Mari Kita Jalan Bersama

>> Wednesday, October 26, 2011


MARILAH KITA JALAN BERSAMA....……..



Kita manusia ini dijadikan Allah sebagai makhluk yang bergerak untuk membolehkan kita hidup dalam erti kata yang sebenarnya. Berbagai-bagai pergerakan terpaksa kita lakukan untuk membolehkan kita hidup, baik secara langsung ataupun tidak langsung. Jantung kita berdenyut secara langsung, tapi kaki dan tangan kita bergerak, setelah kita menggerakkannya untuk berbagai-bagai tjuan.



Justeru itu, jika kita tidak bergerak, atau kaku berti kita pengsan ataupun mati kerana kehilangan nyawa atau roh yang diambil kembali oleh Allah ke hadaratnya, biasanya kerana beberapa sebab pula, antaranya kerana diserang penyakit-penyakit tertentu yang merbahaya.



Walau bagaimanapun, kita sebagai manusia yang hidup bernafas memerlukan banyak bergerak untuk menjamin kesihatan kita yang baik, bukan sahaja bergerak untuk makan dan minum menggunakan kedua tangan kita, tapi kita memerlukan banyak melangkah menggunakan kedua belah kaki kita supaya kita hidup sihat.



Malah untuk tujuan tersebut, kita perlu banyak berjalan, menggunakan kaki kita untuk banyak melangkah, supaya jantung kita lebih kuat berdenyut, supaya kita lebih banyak mengeluarkan peluh dan membakar lemak-lemak dalam badan kita supaya kita hidup sihat.



Tapi malangnya kebanyakan daripada kita rakyat Malaysia, hidup secara tidak aktif dari segi fizikalnya. Mengikut YB. Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan seramai 5.5 juta atau 20,3 peratus rakyat Malaysia menjalani kehidupan yang tidak aktif secara badaniahnya.



Kehidupan yang tidak aktif bererti mendedahkan diri kita kepada berbagai-bagai penyakit NCD, iatu jenis penyakit-penyakit yang tidak berjangkit, seperti penyakit jantung, kencing manis dan sebagainya. Ertinya penyakit-penyakit itu kita perolehi sendiri kerana gaya hidup kita yang tidak menepati dengan keperluan-keperluan untuk hidup sihat.



Beliau seterusnya menjelaskan, akibat daripada gaya hidup yang tidak sihat itu, hasil kajian yang dijalankan oleh Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan ketiga mendapati bahawa sebanyak 14 peratus penduduk Melaysia menghidapi obesiti, 42.6 peratus darah tinggi dan 14.9 peratus menghidap penyakit kencing manis.



Selain daripada hidup yang tidak aktif yang menjadi punca kepada penyakit-penyakit tersebut, ada lagi faktor-faktor lain yang menjadi penyumbang kepada peningkatan penyakit-penyakit tersebut, iaitu merokok, pemakanan yang tidak baik dan tekanan.



“Apa yang lebih membimbangkan kita semua adalah peningkatan kemtian pramatang, iaitu mereka yang berusia 60 tahun ke bawah atau golongan masih produktif disebabkan penyakit NCD terutama jantung”. Tegas beliau.



Menurut beliau, pada tahun 2010, penyakit jantung adalah menjadi penyebab utama kematian di hospital-hospital kerajaan, iaitu sebanyak 25.4 peratus [11,812 orang], iaitu membabitkan sebanyak 35 peratus individu-individu produktif, iaitu berusia 60 tahu ke bawah.



Oleh itu bagaimanakah caranya untuk mengubah daripada hidup pasif kepada hidup aktif badaniahnya?



Salah satu daripada caranya ialah dengan BERJALAN, iaitu berjalan-jalan, tapi bukannya berjalan untuk cari-cari makan, atau berpeleser di lorong-lorong gelap, tapi berjalan-jalan untuk menambah kesihatan, dijadikan salah satu riadah yang berguna untuk jasmaniah kita.



Berjalan-jalan ini amat penting kepada orang yang hidup, baik dia lelaki atau wanita, masing-masing akan mendapat faedahnya yang tidak dapat dinafikan lagi. Berjalan akan menukar hidup kita yang tidak aktif kepada hidup aktif.



Berjalan Dan Wanita


Dari segi kesihatan, berjalan memberi kesan baik yang istimewa kepada kaum wanita. Percaya atau tidak, dikatakan, berjalan dapat mengurangkan risiko seseorang wanita daripada diserang penyakit kanser payudara yang amat menakutkan seluruh kaum wanita di mana-mana sahaja di dunia ini.



Untuk mendapat kesan yang baik itu mereka perlu berjalan lebih banyak secara tetap dan secara teratur. Menurut kajian wanita yang berjalan selama antara 75 hingga 150 minit seminggu dikatakan dapat mengurangkan risiko mereka mendapat penyakit kanser payudra, lebih daripada wanita yang tidak berjalan secara teratur dalam seminggu.



Dalam satu kajian lain, dikatakan wanita yang berjalan selama 90 minit seminggu mempunyai fungsi proses pemahaman dan pembelajaran jauh lebih baik daripada wanita yang berjalan selama 40 minit seminggu walaupun secara teratur. Justeru itu, makin banyak mereka berjalan, bererti kian baik kesannya kepada fungsi otak mereka.



Di samping itu, menurut kajian, dikatakan berjalan secara teratur setiap minggu juga dapat mencegah daripada mendapat kanser usus.



Tekanan Darah


Darah adalah salah satu bahan yang penting dalam badan yang menentukan kehidupan seseorang. Darah ini perlu beredar dengan sebaik-baiknya dalam badan manusia untuk menjamin kesihatan yang baik. Peredarannya dalam badan berkait rapat dengan jantung yang menjadi pengepam darah ke sekujur badan. Andainya jantung itu pincang, maka pincanglah pergerakan darah itu, dan bila pengedaran darah itu terguggat, maka bererti pincanglah kesihatan seseorang.



Ada berbagai-bagai pergerakan fizikal yang boleh memberi kesan kepada peredaran darah dalam badan, seperti bekerja dan beriadah yang tertentu. Peredaran darah itu perlu berjalan dengan stabil dan teratur. Berjalan adalah salah satu cara yang dapat menstabilkan peredaran darah dalam badan kita untuk menjalankan tugasnya dengan lebih baik.



Ketika kita berjalan, tekanan darah kita akan menurun, dan serentak itu juga fungsi kardiovaskuler, seperti jantung dan pembuluh darah dalam badan kita meningkat. Menurut pakar-pakar kesihatan, berjalan 30 minit sehari, selama tiga hari seminggu akan memberi kesan yang baik terhadap peredaran darah dalam badan kita, dan serentak itu juga memberi sumbangan yang efektif terhadap kesihatan kita pada umumnya.



Menguatkan Organ-organ


Menurut pakar-pakar kesihatan, berjalan dapat menyihatkan argan-organ kita yang penting, seperti jantung, tulang temalang anda dan juga sendi-sendi kita.



Dalam hal ini, berjalan dapat meningkatkan denyutan jantung dan memperkuatkan otot-otot kita. Berjalan juga dapat membakar lemak atau kolestrol yang biasanya menganggu kesihatan, khsusnya jantung kita daripada berfungsi dengan baik untuk menjamin kesihatan jasmaniah kita



Dengan itu bererti kalori dalam badan kita akan terbakar, dan ini mengurangkan peluang kita untuk mendapat serangan jantung. Justeru kian banyak kita berjalan, kian jauh kita melangkah, bererti kian banyak kalori yang terbakar dalam badan kita. Maka dengan itu bererti bertambah besar peluang kita untuk bertambah sihat dan cergas dan kian jauh kita daripada penyakit yang merbahaya.



Menurut kajian, berjalan dapat mengurangkan bebanan stress atau tekanan yang sering menjadi punca kepada berbagai-bagai jenis penyakit yang biasanya sukar untuk dirawat mengikut kaedah yang normal. Kurang tekanan bererti kurang peluang kita mendapat penyakit yang mendapat menjamin kesihatan kita yang segar bugar.




Sedangkan kesihatan yang baik akan menjadikan wajah kita sentiasa berseri dan ceria yang menjadi kunci kepada awet muda.



Justeru sesiapa yang inginkan awet muda, terutama para wanita, banyakkanlah berjalan-jalan dengan tujuan yang baik.



Malas Berjalan


Namun begitu, kebanyakan kita malas untuk berjalan. Kita lebih suka berkenderaan, menaiki motokar atau motosikal daripada berjalan kaki, walaupun untuk perjalanan yang singkat. Kita lebih suka menaiki lift, walaupun untuk naik ke tingkat satu, daripada mendaki beberapa batang anak tangga sahaja yang disediakan di sesebuah bangunan yang berguna untuk membina kesihatan kita



Pada masa terluang pula kita lebih suka berlepak di hadapan kaca tv menuntun sesuatu siaran yang tidak memberi faedah kepada kita, selain daripada menghidupkan emosi yang tidak membawa kita ke mana-mana, malah tidak jarang pula menggerakkan nafsu semata-mata.



Berjalan memang amat berguna untuk membina kesihatan yang baik, iaitu berguna untuk orang yang sakit, untuk membantu pemulihan kesihatannya, dan juga berguna untuk orang yang sihat, untuk menambahkan lagi kesihatannya. Kesihatan yang baik itu pula, terletak pada badan yang sihat, dan badan yang sihat itu pula dapat menampung otak yang cergas. Ia kait mengait antara satu sama lain.



Berjalan berguna untuk orang tua dan orang muda, berjalan baik untuk kanak-kanak sebagai suatu riadah yang berkesan untuk membina kesihatan. Justeru marilah kita semua banyak berjalan, carilah peluang untuk berjalan-jalan di waktu-waktu yang sesuai, baik pagi atau petang, dan ianya sejenis riadah yang percuma, tanpa memerlukan perbelanjaan yang khsusus seperti riadah-riadah yang lain, ia tidak memerlukan peruntukan yang khusus untuk melakukannya.



Kalau tidak dapat berjalan di luar, di tempat-tempat terbuka, di taman-taman, atau menyusuri jalan-jalan, kerana sebab-sebab tertentu, berjalanlah di sekitar kawasan rumah, kalau tidak dapat juga, berjalanlah dalam rumah, dengan pergerakan “pergi mari” yang akan memberi kesan kepada jasmaniah kita.



Kalau rumah kita tidak begitu jauh dari surau atau masjid, dan keadaan mengizinkan, maka berjalanlah kita ke surau atau masjid, lupakan buat sementara kepada motosikal dan motokar.



Semasa kita berada di Tanah Suci Mekah, untuk umarah atau ibadat haji, kita banyak berjalan, berjalan ketika tawaf, atau ketika saie, tanpa menggunakan kenderaan, kecuali mereka yang uzur terpaksa diusung. Malah dari penginapan kita, atau hotel ke Masjidilharam pun kita berjalan juga. Kenapa sampai ke rumah kita tidak boleh berjalan?



Pendeknya berjalan, dan berjalanlah, dan terus berjalan selama kita boleh berjalan.



Marilah kita jalan bersama, mencari keindahan, berjalan menuju Allah.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih,Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP