Rambut Lebih Dari Mahkota Wanita

>> Tuesday, May 17, 2011


Rambut Lebih Dari Mahkota Wanita


Selain dari muka, rambut adalah salah satu anggota yang dianggap penting kepada kaum wanita, hingga ia dianggap sebagai tajuk mahkota.



Kepada wanita-wanita di zaman jahiliah, rambut lebih dipentingkan, kerana itu dijaga dengan serapihnya untuk ditayangkan kepada khalayak ramai dengan dikenakan berbagai-bagai fesyen rambut.



Ada rambut mereka yang meninggi seperti sarang burung, ada dijalin seperti tikar mengkuang, ada yang diberi berekor dan dipanggil ekor babi atau ekor kuda dan bermacam-macam lagi.



Rambut panjang dipendekkan, rambut lurus dikerintingkan, jadi bergeligis, kadang-kadang rambut wanita yang pendek dipanjangkan dengan cemara, dan ada pula wanita yang berambut , tapi membotakkan kepalanya seperti kaum lelaki, jadi gondolah seperti padang ais.



Kepada wanita-wanita beriman, mereka juga mementingkan rambut, menjaga rambut dengan sebaik-baiknya, tapi bukan untuk diperagakan di khalayak ramai, sebaliknya untuk keselesaan diri dan juga keluarga jika mereka sudah berumahtangga, justeru itu jika mereka keluar rumah, aurat mereka ditutup, termasuklah rambut di kepala.



Rambut panjang lebih sukar dijaga daripada rambut yang pendek, terpaksa disanggul kalau hendak bertudung, maka dengan itu lahirlah berbagai-bagai jenis sanggul di kalangan kaum wanita. Ada sesetengah wanita menyimpan rambut yang panjang sampai melewati pinggangnya.



Walau bagaimanapun rambut sebenarnya lebih dari tajuk mahkota wanita, malah lebih jauh ia menyimpan berbagai-bagai rahsia tentang empunya rambut itu sendiri.



Apa Tersembunyi Di sebalik Rambut



Dr. Willard Harrison, seorang Mahaguru di Univrsiti Virginia percaya bahawa rambut di ats kepala manusia itu banyak menyimpan rahsia mengenai diri seseorang, kerana dalam rambut itu ada kandungan yang boleh menunjukkan makanan yang dimakan oleh orang tersebut, kedua ia boleh menunjukkan keadaan udara yang terdapat di sekeliling kelalangnya, dan keadaan rambut itu boleh menunjukkan adakah seseorang itu mengalami kekurangan atau kelebihan unsur-unsur tertentu pada fizikalnya.



Dr. Willard Harrison juga pernah menegaskan, “Rambut ialah tanah tempat badan membuang sampah. Lebih-lebihan semua jenis unsur disimpan di situ”.



Dengan menggunakan sejenis alat yang khusus, beliau dapat mengesan dan mengenali sebanyak 35 atau 40 jenis unsur-unsur yang berlainan yang terdapat dalam rambut.



Dengan jalan itu doktor tersebut dapat menolong mengenali mangsa-mangsa nahas jalan raya dan juga dapat membantu penyiasatan-penyiasatan jenayah



Cara menganalisa rambut ini juga dapat digunakan di bidang perubatan, untuk mengesan penyakit dan seterusnya merawat penyakit yang kian banyak bercambah hari ini.



Protein Rambut



Ahli-ahli sains telah merekakan sejenis bahan yang diperbuat daripada rambut yang dikenali dengan nama l-cysteine. Bahan ini direka untuk menjaga rambut supaya tumbuh dengan subur, dan mencegah rambut daripada gugur.



L-cysteine diperbuat dikilang dengan cara hydrolysis rambut dengan bahan keratin



Tapi segelintir pengusaha-pengusaha makanan dalam mengejar keuntungan yang besar telah menggunakan bahan penyubur rambut ini untuk dicampur dengan bahan-bahan makanan, seperti roti, kek, pau menjadi lebih lembut, cantik kelihatan dan lebih sedap dimakan.



Bagi umat Islam, makanan-makanan yang dicampur dengan l-cysteine ini haram dimakan, kerana rambut merupakan sebahagian daripada anggota badan manusia yang memang diharam memakannya.



Apa yang boleh dilakukan oleh umat Islam ialah berhati-hati ketika membeli makanan-makanan dan juga bahan-bahan untuk membuat makanan tersebut, kerana dibimbangi mengandungi bahan-bahan larangan tersebut



Bagaimana cara untuk mengecamnya? Adakah cukup untuk melihat fakta-fakta yang terdapat pada label-label makanan tersebut jika ada? Atau bagaimana?



Uban



Biasanya rambut uban menandakan usia seseorang telah meningkat tua, tapi sejak kebelakangan ini pengecaman ini tidak tepat lagi, kerana sudah ramai anak-anak muda didapati telah beruban, kerana penyakit atau kerana kekurangan zat-zat tertentu dalam makanan mereka. Inilah uban pramatang.



Kaum wanita paling tidak suka dengan rambut uban, kerana menunjukkan ia telah tua, sedangkan kebanyakan wanita tidak suka mendedahkan usianya yang sebenar.



Sebab itulah rambut uban itu diwarnakan dengan berbagai-bagai warna, seperti,keemasan dan sebagainya. Demikian juga dengan sesetengah lelaki.



Rambutnya Dipotong



Peristiwa ini berlaku kira-kira lebih setengah abad yang lalu. Ia berlaku di sebuah sekolah di mana isteri saya, Asiah Yaacob belajar. Di antara rakan-rakan sekolahnya ada seorang gadis yang cantik dan berambut panjang melepasi pinggangnya.



Salah seorang guru perempuan di sekolah tersebut tidak bersetuju dengan anak muridnya berambut begitu panjang, kerana boleh menganggu kecergasan pergerakannya sebagai seorang pelajar.



Entah bagaiamana pada suatu hari, guru terebut telah memotong rambut pelajar itu menjadi begitu pendek. Ini telah menimbulkan kemarahan bukan sahaja kepada pelajar tersebut, tapi juga kepada keluarganya yang telah begitu lama memelihara rambut anaknya itu sehingga menjadi sebegitu panjang.



Menurut isteri saya, keluarga gadis itu telah menyaman guru tersebut di mahkamah. Kami tidak tahu lagi susulan cerita itu selanjutnya.



Isteri saya juga pada permulaan perkahwinan kami dahulu, berambut panjang melepasi pinggang. Kemudian beliau memotong rambut itu menjadi pendek supaya lebih mudah diurus dan menjadi lebih kemas.



Saya gemarkan isteri saya berambut panjang kerana kelihatan manis dan ayu dan saya juga sukakan isteri saya berambut pendek melepasi bahu, kerana meyerlahkan keringkasan dan keindahannhya.



Terpaksa Berkelubung



Peristiwa ini berlaku kira-kira setengah abad yang lalu. Ada seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan “Ustaz” di kalangan orang ramai kerana berpengatahuan agama. Pada masa itu isteri ny tidak bertudung.



Pada suatu hari , dia memberitahu saya anak lelakinya telah tamat pengajiannya di sebuah pusat pengajian tinggi di ibu negara , Kuala Lumpur. Dia dan isterinya diundang menghadairi majlis konvokesen anaknya itu.



Katanya anak lelakinya yang menyertai sebuah NGO bercorak agama memberi syarat, ibunya hanya boleh menghadiri konvokeseyen itu jika dia bertudung.



Kerana desakan anaknya itu, saya diberitahu isterinya terpaksa memakai tudung, dan sejak hari itu seterusnya kepala isterinya terus bertudung, sejajar dengan gelaran ustaz yang diberikan oleh masyarakat kepada suaminya itu.



Disimpan Di tempat Sejuk



Pada masa dahulu rambut-rambut yang dipotong tidak dilempar tidak tentu hala. Biasanya potongan-potongan rambut itu ditanam di tempat-tempat yang sejuk, seperti di perdu-perdu pokok pisang, kerana dipercayai boleh mempengaruhi pertumbuhan rambut di kepala seseorang.



Justeru sisa rambut tidak dibakar, kerana dipercayai boleh menimbulkan kesan panas kepada kepala orang yang empunya rambut. Kerana itu kaum wanita akan meminta dan membawa balik ke rumah potongan rambut mereka jika mereka memotong rambut di kedai rambut.



Lagi pun mereka terpaksa berhati-hati kerana rambut boleh dipergunakan oleh orang-orang yang bermaksud jahat untuk dijadikan sebahagian daripada bahan sihir yang mungkin membahayakan.



Rambut Dalam Makanan



Ada sesetengah pekedai, atau penjual makanan, khususnya tukang-tukang masak tidak begitu mengambil prihatin yang sungguh-sungguh ketika menyediakan makanan, akibatnya rambut mereka yang gugur terdapat dalam makanan dan ditemui oleh para pembeli atau pemakannya.



Pada suatu pagi saya dan isteri, Asiah Yaacob, semoga Allah cucuri tahmat ke atasnya, makan di sebuah warung. Kami makan nasi dagang bungkus dan meminta secawan milo untuk saya, dan secawan kopi o untuk isteri.



Setelah menyuap dua mulut, saya ternampak ada seurat rambut dalam nasi dagang saya itu. Selera makan saya terus terhenti. Pipi terasa kembang dan rasa nak muntah. Saya terus memberitahu tuan warung masalah tersebut, tapi saya terkejut bila wanita itu tidak menunjukkan apa-apa reaksi, malah berkata, “Nasi ni tak boleh ditukar dengan nasi lain, ia bukan saya punya, nasi orang hantar”.



Saya ucapkan terima kasih kepadanya, dan setelah membayar harganya, saya pun berpesan, “Taka apa. Terima kasih. Cuma kalau boleh, tolong tunjukkan nasi itu kepada tuannya”.



Kami terus meninggalkan warung tanpa sempat meminum air yang telah dipesan, kerana saya bimbang saya akan termuntah di situ.



Pagi tadi pula, saya dan anak saya, Ahhamd Syaibani Zaini, membeli nasi berlauk di sebuah kedai kopi, dan sedikit kueh untuk makan di rumah. Anak saya dah agak lama tak makan nasi berlauk kerana berada di KL dan teringin hendak makan nasi berlauk.



Bila sampai di rumah, kami membuka bungkussan nasi berlauk dan makan; rasanya tidak menyelerakan, kerana ada bahagian nasi itu yang masak dan sebahagian lagi tak masak, orang Kelantan panggil “nasi benya”.



Dahlah begitu, kueh roti goring yang sedang dimakan oleh menantu saya itu pula terdapat seurat rambut yang panjang di tengah-tengahnya. Akibatnya selera kami terputus untuk makan. [Foto kueh tersebut yang berisi rambut disertakan bersama].



Pagi semalam saya pergi ke pasar dekat kami tinggal untuk membeli sedikit lauk-pauk. Cucu saya yang ikut bersama, memberitahu dia lapar dan ingin membeli kueh.



Saya suruh dia pilih mana-mana kueh yang dia suka yang diatur di atas sebuah bangku batu dalam pasar itu. Dia pilih roti jala, salah sejenis makanan kegemarannya.



Sebaik-baik sahaja sampai ke rumah cucu saya yang berusia kira-kira tiga tahun itu meminta saya membuka roti jalan yang dibungkus dengan pembungkus platik yang lut sinar. Saya letakkan roti jala itu dalam sebuah pinggan dan kuahnya dalam sebuah piring.



Tiba-tiba saya mendengar dia memekek, "'Atok ada rambutlah!", sambil sebelah tangannya menunjukan ke arah roti jala di hadapannya itu.



Saya perhatikan, memang di dalamnya ada seurat rambut wanita yang tidak begitu panjang, mungkin telah terputus dari kepala empunya rambut.



Saya teringat, baharu kelmarin kami bercakap pasal rambut dalam makanan, dan pagi ini kami temui lagi rambut dalam roti jala. "MasyaAllah!". Kata saya.



Beginilah akibatnya kalau tidak cermat ketika menyediakan makanan. Tidak patut buat begitu. Sepatutnya lebih berhati-hati



Pepatah



Sebagai mengakhiri celoteh ini saya pungut beberapa pepatah yang ada hubungannya dengan rambut.



“Seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berselerak” yang bermaksud, “Hendaklah berlaku adil ketika menjatuhkan hukuman”.



“Seperti bergantung di sehelai rambut” yang bermaksud, “Sesuatu yang berada dalam keadaan yang sangat gentingt dan merbahaya”.



“Seperti rambut dibelah tujuh”, yang bererti, “Sesuatu yang terlalu sedikit atau halus”.



“Rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan”, yang bererti, “Setiap orang masing-masing mempunyai pendapat sendiri yang berlainan”.



xxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP