Sebuah Komputer Dan Seorang Manusia

>> Thursday, July 21, 2011

Sebuah Komputer Dan Seorang Manusia

Pada pagi Ahad baru-baru ini komputer riba kami tiba-tiba didapati tidak berfungsi.



Darahnya yang berupa sumber elektrik masih ada, masih mengalir di seluruh jasadnya, tapi tidak ada apa-apa yang muncul dari skrin yang merupakan cermin wajahnya itu.



Di wajah itulah berbagai-bagai perkara dapat dirakamkan dan juga berbagai-bagai perkara yang telah dirakam dapat dilihat dan dibaca.


Puas dicuba, tapi tidak juga berjaya. Cermin wajahnya tetap juga gelap, seperti sehelai kain hitam di malam kelam.



Malam sebelumnya ia masih baik, masih berfungsi seperti biasa, tanpa sebarang kerenah, wajahnya masih kelihatan jelas dengan berbagai-bagai jenis ragam yang ditayangkan.



Tapi pagi itu tiba-tiba sahaja ia tidak berfungsi, berada dalam keadaan koma- tidak bergerak selain daripada darah elektriknya masih mengalir di seluruh jasadanya yang membuktikan dia masih hidup.



Tapi hidup yang tidak berguna lagi, seperti orang sakit yang koma dan terlantar dipembaringan.



Sudah tentu komputer itu memerlukan doktor untuk merawatnya. Tapi di sini, tidak banyak pula doktor komputer.



Walau bagaimana pun, komputer itu dibawa juga menemui seorang doktor pakar. Tapi oleh sebab beliau mempunyai banyak pesakit yang memerlukan rawatan, dia meminta kami sendiri menentukan apa jenis penyakit yang dihidapi oleh komputer kami itu.



Biasanya komputer mengahadapi dua jenis penyakit yang menimpanya, iaitu penyakit pada cermin wajahnya yang menyebabkan tidak ada apa-apa yang dapat ditunjukkan pada wajahnya itu, dan satu lagi kerana penyakit-penyakit anggota dalamanya yang bermasalah.



Kalau penyakit itu berpunca daripada wajah cerminnya, rawatannya memerlukan belanja yang agak besar untuk membeli cermin wajahnya yang baru untuk mengganti wajah yang telah rosak itu.


Menurut doktor komputer itu, hari ini harga cermin muka itu di sini, tak kurang dari tujuh ratus ringgit, sedangkan sebuah komputer baru dari jenis yang kami pakai itu boleh dibeli dengan harga kira-kira sembilan ratus ringgit sahaja.



Tapi kalau anggota dalaman yang rosak dan perlu ditukar ganti yang baru, tidaklah semahal itu pula, mungkin seratus dua sahaja.



Oleh sebab itu kiranya wajah cermin mukanya yang rosak, maka lebih baik dibeli komputer yang baru sahaja daripada menggantinya dengan cermin muka yang baru- selisih harganya tak berapa sangat.



Menurut doktor, kami memang bernasib baik, kerana usia komputer itu telah lanjut, hampir 10 tahun, masih tahan tidak rosak, sedangkan katanya pada umumnya hayat sesebuah komputer dibuat hanya sekadar tiga tahun sahaja, iaitu dikira sejak ia dikeluarkan dari kilang.



Setelah berihat di rumah, Alhamdulillah selepas diurut di sana, dipicit di sini secara rambang, tiba-tiba komputer itu tersedar dari komanya, dan pulih dari penyakitnya yang kritikal itu, seterusnya hidup dan boleh terus berkhidmat seperti biasa. Semoga Allah panjangkan usianya dalam keadaan sihat walafiat.



Nasib


Membeli kompter ini banyak bergantung kepada nasib, seperti membeli bol lampu elektrik. Kita tidak tahu sudah beberapa lama sesebuah komupter yang dijual itu dikeluarkan dari kilang. Kalau nasib tak baik, pakai tak sampai setahun, mana-mana bahagian anggotanya mungkin boleh rosak, ataupun terus kondem.



Saya teringatkan usia manusia, lebih kurang begitu jugalah keadaannya. Hanya Allah yang menentukan usianya, berapa lama dia boleh hidup di dunia.



Ada yang baru lahir terus pergi, dan ada yang belum dilahirkan pun pergi, ada yang masih kanak-kanak dan muda belia pun pergi, dan sebaliknya ada pula yang terus hidup sampai usia tua dan tua renta masih hidup menghirup udara.



Demikian juga Allah tidak memberi tahu berapa lama Allah kurniakan usia kepada kita, dan bila waktunya akan tempohnya? Tidak ada siapa yang tahu? Itulah rahsia Allah. Justeru kematian boleh berlaku bila-bila masa sahaja tanpa amaran sebagaimana yang berlaku keapda mana-mana komputer.



Ada berbagai-bagai penyakit yang boleh menyerang sesebuah komputer, demikian juga ada berbagai-bagai penyakit yang boleh menyerang manusia yang boleh membawa kepada kematian.



Komputer boleh pengsan, demikian juga yang sering berlaku kepada manusia hari ini, sering pengsan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam jangka masa yang tidak boleh ditentukan, malah kadang-kadang terus hilang begitu sahaja.



Yang berbeza antara manusia dan komputer ialah komputer bila ajalnya sampai akibat penyakit teruk, ia akan dibuang begitu sahaja, tapi manusia jika dia mati dia akan dikebumikan dengan sewajarnya mengikut kepercayaan masing-masing.



Komputer tidak akan disoal oleh Rabbul Jalil apa yang telah dilakukannya semasa hayatanya, kerana itu dia tidak dihukum di akhirat nanti, tapi manusia akan diminta pertanggungjawab terhadap segala perbuatannya di dunia ini, untuk menentukan kedudukannya di syurga atau di neraka. Menerima seksaan atau menerima rahmat dan nikmat.



Namun begitu, komputer itu mungkin dibawa ke hadapan Allah menjadi saksi, untuk apakah ia telah dipergunakan oleh tuannya semasa keduanya hidup di dunia.



Kalau dia menjalankan kerja-kerja yang baik sebagaimana diarahkan oleh tuannya, maka sudah tentu tuannya akan dikurniakan rahamat oleh Allah.


Tapi andainya komputer itu dipergunakan untuk tujuan yang tidak baik, untuk menipu, menggoda, menyebar fitnah, menyebar maklumat palsu, gambar-gambar bogel, maka sudah tentu penggunanya akan diadili dan akan menerima hukuman kerana menyalahgunakan komputer.



Oleh itu berhati-hatilah dalam mempergunakan komputer, jangan anda jadikan komputer sebagai saksi di hadapan Allah nanti bahawa anda telah melakukan kerja-kerja yang sia-sia dan bertujuan tidak baik untuk menipu daya manusia.



Ingatlah anda bukan komputer yang tidak diminta pertanggungjawab, tapi kerana anda manusia, maka anda akan diminta pertanggungjawab terhadap apa yang anda telah lakukan terhadap komputer anda itu semasa anda hidup di dunia bersama dengannya.



Jangan jadikan komputer anda itu sebagai saksi yang boleh memasukkan dan menjerumuskan kaki anda ke dalam kawah neraka jahanam.



Sebaliknya gunakan kompter itu dengan sebaik-baiknya yang boleh memberi markah tambahan kepada anda untuk melangkah ke syurga.



Ingatlah kepada doa Nabi Yusuf ketika berkata:



“Wafatkan aku dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang saleh”. Yusuf:101,



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP