Tiga Tingkat Menentang Hawa Nafsu

>> Monday, March 12, 2012


3 TAHAP PERTARUNGAN MENUMPAS HAWA NAFSU




Dalam diri setiap manusia, ada sesuatu kurniaan Allah yang amat berpengaruh kepada hamba-hambaNya, samada disedari ataupun tidak disedari. Kalau dipergunakan dengan sebaik-baiknya, ia amat bemanafaat kepada mereka, tapi kalau penggunaannya tidak terkawal, dibiarkan ia bertindak sesuka hatinya, ia bukan sahaja tidak berguna, malah juga menjadi ancaman dan boleh membinasakan pemiliknya sendiri.



Itulah dia NAFSU, yang amat berpengaruh terhadap manusia, naluri yang boleh membawa manusia ke arah kebaikan atau kemusnahan. Asal kejadian nafsu itu memang baik dan mulia, tapi manusia yang menjadi pemilik nafsu itulah yang bertanggungjawab mencorakkan nafsu itu untuk menentukan hala tujunya yang sebenar dalam warna warni kehidupan ini.



Nafsu seks adalah naluri yang amat berguna untuk melanjutkan keturunan umat manusia di dunia ini. Tanpa nafsu seks, menusia mungkin telah pupus dari dunia ini, kerana kelahiran manusia adalah hasil daripada tindakan berkelamin antara seorang insan yang bergelar lelaki dengan seorang insan yang bergelar perempuan.



Di samping itu ada banyak perkara menjadi kesukaan dan pujaan nafsu, antaranya yang berpaling berpengaruh ialah nafsu seks, nafsu kekayaan dan nafsu makan minum atau nafsu perut. Semua nafsu ini perlu dikawal, malah perlu dididik supaya ia tidak menjadi ganas dan liar yang akan membawa benaca.



Nafsu perlu dikekang, dengan tali kekangan yang kuat, kerana ramai manusia tidak mampu mengekang nafsu seksnya yang telah berjaya membawa mereka kepada lembah bencana. Melepaskan nafsu bukanlah satu kesalahan,kiranya ia dilakukan dalam wadah yang benar, secara normal antara lekaki dan perempuan, yang berkahwin secara sah antara suami isteri yang halal.



Tapi sebaliknya ia menjadi suatu petaka jika nafsu itu dilempiaskan di mana sahaja sesuka hati yang telah berpenyakit, menerusi wadah haram di luar perkahwinan dan juga bertindak menyongsang arus yang benar. Kerana kegagalan mengekang hawa nafsu inilah menyebabkan manusia terlibat dalam perzinaan, merogol, dan melibatkan diri dalam kegiatan homoseks dan lesbian yang dilarang oleh Allah SWT.



Daripada kegilaan manusia mengikut gesaan nafsu seks yang liar ini pula biasanya melahirkan berbabagai-bagai industri petaka yang merangkainya, seperti pelacuran, kelab-kelab malam, dadah, gro-gro, minuman keras, gangsterisem, dan berbagai-bagai jenis penyakit yang berkait rapat dengan kegiatan seks sumbang.



Ia juga menyebabkan berlakunya berbagai-bagai penyelewengan hidup lagi, seperti perompakan, pencurian, peragutan, rasuah, pencolekan, pembunuhan dan sebagainya yang bertujuan untuk mendapat pembiayaan untuk mengongksi kegiatan-kegiatan seks haram yang perindsurianya bercambah subur dalam dunia hari ini.



Justeru itu, manusia perlu berjuang menentang segala keinginan nafsunya yang haram. Namun begitu bukan semua mampu mengawalnya, malah hanya segelintir orang-orang yang bertakwa dan berimanan sahaja yang mampu mengawal nafsunya serkahnya setelah menempuh pertarungan yang sengit dalam diri dan jiwanya.



Orang-orang yang pernah bertarung dengan hawa nfsunya sudah tentu mempunyai pengelaman dan menyedari bahwa mereka sekurang-kurangnya terpaksa menempoh tiga tingkat perjuangan yang akan menentukan kejayaannya dalam mendidik nafsunya sendiri supaya sentiasa berada dalam wadah yang benar dan diredai.



Peringkat pertama dalam perjuangannya yang getir itu, dia mungkin terpedaya dan terpengaruh dengan dorongan nafsunya sendiri yang tanpa disedarinya telah ditunggangi dan diperkuda oleh syaitan yang memang berperanan untuk membinasakan manusia menerusi hawa nafsunya. Dalam hal ini peranan syaitan mempernampakkan sesuatu amalan yang buruk itu kelihatan baik dan terpuji. Walaupun peranan yang dimainkan oleh syaitan itu nampaknya kecil, tapi kesannya amat besar sekali ke atas manusia, malah kerana terpengaruh dengan perdayaan syaitan inilah yang menyebabkan begitu banyak manusia hancur dan musnah menjadi sampah-sampah manusia.



Namun begitu, insan yang beriman dan bertakwa yang dikurniakan dengan taufik dan hidayah oleh Allah SWT. akan segera menyedari setelah mereka tersembam jatuh dalam kehidupan kerana terpedaya dengan hawa nafsunya sendiri yang tidak terkekang itu. Maka dia segera bangkit dari kejatuhannya itu dengan kesakitan dan penuh penyesalan, lantas segera memohon keampunan dan segera bertaubat kepada Allah SWT., taubat nasuha, dan seterusnya memohon petunjuk dan bimbangan dari Allah yang Maha Pengasih supaya memimpinnya di jalan yang benar dan tidak lagi terperangkap dalam jaring-jaringan syaitan yang begitu halusnya tapi bertebar rata di seluruh penjuru dunia.



Andainya dia terus berusaha untuk mengekalkan perjuangannya menentang nafsu itu, dan mempertingkatkan lagi jihadnya, nescaya dia akan sentiasa berada dalam keadaan awas dan waspada, berhati-hati dengan kemunculan hawa nafsu yang sentiasa berusaha untuk mempengaruhinya. Cahaya takwa dan keimanan akan menjadi pahlawan-pahlawan gagah berani yang akan menentang hawa nafsu yang ditunggang syaitan itu. Sebaik-baik sahaja muncul momok-momok nafsu itu dalam dirinya, pahlawan-pahlawan Allah itu akan menentang dan memusnahkannya hingga menjadi lemah tidak berkotek atau tidak berdaya lagi, dan terpaksa menyerah tewas kepadanya.



Demikianlah setiap kali nafsu yang ditunggangi syaitan cuba menghiburinya dengan berbagai-bagai janji-janji dan impian dan angan-angan, dia akan segera menyedari dan menyergahnya sebelum lagi ia dapat bertindak ke atasnya. Akhirnya segala hawa nafsu yang buruk itu menjadi lemah dan tidak berdaya, dan dapat ditunggangi dan diperkuda-kudakannya pula dan dipimpin ke jalan yang lurus dan benar.



Di peringkat ini dia telah beraja mengekang nafsunya dan berjaya menungganginya dan memimpinnya menuju ke mercu cahaya kebenaran yang diredai Allah. Nafsu syaitannya telah menjadi abdi kepadanya dan terpaksa tunduk kepada arahan dan perintahnya.



Bila sampai ke peringkat ini, dia telah memasuki gerbang ketiga dalam perjuangannya menentang hawa nafsu- dia telah menjadi kebal dengan nafsu. Di antaranya dengan nafsu syaitan telah terbina tembok-tembok cahaya yang utuh yang tidak mampu dicerobohi oleh nafsunya yang telah ditunggangi syaitan itu.



Demikianlah fikiran, hati dan jiwanya menjadi bersih diliputi oleh cahaya keimanan tanpa dipengaruhi oleh sebarang gangguan nafsu yang rendah tarafnya, malah semua racun-racun negatif itu akan menyingkirkan diri sejauh mungkin i daripadanya, sebagaimana hantu syaitan enggan berselisih jalan dengan hamba Allah yang mulia dalam perjalananya.



Kemenangan menentang nafsu ini hanya diperolehi dengan usaha-usaha yang gigih, latihan-latihan diri yang berterusan, didikan-didikan diri yang mantap, dengan panduan dan tunjuk ajar yang tepat dan berkesan. Perkara ini tidak mustahil untuk dirangkul oleh semua insan yang berniat ikhlas dan jujur terhadap Allah SWT.



Walau bagaimanapun, setiap orang dari kita hendaklah sentiasa awas dan waspada, berhati-hati supaya tidak terperosok kakinya ke lembah nafsu yang telah digauli syaitan untuk membinasakan anak Adam, kerana mreka mempunyai berbagai-bagai senjata yang canggih-canggih yang sukar untuk ditangkis oleh manusia yang kotor dan kecil jiwanya, yang sering tewas dan menjadi mangsa habuan syaitan.



Sentiasalah memohon perlindungan kepada Allah daripada gangguan syaitan yang terkutuk dan dari bujukan-bujukan hawa nafsu yang liar yang telah ditunggangi oleh syaitan itu.



Yang pentingnya, kita hendaklah dengan jujur menilai diri sendiri. menentukan di tahap manakah kita berada sekarang dalam perjuangan menetang hawa nafsu, di tingkat pertama, kedua atau ketiga? Bertolak dari situ, kita hendaklah meneruskan perjuangan kita dalam berjihad menentang hawa nafsu, hingga berjaya meraih tingkat ketiga atau ke tingkat yang lebih unggul lagi.



Allah telah memperingatkan kita akan lorong-lorong utama yang sentiasa diambil oleh nafsu untuk menguasai diri manusia, supaya kita sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati dan berjaga-jaga supaya tidak tersalah langkah menurut jejak-jejak nafsu yang akan melemparkan kita ke lubuk kebinasaan itu.



Allah berfirman,”Dihiaskan [dan dijadikan indah] kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingin nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak, kuda yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan ingatlah pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya [iaitu syurga]”.A;i-Imraan: 14.



Dalam ayat seterusnya Allah memberi peringatan kepada hamba-hambaNya yang tidak terpengaruh dengan hawa nafsu itu dengan ganjaran-ganjaran yang mulia. Allah berfirman, “Katakanlah [wahai Muhammad]:Mahukah supaya aku khabarkan kepada kamu akan apa-apa yang lebih baik daripada semuanya itu? Iaitu bagi orang yang bertakwa disedikan di sisi Tuhan mereka beberapa syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Disediakan juga pasangan-pasangan/ isteri-isteri yang suci bersih, serta [beroleh pula] keredaan dari Allah. Dan [ingatlah] Allah sentiasa melihat akan haba-hambaNya”.Ali-Imran 15.



Wallahua’klam.



xxxxxxxxxxxxxxx



Bisik Pondok Rahmat:



Pautkan Iman.


Hulurkan Sejambak Mahabah.Seuntai Kasih.Sekalung Harmoni.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP