Asiah Rumahnya Di Syurga

>> Friday, July 1, 2011




ASIAH RUMAHNYA

DI SYURGA


Siapakah Asiah?



Beliau adalah isteri Firaun, salah seorang raja pemerintah Mesir ribuan tahun yang lalu, walaupun suaminya seorang yang kufur dikutuk Alah, tapi beliau sendiri seorang yang beriman, yang sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT.



Wanita ini mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah dan mempunyai hubungan dengan Nabi Musa as.



Di dalam al-Quran, Surah Al-Qashah, ayat 9 Allah menceritakan bahawa Musa yang masih kecil itu dihanyutkan oleh ibu kandungannya dalam sungai Nail, kerana beliau takut anaknya itu dibunuh oleh Firaun di hadapan matanya sendiri.



Anak itu diambil oleh isteri Firaun, Asiah lalu dibawa ke istana dan dijaga dan diasuh dengan baik hingga dewasa.



Beliau memohon kepada suaminya, Firaun supaya anak yang dipungutnya itu tidak dibunuh seperti anak-anak lelaki yang lain, dan dibiarkan dia hidup, mungkin berguna pada masa akan datang. Kerana pada msa itu, kerajaan Firaun mengesan dan mencari semua anak lelaki dari kaum Musa untuk dibunuh, kerana bimbang anak-anak itu akan menjadi ancaman kepada mereka, menentang dan meruntuh kerjaaan Firaun di suatu masa yang akan datang.



Allah menceritakan di dalam ai-Quran, “Dan berkatalah isteri Firaun, ia adalah penyejuk mata hati bagiku dan bagimu, janganlah kamu membunuhnya. Mudah-mudahan ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak, sedang mereka tidak menyedari” Al-Qashash:9.



Wanita inilah, seorang hamba Allah yang beriman, walaupun hidup di tengah-tengah lautan kemegahan dan kemewahan hidup yang tidak dapat digambarkan, dan hidup dalam lautan kekafiran yang tunjangi oleh suaminya sendiri, seorang Firaun yang zalim dan kejam, namun begitu, beliau tetap seorang manusia yang teguh imannya.



Ini adalah salah sebuah contoh keperibadian seorang Islam yang utuh imannya, mempunyai peribadi yang kukuh, seperti sebuah gunung batu, yang tidak terpengaruh dengan keadaan kelilingnya. Beliau ibarat seekor ikan yang hidup di laut, yang tidak masin-masin dagingnya, selagi ia masih bernafas dan hidup, walaupun dikelilingi oleh air yang seluruhnya masin.



Asiah inilah yang memohon kepada Allah supaya membuat sebuah rumah untuknya di syurga, di alam akhirat nanti.



“Ya Tuhanku, Diriknlah bagiku di sisi Mu satu rumah di syurga”. Demikian doa Asiah kepada Allah.



Doa yang dipanjatkan oleh Asiah kepada Allah ini degan jelas membuktikan bahawa beliau tidak terpengaruh dengan sikap kezaliman suaminya dan juga tidak terpengaruh dengan suasana kelilingnya yag penuh dengan keonaran dan kekafiran.



Kerana istana Firaun yang melimpah-ruah dengan kekayaan dunia ini tidak memberi sebarang erti kepada beliau yang dadanya telah penuh berisi dengan keimanan.



Mengulas doa Asiah dalam ayat II itu, Buya HAMKA membuat kesimpulan, “Ini adalah suatu permohonan yang amat hebat dari seorang perempuan. Gambarkanlah dalam fikiran kita masing-masing apa erti permohonan ini, dari seorang perempuan kelas tinggi, isteri atau permaisuri seorang raja besar, yang hidup dalam istana mewah, dikelilingi oleh seluruh kemewahan dan kebanggaan, kekayaan dan kemuliaan, ombak gelombang dari rakyat yang berdatang sembah, menjunjug duli, menerima hadiah berbagai ragam, rakyat yang miskin mengumpulkan wang berdikit-dikit guna pembeli tanda mata akan dihadihakan, atau disembahkan ke bawah duli Tuanku, Sang Ratu”.



“Semuanya itu tidak ada yang menarik hatinya. Dia merasakan itu semuanya hanyalah kemegahan yang rapuh, kemewahan yang ditegakkan di atas bahu rakyat yang miskin-miskin. Sebagai seorang yang beriman, beliau bosan melihat semuanya itu, lalu dia memohonkan kepada Tuhan agar dibikinkan oleh Tuhan sendiri langsung sebuah rumahpun jadilah asal di dalam syurga yang diredai Tuhan”.



Di samping itu beliau juga berdoa supaya Allah membebaskannya daripada pengaruh Firaun dengan katanya, “dan selamatkanlah daku dari Firaun dan pekerjaannya dan selamatkanlah akan daku daripada kaum yang zalim”.



Doa ini juga menunjukkan jiwa wanita itu telah berontak dan tidak dapat menerima perbuatan zalim yang dilakukan dengan sewenang-wenang oleh suaminya yang kejam, menindas dan menganiaya rakyat jelata serta memeras mereka.



Ia juga dengan jelas menunjukkan sikap Asiah yang tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dunia yang terdapat di sekelilingnya, kerana sebagai seorang permaisuri raja yang paling agung pada waktu itu beliau berhak memperolehi dan memiliki apa sahaja yang dikehendakinya.



“Namun, iman mengalahkan segalanya. Tidak hanya menolak semua kekayaan ini, lebih dari itu dia pun menganggapmya sebagai kejelekan, kotoran dan pemicu bencana. Dia memohon perlindugnan kepada Allah dari Firaun, meminta dibebaskan dari siksanya, dan minta diselamatkan darinya”. Kata pula Robeyyah Abdul Latiff.



Mengulas doa dalam ayat tersebut, Buya HAMKA seterusnya berkata lagi, “Isteri Firaun mohon dibebaskan daripada Firaun, iaitu dari pengaruhnya dan dari paksaan akidahnya, bebaskan dari propagandanya yang mengangkat dirinya jadi Tuhan dan segala amalan atau perbuatan yang terkenal dari seluruh istana dalam dunia ini, di Barat dan Timur. Berbagai macam siasat halus dan kasar, keji dan kejam, bujuk dan rayu, meracun jiwa orang baik dengan racun yang sebenar racun atau dengan harta dan jabatan, sehinga hilang kemerdekaan diri. Siasat dari orang-orang yang dekat kepada raja, perebutan pengaruh, perebutan mengambil muka, desak medesak, menyingkir dan memfitnah dan berbagai macamnya lagi. Tekanan-tekanan, paksaan halus atau kasar, semuanya berlaku dalam istana raja-raja. Isteri Firaun mohonkan kepada Tuhan agar jiwanya dibebaskan dari segala tipu daya demikian, kerana dia ingin jiwanya bersih dan suci untuk menghadap langsung kepada Alah”.



Mengikut sejarahwan, Firaun yang sezaman dengan Nabi Musa as. itu mungkin Ramses II yang hidup kira-kira tahun 1250 sebelum Masihi.



Kisah wanita yang bernama Asiah ini telah disebut oleh Allah dalam firman Nya dalam Surah At-Tahrim, ayat 11.”Dan Allah telah adakan contoh bagi orang yang beriman, iaitu isteri Firaun, tetakala ia bekata, “Hai Tuhanku! Dirikan bagiku di sisi Mu satu rumah di syurga, dan selamatkanlah akan daku daripada kaum ajagayang zalim”.



Keimanan isteri Firaun ini mempunyai pertalian secara langsung, dengan seorang wanita bernama Masyitah, iaitu isteri kepada pejaga gudang Firaun yang telah beriman kepada Allah begitu mantapnya, sehingga sanggup menghadapi segala ancaman-ancaman yang amat getir dari Firaun kerana keimanannya kepada Allah itu.



Setalah dizalimi dan diazab oleh Firaun, termasuk anak-anaknya yang dibunuh dengan kejam di hadapannya sendiri, akhirnya Masyitah juga dibunuh oleh Firaun kerana beriman kepada Allah. Setelah Masyitah meninggal dunia, Allah memperlihatkan kepada Asiah akan kemuliaan yang diterima oleh Masyitah di syurga. Maka dengan itu bertambah teguhlah iman Asiah kepada Allah.



Bila berita keimanan isterinya Asiah kepada Allah itu diketahui oleh Firaun, amatlah murka Firaun kepada isterinya. Firaun menghantar utusan kepada isterinya dengan mengeluarkan perintah, supaya isterinya itu dihempapkan batu ke atasnya jika dia enggan menafikan keimanannya kepada Allah, tapi jika dia menarik balik pengakuannya, biarkan dia hidup, kerana wanita itu “masih isteriku”, kata Firaun.



Ketika utusan Firaun itu menemuinya, Asiah mendongak mukanya ke langit, maka pada saat itu juga, Allah memperlihatkan kepadanya rumahnya di syurga. Beliau lalu ketawa kegembiraan. Dengan itu imannya kepada Allah bertambah teguh, dan beliau enggan untuk berganjak dari pendiriannya beriman kepada Allah.



Dengan itu Allah SWT segera mencabut roh Asiah dari jasadnya, juteru bila batu itu dihempapkan ke jasadnya sebagaimana diperintah oleh Firaun, dia tidak merasa apa-apa lagi, kerana jasadnya tidak bernyawa lagi.



Apa kata Firaun kepada utusan penyiksa itu, “Tidakkah kamu melihat bahawa dia telah gila. Kita menyiksanya, tetapi sebaliknya, dia ketawa”.



Asiah binti Muzahim, adalah salah seorang daripada empat orang wanita yang mendapat perlindungn Allah, di samping Siti Maryam, bonda Nabi Isa as, Khadijah, isteri Nabi saw yang pertama dan Fatimah, puteri baginda saw.



Baginda Rasulullah saw. bersabada, “Wanita-wanita penghuni syurga yang terbaik adalah Khadijah binti Khuwalid, Fatimah binti Muhammad, dan Asiah binti Muzahim, isteri Firaun”.



Memang benarlah, kerana keimanannya, kesabaran, keteguhan hatinya dan ketakutannya kepada Allah yang dimiliki oleh wanita yang bernama Asiah ini, maka berhaklah beliau untuk dijadikan contoh teladan kepada seluruh wanita yang beriman, hingga Allah menyebutnya dalam kitab suci Al-quran.



Sabda Rasulullah saw. lagi, “Cukup banyak lelaki yang telah mencapai kesempurnaan, namun tidak ada wanita yang mencapai kesempurnaan kecuali empat orang. Maryam binti Imran, Asiah isteri Firaun, Khadijah bin Khuwailid, dan keutamaan Asiah dibandingkan wanita lainya laksnana tsarid [bubur/roti yang diremuk dan direndam dalam kuah] di antara berbagai jenis makanan yang lain”.HR: Bukhari.



Setelah rencana ini sampai ke penghujungnya, lalu saya terkenangkan isteri saya yang namanya berkebetulan sama dengan Asiah Muzahim yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah itu. Sementara arwah isteri saya, Asiah Yaacob dilahirkan pada 30 Jun 1952, dan kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 2009 bersamaan 8 Rejab 1430. Semoga Allah melimpahkan rahmat ke atasnya.



xxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.





3 comments:

Nani,  July 2, 2011 at 12:11 AM  

Mama dalam kenangan.. Rindu tak terkata.. Semoga rohnya tenang disisiNya.. Al fatihah..

Anonymous,  May 23, 2014 at 1:19 PM  

Tlg check blik kesalhn ejaan. kerana ejaan yg lain ade mksud yg lain. hrp maafkn sye.

Pondok Rahmat June 16, 2014 at 10:17 AM  


Terimakasih. Kalau anda maksudkan ejaan nama ASIAH, maka ejaan nama tersebut adalah sama dengan ejaan yang dipakai dalam salah sebuah buku Almarhum Bapa' HAMKA

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP