Rahsia-rahsia Kejayaan

>> Friday, June 17, 2011

RHSIA-RAHSIA KEJAYAAN

Setiap orang yang normal bercita-cita untuk berjaya dalam setiap usaha yang mereka lakukan. Ingin berjaya dalam hidup. Tapi tidak semua orang mengetahui apakah rahsia-rahsia untuk meraih kejayaan itu. Demikian juga tidak ramai orang yang mengetahu apakah sifat-sifat yang dimiliki oleh orang-orang yang berjaya itu?



Menurut ahli-ahli psikologi ada beberapa sifat yang penting yang mesti dimiliki oleh setiap orang yang inginkan kejayaan. Kali ini kita utarakan sebahagian daripada sifat-sifat itu untuk renungan kita bersama yang ingin mencapai kejayaan dalam hidup yang penuh dengan ranjau-ranjau di sepanjang perjalanan ini.



Takut Gagal


Kebiasaaannya setiap orang takutkan kegagalan. Setiap orang merasa bimbang dia akan menempuh kekalahan dalam perjuangan. Itu perkara biasa.



Pelajar-pelajar yang mengambil ujian atau peperiksaan merasa bimbang kalau mereka gagal dalam ujian atau peperiksaan itu.



Orang-orang yang mengambil ujian memandu keenderaan, keretakah atau motosikalkah, atau kapalterbangkah, tentu merasa bimbang, andainya gagal dalam ujian untuk mendapat lesen itu.



Para pejuang yang pergi ke medan juang, tentu merasa bimbang, takut-takut kecundang, tak akan pulang lagi menemui keluarga, anak dan isteri yang tercinta.



Kebimbangan seperti itu adalah normal. Ketakutan seperti itu adalah biasa dalam kehidupan ini.



Tapi orang-orang yang berjaya tidak menjadi mangsa kepada ketakutan atau kebimbangan yang mencungkil-cungkil hatinya itu. Ketakutan gagal tidak mengikat kakinya untuk bangkit dan melangkah. Kebimbangan gagal tidak menambat tangannya untuk bertindak. Ketakutan kepada kekecewaan tidak menyekat otaknya daripada berfikir.



Malah segala kebimbangan dan ketakutan itu lebih memperkuatkan azamnya dan cita-citanya, mempertingkatkan usahanya dengan lebih teratur, effisen dan gigih untuk menjamin kejayaan menjadi miliknya.



Sebaliknya orang-orang yang malas menjadikan ketakutan itu sebagai halangan kepada mereka untuk bertindak, mengikat kakinya untuk melangkah, menambat tangannya untuk berbuat sesuatu, menyebabkan dia telah tewas, sebelum kaki melagkah ke medan perjuangan yang memang memerlukan kegigihan untuk berjaya. Justeru itu kegagalan adalah layak menjadi milik mereka yang terlebih dahulu mati kerana ketakutan, sebelum trjun ke medan perjuangan.



Tidak Mudah Kecewa


Orang yang berjaya tidak mudah kecewa. Mereka tidak mudah menyerah kalah. Jika kaki sudah mulai melangkah, dia tidak mudah surut ke belakang- berpatah balik. Malah dia terus melangkah dengan lebih tegap, pasti dan hati-hati.



Sekiranya ada rintangan menghadang perjalanannya, dia tetap bertahan, bersabar sambil berusaha untuk melepasinya. Jika keadaan tidak mengizinkan, dia akan memperlahankan langkah, sambil menyusun perjuangan, dan menunggu keadaan lebih selesa untuk meneruskan perjuangan ke tahap yang semenema-menemanya hingga kejayaan menjadi miliknya.



Menyusun Semula Perjuangan


Orang-orang yang berjaya tidak mestinya bersikap keras seperti besi. Malah dia mempunyai sifat yang melentur atau fleksibel. Kalau perlu menukar tektik perjuangan, dia tidak keberatan melakukannya, asalkan kejayaan dapat dicapainya.


Beginilah sifat orang yang bijaksana. Tidak kebertan menukar langkah, menyusun semula strategi untuk mencapai kemenangan. Dalam keadaan sedemikian, surut kebalakang bukan bererti tewas, tapi mengambil masa untuk mengatur semula perjuangan yang lebih sesuai dengan keadaan dan masa yang mengizinkan.



Berani membabi buta tidak memberi guna. Ia hanya mengancam diri dalam kemelut yang tidak wajar, sedangkan jalan lain yang lebih selamat masih terbuka. Tidak guna mencari jalan sukar yang merbahaya, jika ada jalan lain yang mudah, selamat dan menjamin kejayaan.



Akui Kelemahan Diri


Orang yang berjaya tidak merasa bongkak dan sombong, mendakwa dia seorang yang bijak dan pandai yang serba boleh. Dia sedar, tidak ada manusia biasa yang sempurna. Itulah dikatakan tidak ada gading yang tidak retak, malah yang retak itulah sifat gading.



Dia sedia mengakui hal ini tanpa malu. Dia tidak menyembunyikannya. Namun begitu, dia akan berusaha sedaya upayanya untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangnnya dalam usahanya untuk mengejar kejayaan.



Dia tidak menjadikan kekurangan dan kelemahan dirinya sebagai alasan untuk tidak berusaha dan tidak berjaya.



Dia yakin dia berjaya, dan dia membina keyakinannya itu dengan usaha gigih untuk mengatasi segala titik-titik kelemahan dan kekurangannya.



Bangkit Kembali Bila Jatuh.


Adat perjuangan dalam hidup ini kita mesti bersedia menerima kejatuhan. Jalan hidup ini tidak selalu mendatar, kadang-kadang mendaki dan kadang-kadang menurun. Itulah sebabnya kadang-kala kita terjatuh bila kaki tesandung atau kaki tersalah langkah. Biasaah begitu.



Itu adalah kebiasan dalam perjuangan. Tapi kepada mereka yang inginkan kemenangan, dia akan segera bangkit kembali bila dia terjatuh. Dia tidak akan membiarkan kejatuhan itu menyebabkan dia terbenam dan terus tidak bangkit-bangkit lagi untuk menyambungkan perjuangan.



Sebaliknya dia akan mengumpulkan segala kekuatan dan daya untuk bangkit kembali dan meneruskan sisa-sisa perjuangan untuk meneguk kejayaan. Dia akan terus melangkah dan mendangki untuk mencapai puncak kejayaan dan kemenagnan yang dikejar oleh setiap orang itu.



Kejayaan yang sebenarnya dalam hidup, bukan kerana tidak pernah jatuh, tapi dalam bangkit kembali setiap kali jatuh. Itulah rahsia kejayan dalam perjuangan hidup ini.



Tidak Manyalahkan Takdir


Orang yang berjaya itu mempunyai sifat yang khusus terhadap keberhasilan usahanya.



Kalau dia berjaya meraih kejayaan dalam usahanya, dia tidak mendakwa bahawa kejayaan itu adalah semata-mata kerana hasil kerja keras dan kerajinan dan kecekapanya menjalankan tugas. Itu bongkak dan takabur namanya. Dia sedar, dia hanya berusaha, bekerja keras untuk memperolehi sesuatu, tapi kejayaannya terletak di tangan Allah semata-mata. Yang Maha Berkuasa itu faktor penentunya yang mutlak.



Namun begitu dia sedar, setiap kejayaan memerlukan usaha yang sungguh-sungguh, tanpanya, kejayaan sukar untuk diraih. Kalau kejayaan itu, ibarat buah kelapa muda, untuk menikmatinya perlu dipetik buhanya, kalau hendak menunggu yang gugur, entah bila, dan yang gugur itu pula mungkin kelapa muda yang telah rosak yang tidak enak atau tidak layak dimakan.



Sebaliknya, andainya dia gagal dalam usahanya, dia juga tidak memerpsalahkan nasibnya yang buruk, kerana nasib tidak menyebelahinya. Berkata demikian samalah ertinya mempersalahkan Tuhan yang mentakdir dia jadi begitu.



Di samping itu dia juga tidak bersedia mempersalahlan orang lain. Tapi dia lebih suka mencari kessalahan pada dirinya sendiri, titik kelemahan, kekurangannya, kecetekan ilmu pengetahuannya, menyebabkan dia gagal dalam usahanya itu. Kemudian dia terus berusaha untuk mengatasi segala kelemehan-kelemahan itu untuk memetik kejayaan di masa hadapan.



Bertanggungjawab


Orang yang berjaya ialah orang yang bertanggungjawab. Dia mengambil sepenuh tanggungjawab setiap tugasannya, dan berusaha sedaya upaya untuk memenuhi tanggungjawab itu. Dia bersedia memikul segala risikonya, baik atau buruk, batu kepalanyalah yang menjadi tanggungannya.



Kerana itu dia berusaha, berharap dan tidak lupa berdoa supaya dikurniakan kejayaannya. Kalau dalam berusaha, dia gagal, maka kegagalan itu adalah datang dari dirinya sendiri. Tidak ada siapa yang boleh dipersalahkan, tidak juga kepada nasib.



Positif


Orang yang berjaya selalunya bersikap positif. Dia melihat kebaikan dalam semua perkara. Setiap sesuatu yang Allah jadikan mempunyai rahsia-rahsia yang tersendiri, dan dalam rahsia itulah terletak segala kebaikan yang kadang-kadang dapat dilihat dengan mata kasar, dan kadang-kadang hanya dapat dilihat dengan mata batin semata.



Itulah sebabnya setiap sesuatu yang kita anggap buruk itu, ada sesuatu kebaikan di sebaliknya. Baginya tidak ada jahat sangka. Pandangan matanya penuh dengan mahabah dan kasih sayang. Tidak suka mengambil sikap tergesa-gesa untuk melemparkan tuduhan kepada sesiapa sahaja. Di belakang setiap keburukan itu mesti ada kebaikannya.


Hanya orang yang buta mata sahaja yang tidak dapat melihatnya, dan orang telinga tuli sahaja tidak dapat mendengarnya, dan orang yang lidahnya kelu sahaja tidak dapat mengucapkan perkara yang benar, di sbelaik segala keburukan itu ada kebaikannya.



Yakin


Orang yang berjaya itu, bila dia membuat sesuatu keputusan dia yakin dengan ketetapan yang dibuatnya itu. Kerana sebelum membuat sesuatu keputusan penting, dia terlebih memikir dan menimbangkannya dengan teliti segala buruk dan baiknya. Justeru itu bila dia membuat keputusan, maka keputusan itu akan dipertahanknnya, sehingga keputusan itu terbukti sebaliknya.



Selagi perkara itu tidak terbukti salah, dia akan terus berpegang dan tegak di atasnya, walaupun ramai orang mempersalahkanya. Sehinggalah dia berjaya. Justeru itu dia tidak cepat surut dan undur kebelakang bila berdepan dengan teguran dan kritikan yang tidak wajar yang akan merugikan perjuangannya semata-mata.



Sabar


Kesabaran amatlah penting dalam setiap perjuangan. Kesabaran adalah tangga yang akan membawa seseorang ke mercu kejayaan dan kegemilangan. Setiap perjuangan memerlukan kesabaran yang tinggi, kerana setiap yang dinamakan kejayaan itu memerlukan perjuangan untuk memperolehinya.



Intan dan berlian lumrahnya tersembunyi dalam bumi, dan memerlukan usaha yang gigih untuk mencarinya. Demikian juga dengan minyak dan emas, hanya terdapat dalam perut bumi, perlu dicari dan digali untuk memperolehinya. Mana ada emas datang bergolek dan minyak datang meleleh di hujung kaki?.



Semuanya memerlukan usaha, dan usaha memerlukan sabar untuk berjaya. Onak dan duri ada di sepanjang jalan, sewaktu-waktu mungkin terpijak dan meraih kaki. Orang yang tak sabar, tak tahan diuji, akan terjatuh dan terhenti di situ sahaja. Hanya orang yang sabar sahaja, akan mampu untuk bangkit, dan meneruskan perjuangan untuk memburu kejayaan yang amat berharga kepadanya.



Percayakan Diri Sendiri


Orang yang berjaya adalah orang yang percayakan diri sendiri. Percayakan kebolehan dan kemampuan diri. Kalau tidak ada kepercayaan pada diri sendiri, bagaiama kejayaan hendak dicapai? Kalau anda percaya anda akan berjaya, bererti anda sudah meraih separuh kejayaan, dan tinggal lagi separuh memerlukan usaha anda yang gigih dan berserah kepada Allah.



Ingatlah, sahabat-sahabat anda, dan rakan-rakan kongsi anda sekalipun hanya boleh membantu, tapi tonggak perjuangan ialah diri anda sendiri. Kalau saling harap mengharapkan, anda mengharapkan dia, dan dia pula mengharapkan anda, siapa pula yang bertanggungjwab untuk melaksanakannya?



Semata-mata mengharapkan orang lain, mungkin akan mengecewakan? Soallah diri anda, berapa ramai orang yang ingin bersusah-susah, berpayah-payah dan bertungkus lumus semata-mata untuk kepentingan dan kejayaan kita?



Namun begitu percayakan diri sendiri bukan bererti melupuskan kepercacyaan kita kepada Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana. Ialah yang menentukan segala-galanya.



Menyombong diri dengan kepandaian diri sendiri sudah tentu akan membawa bencana- menjadi manusia yang sombong dan angkuh-menjadi kacang lupakan kulit, melupakan asal kejadian manusia yang tidak mempunyai apa-apa sejak dilahirkan ke dunia.



Demikianlah sedikit ciri-ciri keperibadian yang dimiliki orang-orang yang berjaya dalam hidup mereka, atau wira-wira yang mendapat sanjugan dan menjadi pujaan dalam bidang masing-masing. Tanamlah dalam diri anda dengan ciri-ciri tersebut untuk menjadi manusia yang berjaya, orang pertama yang mampu meraih kejayaan dalam kehidupan anda.



InsyaAllah.


xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman. Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP