Gila Talak dan Cina Buta

>> Monday, May 9, 2011




Gila Talak & China Buta

Sepasang suami bertengkar, kerana sebab-sebab remeh temeh, kerana mendengar hasutan orang atau berdasar cemburu buta. Selepas bertengkar, serang menyerang mulut, maka menjeritlah sang isteri dengan suara yang tinggi, “Ceraikan sahaja aku. Aku rela”.


Mendengar jeritan tersebut, si suami kian memabara kemarahannya, lalu menjawab, “Betul engkau nak surat betina sial?”.


“Ceraikan aku”, balas wanita itu dengan suara kian meninggi.


“Baik, aku ceraikan engkau, talak tiga”. Jerit suami.


Maka berakhirlah perkahwinan mereka yang telah dibina dan bertahan selama berbelas-belas tahun. Tapi tidak lama kemudian timbul rasa menyesal di hati mereka, terutama suami yang menurut hati melemparkan talak tiga sekali gus ke atas isterinya.


Bagaimana dia boleh berbuat demikian? Selepas menjatuhkan talak tiga, barulah dia sedar bagaimana cintanya dia kepada isteri yang telah digaulinya selama berbelas-belas tahun yang lalu itu. Maka menyesallah dia, apa lagi mengingati nasib ana-anak mereka yang masih bersekolah nanti.


Tapi bagaimana nak buat, kerana dia telah terlanjur menjatuhkan talak tiga sekali gus? Nak diruju', tidak boleh lagi?


Bagaimana?


Maka dari sini timbullah “China Buta”.


Pada masa dahulu amalan cina buta ini boleh dikatakan amat meluaskan di kalangan masyarakat Islam di tanah air kita.


Perkara ini berlaku bila sepasang suami telah terputus perhubungan dengan perceraian di mana si suami menjatuhkan talak tiga kepada isterinya, ataupun mereka telah tiga berceai berturut-turut.


Mengikut hukum syara’ bila seorang suami menjatuhkan tiga talak sekali gus ke atas isterinya, atau sudah tiga kali bercerai, maka dia tidak boleh lagi meruju’ kepada isterinya sebelum isterinya menikah dengan lelaki lain dan tidur dengannya dan kemudian mereka bercerai. Selepas itu barulah mereka boleh berkahwin semula untuk jadi suami isteri.


Kenapa Terburu?


Sebelum menjatuhkan talak dahulu tak berfikir akibatnya, ikut perasaan hati yang marah dihasut syaitan. Lalu ditendangnya dengan tandangan penamat, tiga dalam satu.


Hendak tunggu wanita itu dipinang dan dikahwini lelaki lain tentu tidak mungkin, kerana bila berkahwin nanti, kemungkinan mereka bercerai amat nipis, apa lagi andainya wanita itu lawa dan berharta serta tahu pula berbudi bahasa dan beradik kakak.


Nanti melepas ke tangan orang lain, berputih mata nanti.


Lalu bagaimana?


Untuk menyelesaikannya secara mudah, dicarikan seorang lelaki dan dimintanya lelaki itu berkahwin dengan wanita itu dengan syarat selepas bersatu dia hendaklah menceraikan isterinya itu.


Pada masa dahulu untuk menjalankan tugas yang berisiko itu dicarinya orang-orang yang baru masuk Islam, biasanya dari kalangan mualaf China, disuruh kahwin dengan wanita itu dan disuruhnya cerai dan diberinya ganjaran upah.


Tak mungkin kucing menolak ikan pangan. Ikan boleh dimakan, upah pun boleh, kerjanya menyeronokkan, meratah ikan sahaja.


Selepas ditiduri diceraikanlah isterinya itu kononnya untuk membuka ruang kepada bekas suaminya itu menikah balik dengannya bila sampai edahnya nanti.


Itulah yang dikatakan china buta. Menggunakan cina buta ini samalah dengan menyewa seekor kambing jantan untuk membuntingkan seekor kambing betina.


Bercina buta merupakan prbuatan yang terkutuk dalam Isam.


Tapi risikonya juga ada. Ini berlaku bila mualaf yang dijadikan cina buta itu sebenarnya tidak buta, malah celik mata dan hatinya, dan selepas kahwin dia buat onar, dia tidak ingin mencerikan isterinya itu, dan akan menjadi tambah sulit, jika wanita itu pun sendiri tidak ingin diceraikan dan rela menjadi isteri kepada mualaf itu untuk selama-lamanya.


Andainya tidak ada mualaf China untuk dijadikan china buta, maka dicarikanlah seorang lelaki yang dungun atau lembam dijadikan china buta. Diajarkan kepadanya apa-apa yang perlu dilakukan nanti, dan diajarkan juga dia untuk melafazkan talak.


Lelaki lembam ini tentu lebih selamat untuk dijadikan china buta, kerana fikirannya singkat, dia tidak dapat berfikir apa-apa lagi selain melakukan apa yang diperintah atau diupahkannya untuk melakukan sesuatu.


Sudah diceraikan, dan bila sampai edahnya, maka lelaki tadi pun bernikah semula dengan bekas jandanya itu.


Chindor buta


Menurut Buya HAMKA di Indonesia ia lebih terkenal dengan panggilan “Chindor Buta” yang amat popular di masa-masa yang lampau di kalangan masyarakat Islam di negara itu.


Pada masa-masa yang lalu untuk memudahkan acara tersebut, ulama-ulama dan juga Kadi-kadi di Indonesia memelihara lelaki yang tolol di surau-surau mereka untuk dijadikan china buta bila-bila masa diperlukan.


Untuk tujuan tersebut ulama berkenaan menyediakan sebuah kamar di samping surau untuk membolehkan kedua-dua pasangan itu menjalankan urusan mereka. Bila keduanya selesai dinikahkan, maka mereka pun diperintah masuk ke dalam kamar tersebut sebagai suami isteri untuk melangsaikan tugas mereka.


Bila keluar dari bilik nanti, kedua-duanya akan ditanya sudahkah mereka melakukan hubungan seks, dan jawapan tersebut akan menjadi penentu untuk membolehkan mereka bercerai.


Si cina buta biasanya segera memberi jawapan, tapi kepada kepada kebanyakan perempan mereka malu untuk memberi jawapan yang segera yang amat diperlukan oleh jurunikah itu untuk menyelesaikan kerjanya.


Tidak jarang pula yang berlaku, si perempuan itu enggan menyerahkan diri mereka kepada china buta yang menjadi suami sewaan itu untuk menyelesaikan tugas asasi mereka.


Dalam kes ini ada empat pelaku utama yang bersekongkol menjalankan kerja yang tidak bermoral itu, iaitu bekas suami si perempunan, perempuan itu sendiri, china buta dan jurunikah yang menjalan kerja tersebut.


Tidaklah diketahui sejauh mana amalan china buta ini masih hidup lagi dalam masyarakat umat Islam di negara kita?


Perjalanan undang-undang syariah yang kemas, khususnya dalam bidang nikah cerai sekarang menyulitkan amalan china buta berlaku. Hari ini bukan sahaja perkahwinan mempunyai peraturan yang khusus, tapi perceraian juga terpaksa melalui proses-proses yang tentu di pejabat agama, kalau tidak ingin mendapat risiko undang-undang.


Walau bagaimana pun akal manusia amat bolos. Semua pekara mereka lakukan, tanpa mengira sah atau tidak, halal atau haram, asalkan keinginan mereka terpenuh. Habis perkara. Kalau nikah boleh dilakukan di luar negara, kenapa tidak boleh bercina buta?


Namun kita, harap perkara seperti ini tidak lagi berlaku secara berleluasa seperti di masa-masa yang lalu itu


Baginda Rasulullah SAW. Bersabda, “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah perceraian”.


Kenapa terlalu menurut gelora hati?


Kenapa terlalu menurut gegaran perasaan?


Kenapa menari dengan syaitan?


Bertenanglah!Padamkan bara api dalam dada. Insafilah diri.


xxxxxxxxxxx


Bisik Pondok Rahmat:


Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP