Surat Buat Kak Chah

>> Tuesday, October 4, 2011


ASSAMUALAIKUM, HELO SAYANG



SURAT BUAT KAK CHAH



Bingkisan dari Allahyarham: Mustafa Jusoh*



Assalamualaikum,



Kembali menemui Kak Cah setelah sekian lama membisu. Semuga kakak sekeluarga selamat sejahtera. Apa khabar kak? Apa khabar Abang Bil. Aida, Rozai, Nira, Aju, Nana, Fara dan Ika? Semuga mereka semua dalam bahagia. Ah, terlalu rindu hati ini kak.....



Telah lama benar kita tidak saling mengutus berita ya? Maklum sajalah. Bukan tak ingat, saja tak sempat meluangkan waktu yang amat terbatas.



Fa di sini alhamdulillah. Sihat dan gembira. Tak putus jua rasa syukur, cuma sedikit sibuk dan teruk dengan kuliah. Saat bersama teman-teman sekampus di sini terasa pula kesal pada masa lampau. Betapa masa berlalu dan kita tidak merebut peluang untuk mencapai kejayaan lebih awal. Namun mujur juga Fa tidak terlalu lewat untuk mencapai cita-cita keluarga. Entahlah kak, mengapa dalam keluarga kita, Fa menjadi terlalu berbeza dengan ahli keluarga yang lain. Bahkan kadang-kadang terlalu asing.



Masih ingat lagi sewaktu di rumah dulu [lama dulu, waktu masih dibangku sekolah] sejak bangun dari tidur sehingga pergi sekolah dan berbuat apa saja, perlu disuruh dan dipaksa. Dan pernah sekali [atau mungkin lebih] Mek dan Kak sampai menangis dengan kedegilan Fa. Fasal kemas tampat tidur dan kain tuala yang diletakkan sesuka hati lepas mandi. Entah berapa kali kak membebel hingga menangis sakit hati. Ingatkah lagi kak?



Maaflah kak,


Kalau masa ditakdirkan berulang, tak akan rela lagi Fa membiarkan walau setitik pun air mata keluarga tumpah kerana kedegilan begitu. Kedewasaan telah banyak mengajar Fa erti hidup. Terima kasih atas segala budi baik Kakak yang tidak mungkin terbalas.



Fa kini dah pindah rumah. Lebih dekat dengan USM. Untuk memudahkan perjalanan menghadiri kuliah. Maklumlah, kita yang tak dapat biasiswa ini, tak ada tempat di asrama semacam anak tiri, pula! Tetapi yang pentingnya kejayaan ya, kak? Kata orang, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan” . Duduk rumah baru ni, tak payah lagi naik bas. Cuma menahan letih jalan kaki naik bukit aje! Biarlah, jimat sedikit duit belanja.



Entahlah kak,


Kalau dibandingkan dengan abang-abang yang lain, Fa ni apalah yang silapnya. Terlalu malas dan beku. Dah tua-tua begini baru nak sedar dan insaf. Lihatlah Abang San yang berjaya terus “melompat” ke darjah lima sekolah Inggeris kerana otaknya cerdas. Begitu juga dengan Abang Din, walaupun dah bekerja masih juga gigih nak belajar. Dia masuk UM dan berjaya dengan cemerlang. Dan apa yang berlaku pada adik Azmi. Dalam usia begitu muda dah terbang ke London. Sekali fikir tu, terasa iri hati juga pada mereka. Namun setelah diamati, ternyata memang salah sendiri! Kurnia Tuhan memang sama: silapnya kita yang tidak menunaikan tanggung ajwab sebagai khalifah Allah di muka bumi. Jadi, apa yang harus dikesalkan pada masa lalu? Masa depan yang mesti diperjuangkan! Terlanjur Yang Maha Kuasa memberikan kesempatan, Fa bersysukur kak.......



Seperti kata kakak, “Menyesal dahulu pendapatan........”.Biarlah Kak, walaupun ini Cuma kejayaan kecil untuk keluarga kita namun ianya amat besar untuk diri Fa sendiri. Masuk U Cuma untuk mendapatkan sijil, bukan ijizah macam mereka. Malah nasihat kakak, “Apa pun kejayaan dalam hidup kita, adalah tetap kejayaan. Lebih baik daripada menyerahkan hidup kepada nasib semata-mata. Iri hati dan sifat rendah diri hanya akan merosakkan hidup kita dengan angan-angan yang kosong. Akhirnya akan terdedah kepada kehancuran. Keluarga kita miskin harta tetapi kaya ilmu dan budi bahasa”. Menguatkan semangat dan azam Fa untuk membuktikan kejayaan itu adalah milik orang yang berusaha. Terimakasih kak, Fa masih ingat itu.



Memang tidak sia-sia kak,


Selain dari nasihat kakak dan kuliah di kampus ini, Fa juga mendapat kekuatan semangat daripada kawan-kawan. Di samping mengikuti kuliah, Fa juga bergiat dalam bidang teater. Sambil pula di waktu terluang, Fa cuba-cuba menulis karya-karya kreatif untuk akhbar dan majalah. Boleh juga menambah belanja selama berada di rantau orang.



Baru-baru ini Fa bercuti seminggu ke Kampung Sireh. [Maaflah tak sempat lagi ke rumah kakak di KL. Mungkin cuti semester depan. Insya’Allah]. Semua di rumah: Mek, Ayah dan Liza sihat. Kebetulan pula hari itu [sebelah malamnya] Teh dan ayah Soh tiba di rumah, baru balik dari tanah suci Mekah. Syukur alhamdulillah dapat sempat jumpa mereka berdua yang kelihatan sihat dan tambah berisi. Teringat pula giliran Ayah dan Mek kita, bila lagi agaknya ya?



Sewaktu dalam cuti itu juga, Fa sempat menghadiri satu majlis ceramah sastera di daerah kelahiran kita. Salah seorang daripada penceramahnya asyik pula menyebut-nyebut nama kakak sebagai contoh penulis wanita yang paling aktif menulis skrip drama radio. Betapalah bangganya hati ini kak!



Ah, kakak mungkin tak akan percaya atau terperanjat kalau Fa mengatakan bakat kakak itu kini mengalir dalam tubuh Fa. Tetapi itulah kenyataannya kak. Satu skrip radio yang Fa hasilkan beberapa bulan dulu telah diterima untuk siaran [sayang sekali kakak tidak dapat mendengar siaran radio kawasan utara ini]. Bahkan skrip drama tv yang akan disiarkan minggu depan, hanya terhasil dalam masa sebulan! [semuga kakak juga ikut menyaksikan tayangan drama tersebut]. Ah, ini semua tentunya berkat semangat dan sokongan dari kakak jua.



Gambar sebelah hanya hiasan.Beliau adalah Allahyrhmah Asiah Yaacob yang dipanggil "Kak Yah" oleh Allahyarham Mustafa. Sekalung Al-Fatihan untuk beliau.



Maaflah kak,


Janganlah kakak menganggap Fa tidak menghargai sokongan atau nasihat adik beradik kita yang lain. Kakak pun tahu, sejak dahulu lagi Fa tidak berapa “sebulu” dengan mereka. Bukanlah maksud Fa untuk membelakangkan mereka tetapi sikap dan pandangan mereka membuat Fa kadang-kadang terasa seperti “anak angkat” dalam keluarga. Tentu kakak masih ingat betapa perit dan sukarnya bagi Fa menghadapi hidup setelah gagal S.P.M. dulu. Semua ahli keluarga menyalahkan Fa, seolah-olah Fa memang menempah nasib hidup begitu! Bukan niat Fa untuk mengalirkan darah di luka lama, kak. Tetapi sekadar melahirkan apa yang tersirat di hati yang sekian lama terpendam di lubuk jiwa. Pun demikian, Fa tidak pernah berdendam pada mereka, kak. Sekali-kali tidak. Mereka tetap darah daging Fa dunia akhirat. Malah Fa bersyukur kerana dengan sifat dan tingkah laku mereka itulah yang membuat Fa bangkit untuk berjuang. Walau dalam seribu kepayahan. Mungkin inilah yang dikatakan anugerah Tuhan, ya kak? Ada rahmat di sebalik penderitaan.



Sampai di sini dulu ya Kak, untuk kali ini. Rasanya tak akan puas berbicara begini sampai bila-bila. Biarlah, lain kali kita sambung lagi. Salam untuk semua ahli keluarga kakak. Kalau kakak ada berjumpa dengan Abang San, Abang Din dan Adik Azmi, sampaikan salam ingatan kasih mesra Fa kepada mereka. Katakan Fa minta maaf kerana tidak pernah menulis pada mereka. Janganlah mreka kecil hati, bukanlah tak sudi cuma kesempatan waktu amat terbatas. Semuga mereka semua dan kakak sekeluarga sejahtera, dengan sebuah pertanyaan: bilakah kita dapat bersama mensyukuri kejayaan?



Maaf dan trima kasih banyak



Wasalam.



Ingatan kasih dari adikmu



[Mustafa Bin Jusoh [FA]



Univrsiti Sains Malaysia



xxxxxxxxxxxxxxxxx

*Karya ini dikirimnya kepada saya oleh penulisnya Allahyarham Mustafa yang saya panggil “Fa” untuk siaran pada tahun 1991, yang dianggap sebagai cerpen oleh penulisnya. dan masih saya simpan sampai sekarang. Kira-kira dua puluh tahun telah berlalu, karya beliau masih terpendam dalam lipatan simpanan saya. Setelah memikir-mikirkanya, untuk mengelaknya daripada terus terpendam atau hilang begitu sahaja, maka saya mengambil kesempatan untuk menyiarkannya di di blog ini, PONDOK RAHMAT, sebagai satu kenangan kepada beliau.Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.



xxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP