan ketentuan Ilahi tapi dengan hati berbalut duka ditinggalkan oleh orang yang dikasihi yang masih belum begitu lama hidup bersama dan mengharap akan meniti hidup yang masih panjang untuk membina harapan dan cita-cita dalam sebuah keluarga yang bahagia. Kesingkatan masa dalam kehidupan bersama inilah membuat hati pasangan yang tinggal bertambah pilu dengan pengharapan masa hadapan yang masih belum tercapai. Diharap panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari.


Namun pasangan-pasangan yang berpisah dalam usia perkahwinan yang lanjut pun tidak juga kurang kepiluannya, kerana kehidupan bersama dalam sebuah keluarga yang bahagia itu akan meninggalkan berbagai-bagai kesan yang amat mendalam di lubuk hati dan jiwa mereka, maka berpisahan seperti itu sudah tentu menimpa kesan yang tidak kurang hebatnya pada jiwa pasangan yang masih tinggal. Berbagai-bagai kenangan manis akan menjadi kenangan yang memilukan hati dalam keredaan pemergiaan orang yang dikasihi.


Kematian yang menimpa pasangan dalam usia yang muda bertambah sedih kerana singkatnya masa mereka dapat peluang untuk hidup bersama.


Perpisahan dalam usia yang lajut pula bertambah sedih kerana jalinan hubungan yang begitu lama yang begitu berbekas pada hati dan jiwa tiba-tiba terputus walaupun disedari begitulah takdir yang terpaksa ditempoh dan diredai oleh setiap yang bernama insan. Beginilah perasaan yang dialami oleh saya ketika berpisah dengan isteri tercinta setelah hidup dalam ikatan perkahwinan yang begitu lama.


Awas dan waspadalah sepanjang masa. Kita menghadapi masa yang singkat untuk menuju perjalanan yang jauh dan tidak dapat ditentukan keadaannya.


Janganlah menangguh-nangguh untuk melakukan sesuatu yang baik dan berharga. Jangan menunggu terlalu lama, nanti masa menjadi terlalu lewat, dan anda kehilangan segala-galanya.


Isteri anda, atau suami anda, dan anak-anak anda adalah merupakan sebahagian daripada hidup anda yang penting, di mana kalau anda jujur, anda sanggup berkorban untuk mereka, baik semasa mereka masih hidup, mahpun sesudah mereka tiada lagi.


Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.


Lihat Juga:Peritnya Berpisah Mati

xxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Biisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP