Gurindam Jiwa

>> Sunday, April 17, 2011



GURINDAM JIWA

“Bintang kecil di langit nan biru

Sungguh tinggi menghias angkasa

Aku ingin terbang dan melayang

Jauh tinggi ke tempat kau berada”


Hidup Bermandi Air Mata


Allahyarhamah isteri saya, Asiah Yaacob [ya Allah limpahilah rahmatMu ke atasnya] dalam suasana-suasana tertentu kadang-kadang mengimbaskan kembali kisah zaman kanak-kanaknya. Beliau bercerita dengan penuh emosi. Perasaan yang terharu dan hiba membadai hatinya.


Kali terakhir beliau bercerita ialah selang seminggu dua sebelum beliau meninggal dunia, pada suatu senja, ketika kami berdua-duaan dalam bilik, beliau mengulangi beberapa titik-titik kisah dalam hidupnya, dan meluahkan bagaimana cintanya dan sayangnya beliau kepada saya.


Rupa-rupanya itulah kisah terakhir yang disampaikan beliau kepada saya sebelum beliau kembali ke rahmatullah. Masa itu beliau terbaring di tepi katil dan saya pula duduk di birai katil mendengar ceritanya sambil membelai-belai rambutnya yang dibiarkan terurai tanpa terikat. Seperti biasa sekali sekala, saya belai pipinya dengan penuh kasih sayang.


Beliau selalu menceritakan hidupnya penuh kesukaran dari sejak zaman kanak-kanak hingga memanjat usia remaja. Katanya beliau hidup dalam kepayahan fizikal dan jiwanya.


Setiap hari beliau terpaksa bekerja keras, “bersungkur-sembam” membantu neneknya seorang pejual masakan siap di pasar PM. Setiap hari beliau menjunjung ayam percik dari rumah ke tempat nenek beliau menjual sejauh kira-kira satu kilometer. Setiap hari beliau menganggkut air dari perigi ke atas rumah, berpuluh-puluh beldi. Belajar di sekolah pula tidak mempunyai cukup buku, pada masa itu buku-buku teks kena beli sendiri.


Namun begitu, beliau seorang kanak-kanak yang cergas dalam kegiatan kokurukulam di sekolahnya. Beliau mengambil bahagian cergas dalam sukan dan Pertubuhan St.John, kemudian dipanggil Pasukan Pertolongan Cemas.


Teman-teman persekolahanya boleh dikatakan ramai. Salah seorang daripada beberapa orang kawan yang paling rapit denganya ialah anak seorang anggota polis, Maimunah namanya. “Orang luar”, bukan anak Kelantan. Tapi saya telah lupa dari negeri mana asal keluarga mereka. Nama Maimunah kerap kali disebutnya di sepanjang hidupnya bila beliau bercerita kisah hidupnya di zaman kanak-kanak.


Kawannya Maimunah itu tinggal bersama keluarganya di barek polis Pasir Mas yang terletak dalam kawasan yang berpagar. Sebelah luar daripada pagar kerawat itu, iaitu di bahagian belakangnya, ada kawasan perumahan yang dikenali dengan nama “Belakang Berek Polis”. Sebenarnya pagar belakang itu mempunyai sebuah pintu kecil yang dibuka pada waktu siang, tapi dikunci pada waktu malamnya untuk tujuan keselamatan.


Katanya setiap malam menjelang hari peperiksaan, beliau dan Maimunah akan belajar bersama-sama, dengan kedudukan yang terpisah oleh pagar kerawat itu. Maimunah berada dalam kawasan pagar berek polis sementara beliau pula berada di kawasan belakang berek polis. Mereka menggunakan pelita catak atau pelita minyak tanah untuk membaca. Bayangkanlah bagaimana sukarnya dalam keadaan seperti itu, apa lagi dengan bertemankan nyamuk dan agas.

Tapi hubungan rapat itu menjadi renggang bila beliau mendirikan rumahtangga, walaupun nama Maimunah itu kadang-kadang menjadi sebutannya. Memang sukar kepadanya untuk melupakan Maimunah ini.


Tapi saya hanya sekali melihat wajahnya, iaitu ketika dia mengundang kami ke rumahnya selepas kami kahwin. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana wajahnya sekarang setelah berpuluh-puluh tahun berlalu.


Saya harap Maimuah, sahabat baik Allahyarahmah isteri saya ini, kalau beliau masih ada, akan membaca memori cinta saya ini, bahawa beliau telah kehilangan seseorang yang tidak pernah melupakannya.


Biasanya isteri saya akan menamatkan kisah duka itu dengan menceritakan bahawa dalam keadaan dirundung malang dalam usia remaja tiba-tiba muncul seorang penyelamat datang menyelamatkannya. Itulah saya katanya. Katanya, kerana terlalu sayangkan sayalah beliau selalu menaruh cemburu kepada saya hingga sampai kami meniti ke usia emas.


Walau bagaimanapun biasanya beliau akan mengakhiri ceritanya dengan nada yang amat mengharukan, dan air mata yang menitis menyebabkan saya terpaksa memujuk dan memberi kata-kata perangsang dan menasihatnya supaya lebih banyak beristighfar dan bersyukur kepada Allah.


“Memanglah Yah redha semuanya itu, dan terima kasih kepada Papa yang datang cepat menyelamatkan Yah”. Katanya kepada saya dengan nada tersedu.


Saya tidak sampai hati untuk membiarkan orang yang kasihi terus menangis. Tambahan pula ia akan membuat saya ikut menjadi teharu, saya segera menyapu air matanya dan juga menyabarkannya hinggalah kecamuk perasaannya menjadi reda dan dapat mengukir senyum yang begitu manisnya walaupun usianya telah meniti usia emas.


Sampai ke saat ini pun saya tidak boleh mengenangkan kisah isteri saya ini tanpa hati digoris keharuan dan kesayuan. Ya Allah ampunlah beliau dan limpahilah rahmatMu ke atasnya bersama-sama dengan semua orang yang kami kasihi.


Tidak ada lagi, kata dan rayu, sanjung dan puji seindah irama dan lagu, dan ia hanya menjadi kenangan manis yang menggersik jiwa dalam alunan ombak kerinduan yang tidak berhujung. Dan yang tinggal hanya lamunan betapa indahnya dunia kurniaan Ilahi ini untuk dilayari bersama dalam biduk kasih yang bertaut harmoni dengan alunan ombak cinta yang menyegar jiwa.


Bintang Kecil Di Langit Nan Biru

“Bintang kecil di langit nan biru

Sungguh tinggi menghias angkasa

Aku ingin terbang dan melayang

Jauh tinggi ke tempat kau berada”


Alahyarahmah isteri saya [semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] ketika terkenang kisah-kisah lamanya yang gembira biasanya mengulang-ulangi lirik lagu tersebut di atas dengan nada nostalagia yang akan mencetuskan kesayuan di hati saya. Hari ini pun saya masih tidak mampu mengulangi lirik lagu tersebut tanpa getaran perasaan.


Pada masa kanak-kanak dan dalam zaman persekolahan, beliau sering mengambil bahagian dalam kegitan pentas yang bertujuan untuk mencari sumbangan derma, terutama untuk Persatuan St. John yang dianggotainya. Pasukannya itu pernah mengadakan pertunjukan pentas hingga sampai ke luar-luar daerah dalam usaha untuk mencari derma itu.


Di antara lagu-lagu yang suka dan sering didendangkannya ialah lagu “Bintang Kecil” sebagaimana lirik di atas, sehingga dia tereknal dengan nama jolokan “Asiah Bintang Kecil”. Orang ramai pada masa itu pun suka mendengar beliau mendendangkan lagu tersebut, walaupun dia masih kanak-kanak.


Katanya lagu “Bintang Kecil” itu ada dua versi yang berbeza sedikit liriknya, berbunyi:

“Bintang kecil dilangit yang tinggi

Amat banyak menghiasai angkasa

Aku ingin, terbang dan menari

Jauh tinggi ke tempat kau berada”.


Lirik yang kedua ini, saya diberitahu baru-baru ini oleh salah seorang sahabat saya dari Indonesia ialah sebuah lirik lagu tradisional kanak-kanak di Indonesia.


Di samping itu beliau gemar mendengar dan mendendang lagu “Gurindam Jiwa”, lagu dari sebuah filem yang tidak saya ingat apa jodolnya. Liriknya ialah:


Gurindam Jiwa

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intailah kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan [L]

Anak China pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati [P]

Batang selasih permainan budak
Daun sehelai dimakan kuda
Bercerai kasih bertalak tidak
Seribu tahun kembali juga[L]

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman[P]

Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan[K]

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga [LP]


Ada beberapa bait yang amat suka diulangi-ulanginya, bila dia mendendangkan “Gurindam Jiwa”, iatu empat baris pertama


“Tuai padi antara masak; Esok jangan layu-layuan; Intailah kami antara nampak,Esok jangan rindu-rinduan” dan”Hendak mati di hujung kuku; hendak berkubur di tapak tangan”.


Isteri saya sebelum berkahwin dengan saya, di zaman mudanya pernah mendendang lagu di curung radio Malaysia Wakaf Che Yeh. Tapi beliau tidak membina bakat nyanyianya itu, seperti sahabatnya yang dikenali dengan nama “Habsah... ” pada peringkat awalan kariernya sebagai seorang penyanyi.


Khabarnya sekarang Habsah tinggal di Terengganu. Habsah ini salah seorang daripada beberapa orang sahabat baiknya yang tidak pernah luput dari ingatannya. Saya mengharap beliau pun turut membaca memori saya ini.


Ayat al-Quran pula, ada dua buah surah yang amat suka didengar dan dibacanya, iaitu Surah Ar-Rahman dan Surah Al-Waqi’ah.


Lagu Yang Unggul


Walau bagaiaman pun kami sedar, tidak ada mana-mana lagu yang dapat menandingi sebuah lagu asli yang menjadi milik sejagat. Tidak ada lagu yang dapat menandingi kehebatannya dari sejak dahulu hingga sekarang. Tidak ada lagu yang pernah dicipta atau yang akan dicipta di dunia ini boleh menandinginya. Ia boleh menggerakkan orang yang sedang tidur, membangunkan orang yang duduk, memberhentikan oang yang sedang bekerja. Ia membuat orang hidup, bergerak dan melangkah laju menuju ke satu arah. Seluruh dunia, baik di mana dan bila-bila masa sentiasa menunggu-nungu untuk menymbutnya hanya dengan satu cara yang telah ditentukan.


Apakah lagu yang begitu hebatnya itu? Ia tak lain dan tak bukan, iaitu AZAN yang dikemundangkan di rumah-rumah ibadah orang Islam, di masjid, di surau di musala, malah di mana-mana sahaja, sebanyak lima kali sehari untuk menyeru manusia supaya bangkit bersolat, menyembah Allah Yang Maha Berkuasa.


Adakah lagu yang lebih hebat dari itu?Adakah mana-mana pencipta yang dapat menggubah lagu sehebat atau lebih hebat dari AZAN?


Apakah perasaan anda ketika mendengar AZAN? Sebenarnya Azan hukan sahaja menyentuh perasaan, tapi menggetarkan seluruh jiwa dan raga orang-orang yang beriman, mengingat mereka kepada kebesaran dan keagungan Allah dan kemuliaan Baginda Rasulullah S.A.W yang membawa rahmat ke seluruh alam.


Ada orang memberitahu bila mendengar Azan kadang-kadang ketika berada dalam masjid, dia merasa seluruh dirinya semacam terangkat dan terbang melayang di angkasa, di celah-celah mega yang sedang berarak, sambil memerhati keindahan alam semesta di kaki langit senja atau di ufuk timur di waktu pagi yang tenang dan damai. Masa itu dia merasa, seolah-olah dia tidak berada di bumi lagi, tapi tenggelam bersama-sama keindahan dan kedamaian maya ciptaan Allah yang Maha Kaya dan Maha Bijaksana, terapung-apung di angkasa lepas bermandikan panaroma yang begitu mempersonakan, sehinggalah Azan itu habis dan dia pun kembali ke bumi nyata untuk menunaikan solat.


“Allahu Akbar 4x


[Allah Maha besar]


Asyhadu alla ilaha il-llah 2x


[Aku bersaksi, tiada Tuhan melainkan Allah]


Asyhadu anna, Muhammadar rasulullah 2x


[Aku bersaksi Muhammad Pesuruh Allah]


Haiya alas solah 2x


[Marilah sembahayang]


Haiya alal falah 2x


[Marilah capai kejayaan]


Allahu Akbar 2x


[Allah Maha Besar]


Lailaha illallah”.


[Tiada Tuhan melainkan Allah].


Mana ada lagu yang lebih menyentuh perasaan dan jiwa raga daripada lagu AZAN ini? Ia menjadi pengerak seluruh umat manusia menuju ke arah yang satu- kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam.


Sekian.


xxxxxxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP