Untuk Siapakah Politik?

>> Saturday, March 12, 2011



UNTUK Siapakah Poltik??



SEJAK kebelakangan ini kian ramai orang yang berminat untuk menceburi bidang politik kerana bebagai-bagai sebab.


Antaranya ada mereka yang masuk politik dengan niat yang jujur untuk kepentingan bangsa, negara dan agamanya, tapi seblaiknya ada pula mereka yang memasuki politik untuk memenuhi kepentingan diri sendiri, kerana politik pada hari ini merupakan wadah yang mudah untuk mencapai cita-cita dan angan-angan seseorang, terutama untuk mencapai kemasyuraan dan juga kemajuan di bidang perekonomian diri sendiri.


Soal layak atau tidak layak untuk menyertai poltik itu tidak timbul lagi, kerana itu ada yang masuk politik sekejap, kemudian terus lesap dari gelanggang politik, terutama kalau mereka yang masuk politik, kerana terpaksa oleh keadaan, seperti dipaksa menjadi calon pilihanraya untuk memenuhi kekosongan.


Ahli-ahli psikologi memang tidak terlepas daripada membuat garis-garis tertentu untuk menentukan kelayakan seseorang untuk menyertaai politik bidang yang begitu warna warninya hingga tidak terjangkau oleh akal dan fikiran manusia yang normal.


Antara beberapa faktor yang dikenali oleh ahli-ahli psikologi yang harus dimiliki oleh seseorang yang berminat dengan politik ataupun yang telah menceburi politik adalah sebagai berikut.


1.Berhati-hati Ketika Bercakap


Seorang ahli politik perlu berhati-hati ketika bercakap, lebih-lebih lagi jika sedang berpidato di atas podium. Dia tidak bercakap ikut hati atau ikut sedap mulut. Tidak menghambur semua kata yang terkulum dalam mulutnya.


Bercakap dengan gegabah mengundang padah. Dia sedar kalau dia tersalah cakap, buruk padahnya. Kalau dari mulutnya keluar kata-kata fitnah terhadap seseorang, dia mungkin disaman, diseret ke mahkamah pengadilan. Biasanaya kalau sampai ke tangga mahkamah, perbicaraannya bukan sahaja memakan masa, tapi juga menelan wang ringgit, setidak-tidaknya bayaran khidmat guaman.


Dan kalau dia terlepas cakap yang tidak benar, dia akan disorak sebagai penipu, pelawak atau pembohong yang akan menurunkan kewibawaannya bukan sahaja sebagai seorang ahli politik tapi juga sebagai seorang manusia.


2.Mudah Mengingat Nama Dan Wajah Orang.


Seorang ahli politik yang populer mestilah mempunyai kecenderungan, minat dan daya ingatan yang kuat untuk mengingat nama-nama dan wajah-wajah orang yang pernah berhubung dengannya, terutama sekali orang-orang yang mempunyai kepentingan dengan dirinya sebagai seorang ahli politik.


Adalah merupakan aset yang penting kepada seseorang ahli politik untuk mengingati nama dan wajah orang yang diperlukan khidmatnya, kalau dia ingin bertanding dalam parti atau pun dalam pilihanraya. Biasanya orang merasa bangga bila namanya boleh dingati dan disebut di khalayak, lebih-lebih lagi kalau yang menyebutnya itu terdiri daripada para juara atau pemimpin.


Dia sedar dia perlu mengecam dan mengingat sebanyak-banyaknya nama dan wajah manusia kalau dia ingin menjadi ahli politik yang populer.


3]Tidak Ragu-ragu Untuk Bertindak


Dia tidak boleh ragu-ragu untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja yang tidak mampu atau gagal menjalankan tugasnya dengan baik, tanpa memilih kasih, walaupun terhadap rakan-rakan atau sahabat-sahabatnya sendiri sekali pun.


Ragu-ragu atau teragak-agak untuk bertindak terhadap seseorang yang gagal menjalankan tugas penting, atau melakukan sesuatu yang merugi atau merosakkan bukan sahaja boleh merugikan, tapi boleh menjadi ancaman kepada kepentingan organisasi di mana dia sendiri menjadi salah seorang ahlinya.


Berbuat demikian samalah ertinya mengutamakan puak, dan bersikap kronisime atau pilih kasih yang akan memporak perandakan perjuangan.


4.Menyertai Berbagai-bagai Pertubuhan


Seseorang yang berminat dalam politik dan bercita-cita untuk mengambil bahagian dalam politik, mestilah menyertai berbagai-bagai pertubuhan atau persatuan, bukan sahaja menyertai hanya satu pertubuhan, iaitu parti politik sahaja.


Dengan menyertai berbagai-bagai pertubuhan, NGO-NGO itu dia akan mengenali lebih banyak manusia dengan sikap dan perangainya yang beraneka ragam, dapat mempelajari berbagai-bagai selok-belok pemimpin-pemimpin sesuatu pertubuhan menyusun dan menjalankan aktiviti-aktiviti persatuan mereka, dan bagaimana mereka berjaya menyelesaikan sebarang problem yang timbul.


Kemungkinan pula orang-orang yang mereka dampingi dalam sesuatu pertubuhan merupakan sebahagian daripada rakannya dalam pertubuhan politik, dan akan berganding bahu dengannya. Ini sudah tentu memberi manfaat yang besar. Makin banyak dia mengenali manusia, makin baiklah gerakan politiknya.



5.Gembira Membuat Keputusan

Seseorang yang berminat dalam politik, bukan sahaja cekap dalam membuat keputusan-keputusan penting, tapi juga merasa lega dan senang setelah berjaya membuat keputusan tersebut, dan bersyukur kepada Allah dengan kejayaan itu.


Gagal membuat keputusan ataupun tidak mampu membuat keputusan yang baik boleh menyebabkan keadaan menjadi bertambah sulit dan menimpakan kerugian kepada diri sendiri dan juga organisasi yang dianggotainya.


Kita tentu pernah mendengar atau melihat mana-mana pemimpin-pemimpin politik yang gagal membuat keputusan penting telah menyebabkan dia kehilangan kuasa, pengaruh dan terus tumbang.


6.Mampu Bekerja Keras


Bekerja keras adalah merupakan kriteria ahli-ahli politik. Oleh itu orang-orang yang berminat dalam politik mestilah mampu bekerja bersungguh-sungguh dalam jangka masa yang berlebihan dari biasa. Biasanya urusan-urusan politik tidak mempunyai ketentuan masa yang khusus.


Dia mestilah mempunyai kemampuan untuk bekerja selama lebih dari 14 atau 16 jam sehari dalam keadaan seperti biasa tanpa merasa kebingongan atau fikiran yang terganggu. Pemimpin-pemimpin tinggi politik biasanya hanya tidur beberapa jam sahaja semalaman, terutama dalam stiwasi-stiwasi yang genting.


7. Tidak Bersifat Perkauman


Peminat-peminat politik tidak boleh mempunyai semangat perkauman atau menyimpan prejudis kaum yang sempit, lebih-lebih lagi dalam sebuah negara yang majmuk penduduknya.


Semangat perkauman atau berfikiran kebangsaan yang sempit hendaklah dinyah daripada fikiran mereka, lebih-lebih lagi kepada orang Islam yang mengajar umatnya tidak ada kelebihan satu kaum dengan kaum yang lain kecuali kerana takwa dan imanya.


Dalam sebuah masyarakat majmuk, mempunyai menyimpan prejudis kaum amatlah merbahaya yang boleh menimbulkan persengketaan di kalangan penduduknya, dan bila persengketaan meletus, maka akan rosaklah negara itu untuk menuju kehancuran.


Oleh itu Islam melarang prejudis antara suku-sakat, prejudis kaum dan prejudis bangsa kerana kesan buruknya amat besar akan menimpa ke atas sesuatu bangsa dan negara.


8.Memelihara Pesahabatan


Seseorang yang berminat dalam politik mestilah berminat untuk mencari kenalan-kenalan baru dan kawan-kawan serta sahabat-sahabat baru dari masa ke masa, iaitu kawan-kawan yang setia dan jujur yang boleh diharap.


Ada orang rajin mencari kenalan dan sahabat baru, dan mudah pula memperolehinya, tapi tidak semua orang pandai untuk menjaga perkenalan dan persahabatan itu bertahan dalam jangka masa yang lama, atau terus berkekalan sepanjang masa. Malah ada pula memecah-belahkannya dengan tindakan-tindakan mereka yang terburu-buru dan bodoh serta tidak berpatutan dan tidak wajar sama sekali.


Tindakan seperti ini sudah pasti amat merugikan, sebagai seorang ahli politik, dia memerlukukan lebih banyak kawan dan sahabat handai. Oleh sebab itu dia sentiasa menjaga setiap persahabatan yang terjalin supaya terus berkekalan.


9.Sahabat Yang Berbeza Pendapat


Dia faham dia tidak boleh mempunyai sahabat karib yang semcam sahaja, sahabat yang sealiran fikiran dengannya. Malah dia bukan sahaja mempunyai ramai sahabat, tapi ada di antaranya mempunyai pendapat dan fikiran yang berbeza dengan pendapatnya sendiri.


Mempunyai sahabat yang berlainan pendapat ini akan membuka minda menjadi meluas terbentang, dan membuka ruang untuk mengenal manusia yang mempunyai beraneka ragam dan corak fikiran dan pendapatnya. Rambut sahaja mungkin sama hitam, tapi otak mesti berbeza.


Justeru dia tidak memilih sahabat yang sebulu atau sependapat dengannya semata-mata, kerana berlainan pendapat itu adalah salah satu fitrah kejadian manusia yang Allah jadikan beraneka ragam.


10. Mempunyai Pengetahuan Yang Luas


Sebagai peminat politik, dia mestilah mempunyai pengetahuan yang luas, bukan sahaja mengenai perkara-perkara yang berlaku di dalam negara, tapi juga kejadian-kejadian dan juga perisitwa-perisiwa yang belaku di seluruh dunia.


Tanpa pengetahuan tersebut fikirannya menjadi cetek dan macam katak di bawah tempurung, yang terkejut bila dunia tempurung tiba-tiba terbuka dan mendedahkannya kepada dunia yang luas terbentang.


11.Pandai Menarik Perhatian Orang


Seseoang ahli politik mestilah pandai berbicara dan mampu menarik perhatian kepada apa yang diperkatakannya, supaya dengan itu barulah mereka memberi perhatian yang bersungguh-sungguh terhadap apa yang dikatakannya.


Bercakap di atas podium, di hadapan khalayak memerlukan lebih banyak kepada kepetehan dan kepandaian menyampaikan ucapan supaya pendengar tidak merasa hampa, resah dan ingin meninggalkan majlis ketika dia sedang menyampaikan ucapan.


Dia mengetahui faktor-faktor berguna yang menarik yang perlu dituturkan pada sesuatu waktu, dan mengetahui teknik-teknik penyampaian yang menarik.


Ramai orang boleh bercakap, dan boleh berpidato. Dalam dunia ada ini ribuan orang. Tapi berapa orang yang muncul sebagai pemidato yang terkenal?


Di negara kita sendiri pun berapa ramai orang yang boleh berpidato, tapi tak ramai orang yang bersedia atau berebut-rebut untuk mendengar ucapannya dengan rela hati tanpa di paksa atau dikerah supaya mendengarnya.


Dia sedar walaupun dia memerlukan pendengar ketika dia berucap, tapi dia juga sedar membangkit fitnah terhadap seseorang, mendedahkan keburukan dan keaiban seseorang, mengumpat, mencaci dan mencarut bukan sahaja tidak berguna tapi juga samalah ertinya menempah bala untuk menghempap ke atas kepala sendiri.


12.Mempunyai Pengetahuan Yg.Luas Tentang Negara Sendiri.


Setiap ahli politik mestilah mempunyai pengetahuan yang luas mengenai negaranya sendiri, dia mengetahu bagaimana negaranya diperintah, mengetahui perlembagaan negaranya, sistem pemerintahannya dan sebagainya.


Jika ada pengunjung dari luar negara bertanya tentang perkara itu kepadanya, dia dapat menerangkannya dengan jelas selok-belok pemerintahan neagranya itu, bukan main hentam kerumun kerana kecetekan pengetahuannya sendiri.


13.Tenang Menghadapi Teguran dan Kecaman


Dia sedar setiap orang ahli politik mesti kebal dengan segala teguran, kritik dan juga kecaman. Kerana orang-orang politik sentiasa terdedah kepada perkara-perkara seperti itu.


Dia tidak boleh mudah melatah kepada setiap kritik dan teguran ataupun kecaman yang melulu, malah kadang-kadang berbaur dengan hasutan dan fitnah.


Dia harus mempunyai kesabaran dan ketenangan yang tinggi dalam menghadapi sitwasi seperti itu. Kepalanya mesti sentiasa dingin dalam menghadapi kritik yang mungkin dilempar kepadanya dari masa ke masa.


Senario politik di Malaysia sejak mutakhir ini banyak dapat dijadikan contoh dan tauladan di mana perbuataan kecaman, fitnah dan tuduhan-tuduhan telah dilemparkan terhadap mana-mana musuh politik yang tidak disukai yang boleh melumpuhkan mereka yang tidak sabar menghadapinya.


14.Mempunyai cita-cita Yang Kuat


Setiap orang yang berilmu mesti mempunyai azam dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidupnya. Cita-cita itu bukan sahaja digantung di tempat tinggi, di petala langit, tapi juga mesti digandingi dengan azam yang kuat untuk mencapainya.


Mempunyai cita-cita sahaja, tanpa azam dan usaha keras untuk meraihnya, cita-cita itu tidak akan tercapai, ia menjadi angan-angan, panjang angan-angan yang dicela oleh agama.


Wujud perbezaan yang jelas antara cita-cita dan panjang angan-angan. Vision “Mat Jenin” bukan cita-cita tapi angan-angan ketika dia berada di atas pokok kelapa hingga menjadi kaya raya dan berkahwin dengan puteri raja, sedar-sedar dia telah jatuh belebak ke bumi nyata.


Jangan jadi keliru antara angan-angan dan cita-cita yang tinggi dan mulia.


15.Boleh Dipercayai


Sebagai seorang peminat politik, dia meletak dirinya dalam suasana yang boleh dipercaayai orang, kerana sikapnya yang jujur, terbuka dan tulus ikhlas dan mempunyai kemampuan untuk meghadapi berbagai-bagai kemungkinan dan dalam berbagai-bagai stiwasi.


Mendapat kepercyaan orang adalah amat penting untuk membina diri dan karier anda dalam politik, tanpa kepercayaan ini, baik dari orang atasan atau orang di sekeliling anda tidak mungkin maju dalam politik.


Umpamanya dalam menghadapi sesuatu persoalan yang berat di samping berusaha untuk mengatasinya dengan tepat dan bijaksana, tapi dia juga hendaklah mampu memberi keyakinan kepada orang-orang di sekelilingnya bahwa dia memang mempunyai kemampuan yang mencukupi untuk menyelesaikannya. Kalau tidak, mereka yang tidak sabar atau lemah akan terus meninggalkannya, sebelum dia berjaya mencapai kejayaan untuk menyelesaikannya.


16.Tidak Berdusta


Di samping mempunyai sikap yang ikhlas, amanah dan jujur, dia juga tidak suka berdusta atau berbohong, lebih-lebih lagi sebagai seorang Islam yang dilarang berbuat demikian.
Sebagai seorang yang berprinsip dia tidak pernah berdusta, baik dalam percakapan ataupun tulisan, terutama dalam perkara yang melibatkan orang lain. Berani buat, berani bertanggungjawab. Tidak lempar batu, sembunyi tangan. Kalau setuju kata setuju, dan kalau tak setuju, kata tak setuju. Tanpa sikap hipokret, yang biasa membuat orang suka berdusta.


17.Berfikir Untuk Orang Ramai


Seorang ahli politik dia sentiasa berfikir bagaimana caranya untuk memberi khidmat yang lebih baik kepada orang ramai. Salah satu cara yang berkesan untuk mencapainya ialah melalui undang-undang.


Oleh itu dia selalu berfikir untuk membaiki undang-undang yang sedang berjalan sekarang dengan tambahan-tambahan tertentu yang boleh memberi kebajikan kepada rakyat jelata, Dia mempunyai ajenda-ajenda tertentu untuk dilaksanakan dalam hal ini supaya perjuangannya lebih bermakna untuk memberi khidmat yang lebih kepada bangsa dan negaranya.


18,Memenuhi Undangan-udangan


Jika dia diundang ke sesuatu majlis, apa-apa majlis sahaja yang tidak bertentangan dengan agamanya, dia akan hadir untuk meraikan majlis itu. Malah sebagai seorang Islam adalah menjadi tanggungjawabnya untuk memenuhi setiap undangan.


Di samping menunai tanggungjawabnya memenuhi undangan, di mjalis itu juga dia bukan sahaja berpeluang bertemu dengan tuan rumah dan keluarganya, tapi juga berpeluang untuk bertemu dengan orang-orang lain yang kebetulan sama-sama menghadiri majlis tersebut. Ia mngkin sahabat handai, saudara mara, jiran tetangga yang telah lama tidak ditemui, dengan itu semangat silaturahim dapat diperbaharui dan diperkemaskan. Di samping itu dia mungkin juga memperolehi kawan-kawan baru di majlis tersebut yang akan menambah bilangan senarai persahabatannya.


19.Menaruh Minat Terhadap Orang Lain


Dia mempunyai sikap yang terpuji memberi perhatian yang lebih besar terhadap orang lain. Dia menaruh minat kepada orang skeliling-kelalangnya lebih besar daripada kepada dirinya sendiri semata-mata.


Dalam hal ini dia bukan sahaja memperhitungkan segala kesulitan yang sedang menimpanya, tapi menumpukan perhatian kepada kepayahan-kepayahan dan kesukaran-kesukaran lain dan besimpati dengan mereka dan berusaha untuk mengatasinya.


Kalau selama ini dia merasa persoalan yang dihadapinya amat besar, tapi bila dia memberi perhatian kepada orang lain, maka persoalan yang dihadapinya tidak sebesar mana, jika dibandingkan dengan persoalan yang dihadapi oleh orang lain. Beban yang ditanggung oleh orang lain itu lebih kritikal dripada masalah yang dihadapinya selama ini.


Dengan kesedaran ini akan memberi keinsasfan kepadanya dan akan melorongnya ke ruang yang lebih luas untuk bersyukur kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi sebagai seorang Islam yag beriman dan beramal saleh.


Sekian sedikit analisa daripada ilmu psikologi untuk renungan kepada sesiapa sahaja yang berminat dengan politik ataupun telah bergelumang dengan politik di berbagai-bagai peringkat, bahagian bawah atau atasan.


xxxxxxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP