Air Tangan Isteri Penambat Hati Suami

>> Friday, December 16, 2011




ASSALAMUALIKUM, HELO SAYANG




AIR TANGAN ISTERI MENAMBAT HATI SUAMI.....



Air tangan. Air tangan. Apa ada dalam air tangan? Air tangan mengandungi aura yang dapat mengikat hubungan suami dan isteri, antara ibu dan anak, antara nenek dan cucu. Air tangan ibu mengikat hati anak, dan air tangan isteri mengikat hati suami dalam wadah cinta dan kasih sayang.



Malah air tangan ini juga mungkin menjadi pengikat hati antara peniaga dan pelanggan untuk setiap hari berkunjung menikmati masakan di gerai yang sama walaupun mempunyai banyak pilihan.



Malah mungkin juga kerana air tangan inilah, ada sesetengah suami yang rambang mata terpesona dengan bibik-bibik yang menjadi pembantu rumah yang setiap hari air tangannya menjadi hidangan sang suami dan keluarga.



Sejak saya kanak-kanak, remaja dan dewasa masakan ibu saya adalah merupakan hidangan yang paling istimewa kepada saya. Tidak ada masakan yang dapat menandingi keistimewaan masakan ibu.



Walaupun masakannya dari jenis yang paling simpel, ikan singgan atau daging singgan, tapi rasanya amat nikmat bila dimakan, apa lagi jika resipi masakan yang lebih istimewa sebagai masakan orang kampung, seperti ayam percik atau gulai ayam.

--------------Apa yang hendak dimakan tu, bersunguh nampaknya. Alhamdulillah.



Sampai ke hari ini pun, selepas ibu kembali ke rahmatullah [ya Allah cucuri rahmatMu ke atasnya] lebih satu dekad yang lalu, kadang-kadang di waktu-waktu tertentu ingatan kepada masakan ibu mencetuskan kenangan-kenangan yang mengusik hati.



Masakan-masakan itulah merupakan air tangan ibu yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana tangan pun di dunia ini.



Kemudian selepas mendirikan rumah tangga, menjadi suami, dan hidup berfamili, terbuka lagi satu pintu hati untuk dimasuki oleh tangan isteri dengan berbagai-bagai ragam masakannya.



Sejak itu tidak ada lagi masakan yang dapat menandingi masakan isteri yang tercinta dan masakan ibu yang dikasihi.



Masing-masing mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri dengan pilihan resipi masakan yang berlainan mengikut pengetahuan dan pengalaman masing-masing sebagai seorang wanita yang bertanggungjawab kepada suami dan keluarga masing-masing.



Itulah air tangan wanita. Air tangan ibu. Air tangan isteri yang mengalir dalam masakannya setiap hari. Bukan sahaja suami, malah anak-anak juga akan terpesona dengan masakan air tangan bondanya yang dikasihi, apa lagi kalau ibunya seorang yang memang pandai memasak.



Sampai hari ini, anak-anak kami, terutama yang lelaki, kadang-kadang begitu rindunya kepada masakan ibunya yang telah kira-kira dua tahun lebih kembali ke rahmatullah, menelefon kakaknya supaya memasak resipi pusaka ibunya yang dikasihi.



Makanan di gerai-gerai, di pasar-pasar, di kafe-kafe, di restoran-restoran terkenal sekalipun tidak dapat menandingi masakan seorang wanita yang dicintai dan dikasihi sebagai isteri, sebagai ibu mahupun sebagai nenek.



Patah tak tumbuh dan hilang tak berganti, walaupun mungkin ada ramai yang dapat menandinginya. Kerana air tangan seorang isteri atau seorang ibu telah meresap ke dalam diri mereka dan auranya telah menjalar jauh ke dalam lubuk hati kita.



Pak Uda kami selepas kematian isterinya yang dicintai, sentiasa mencari-cari masakan daging kerutuk yang sering dimasak oleh arwah isterinya, tapi kecewa, kerana katanya masakan yang dimakannya itu tidak sama dengan kerutuk daging yang dimasak oleh arwah isterinya.



Alhamdulillah anak perempuan kami mempunyai bakat seperti ibunya dalam masakan keluarga. Malah ibunya juga meninggal resipi bertulistangan tentang masakan-masakan yang pernah menjadi kegemaran keluarga itu.



Di samping itu arwah juga meninggalkan sekumpulan buku-buku dan majalah-majalah masakan untuk beliau yang dikumpulnya sejak kami mula-mula kahwin dulu dan ditinggalkan kepada anak perempuannya dan bahan-bahan itu masih ada sampai ke hari ini.



Air tangan ialah segala masakan yang diahsilkan oleh isteri, ibu atau siapa sahaja, dan air tangan inilah yang dikatakan mempunyai aura yang menentukan sedap atau tidaknya sesuatu masakan yang dihasilkan itu kepada pemakannya.



Justeru itu ia boleh menjadi wadah untuk mengikat rasa cinta kasih sayang antara ibu dan anak, dan juga suami dan isteri.



Oleh itu wanita yang mempunyai suami, rajin-rajinlah masuk ke dapur untuk memasak untuk suami dan keluarga yang tercinta. Pengorbanan anda itu akan membuahkan hasil yang mahal harganya dan akan menjadi kenangan yang berpanjang di hati keluarga anda.



Jika anda mempunyai pembantu rumah sekali pun, ambillah masa untuk masuk dapur, sekurang-kurangnya untuk memasak nasi, kerana sebelum dimasak, biasanya beras dicucui terlebih dahulu, dan itulah masanya air tangan anda secara amalinya bercampur dalam nasi yang ditanak itu.



Ada penjual-penjual nasi mencucur air paip yang mengalir ke atas tangannya ketika mengumpul air yang terakhir dalam beras dalam periuk untuk dijerang di atas dapur setelah dicuci. Itulah air tangan secara lahiriahnya dilakukan dengan tujuan tertentu.



Pada masa dulu, santan yang digunakan untuk memasak diperolehi daripada buah kelapa yang dikukur sendiri, dan kemudian diperah untuk diambil santannya untuk masakan, sayur, gulai dan sebagainya.



Memeras santan seperti ini lebih banyak lagi mengandungi air tangan secara lahiriahnya dalam santan itu.



Tapi hari ini, dalam masa yang terbatas dengan kerja-kerja ini, santan yang digunakan bukan lagi dikukur dan diperah dengan tangan sendiri, tapi dibeli santan yang telah siap atau santan dalam kotak dengan alat pemersh elektrik. Ini lebih mudah dan menjimatkan masa pengguna-penggunanya.



Oleh itu andainya anda mempunyai tukang masak di rumah anda sekalipun, dan anda pula sibuk, ambillah sedikit ruang untuk membasuh sendiri beras dan menanak nasi sendiri. Di situlah terdapat air tangan anda.



Jangan lupa untuk berzikir atau beralawat kepada Nabi SAW, baik ketika anda membasuh beras dan juga ketika menjalankan kerja-kerja lain di dapur untuk menambah keberkatannya kepada makanan.



Bila masak, hidanglah sendiri masakan-masakan itu untuk suami dan keluarga anda, dan makanlah bersama sambil melayan suami dan anak-anak.



Saya suka isteri saya memasak dan saya suka dia menghidangkan makanan kepada kami, dan saya juga akan bersegera membantunya apa-apa yang patut dilakukan tanda kerja sama dan kasih sayang, termasuk mencucui painggan selepas makan, walaupun isteri saya melarangnya.



Demikian juga dengan anak-anak kami, termasuk anak-anak lelaki akan berebut-rebut untuk membantu ibunya di dapur, walaupun isteri saya kebanyakannya lebih suka memasak sendirian tanpa dibantu.



Hanya pada tahun-tahun akhir menjelang kematiannya, dia sering menunggu bantuan saya ketika masak di dapur. Salah satu masakan yang disediakan setiap hari ialah masak ayam pedas yang amat disukai oleh cucu-cucu yang tinggal bersama kami. Tanpa masakan tersebut, mereka rela tidak akan menjamah nasi.



Sampai hari ini pun mereka berkata dan rindukan masakan neneknya yang sedap itu. Itulah air tangan nenek yang menjadi kenangan manis yang akan hidup sepanjang masa yang akan disusli dengan doa-doa untuk kesejahteraannya.



Itulah air tangan wanita. Air tangan seorang ibu. Air tangan seorang isteri. Air tangan seorang nenek. Air tangan seorang kekasih. Air tangan yang mengadungi aura yang ajaib mengikat hati semuanya dalam satu wadah kasih sayang yang tidak terungkai buat selama-lamanya.



Oleh itu, wahai puteri-puteriku, janganlah melepas peluang yang berharga ini, setiap hari untuk menyediakan makanan kepada suami dan anak-anak anda dengan hasil dari air tangan anda sendiri. Ianya mempunyai aura yang kuat sebagai tali sutera penambat kasih.



Itulah ada orang berani berkata, salah satu lorong untuk masuk ke hati lelaki, ialah melalui perutnya yang dihasilkan dari air tangan sendiri.



xxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulur Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP