Meniti Kebahagian Hidup

>> Monday, October 24, 2011


MENITI KEBAHAGIAN HIDUP




Anda sebagai insan sudah tentu inginkan kebahagian, dan berusaha keras untuk meraih kebahagian itu. Malah setiap orang yang normal bercita-cita dan berjuang untuk mencapai kebahagian. Dalam perjuangan itu ada yang tersesat jalan, ada yang kecewa tidak kesampaian, dan tidak jurang pula mereka yang berjaya mencapai kejayaan yang mereka impi-impikan itu.



Syukur alhamdulillah kepada yang berjaya. Sabarlah kepada yang kecewa, dan teruslah meningkatkan usaha sehingga berjaya.



Ada berbagai-bagai faktor yang menjadi sumber kebahagian dan sebaliknya ada berbagai-bagai faktor pula boleh menjadi battu penghalang kepada seseorang untuk mencapai kejayaan atau merosakkan kejayaan yang telah mereka miliki itu. Dan segala faktor itu hendaklah dikenali dan diatasi dengan cara yang sebaik-baiknya supaya kebahagian yang kita rindui itu insyallah tetap menjadi milik kita dan kekal bersama dengan kita.



Gundah-Gulana


Cubalah anda toleh ke belakang, adakah anda pernah merasa dukacita, putus asa atau gundah gelana kerana sebab-sebab tertentu? Dan bagaimanakah cara anda mengatasinya?



Menurut ahli-ahli jiwa, cara yang paling berkesan untuk mengatasi kegundahan yang menyelimuti diri anda ialah dengan jalan menghulur bantuan dan pertolongan kepada orang lain yang memerlukannya. Pertolongan-pertolongan itu boleh disampaikan dalam bentuk kebendaan, seperti memberi sedekah wang ringgit, pakaian dan makanan-makanan kepada orang yang ditimpa kesusahan dan juga dalam bentuk bukan kebendaan, seperti memberi sumbangan tenaga tulang empat kerat, buah fikiran atau nasihat-nasihat yang berguna yang memang diperlukan.



Allah berfirman, “Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? [iaitu] kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya”. Ash-Shaff:10-11.



Di samping itu anda yang berada dalam kegundahan itu patut mencari sahabat anda yang jujur dan setia dan boleh dipercayai yang bersedia untuk mengkongsikan problem-problem yang anda hadapi. Anda boleh mencurahkan segala masalah yang anda hadapi kepadanya, dan sebaliknya pula anda bersedia mendengar pandangan-pandangan dan nasihat-nasihat yang berguna yang mungkin disampaikannya kepada anda.



Inilah yang dimaksudkan oleh George Bernard Shaw, bila beliau menegaskan, “Kita tidak lagi berhak untuk menikmati kebahagiaan tanpa menghasilkannya, sebagaimana kita tidak berhak untuk menikmati kekayaan tanpa menghasilkannya”.



Ingatlah mereka yang semata-mata memburu kepuasan hidup tanpa mengira halal atau haram akan menempuh pengalaman pahit yang tidak menyenangkan, malah mungkin akan ditimpa kecelakaan dan penyesalan. Perhatikanlah apa yang telah berlaku ke atas individu-individu yang suka berpeleseran, terlibat dengan dadah, hiburan melampau dan berbagai-bagai aktiviti kemaksiatan lagi. Bagaimana kesudahan nasib mereka?



Mengambil Berat Hal Orang Lain


Sebaliknya mereka yang berfikir tentang orang lain, kebahagian orang lain, menjaga kepentingan mereka, memberi bantuan dan pertolongan kepada yang memerlukannya dan bergembira dan bersyukur bila melihat orang beruntung, senang dan gembira, dan ini sudah tentu akan menjadi sumber kebahagian yang besar kepada seseorang.



Memiliki kebahagian itu amat penting baik dari segi jasmani dan rohani. Kebahagian amat penting dari segi kesihatan, kerana ia dapat menyingkirkan segala emosi yang tidak diingini, yang merosakkan dan melesukan daripada diri kita, seperti perasan marah, cemburu, dengki, iri hati dan dendam kesumat yang semuanya dapat membinasakan diri seseorang yang ditungganginya.



Jauhkan Fikiran Negatif


Untuk hidup bahagia, kita mestilah mengenyahkan jauh-jauh segala rupa pemikiran yang negatif dan mengelakkan diri daripada hidup bergelumang dengan penyesalan yang tidak berkesudahan dan tenggelam dalam kebimbangan dan kesedihan yang membinasakan diri anda. Yang perlunya, jika anda telah terserandung langkah, tersalah tuju, anda hendaklah kembali ke pangkal jalan, mulakan langkah baru, dengan rancangan dan niat baru setelah dipertimbagkan dengan saksama sambil memanjatkan doa kepada Allah SWT. Bertaubatlah kepada Allah. Memohon keampuuan dan keredaanNya.



Menurut pakar-pakar jiwa, kita memang boleh mengawal fikiran kita yang menguasai emosi kita yang memain peranan yang besar dalam kehidupan setiap insan, di samping itu kita perlu menjaga fikiran kita itu supaya sentiasa cekap dan murni untuk membolehkan kita hidup dalam keadaan stabil dan harmoni.



Bersyukur


Cubalah rasakan. Anda akan merasa lebih gembira, lebih selesa dan bahagia dengan tersenyum dan bersyukur, daripada mengerut kening, marah-marah dan merepek-repek dan merungut-rungut dan membebel kerana perkara yang berlaku tidak mengikut kehendak anda yang menjadi punca kegagalannya.



Syukurlah dengan apa yang kita miliki. Berpuas hatilah dengan nasib yang Allah tentukan untuk kita. Jangan menyanggah takdir. Dan jangan pula berpeluk tubuh tanpa usaha untuk mengubah nasib. Cuba perhati keliling, ramai orang lebih buruk nasib dari kita, malah ada yang jadi manusia jalanan yang tak tentu makan minumnya, tak tentu di mana tidurnya, merempat ke sana ke mari. Tempat kediamannya bukan pondok, tapi kaki lima.



Itulah dikatakan oleh ahli falsafah Epicurus, “Kepuasaan hati diperolehi bukan kerana kaya raya, tapi kerana sedikitnya keperluan”.



Kebahagian tumbuh di bumi milik kita, bukanya di taman milik orang lain yang tidak kita kenali. Hanya taman kepunyaan kita yang usahakan akan menghasilkan bahan-bahan yang kita perlukan untuk kita nikmati. Oleh itu berusahalah untuk menanam dan menyuburnya dengan penuh tanggungjawab dan wajar dalam batas-batas iman dan takwa.



Janganlah anda merasa kagum dan cemburu bila melihat seseorang yang menunjukkan keceriaan dan kegembiraannya, kerana anda tidak dapat melihat apa yang tersembunyi di sebalik mukanya dan apa yang membakar di celah-celah lipatan hatinya.



Rahsia Alam


Allah jadikan alam ini untuk kita bergembira, kiranya kita tahu mempergunakan segala kemudahan-kemudahan yang terdapat di dalamnya.



Berusahalah untuk membuat orang lain bergembira. dengan itu anda tidak akan ada masa untuk berfikir buruk terhadap diri anda sendiri.



Ambisius Nyata


Memanglah baik untuk mempunyai ambisius yang boleh dicapai, ianya merupakan sesuatu yang bernilai untuk diperjuangkan. Orang-orang yang mempunyai tujuan hidup ang mulia adalah orang-orang yang berbahagia.



Kesihatan


Sungguh pun kesihatan yang baik itu amat penting, tapi kesihatan bukan menjadi faktor utama kepada kebahagian hidup. Cuba perhatikan berapa ramai yang sepanjang hayatnya terpakasa hidup menanggung kesakitan yang menimpanya, dan hidup mereka terpaksa bergantung kepada bantuan ubat setiap hari, tapi mereka masih boleh hidup dengan riang dan gembira. Mereka bersyukur dengan keadaan yang Allah kurniakan kepada mereka dan reda dengan ketentuanNya.



Kekayaan


Demikian juga dengan harta kekayaan yang menjadi sumber kesenangan hidup, tapi ia bukannya penyumbang utama kepada kebahagian hidup. Cuba perhatikan berapa ramai orang yang hidup susah, dilingkari oleh kemiskinan, tapi mereka masih boleh hidup senang dan gembira, seolah-olah tidak ada apa yang membebankan mereka. Mereka bersyukur dengan takdir Ilahi, dan hidup seada-adanya dengan apa yang dikurniakan Allah kepada mereka. Sebaliknya cubalah perhatikan berapa ramai orang yang kaya raya, senang dan mewah, tapi mereka hidup menderita kerana berbagai-bagai problem yang berpunca daripada kekayaan dan kemewahan hidup mereka; kesihatan mereka terganggu, anak-anak mereka bercelaru dan terbiar, perasaan dan jiwa mereka terseksa dan menderita. Semuanya berpunca daripada mereka sendiri.



Allah berfirman, “Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu, adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar [dari kesalahan-kesalahanmu]”. Asy-Syuura: 30.



Namun begitu, jika anda memiliki kesihatan yang baik, dan memiliki harta kekayaan, bersyukurlah kepada Allah dan nikmatilah kekayaan Allah itu dengan saksama dan wajar sebagaimana digariskan oleh Allah SWT.



Malangnya sebahagian dari kita yang memiliki harta kekayaan itu menilai harganya terlalu tinggi, lebih daripada sepatutnya, seolah-olah harta kekayaan itulah segala-galanya kepada mereka. Dalam keadaan begini, kepada mereka, harta itu bukan lagi semata-mata alat untuk mencapai maksud dan tujuan mereka, tapi menganggap harta itu dapat memberi kemuliaan dan kebahagian kepada mereka. Kerana itulah mereka mencari harta, mengumpul harta, menimbun harta dengan harapan harta itu akan memberi kemuliaan dan kebahagian kepada mereka.



Dengan itu mereka telah kehilangan arah dan tujuan, kehilangan kemerdekan diri, kehilangan cita-cita dan pengharapan yang murni, kerana harta telah mengikat mereka, membutakan mata dan hati mereka di dalam kegelapan. Demikianlah peranan harta yang telah disalah terima oleh sebahagian dari kita, yang anggup brkorban apa sahaja untuk memburunya siang dan malam.



Ingatlah di sebalik segala keburukan yang berlaku mesti ada rahsia-rahsia tersembuyni yang tidak dapat kita selami maksudnya. Justeru kita hendaklah mencari kebaikan di sebalik segala keburukan yang berlaku.



Bertenang


Salah satu lagi faktor yang harus diberikan perhatian untuk hidup bahagia ialah kepandaian untuk bertenang, mengkaji diri sendiri, mahasabah, menghisab-hisab diri, menilai untung dan rugi, dan mencari salah dan silap yang terlanjur kita lakukan, kemudian berusaha untuk membaiki kelemahannya, mengatasinya, mengobatinya terutama dari segi kerohaniannya.



Jika anda berbuat sesuatu, lakukan dengan sungguh-sungguh dan dengan penuh minat tanpa berbelah bahagi. Ia akan memberi sumbangan kepada kebahgian hidup anda.



Anda hendaklah sentiasa hidup gembira setiap hari dalam kegembiraan yang diredai Allah, tanpa mengira usia anda, baik anda seorang muda ataupun orang tua. Setiap hari carilah pengalaman-pengalaman yang baru dalam hidup anda, terutama pengalaman kerohanian kepada orang-orang yang telah berusia, ia akan menjadi pertolongan yang besar kepada mereka utnuk berbahagia di dunia dan berbahagia di akhirat.



Jika kita ingin menikmati hidup ini, kita mestilah sentiasa bersikap waspada dan responsif, iaitu sikap mudah menerima. Justeru bukalah luas-luas mata anda, telinga anda, malahan juga minda dan hati anda sepanjang masa untuk membolehkan anda menangkapi segala yang berlaku di sekeliling kelalang anda dan menyelami rahsia-rahsia keajaibannya yang akan membuka pintu kepada anda untuk memegang tali Allah.



Optimis


Orang-orang bahagia ialah orang yang berpengharapan dan optimis atau sangkaria, selalu berjalan dalam cahaya yang terang dalam hidup yang bersempang siur ini. Mereka selalu merasa puas hati dengan kehidupan ini. Itulah pegangan dan falsafah hidup mereka.



Ingatlah apa yang kita fikir itulah kita, kerana itu kepercayaan membuat kita, menjadi kita. Justeru jangan fikir yang bukan-bukan dan jangan percaya yang bukan-bukan nanti anda akan kecundang dan terdampar di lubuk penderitaan dan penyesalan yang tidak bertepi.n



Ingatkan Allah


Setiap masa anda hendaklah sentiasa mengingat Allah. Kekalkan kontak anda dengan Allah. Jangan biarkan ia putus terburai walaupun sedetik, walau dalam apa keadaan dan di mana pun anda berada sekalipun, di darat, di laut, di angkasa, dalam kenderaan, dalam rumah, di tempat membeli belah dan sebagainya.



Amalkan segala perintah Allah. Jauhkan segala larangannya. Selalu berpegang kepada tali Allah. Jangan lalai solat, puasa dan jangan lalaikan hubungan dengan manusia dengan memupuk semangat mahabah dan kasih sayang dalam erti kata yang sebenarnya. Lakukan semua perkara dengan ikhlas.



Solat dan membaca al-Quraan mempunyai sumbangan yang besar terhadap kebahagian hidup anda. Orang yang benar-benar bersolat tidak sanggup melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam. Allah perintah lain, tapi lain yang kita lakukan. Kemunkaran yang dilakukan itulah yang menjadi sumber kecelakan kepada manusia. Hidup orang bersolat itu terkawal yang menyebabkan mereka hidup tenang dan bahagia dalam keredaan Allah.



Teruskan Perjalanan


Teruskan perjalanan kita mencari kebahagian dengan mengikut garis-garis yang telah ditentukanNya, dengan doa dan harapan dihujungnya kita akan bertemu Allah, sumber kebahagian yang sebenarnya di dunia dan akhirat.



Kata bapak HAMKA, “Marilah kita tempoh, dan kita teruskan perjalanan, tak usah kita kaji jauh dan dekatnya, kerana itu bergantung kepada usaha kita juga. Kalau kita mati dalam perjalanan itu, dan gunung itu masih jauh juga bukankah kita mati kerana Dia? Demi bila mana kelak kita bertemu dengan yang menciptanya, yakni dengan Tuhan, akan kita jawabkan terus terang, bahawa kita mati dalam mencariNya, mati di dalam gelumbang percintaan kepadaNya.



Tentu akan ditimbangNya! Sebab Dia belas dan kasihan!.



Allahu Akbar”.



Dan bacalah, “Katakanlah, “Saya pohon pelindungan kepada Tuhan manusia. Raja manusia. Sembahan manusia. Dari kejahatan godaan syaitan yang bersembunyi. Yang menggoda di dalam dada manusia. Dari bangsa jin dan manusia”. An-Nas: 1-6.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP