Terdedah Dan Terbuka Dalam Iklan

>> Saturday, January 21, 2012






TERDEDAH DAN TERBUKA DALAM IKLAN




Dari Kota Petra, Besut menghala ke Kota Bharu, Kelantan kami melintasi Jambatan Kuala Besut. Di sebelah kanannya, Laut Cina Selatan terbentang luas dari kejauhan pandangan. Laut membiru, macam sebuah padang yang terbentang di bawah kolong langit.



Di sebelah kanan, di kepala jambatan Kuala Besut, menuju ke Kota Bharu itu terpampang sebuah iklan besar dihiasai dengan gambar seorang wanita yang cantik dan manis.



Wajah yang cantik penghias iklan


Kami meneruskan perjalan melalui kawasan perkelahan Cherang Ruku, dan Tok Bali, dan melalui jalan pintas ikut Bukit Marak. Seperti biasa masih ada penunggang-penunggang motosikal dan pemboceng-pembocengnya, terutama dari kalangan muda mudi yang menggadai nyawa, berkepala tanpa topi keledar.



Akhirnya kami sampai di simpang empat, lampu isyarat Jalan Pasir Tumbuh- KB. Di sebelah kanan menghala ke KB seperti biasa ada beberapa buah iklan besar, dan salah sebuah daripadanya dihiasi dengan gambar seorang wanita yang cantik dan manis.



Kalau diamati ada perbezaan di antara gambar wanita dalam kedua iklan itu, iaitu di Kuala Besut, Terengganu dengan iklan di Pasir Tumbuh, Kelantan.



Menutup Aurat



Kedua-dua wanita dalam iklan itu kelihatan sama cantik dan menarik. Tapi berbezanya wanita dalam iklan di Kuala Besut, walau dalam gambaran cukup sopan, tapi kepalanya tidak bertudung dengan sempurna, nampak rambutnya terkeluar. Tapi gambar wanita dalam iklan di Pasir Tumbuh itu bertudung penuh, menutup rambut. Tudung kepala itu tidak pula mengurangkan keanggunan wajah wanita itu, malah tambah sedap dipandang.

Sebenarnya semua gambar- gambar wanita yang menghias ikan-iklan di negeri Kelantan ini bertudung dan menutup aurat. Itu adalah peraturan kerajaan negeri Kelantan. Tujuannya untuk menjaga maruah kaum wanita, dan supaya tidak mudah diperalat oleh pemodal-pemodal untuk mencari keuntungan tanpa mengindah nilai agama.



Bukan Perkara Baru



Menggunakan wanita dalam indsutri iklan bukan perkara baru dan bukan hanya terdapat di negara kita, malah ia terdapat di seluruh dunia. Dan hampir semua perkara yang hendak dipasarkan menggunakan wanita sebagai bahan iklannya, baik barang-barang khusus untuk wanita, dan juga bahan-bahan yang khusus penggunannya untuk lelaki juga menggunakan wanita sebagai bahan iklannya. Demikian juga bahan-bahan penggunaanya untuk semua golongan dan peringkat juga menggunakan wnita sebaga iklannya.



Iklan-iklan alat-alat penggunaan khsusus untuk kaum wanita, memang patutlah menggunakan wanita sebagai bahan iklannya, seperti produk-produk kecantikan, alat-alat meke-up, bedak, gincu, pelentik mata, seluar dalam wanita, coli dan sebagainya.



Tapi peralatan untuk kegunaan kaum lelaki juga menggunakan wanita sebagai iklan, seperti seluar dalam lelaki, kemeja lelaki dan sebagainya.



Bahan-bahan untuk kegunaan bayi dan kanak-kanak sudah tentu menggunakan wanita sebagai bahan iklannya, seperti susu bayi, kain lampin, tilam bayi dan sebagainya.



Serba aneka bahan makanan, termasuk minuman, seperti teh, kopi, dan sebagainya menggunakan wanita sebagai iklan.



Barang-barang kegunaan umum, sperti kenderaan-kenderaaan, rumah-rumah kediaman dan seumpamanya, juga tidak lekang daripada menggunakan wanita sebagai iklan.



Pemasaran berbagai-bagai ubat-ubatan, termasuk ubat-ubat herba juga tidak terlepas daripada menggunakan wanita sebagai iklan, terutama ubat seks untuk kaum lelaki.



Untuk melariskan penjualan buku-buku, akhbar dan majalah-majalah wanita juga dijadikan iklan sebagai daya tarikannya.



Pendeknya semua benda, dari yang sekecil-kecil benda, hingga sebesar-besar benda, kaum pemodal menggunakan wanita sebagai iklan,



Malah hari ini, kalau kita amati, penggunaan wanita dalam serba aneka iklan kian bertambah rancak, tanpa batas lagi.



Tempat Iklan



Iklan-iklan wanita itu muncul dalam berbagai-bagai saluran pula, sejauh yang difikir oleh penganjurnya boleh menarik perhatian segala manusia, malah makhluk-makhluk lain juga kalau boleh.



Wanita iklan itu muncul dalam berbagai-bagai media. Pada najalah-majalah, terutama majalah hiburan. Ia digunakan secara langsung sebagai penghias kulit dan sebagainya, atau juga secara tidak langsung, sebagai penghias cerita-cerita atau rencana-rencana.



Ia muncul di akhbar-akhar berkala, bercorak hiburan, dan juga akhbar-akhbar harian, yang disiarkan dalam berita atau rencana, baik secara langsung atau tidak langsung, yang memang ada hubungan yang berkaitan secara langsung dengan bahan-bahan yang disiarkan atau hanya sebagai hiasan semata.



Malah bukan jarang pula penampilan wanita-wanita dalam iklan yang ditonjolkan itu melebihi daripada mesej yang hendak disampaikan oleh bahan berita atau rancana yang dihiasainya itu.



Ia muncul di kaca-kaca TV dalam berbagai-bagai jenis iklan, makanan-makanan, minuman-minuman, alat-alat solek, pakaian, bantal dan tilam, dan serba aneka barangan lagi, termasuk juga rokok.



Ia juga muncul pada baner-baner, pemidang-pemidang dan juga banting-banting yang digantung dan di rentang di tempat-tempat yang strategik, seperti di simpang-simpang jalan, di perhentian-perhentian, atau di bangunan-bangunan yang menjadi tumpuan ramai.



Malah tidak cukup dengan gambar-gambar, wanita yang hidup juga dijadikan iklan untuk mempromosi sesuatu barangan, seperti ditempatkan di pasaraya-pasaraya, atau di setesen-setesen minyak untuk menarik pelanggan.



Tegasnya wanita-wanita iklan itu diletak di mana sahaja tempat yang dikira boleh menarik perhatian ramai dan menambabhkan pendapatan penganjur-penganjurnya.



Seksi



Biasanya wanita-wanita iklan itu terdiri daripada wanita-wanita cantik yang memikat mata memandang, terutama kaum lelaki.



Tidak cukup dengan itu, kebanyakan mereka biasanya dipakaikan dengan pakaian-pakaian seksi yang mendedahkan aurat yang sebenarnya perlu ditutup. Makin seksi, makin menariklah sesebuah iklan itu, dan makin ramai yang ingin menontonnya.



Dan model-model iklan itu pula di negara kita sebahagiannya terdiri daripada wanita-wanita Islam yang diwajib menutup aurat mereka. Tapi biasanya dalam iklan-iklan itu mereka hampir membuka seluruh anggota yang harus ditutup,berpakian tapi semacam telanjang.



Mereka berlagak atau berada dalam gaya yang mempesonakan, terutama pada pemandangan mata lelaki.



Tujuan utama wanita-wanita itu dijadikan iklan ialah untuk dijadikan simbol keindahan, kencantikan dan perangsang kepada pemuasaan berbagai-bagai nafsu semata-mata, terutama aneka nafsu bakal-bakal mangsanya untuk menjadi pengguna atau pembeli barangan yang ditawarkan.



Makin mewah barang yang ditawarkan, maka makin cangggih wanita yang dipaparkan dalam iklan-iklan barangan tersebut.

Sudah tentu ganjaran-ganjaran yang ditawarkan juga mungkin istimewa, dan menarik dan tidak mampu untuk ditolak, di samping muncul sebagai wanita glamour.



Walau bagaimapun kepada orang-orang Islam yang menonton iklan-iklan wanita Islam yang muncul dalam keadaan-keadaan yang telah terkeluar dari garis-garis panduan berpakaian terhadap wanita Islam yang mementingkan penutupan aurat akan tersentuh sensitiviti keIslaman mereka.



Ini tidak lagi termasuk wanita-wanita Islam yang muncul di layar perak dan di kaca TV dengan pakaian-pakaian yang mendedahkan untuk disesuaikan dengan aliran cerita dan kehendak pengarah.



Memanglah wanita dihargai melibatkan diri dalam berbagai-bagai pekerjaan dan profesion untuk kepentingan diri, keluarga, bangsa dan negara, tapi sebagai wanita Muslimah segala pekerjaan itu mestilah selaras dan sesuai dengan garis-garis dan ketentuan agama yang suci.



Janganlah ada wanita yang merendahkan darjah mereka sendiri dengan melakukan sesuatu yang tidak wajar mereka lakukan, khsusnya bercanggah dengan Islam. Kerana yang halal itu halal, dan yang hram itu tetap haram, kerana dalam Islam, tujuan tidak menghalalkan perbuatan. Niat yang baik tidak mencukupi untuk menghalalkan perbuatan yang haram, kerana kedua-duanya mesti berjalan serentak.



Patutkah pihak berkuasa membuat peraturan-peraturan yang mesti dipatui oleh para pengiklan dan juga perserta iklan, bahawa setiap iklan wanita yang hendak dipamerkan mestilah sopan dan berpakaian menutup aurat, khususnya untuk wanita Islam?



Kalau Kerajaan Kelantan boleh dan berjaya membuat peraturan-peraturan itu, kenapa negeri-negeri lain di Malaysia tidak boleh?



Hidup kita manusia ini tidak berakhir di sini, dan akan berpanjang ke akhirat di mana segala perbuatan kita, akan diberikan markah dengan adil oleh Allah SWT. Markah-markah itulah yang akan menetukan kita lulus atau tidak lulus ujian-ujian semasa di dunia yang akan membawa kita ke syurga atau ke neraka.



xxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP