Menyingkap Rahsia Disenangi Orang

>> Friday, June 3, 2011




MENYINGKAP Rahsia DISENANGI ORANG



Anda mungkin mempunyai keluarga yang besar, sahabat handai yang ramai, rakan taulan yang banyak, dan friends kepada ribuan orang di facebook, tapi beranikah anda mendakwa anda disukai dan disenangi mereka semua?



Harap-harapkan begitulah. Tapi belum pasti, sebab di antara ramai kenalan dan disenangi orang, dua perkara yang berbeza, kerana setiap orang yang mengenali anda, belum pasti mereka menyukai dan menggemari anda.



Malah mungkin membenci anda?



Itulah sebabnya mencari kenalan mungkin lebih mudah daripada mengekalkan kenalan itu dalam wadah silaturahim. Sebab untuk disenangi orang memerlukan cirri-ciri yang khusus. Semata-mata pandai bercakap atau petah berbicara belum tentu menjadi tali-temali untuk memikat hati orang kepada anda.



Sebab itulah ramai orang mungkin mengenali anda, dan ramai pula orang mungkin tidak menggemari anda, kerana sikap anda yang tidak menyenangkan mereka, malah sebaliknya tidak menggembirakan mereka untuk bertemu dengan anda.



Ahli-ahli psikologis telah menggariskan beberapa ciri penting yang dimiliki oleh mereka yang digemari orang, dan sebahagian daripadanya saya peturunkan di sini untuk dikongsi bersama.



Bertanggungjawab


Anda mestilah seorang yang bertanggungjawab, bukan sahaja kepada diri anda sendiri, tapi juga bertanggungjawab kepada orang-orang lain. Sebarang kerja yang anda lakukan, walaupun demi kepentingan orang lain, anda melakukannya dengan sedaya upaya anda, bukannya sekadar melepas batuk di tangga, kerana ianya bukan menjadi tugas anda dan juga tidak memberi apa-apa keuntungan kepada anda.



Mempunyai sikap bertanggungjawab kepada orang lain ini merupakan salah satu ciri peribadi yang menyenangkan orang terhadap anda, justeru mereka sentiasa menyayangi dan menghormati anda.



Yang dimaksudkan orang lain itu termasuk rakan sekerja anda, rakan seperjuangan anda dan juga keluarga sendiri.



Murah Dengan Senyum


Anda adalah seorang yang boleh tersenyum dan pandai pula tersenyum, malah sentiasa tersenyum dalam semua keadaan, baik dalam stiwasi yang menyenangkan anda ataupun tidak menyenangkan anda. Bibir anda sentiasa terukir manis dengan senyuman.



Anda masih boleh tersenyum walaupun semua rancangan anda telah gagal, ataupun dibatalkan, kerana anda sedar kemampuan anda hanya berikhtiar dan berusaha, kekuasaan menentukan keputusannya adalah terletak di tangan Yang Maha Berkuasa, Allah SWT.



Kemampuan anda untuk senyum dalam suasana yang pahit dan getir menunjukkan anda seorang yang besar jiwanya, yang tidak runtuh walaupun dilanda oleh ombak-ombak kehidupan yang menggunung. Kemampuan untuk tersenyum dalam suasana begitu mencerminkan keagungan peribadi anda yang tahan diuji, tidak lapuk dek hujan, dan tidak lekang dik panas.



Anda sedar, walaupun anda enggan melebarkan senyuman anda, anda tidak dapat mengubah keadaan, namun begitu ia dapat merusuhkan hati anda sendiri dan menggusarkan orang lain; demikian juga sebaliknya kalau anda melebarkan senyum, keadaan tidak juga akan berubah, namun ia dapat menenangkan jiwa anda dan mengamankan orang lain, maka kerana itu senyum lebih unggul dari tidak senyum. Maka senyumlah.



Percayakan Orang Lain


Di samping mempercayai diri sendiri, anda hendaklah mempunyai dasar mempercayai orang lain. Tanpa mempunyai dasar kepercayaan kepada orang lain, baik orang lain itu sahabat anda, anggota keluarga anda, rakan sekerja anda, rakan kongsi anda dan rakan seperjuangan anda, maka sudah tentu sukar kepada anda untuk hidup dengan tenteram dalam dunia ini.



Anda hendaklah mempercayai mereka sehinggalah terbukti sebaliknya atau ada tanda-tanda jelas dan meyakinkan bahawa mereka tidak lagi boleh dipercayaai sebagai pengkhianat, tidak amanah dan lain-lain sifat negatif yang boleh menimpakan kemusnahan kepada anda ataupun maruah anda, karier anda dan perjuangan anda.



Perkara Prinsip


Anda hendaklah seorang yang berprinsip, yang mementingkan dasar, bukannya kerana kepentingan material atau wang ringgit. Dasar inilah yang diperjuangkan oleh anda, bukanya kepentingan diri atau harta benda.



Bila berbangkit sesuatu perkara yang perlu membuat keputusan yang tegas, yang menjadi dasar pertimbananga anda ialah soal prinsipnya, soal pokoknya yang dijunjung oleh setiap yang berprinsip dan berhati mulia.



Justeru itu anda juga akan merasa bersyukur dan bergembira bila ada orang mengatakan mereka juga seperti anda, mementingkan prinsip atau dasar sesuatu, justeru itu anda tidak terpengaruh dengan wang ringgit atau harta benda yang membuktikan anda bukan seorang mata duitan.



Ramah Tamah


Anda adalah seorang peramah. Mudah mesra. Mudah berinteraksi dengan orang. Mudah berbual-bual dengan siapa sahaja walaupun dengan mereka yang baru anda kenali.



Sikap ramah ini membuka pintu silaturahim, membuka pintu persahabatan yang amat besar harganya untuk dinilai. Allah jadikan manusia ini berbagai-bagai ragam, untuk mereka kenal mengenali antara satu sama lain.



Sikap ramah ini menimbulkan rasa senang orang terhadap anda. Menimbulkan rasa sayang mereka terhadap anda, dan membuat mereka sukar untuk melupakan anda.



Maka jadilah anda seorang yang disayangi oleh mereka.



Rakan Anda Sukakan Anda


Anda hendaklah mempunyai sikap yang positif terhadap sahabat dan rakan-rakan anda. Anda hendaklah yakin bahawa mereka semua sukakan anda, kerana anda seorang yang disenangi oleh mereka.





Andainya anda tidak yakin, sahabat-sahabat anda sukakan anda, tentu anda menyimpan perasaan sebaliknya terhadap mereka, iaitu keyakinan mereka tidak suka atau membencikan anda.



Jika perasaan seperti ini timbul di hati anda, sudah tentu anda akan mencurigai mereka dan ini akan merosakkan tali persaudaran anda dengan mereka, kerana persabahatan hanya dapat wujud atas dasar saling percaya mempercayai, bukan sama sekali atas dasar curiga mencurigai yang akan menjadi punca fitnah memfitnah antara satu sama lain.



Disenangi


Pernahkah anda dimasukkan ke rumah sakit untuk menerima rawatan penyakit yang anda hadapi?



Dan kalau pernah, adakah anda seorang pesakit yang disenangi oleh para petugas di hospital, seperti para jururawat dan para doktor yang merawat anda, kerana sikap anda yang meneyenangkan mereka, dengan bersikap sabar, sedia mendengar arahan, tdak suka marah-marah dan lain-lain sikap yang terpuji.



Penyakit adalah merupakan batu uji dan cermin yang jelas menujukkan peribadi seseorang, dan hospital pula menjadi kayu ukurnya.



Justeru jika anda seorang yang disenangi ramai, maka sudah tentu anda disukai oleh kakitangan-kakitangan hospital di mana anda ditempatkan.



Sukakan Hidup.


Ada orang yang masih hidup, bernafas dan bergerak, tapi mereka tidakkan suka hidup. Tidak ada kenikmatan hidup ini buat mereka. Mereka terbelenggu dalam hidup oleh berbagai-bagai perkara yang mereka rasa menyusahkan hidup mereka yang menyebabkan mereka menanggung kemeranaan.



Mereka merasa benci dengan kehidupan. Mereka menderita. Kata mereka, kalau macam ini, lebih mati dari hidup yang tidak memberi sebarang makna kepada mereka.



Akibatnya orang seperti ini akan kehilangan semangat hidup. Mereka jadi putus asa. Bangkai bernyawa. Akibatnya mereka menjadi beban kepada orang lain, dan sudah tentu mereka tidak disukai dan dibenci, kerana tidak ramai orang yang bersedia “untuk memikul biawak hidup”.



Cuti Dengan Teratur


Jika anda bekerja, baik dengan kerajaan atau swasta, anda berhak untuk mendapat cuti selama beberapa hari dalam setahun, selain daripada cuti yang biasa.



Sebagai seorang yang berwibawa, jika anda ingin bercuti, anda akan mengambil cuti secara teratur, kerana dirancang dengan teliti terlebih dahulu. Ia akan menyenangkan majikan anda, menyenangkan mereka yang ingin berurusan dengan anda, dan juga menyenangkan keluarga anda yang mungkin terlibat dalam percutian anda itu.



Sebaliknya jika anda mengamnbil cuti secara tidak teratur, ikut suka hati anda sahaja, dan ini menyebabkan banyak pihak akan menanggung kesulitan, termasuk keluarga anda sendiri. Dan ini boleh mengurangkan populariti anda, dan menjadi salah satu sebab anda tidak disukai orang.



Sebagai pekerja, anda berhak mengambil cuti, tapi anda tidak patut menggunakan hak-hak anda itu dengan sewenang-wenangnya hingga menimbulkan kesulitan kepada orang lain.



Bercutilah dengan sebaik-baiknya yang boleh memberi manfaat kepada anda dan juga orang lain, terutama keluarga anda..



Penyabar


Sebagai seorang yang berperibadi mulia, anda seorang yang penyabar, tidak lekas meradang, tidak cepat naik marah, atau bertindak dengan gopoh-gapah yang boleh mencetuskan akibat yang buruk.



Walau dalam apa keadaan sekalipun, anda mestilah bertenang dan bersabar yang merupakan sifat semula jadi yang unggul, yang tidak mudah goyang walaupun ditiup oleh badai kemarahan yang boleh wujud dalam berbagai-bagai warna dan bentuk.



Kehilangan kesabaranlah yang menyebabkan seseorang boleh melakukan apa sahaja, memaki hamun, mencela, mengutuk, melakukan keganasan, malah juga membunuh akibat kehilangan sabar yang merupakan senjata yang dimiliki oleh orang-orang berhati mulia dan beriman.



Sebenarnya sabar itu mudah diucap, tapi tidak semudah itu untuk mengamalkannya, kerana memerlukan kekuatan diri yang bukan sedikit. Walau bagamana pun sabar itu perlu untuk menjalani hdiup dengan tenang dan bahagia.



Mencela Diri Sendiri


Orang yang berilmu, bukan sahaja tidak mengutuk orang lain, tapi dia juga tidak mengutuk dan menyesali diri sendiri. Dia merelakan takdir yang berlakukan ke atasnya. Allah Maha Penentu segala-galanya.



Kalau takdir dia melakukan sesuatu kesilapan atau kesalahan, dia cepat-cepat kembali ke pangkal jalan, memohon maaf kepada orang yang telah dizaliminya itu, serta memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah, dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.



Dengan itu walaupun dia meneysali kesilapan-kesilapan yang telah dilakukannya itu, tapi dia tidak lagi diburu oleh rasa berdosa sepanjang hayatnya, kerana dia percaya bahawa Allah itu Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Maka dengan itu keimanannya pun dipertingkatkan untuk membasuh segala dosas-dosa yang telah dilakukannya itu.



Jujur


Anda adalah seorang yang jujur dan ikhlas yang menjadi pakaian orang-orang berakhlak mulia. Jujur menjadi benteng yang kuat kepada anda daripada serangan berbagai-bagai godaan nafsu yang akan melorongkan anda kepada kemusnahan.



Tanpa kejujuran boleh menyebabkan anda menjadi seorang penipu, pegkhianat, pendusta dan pementing diri, yang menyebabkan anda tidak disukai dan dibenci oleh orang dan tersingkir dari mereka.



Orang tidak jujur tidak mempunyai tempat di hati orang, malah dipandang dengan jijik, hina dan keji kerana ketidakjujuran itu.



Demikian sedikit sifat-sifat terpuji dan mulia yang menjadi baja yang akan menyuburkan kebahagian hidup anda sebagai seorang insan yang mencari keredaan Allah, dan menjadikan anda insan yang disenangi dan dihormati orang sepanjang masa, yang akan dikenangi melepasi zaman, walaupun jasad anda sudah tidak ada lagi di dunia ini nanti.



Jadikan diri anda dicintai orang, nescaya pintu akan terkuak untuk Allah mencintai anda.



Wallahua’lam.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP