Doa Untuk Abby Abadi

>> Tuesday, October 11, 2011


ASSALAMUALAIKUM, WAHAI SAYANG


DOA UNTUK A BBY ABADI



Sejak akhir-akhir ini, kami sering terpandang kesah-kesah anda yang mencuit hati kami, dan membuat kami berfikir dan merenung jauh erti kehidupan ini.



Dan akhirnya terpanggillah hati kami untuk menyampaikan secoret gerak hati kami ini kepada anda yang disanjungii sebagai seorang insan seagama.



Kami bukan pakar motivasi tapi kami hanya berbicara sebagai seorang tua kepada anak-anaknya disanjungi itu.



Abby masih muda, cantik, berbakat dan berpotensi, mempumyai masa hadapan yang gemilang.



Ingatlah hidup di dunia ini bukan terhampar dengan kapet bunga mawar yang lembut dan sentiasa semerbak mewangi.



Malah hidup di dunia ini berselerak dengan duri-duri pokok bunga mawar yang sentiasa mencucuk jari jemari tangan dan kaki kalau kita tidak hati-hati menapaki hidup ini.



Ada masa kita naik, ada masa kita turun, kadang-kadang ke atas, dan kadang-kadang ke bawah seperti sebuah roda yang sentiasa berputar.



Justeru itu kita hendaklah sentiasa bersiap sedia dan berwaspada, kerana di sepanjang putaran roda hidup ini banyak perkara yang tidak diduga sama sekali mungkin berlaku.



Kalau kita jatuh juga dalam keadaan berwaspada, kita tidak akan merasa begitu beratnya bahananya sebagaimana andainya kita terjatuh dalam keadaan alpa.



Lagi pun kalau kita jatuh ke hadapan, lebih dekat ke arah destinasi yang kita tuju, daripada jatuh ke belakang.



Dan kalau kita jatuh juga dalam berwaspada itu, terimalah ia sebagai satu takdir Ilahi yang telah tersurat di sisiNya.



Bertenang dan bersabarlah. Sabar itu senjata hidup orang mukmin. Dunia ini pinjam-pinjaman yang akan ditinggalkan bila masanya tiba nanti.



Justeru bertemu dan berpisah adalah gandingan hidup di dunia ini. Bersama dan bercerai adalah fitrah alam fana ini.



Walau bagaimana pun sakitnya berpisahan, walau bagaimana tercalarnya hati dek perceraian itu, tapi ia memang tidak dapat dielakkan. Itulah takdir Ilahi sejak azali lagi. Itulah hakikat hidup dan mati.



Bangkitlah kembali. Tegaklah kembali. Kejayaan itu bukan kerana kita tidak pernah jatuh, tapi dalam bangkit kembali setiap kali kita jatuh.



Berapa banyak orang keliling kelalang kami yang tersungkur. Mereka menoleh ke belakang. Menilai baik buruknya. Merasa bersalah, lalu menukar langkah, mengubah haluan, dan akhirnya mereka berjaya sampai ke puncak dengan penuh penghormatan.



Tapi ada pula mereka yang terjatuh, terus tersungkur tidak bangkit-bangkit lagi kerana merasa lemah, kecewa dan putus asa yang membeban diri.



Ada juga yang jatuh, dan terbenam dalam lumpur, tapi tak mahu menukar langkah, terus juga tenggelam dan merangkak dalam lumpur dengan badan yang hanyir dan kotor. Tidak segan-segan masuk penjara, keluar penjara. Terkurung dalam sangkar syaitan.



Sebagai insan kami juga pernah dilanda badai dan gelombang. Kali terakhir ialah bila orang yang kami cintai tiba-tiba dijemput Ilahi kembali ke pangkuanNya. Istana yang kami bina sekian lama telah runtuh kerana saat ketentuannya telah tiba ditentukan oleh Maha Pencipta.



Lebih memilukan, kerana pemergiannya adalah berpunca daripada angkara orang yang cemburu dan dengkikan kebahagian kami.



Kami reda dengan ketentuanNya. Namun begitu, kesedihan dan kepiluan menyelubungi seluruh kehidupan kami. Terasa sebahagian daripada diri kami telah hilang. Pada mulanya kami merasa tidak mampu lagi untuk berdiri kembali dengan hati yang sebigini dukanya.



Tapi sedikit demi sedikit dengan izin Allah kami mampu untuk bangkit kembali untuk meneruskan sisa-sisa kehidupan ini dengan membawa kenangan lampau yang sentiasa bersemarak di lubuk hati kami.



Walau pun orang-orang yang kami kasihi itu telah pergi, tapi terasa-rasa semacam ia masih ada di sisi, berada bersama kami dalam lingkungan kami, segar dalam ingatan, dan hidup dalam mimpi.



Abby


Binalah hidup baru. Periksalah diri. Mahasabahlah diri. Kalau merasa pada masa yang lalu ada langkah yang salah, segeralah perbetulkan, cipta sasaran baru yang lebih unggul dalam menuju keabadian di sisi Allah SWT.



Cintailah Allah dan cintailah RasulNya. Mencintai Allah dan Rasul itulah sumber kebahagian yang abadi. Kerana di situlah sumber terpancarnya keimanan, dan keimanan itulah sumber kebahagian yang unggul yang hanya dirasai oleh orang-orang yang mencintai Allah dan Rasul.



Itulah yang dimaksudkan oleh Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni bila beliau menegaskan, “Sesungguhnya, jalan satu-satunya untuk mencapai kebahagian adalah dengan mengenal agama yang benar, iaitu yang dibawa oleh Rasulullah saw. Barang siapa yang telah mengenal jalan ini, maka tidak menjadi masalah baginya jika harus tidur di pondok dengan debu sebagai bantalnya, atau sepotong roti sebagai bekalannya, demi menjadi orang yang paling berbahagia di dunia”.



Sebelum itu, beliau telah mengkesahkkan sebuah cerita mengenai pertengkaran antara suami dan isterinya yang ada hubungannya dengan kebahagiaan hidup. Izinkanlah saya ulah sedikit cerita beliau itu sebagai berikut.



Seorang suami yang sedang bertengkar dengan isterinya, lalu berkatalah dia kepada isterinya itu, “Sesungguhnya aku akan mencelakakan kamu”.



Isterinya dengan tenang menjawab, “Engkau tidak akan mampu berbuat demikian”.



Suaminya bertanya, “Kenapa tidak?”.



Maka dijawab oleh isterinya, “Jika kebahagian itu berada dalam harta, memang engkau dapat menghalangnya dariku, dan jika kebahagian itu berada dalam perhiasan, engkau juga dapat menahannya daripada sampai kepadaku”.



Kemudian setelah berhenti sejenak dilanjutkannya dengan kata-kata, “Kebahagian itu bukan terletak kepada apa pun yang engkau miliki, atau dimiliki oleh manusia lainnya. Sesungguhnya aku menemui kebahagiaanku dalam imanku, dan imanku ada dalam hatiku dan hatiku pula tidak dapat dikuasai oleh sesiapa pun, melainkan oleh Tuhanku”.



Benarlah apa yang dikatakan oleh wanita itu. Kebahagian sejati itu terletak di hati, bukannya kepada benda-benda luaran yang rendah nilainya. Bukan kepada harta benda. Bukan kepada pangkat dan darjat. Di situ bukan sumber kebahagian.



Kami tidak mengatakan harta itu tidak perlu, kekayaan itu tidak penting, tapi bukan di situ letaknya sumber kebahagian itu.



Berapa ramai orang yang berharta, berapa ramai orang yang kaya raya, berapa ramai yang tinggal di istana di puncak kayangan, tapi tidak menemui kebahagian hidup, malah hidup menderita dan merana jiwanya.



Berapa ramai pula orang yang tinggal di gobak usang, di ceruk-ceruk kampung, tapi hidup dengan tenang dan damai, kerana hatinya bersalut dengan kesabran dan keimanan.



Anda masih muda, masih jelita dan mempunyai potensi sebagai seorang wanita yang berjaya. Anda masih tergolong orang yang bernasib baik, dan berpengharapan.



Cuba kenangkan apa yang berlaku pada Seniwati Sarimah, beliau menderita penyakit yang teruk, hampir meragut nyawanya. Tapi berkat kesabaran dan penyerahan dirinya kepada Allah, beliau telah dikurniakan rahmatNya.



Cubalah kenangkan Kak Yan [seniwati Azian Irdawaty], beliau mendapat ujian yang berat, sampai kini masih menghimpitnya, ditambah dengan tekanan problem keluarga, memberatkan lagi apa yang dipikulnya. Tapi nampaknya beliau masih boleh bertahan juga, walau pun kadang-kadang rintihan mengalir dari mulutnya.



Pandang Keliling


Cubalah dongakkan kepala ke langit, di waktu malam yang cuacanya indah, perhatikan nun di kejauhan, jutaan bintang bergayutan di dada langit biru dengan sinar kerlip gemerlapan sekian lama menggamit anda untuk membina sebuah istana pengharapan baru.



Cubalah dongak ke langit, di waktu bulan mengembang tertampal di dada langit lazuardi, dengan cahaya yang lembut memukau yang membisikkan kepada anda supaya mensyukuri segala limpahan nikmat-nikmat Allah yang tidak terhitung banyaknya.



Cubalah buka tingkap di waktu malam yang tenang, rasa-rasakanlah hembusan bayu halus, yang sejuk, segar dan nyaman membisik-bisikkan kepada anda untuk membina hidup baru di atas tapak istana yang telah berkecai.



Jenguklah ke sungai yang airnya sentiasa mengalir laju menuju ke muara tanpa tersekat atau terhalang, mengajak anda berjuang dengan segala tenaga dan kekuatan anda untuk sampai di distinasi yang di tuju.



Jejakilah ia sampai ke laut biru, yang ombak-ombak sentiasa melanda pantai, mengubah wajah pesisir yang mendesak anda supaya bangkit kembali melukis dan mewarna corak hidup baru anda mengikut cita rasa anda.



Pandang sekeliling kelalang anda, tengoklah pokok-pokok subur menghijau menyejukkan hati, mengajak anda supaya sentiasa hidup dengan jiwa yang tenteram dan damai.



Pandanglah anak-anak anda, merekalah warisan anda, sumber kekuatan hidup anda, untuk tegak kembali mengharung kehidupan walau pun laut bergelora dan berbadai.



Jadilah seperti seekor burung yang perkasa, walaupun patah sebelah sayapnya, terbang juga ia, membelah langit, meneroka angkasa, mengejar cita-cita.



Demikian dan demikianlah....



Anggaplah kami ini sebagai Pak Cik anda yang ingin melihat anda sentiasa hidup senang dan bahagia di sepanjang masa



Dari jauh Pak Cik doakan semoga Allah mengharmati anda dan keluarga anda, memimpin anda ke jalan taufik dan hidayah.



Amin.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalun


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP