Adakah Anda Mampu Memberi Perangsang?

>> Wednesday, June 22, 2011

Adakah Anda Mampu Memberi Perangsang?



Salah satu sifat terpuji dan mulia adalah kebolehan memberi semangat atau perangsang ke orang lain. Tapi sikap ini tidaklah mudah untuk dimiliki. Itulah sebabnya kebanyakan kita, secara sedarr atau tidak sedar, bukan sahaja tidak mampu memberi persangsang, malah sebaliknya mampu melemah atau mengendurkan semangat seseorang .



Tindakan-tindakan mereka yang negatif itu dapat dilihat dari perbuatan-perbuatan mereka, baik dalam bentuk tingkah laku, tutur kata dan juga tulisan-tulisan mereka secara langsung atau tidak langsung, menerusi media-media massa di sepanjang masa.



Melemparkan caci maki, cerca dan cela terhadap sesuatu rancangan yang baik untuk kepentingan umum, tapi tidak memberi faedah peribadi kepada kita sebagai pencerca atau tidak dapat memenuhi selera dan kepentingan kita sebagai pencerca merupakan perbuatan-perbuatan yang boleh meruntuhkan semangat mereka yang tidak kental tapak perjuangannya.



Sedangkan sebahagian besar daripada kita amat memerlukan dorongan atau rangsangan untuk membantu mereka terus melangkah maju ke hadapan dalam hidup ini. Sebaliknya mereka akan menjadi lemah dan patah semangat dan putus asa kiranya mereka menerima ucapan-ucapan negatif berupa sindiran-sindiran, kritik-kritik melulu atau kecam-kecaman pedas yang semborono.



Justeru sudah tentu kita akan merasa amat bertuah dan berbahagia kiranya kita dapat bertemu dengan orang-orang yang dapat memberi perangsang atau semangat kepada kita yang dapat mendorong kita melangkah maju ke hadapan, lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam rundungan lemah semgat atau tawar hati. Bertemu mereka yang seperti ini seolah-olah kita dikurniakan dengan sebuah obor yang menerangi alam kegelapan yang menyelubungi kita.



Untuk menjadi seorang yang pemberangsang atau pendorong semangat juang kita perlu memiliki beberapa ciri peribadi yang positif dan unggul yang hanya diperolehi menerusi pengalaman, pengamatan dan amalan yang berterusan.



Ahi-ahli psikologi telah mengariskan beberapa ciri peribadi yang dimiliki oleh seseorang yang mampu memberi perangsang kepada orang lain, di antaranya adalah seperti berikut:



Banyak Minat


Sebagai seorang manusia yang positif kita perlu memiliki berbagai-bagai minat dalam hidup ini, di samping memiliki satu atau dua minat yang khusus untuk diri kita. Mempunyai minat memancing sahaja, tidak akan mampu membawa anda ke mana, selain daripada menarik anda ke kolam ikan, ke laut atau ke sungai bersama dengan rakan seperjuangan dengan anda. Memiliki minat kepada bola sepak sahaja, tidak akan membawa anda ke mana, selain daripada ke padang bola atau ke stadium. Demikian juga mempunyai minat bermain bedminton semata-mata, tidak akan akan membawa anda melangkah jauh, kecuali ke gelanggang atau ke dewan bola tangkis.



Justeru itu anda perlu memperluaskan skop minat anda, menganekaragamkanya untuk membolehkan anda memungut berbagai-bagai pengalaman hidup dalam pertemuan dengan berbagai-bagai ragam manusia dalam beraneka suasana yang berbeza-beza.



Idea Baru


Anda adalah seorang yang suka mencuba idea-idea atau cara-cara baru dalam melakukan sesuatu. Ertinya anda tidak boleh menjadi seorang yang beku dan kaku dalam melakukan sesuatu mengikut kebiasaan tanpa berani mencuba fikiran-fikiran baru yang lebih maju dan dinamis.



Umpamanya anda dalam perjalanan menuju ke sesuatu destinasi, katakanlah ke tempat kerja, anda tahu ada beberapa jalan yang lebih selesa dan pendek untuk sampai ke sana, tapi anda enggan melaluinya, dengan alasan anda tidak biasa dengannya, dan terus juga melalui jalan yang sama berulang-ulang kali. Sikap anda ini sudah tentu tidak wajar dan mungkin menimpakan kerugian kepada anda.



Demikian juga dengan pekerjaan, jika ada cara-cara baru yang lebih praktikal dan maju daripada cara yang biasa anda lakukan, anda hendaklah bersedia meninggalkan cara-cara lama yang biasa dengan anda itu dan melaksanakannya dengan cara-cara yang baru itu yang perlu anda cuba itu.



Semangat Yang Menyala


Di samping mempunyai semangat yang cekal, anda juga mesti mempunyai semangat yang sentiasa menyala dan berkobar-kobar, terutama ketika melakasanakan sesuatu rancangan tanpa merasa segan dan silu malu yang akan menjadi faktor yang akan melemahkan semangat juang anda.



Andainya anda sendiri seorang yang lemah semangat, tidak menyala dan tidak membakar, bagaimana anda hendak menjadi perangsang kepada orang lain, sedangkan semangat anda sendiri pun anda tidak mampu untuk menghidupkannya, masih diselimuti oleh rasa segan dan malu-malu yang tidak bertempat.



Ubah Rancangan


Anda hendaklah bersedia meninggalkan rancangan-rancangan yang sedang anda lakukan buat seketika, dengan sebab-sebab yang wajar untuk melakukan aktiviti-aktiviti lain yang di luar dugaan, seperti ikut serta dalam rombongan lawatan sambil belajar dan lain-lain aktiviti lagi yang penting tapi terletak di luar bidang kerja yang sedang anda lakukan sekarang.



Sukakan Semua Orang


Anda hendaklah menyukai semua jenis orang, tanpa mengira, pangkat atau darjah atau jawatan seseorang dalam membina persahabatan. Jika anda hanya membatas persahabatan amda kepada mereka yang sedarjah atau sealiran dengan anda semata-mata, sudah tentu dunia persahabatan anda hanya berlegar di sekitar beberapa orang sahaja, dan tidak akan berkembang seperti seharusnya yang menyebabkan fikiran anda juga menjadi terkongkong dan berputar-putar dalam kepompong yang sama.



Gembira Bertemu Orang


Di samping membuka ruang untuk menjalin persahabatan dengan semua orang tanpa mengira status mereka, anda juga hendaklah merasa gembira untuk bertemu dengan orang-orang yang baru anda kenali tanpa mengira siapa mereka. Demikian juga anda hendaklah merasa gembira untuk menghadiri majlis-majlis keramaian yang bertujuan baik, dan bersih daripada kekotoran-kekotoran maksiat yang akan menimpakan kesan-kesan yang negatif terhadap anda.



Memperbaiki Diri


Sesiapa sahaja yang terlanjur melakukan kesalahan atau kesilapan sudah tentu merasa bimbang dan susah hati dengan kejadian itu, dan bagi orang yang waras pula mereka segera untuk memperbaikinya dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi di masa-masa akan datang.



Dengan sikap yang positif seperti itu, sudah tentu anda tidak perlu dirundung oleh kerungsingan yang berpanjangan, kerana masih banyak lagi perkara-perkara menarik dan berguna yang perlu anda lakukan di samping mengatasi kelemahan yang sedia ada.



Semangat Belajar


Anda hendaklah sentiasa mempunyai semangat untuk belajar, kerana kewajipan belajar itu bermula dari buaian hingga ke liang lahad. Tidak ada sakat untuk belajar bagi orang yang ingin maju.



Anda hendaklah berusaha untuk melakukan sendiri sesuatu benda yang mampu anda laku, dan tidak mengharap orang lain melakukannya untuk anda, lebih-lebih lagi andainya sesuatu itu menjadi tanggungjawab anda, terutama urusan perbadi anda sendiri.



Anda juga tidak boleh bersikap terlalu kritis, yang akan menyebabkan anda merasa semua benda dan semua perkara yang anda lakukan atau dilakukan oleh orang lain tidak tepat, tidak betul dan tidak sempurna. Ini akan meletakkan diri anda dan juga orang lain sentiasa berada dalam keresahan dan kebekuan hati.



Rajin Bertanya


Anda hendaklah seorang yang rajin bertanya untuk mendapat jawapan terhadap sesuatu yang tidak anda mengerti atau tahu, kerana kata orang-orang tua, “malu makan perut lapar, malu bertanya sesat jalan”. Bertanya adalah salah satu jalan pembelajaran untuk menambah ilmu dan pengetahuan.



Berinisiatif


Anda adalah seorang yang sentiasa berinisiatif dan sentiasa bersedia untuk menjadi ketua atau pemimpin bila diperlukan. Dengan menjadi pemimpin, peluang anda memberi perangsang kepada orang lain bertambah luas dan berkesan. Sebaliknya orang yang berjiwa kecil sudah tentu tidak mampu memberi perangsang kepada orang lain.



Pikul Tanggungjawab


Anda adalah seorang yang sentiasa bersedia untuk memikul tanggungjawab, dan tidak suka melarikan diri, apa lagi bersikap “lempar batu sembunyi tangan”. Tidak semua orang bersedia atau berani memikul tanggungjawab, malah mereka sentiasa mencari jalan untuk mengelak memikul tanggungjawab itu dan meletakkannya di bahu orang lain yang mungkin tidak ada sangkut-paut langsung dengan persoalan yang berbangkit. Inilah sikap orang yang mempunyai semangat yang kerdil dan lemah jiwanya.



Pulih Semangat


Jika anda melihat ada sahabat-sahabat anda, anggota-anggota keluarga anda ataupun orang-orang bawahan anda terumbang-ambing oleh kebimbangan dan keraguan, anda hendaklah berusaha untuk memulihkan semangat mereka dan berjaya menghilangkan segala keraguan dan kebimbangan yang bersarang di lubuk jiwa mereka dan dengan perangsang anda mereka berjaya tegak kembali sebagai manusia yang teguh kenyakiannya kepada diri sendiri.



Masa Depan Yang Baik


Sebagai seorang manusia yang besar jiwanya anda ingin melihat setiap orang mempunyai masa yang baik, dan berusaha untuk meletakkan mereka dalam keadaan baik, dan bukan sebaliknya ingin melihat mereka sentiasa berada dalam kesempitan dan kesusahan kerana jiwa anda ang kerdil yang disarangi oleh semangat cemburu dan iri hati yang akhirnya akan membinasakan diri anda sendiri.



Modal Bercakap


Anda sentiasa mempunyai modal yang wajar untuk bercakap dan berbincang dengan orang, anda sedar bercakap merapu tak tentu kalu, menimbulkan kebosanan orang yang mendengar anda bercakap. Di samping itu anda pula boleh bercakap dalam suasana ramah dan mesra yang menarik orang untuk berbincang dan bercakap dengan anda.



Pendengar Yang Baik


Sebaliknya anda juga boleh dan suka mendengar orang lain bercakap dan berhujah mengeluarkan pendapat mereka. Kalau orang bersedia mendengar percakapan anda, maka anda pula bersedia untuk mendengar pendapat mereka. Kalau anda tidak memberi peluang orang lain untuk bercakap ertinya tidak ada demokrasi dan anda adalah seorang diktator dalam pergaulan.



Bertemu Orang


Anda hendaklah bersedia bertemu dengan orang yang datang mengunjungi anda sekali-sekala, dan menunjukkan kegembiraan anda bertemu dengan mereka. Tidak mengira siapa mereka, dan anda melayan mereka semua dengan sebaik-baiknya bila-bila masa sahaja sebagai tetamu yang dihormati.



Boleh Berjenaka


Anda hendaklah bersedia kelihatan bodoh untuk tujuan senda guruan yang baik, tanpa merasa tersiggung atau radang diperlakukan seperti itu kerana ia tidak sedikit pun menjejaskan nama baik atau reputasi anda. Ia hanya sekadar guruan.



Cepat Bersimpati


Anda adalah seorang cepat bersimpati, memberi tahniah, dan menawarkan bantuan terhadap mereka yang memerlukannya.



Sedia Untuk Belajar


Anda percaya masih banyak lagi yang perlu anda pelajari dalam hidup ini, dan setiap hari anda mempelajari perkara-perkara baru, terutama mengenai manusia yang begitu banyak ragam perasaan, jiwa dan tingkah lakunya. Sesungguhnya makin banyak kita belajar, makin terasa akan bodohnya kita, maka makin kuat mendorong kita untuk belajar. Tidak ada titik berhenti dalam pembelajaran, hingga ke liang lahad.



Tegasnya, anda hendaklah menaruh minat yang besar bukan sahaja kepada diri sendiri, tapi kepada orang lain di mana-mana sahaja anda berada. Itulah rahsia kejayaan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, di mana kepentingan diri dipandang kecil, jika dibanding dengan kepentingan orang.



Demikianlah sebahagian daripada sifat-sifat positif yang perlu dimiliki oleh setiap orang bukan sahaja untuk menjadi perangsang kepada orang lain, tapi juga untuk peningkatan kemajauan diri mereka sendiri.



Wallahhu’aklam



xxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sakalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP