Rahsia Kejayaan Winnie Loo

>> Tuesday, September 27, 2011


ASSALAMUALAIKUM, HELO SAYANG


RAHSIA KEJAYAAN WINNIE LOO



Waktu itu saya berada dalam kapal terbang, dalam perjalanan malam dari Subang ke Pengkalan Chepa. Setelah beberapa hari berada di KL saya dalam perjalanan pulang.



Selepas menulis sedikit catatan apa yang terlintas dalam fikiran, saya terlihat dalam poket tempat duduk di hadapan ada sebuah majalah terjulur keluar, lalu saya menariknya. Majalah itu berwarna warni, dan kertasnya tebal dan cantik walaupun tidak banyak muka suratnya.



Majalah itu berjodol “Setiatoday lifstyle”. Saya balik majalah bergambar itu muka demi muka, dan saya terpandang sebuah rencana berjodol “Out To Play” oleh Mark Gibson.



Entah kenapa saya tertarik hendak membaca rencana itu berupa wawancara penulisnya, Mark Gibson dengan seorang wanita yang termasyur dalam dan negara dalam kerjayanya.



Wanita itu ialah Winnie Loo. Pencarian saya seterusnya menyatakan beliau adalah seorang pendandan rambut yang terekenal bukan sahaja di Malaysia tapi juga di luar negara.



Beliau telah lebih daripada 35 tahun menceburkan diri dalam industri rambut dengan mendapat berbagai-bagai hadiah dalam bidang perdagangan yang diceburinya itu.



Beliau mempunyai 6 saloon di tempat-tempat yang strategik di Lembah Kelang dan mempunyai tak kurang daripada 280 pekerja.



Yang lebih menarik hati saya tentang Winnie Loo bukanlah kerjayanya, tapi rahsia-rahsia yang tersembunyi di sebalik kejayaannya.



Di dalam wawancara itu beliau secara singkat dan jelas menjelaskan rahsia-rahsia kejayaan itu yang sempat saya pungut untuk dijadikan pendorong kepada para peminat, khususnya kaum wanita.



Beliau antara lain menegaskan, “Saya seorang yang unik”.



Katanya, “Saya berjaya kerana saya tidak pernah merasa puas hati. Saya tidak pernah percaya saya telah melakukannya”.



Sedangkan kebanyakan kita pula selalunya merasa puas hati jika apa yang kita lakukan berjaya, apa lagi andainya usaha kita itu mendapat pujian dan sanjungan. Sikap ini sudah tentu dapat melemahkan kita untuk terus berusaha dengan lebih baik lagi.



Kata beliau lagi, “Rancangan akan datang pastinya selalu lebih baik daripada yang lepas”.



Dengan sikap ini sudah tentu kita akan berusaha lebih gigih lagi untuk meningkatkan pencapaian kita dalam bidang yang kita ceburi.



Kata Winne Loo seterusnya, “Dan saya seorang yang terlalu tekun bekerja. Saya rebut setiap peluang yang saya dapati”.



Memang benar kata beliau, tekun dan usaha adalah tangga kejayaan. Bersedialah untuk merebut semua peluang yang datang dengan segala daya upaya kita.



Sesuatu peluang keemasan yang datang, biasanya tidak datang berulang kali, malah biasanya hanya sekali sahaja, dan kalau peluang itu terlepas, bererti kita akan kerugian buat selama-lamnya.



Bekerjalah dengan tekun dan bersedialah untuk merebut peluang seperti Winne Loo ini.



Mengenai idea-idea untuk menghasilkan sesuatu, katanya beliau memperolehinya di mana sahaja beliau berada, dengan membuka mata dan telinga luas-luas memerhati keadaan keliling kelalang, tererutama daripada manusia itu sendiri yang banyak tingkah dan ragamnya.



Katanya dia mendapat idea di mana-mana sahaja, “Di mana-mana. Saya banyak kembara. Saya mendapat inspirasi daripada manusia, bangunan-bangunan, budaya, apa sahaja yang terpandang oleh mata saya”.



“Bila saya pergi ke kafe, saya selalu memerhati dengan tepat bagaimana manusia berpakaian dan mengemas diri mereka”.



Beliau juga memberi nasihat kepada mereka yang ingin memperolehi kejayaan supaya rajin dan sentiasa belajar. Itulah kunci kejayaan kepada setiap orang yang ingin berjaya.



Beliau menegaskan,“Selalulah ikuti keyakinan, impian dan keinginan anda. Rendahkah diri anda seperlunya untuk belajar berniaga. Jangan berhenti belajar”.



Serentak dengan itu, kata beliau, jangan fikir kita pandai dan mengetahui segala-galanya, kerana sikap ini akan menjadi batu penghalang kepada kita untuk terus belajar menimba ilmu.



Dalam hal ini beliau menegaskan, “Jangan fikir anda mengetahui segala-galanya”.



Tidak cukup dengan itu beliau memberi nasihat kepada kita supaya mencintai apa yang kita lakukan, mencintai kerja kita.



Beliau menegskan, “Cintailah apa yang anda lakukan”.



Kata beliau walaupun wang itu menjadi matlamat kerja kita, tapi kita tidak boleh menjadikan wang itu semata-mata sebagai pendorong, kalau kita inginkan kerja kita tidak terhenti separuh jalan.



Tegas beliau,“Dengan apa cara sekali pun, tujuan anda ialah untuk membuat wang, tapi jangan jadikan wang semata-mata sebagai pendorong, kalau anda tidak ingin usaha anda terhenti di situ”.



Beliau memberi nasihat supaya kita menentukan matlamat yang kita ingin capai, tanpa matalamat kita tidak akan berjaya dengan apa-apa usaha pun. Dalam setiap perjuangan penentuan matlamat itu penting.



Menurut beliau bila kita telah mencapai matlamat yang kita tetap, kita hendaklah memberi perangsang kepada diri kita. Perangsang itu menurut beliau ialah dengan memberi hadiah keapda diri kita sendiri.



Beliau ada cara sendiri memberi hadiah kepada dirinya. Katanya, ”Saya beli sebuah jam baru. Saya gemarkan jam kerana kepada saya jam adalah perangsang dan juga hadiah. Dan jam selalu mengingatkan saya untuk tepat dan membuatkan saya menggunakan sebaik-baiknya masa- dan tidak pernah membazirnya”.



Ya, menjaga masa adalah amat penting, jangan buat kerja sia-sia yang tidak memberi faedah. Semua masa yang telah berlalu itu tidak dapat dikembalikan. Sebaliknya penyesalan yang akan kita rasai kerana membuang masa dengan sia-sia.



Demikian pendapat Winne Loo yang amat berharga untuk kita, terutama kaum sejenis beliau, kaum wanita dalam megejar cita-cita dan kejayaan.



xxxxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Patukan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP