Rasuah Dan Tipu Dalam Bisnes

>> Wednesday, October 12, 2011


Rasuah Dan Tipu Dalam Bisnes



Petang tadi saya menerima panggilan telefon dari seorang rakan dari ibu negara, KL. Beliau seorang bisnesman. Tujuannya menelefon hanya sekadar bertanya khabar dan berbual-bual kerana lama tidak berjumpa.



Beliau untuk sekian kalinya mengulangi, bahawa beliau menjalankan bisnesnya secara bersih. Tidak main songlap, rasuah atau pintu belakang. Namun bisnesnya tetap jalan juga.



Namun begitu, katanya kadang-kadang beliau terlepas juga sesuatu projek besar yang menjadi sasarannya, kerana enggan menghulurkan duit kopi yang jumlahnya bukan sedikit pula.




Tidak jarang pula yang diminta oleh para perunding itu bukan sahaja wang ringgit, tapi juga habuan-habuan seks yang istimewa.


Tapi katanya, beliau tidak pernah melayannya. Katanya kalau projek memang rezekinya, dapatlah, dan kalau bukan rezeki, tak dapatlah. Beliau reda, katanya.



Pada waktu itu, katanya beliau baru sahaja selesai berunding dengan pegawai-pegawai atasan sebuah syarikat perdagangan mengenai suatu projek yang diminatinya. Mereka yang ditemuinya itu bukan orang tengah, tapi mereka yang mempunyai kuasa membuat keputusan mengenai projek itu.



Walau bagaimana pun, mereka masih belum boleh memberi keputusan muktamad kepadanya sehingga pagi besok.



Apa yang tidak menyenangkannya ialah di akhir perbincangan itu seorang daripada pegawai syarikat tersebut memberitahunya bahawa beliau tidak akan berjaya dalam bisnenya kalau beliau enggan atau takut untuk memberi rasuah.



Antara lain, kata lelaki tersebut, “Hari ini you tidak akan berjaya dalam bisnes kiranya you tidak bersedia untuk memberi korupsi. Untuk mendapat bisnes hari ini awak mesti berani beri rasuah, kalau tidak, jangan harap you akan berjaya”.



Walau bagaimana pun dia hanya tersenyum, tidak menjawab apa-apa untuk mengelak daripada timbul kontroversi.



Tapi dalam hatinya beliau amat kesal bagaimana sebagai sorang Islam lelaki itu boleh bercakap seperti itu, Tidak sedar dirikah dia? Tidak tahu dosa pahalakah?



Dan dalam hatinya dia berkata, “Bagiku agamaku, dan bagimu agamamu”.



Katanya kepada saya sebagai seorang Islam, lelaki itu tidak sepatutnya bercakap seperti itu.”Depa tak nak matikah?”.



Dan beliau beristighfar banyak-banyak, sambil mohon ampun kepada Allah dan supaya ditetapkan hatinya serta diberikan perlindungan kepadanya supaya tidak tergelincir dari jalan yang benar.



“Tolong doakan untuk saya bang”, katanya mengakhiri perbualan.



Tipu


Sebaik-baik sahaja beliau mematikan telefonnya, saya pun teringat perisitwa yang berlaku ke atas seorang sahabat saya yang dikenali dengan panggilan Pak Cik K. Beliau juga seorang peniaga di Bandar KB ini. Jarang orang yang seangkatan dengannya di Bandar KB ini yang tidak mengenali beliau.



Pada masa itu antara barang yang diperniagakannya ialah buku-buku dan kain batik. Beliau mempunyai sebuah tokoh buku di bandar ini, tapi selepas beliau meninggal toko buku itu telah ditutup.



Di samping berniaga, beliau juga seorang tokoh politik tempatan yang banyak memberi sumbangan kepada partinya.



Pada mula-mula membuka kedai perniagaan dahulu, di sebelah toko bukunya itu ada sebuah kedai borong barang-barang makanan. Kedai itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Perniagaannya cepat berkembang.



Ia diuruskan oleh sepasang suami isteri yang telah berusia dan dibantu oleh beberapa anak-anaknya. Kedai itu berloteng, satu tingkat. Loteng itu bukan sahaja digunakan sebagai tempat tidur, tapi juga sebagai stor untuk menyimpan barang-barang simpanan sebelum dimasukkan ke pasaran.



Di kedai itulah mereka berniaga, mereka makan, berumahtangga dan tidur serta beranak-pinak.



Pada suatu hari, sahabat saya Pak Cik K itu mengambil kesempatan masuk ke kedai tersebut untuk berbual dengan empunyai kedai itu. Bila bercakap fasal perniagaan, maka bertanyalah sahabat saya itu kepada tuan empunyai kedai tentang rahsia kejayaan perniagaannya yang begitu pesat.



“Oh itu, kata tuan kedai. “Begini sahajalah. Tapi perkara ini Haji tak boleh buat, Haji tak boleh ikut saya”. Dia memanggil sahabat saya itu haji, dan memang pun dia seorang haji. Pada masa itu saya masih muda, dan beliau sudah mencapai usia warga emas.



“Kenapa?”, Tanya Pak Cik K. khairanan. “Apakah rahsianya?



“Begini”, katanya, “Haji seorang Islam, Haji tak boleh buat macam saya. “Tengok saya ni”.



Setelah berhenti sejenak lalu dia pun menjelaskan, “Tengok pakaian saya ni. Saya pakai baju singlet dan seluar pendek macam ini setiap hari, Ini sudah beberapa hari saya pakai”.



“Saya boleh tidur di celah-celah barang-barang ini, di celah-celah guni gandum, bawang, gula, di celah-celah kotak susu, sabun, biskut dan sebagainya”.



“Tapi Haji orang Islam. Haji mesti mau sembahayang. Macam mana Haji mahu sembahayang di tempat yang seperti ini? Haji sembahayang bukan macam saya sembahayang”. Sambungnya lagi.



Katanya yang tinggal di kedai itu bukan sahaja dia suami isteri, tapi juga beberapa orang anaknya, termasuk yang masih bersekolah, dan seorang daripadanya telah berkahwin.



“Kami berniaga di sini, makan di sini, dan berkeluarga dan beranak- pinak di sini”.



“Saya makan nasi lembek dengan kacang tanah goreng, sayur kangkong dan ikan bilih goreng setiap hari…..”.



Kemudian berkata lagi lelaki itu, “Haji orang Islam, Haji tak boleh buat macam saya. Haji tak boleh main timbangan, kurangkan sukatan gandumkah, gulakah, minyakkah dan sebagainya?”.



“Kalau tidak boleh buat semua itu, payah untuk mendapat untung banyak dan cepat, dan perniagaan lambat naik”.



Demikian antara penjelasan empunya kedai itu, seorang bukan Islam kepada sahabat saya Pak Cik K yang dipanggilnya Haji itu.



Demikianlah ceritanya.



Walau bagaimana pun, penjelasan yang dibuat oleh lelaki peniaga bukan Islam ini lebih baik dari lelaki yang berbincang dengan sahabat saya di ibu kota petang tadi. Dia lebih tahu, orang-orang Islam tidak boleh buat kerja-kerja kotor, kerja-kerja haram, tapi lelaki Islam yang berunding dengan sahabat saya tadi, menggesa sahabat saya supaya bekerja kotor, memberi rasuah dan mencela mereka yang enggan mengerjakannya.



Saya lalu teringat kepada pendapat seorang ustaz di suatu majlis kuliah, dan dalam kuliah itu, antara lain belaiu menyentuh perkara-perkara haram kepada orang Islam untuk melakukannya, antaranyau rasuah dan menipu.



Dalam catatan-catatan saya di kuliah itu dua perkara tersebut memang dilarang keras untuk dilakukan oleh umat Islam.



Antaranya terdapat catatn seperti berikut:



Allah berfirman:



“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil……”.Al-Baqarah:188.



Baginda Rasulullah saw. Bersabda:



-“Rasulullah telah melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam penetapan keputusan [pemerintah, pentadniran, kehakiman dan lain-lain]”,HR:Tirmidzi.



-“Wahai Kaab bin Ujrah:Tidak masuk syurga sesiapa yang tumbuh pada dagingnya daripada sesuatu yang haram, nerakalah lebih utama baginya”. HR:Ahmad.



xxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP