Jangan Abaikan Tanggungjawab Di Jalanraya

>> Wednesday, May 16, 2012


JANGAN ABAIKAN TANGGUNGJAWAB DI JALANRAYA



Hari ini setiap hari, sebahagian besar dari kita menggunakan kenderaan untuk berpergian ke sana ke mari. Mungkin dengan menggunakan kenderaan sendiri atau kenderaan awam untuk ke tempat kerja atau ke lain-lain tempat.



Oleh sebab itu setiap hari berlakunya kemalangan jalanraya yang kecil dan berat, yang menyebakan cedera parah atau meragut nyawa pengguna-pengguna jalanraya, baik yang berkenderaan atau berjalan kaki.



Oleh itu kita sepatutnya memberi perhatian lebih sedikit ketika memandu di jalanraya, semoga kita sentiasa selamat dan dijauhkan oleh Allah S.W.T. daripada ditimpa bencana kemalangan jalanraya.



Di samping memanjatkan doa kepada Allah memohon keselamatan dalam perjalanan, kita seharusnya melakukan berbagai-bagai tindakan yang sesuai untuk menjaminkan keselamatan kita dalam masa perjalanan. Setiap perkara yang berlaku mengikut sebab dan musabab dan ketentuan dari Allah.



Ada beberapa langkah yang perlu diambil oleh para pemandu untuk menjaga keselamatan diri ketika memandu di mana dan bila-bila masa sahaja.



Jangan lupa menyebaut nama Allah ketika hendak memulakan sesuatu pekerjaan. Dan berdoalah, di antara doa-doa dibaca ketika naik kenderaan ialah:



“Alhamdu lillahilladzi sakhera lana haza wama kunna lahu muqrinin wa inna ila robina lamunqalibun”.



Hati-hati Memandu.... Rakaman Di Riau



“Segala puji bagi Allah yang telah memudahkan ini bagi kami sedangkan kami tidak berkuasa apa-apa dan kepada Allah kami akan kembali”.



Pakai Tali Pinggang Keledar



Kenderaan-kenderaan yang berada di jalanraya hari ini di negara kita, khususnya kereta dilengkapkan dengan sejenis alat yang namakan “tali pinggang keledar”. Tali pinggang itu bukan sahaja-sahaja dipasang mencari keuntungan atau untuk hiasan. Tapi ia dipasang untuk memberi perlindungan kepada penggunanya baik pemandu atau penumpang ketika kenderaan meluncur di jalan raya.



Justeru itu ketika menaiki kenderaan yang berjalan, janganlah kita lupa memakai tali pinggang keledar itu, baik kita sebagai pemandu, atau penumpang yang duduk di hadapan atau di bahagian belakang, baik dia seorang dewasa atau kanak-kanak.



Mengikut kajian pemakaian tali pinggang keledar memang berguna bila kenderaan terlibat dalam kemalangan, iaitu memberi pelindungan keselamatan kepada penggunanya.



Dalam hal ini, jangan sama sekali mengambil sikap mudah, “tak apa” dengan alasan-alasan tertentu, seperti perjalanan amat dekat atau tidak ada pihak penguatkuasa di hadapan. Ingatlah kemalangan boleh berlaku bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa mengira perjalanan jauh atau dekat, siang atau malam, baik anda seorang pemandu yang cekap atau tidak.



Ingatlah anda mungkin pemandu berhemah, tapi pemandu-pemandu lain belum tentu seperti anda.



Jangan Minum Arak



Jangan minum arak, kerana arak boleh menganggu kecekapan anda memandu. Lebih-lebih lagi andainya anda memandu dalam keadaan mabuk akibat minum arak. Ia bukan sahaja mengancam keselamatan anda, tapi juga keselamatan pengguna-pengguna jalan raya lain akan terancam.



Dan yang lebih pentingnya, sebagai seorang Islam, minum arak adalah haram, berdosa. Bagaimana nanti ditakdirkan jika anda mati dalam kemalangan yang berpuca dari arak dan anda berada dalam keadaan mabuk?



Jangan Ambil Dadah



Dadah juga merbahaya, dan haram. Penyalahgunaan dadah sambil memandu menjadi ancaman besar kepada diri anda dan juga keselamatan pengguna-pengguna jalanraya yang lain.



Bagaimana kiranya anda mati dalam kemalangan sedangkan anda berada dalam pengaruh dadah?



Awas Dengan Ubat-ubat Tertentu



Ubat-ubat tertentu boleh menjadi ancaman keselamtan kepada anda jika anda memandu, kerana ada sesetengah ubat boleh menyebabkan penggunanya mengantuk, sedangkan memandu dalam keadaan mengantuk amatlah merbahaya.



Jika anda terpaksa ambil ubat, ubat selsema umpamanya, pastikan dengan doktor ubat itu tidak menyebabkan anda mengantuk. Jika boleh menyebabkan mengantuk, jangan pandu kenderaan, kerana mata anda boleh tertutup sementara kenderaan yang anda pandu terus berjalan tanpa kawalan anda.



Jangan Memandu Jika Mengantuk



Jika ketika sedang memandu anda merasa letih dan mengantuk, jangan paksa diri anda memandu, tapi segera hentikan kenderaan anda di bahu jalanraya yang selamat dan anda hendaklah berihat buat seketika.



Kemalangan ini dirakam 28 tahun yang lalu



Lebih baik jika anda berhenti di masjid, ambil wuduk, solat dan kemudian berihat sehingga kekuatan anda terasa pulih kembali untuk meneruskan perjalanan.



Saya mempunyai pengalaman yang menakutkan mengenai memandu kereta ketika mengantuk. Masa itu saya memandu, dan kami dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu. Bila sampai di Gua Musang, saya merasa mata saya terlalu berat dan amat mengantuk. Bila isteri saya [Alahyarhamah Asiah Yaacob-semoga Allah limpahi rahmat ke atasnya] melihat saya begitu mengantuk, dia meminta saya berhentikan kereta dan biarkan dia memandu.



Tapi saya enggan berhenti, kerana tidak lama lagi kami akan sampai di bandar Gua Musang, bolehlah kami berhenti berihat, solat dan makan tengah hari. Tapi saya amat terkejut, bila tiba-tiba mendengar bunyi hon yang kuat bertalu-talu. Rupanya di hadapan saya ada sebuah lori yang bergerak laju ke arah bertentangan, dan lori itulah yang memberi hon tadi. Rupa-rupanya kereta saya berada di lorong yang salah, di sebelah kanan laluan. Nasib baik saya sempat memutar setering ke sebelah kiri dan masuk ke lorong yang betul. Kalau tidak, tak tahu apa akan terjadi.



Kami mengucap panjang. Bersyukur kepada Allah. Peristiwa ini memberi pengajaran yang amat berguna kepada kami.



Jangan Memandu Ketika Letih



Demikian juga jangan memandu kenderaan ketika anda dalam keletihan. Memandu dalam keadaan letih boleh mengundang bahaya seperti memandu dalam keadaan mengantuk juga. Akibat keletihan boleh menyebabkankan anda mengantuk dan terus tertidur sambil memandu.



Kurangkan Gangguan

Kurangkan perkara-perkara yang boleh menganggu anda ketika memandu, seperti gangguan anak-anak, atau terlalu kerap membuang pandang keluar ke sebelah kanan kiri jalan untuk melihat benda-benda di sepanjang perjalanan yang tidak perlu yang boleh menjadi ancaman kepada keselamtan anda ketika memandu.



Permudahkan Urusan



Sebelum memandu, pastikan semua benda-benda penting yang anda perlukan dalam perjalanan berada dalam keadaan yang mudah kepada anda untuk mengambilnya, seperti bekalan coklat jika anda suka makan coklat, tisu untuk mengelap muka, cekera padat untuk mendengar lagu-lagu dan sebagainya.



Berhati-hati Ketika Melakukan Sesuatu



Jika anda ingin melakukan sesuatu, seperti membetulkan kerusi tempat duduk dan sebagainya, anda hendaklah melakukannya dengan hati-hati supaya perbuatan anda itu tidak menganggu pemanduan anda yang boleh mengancam keselamatn anda.



Jika ada barang-barang keperluan yang terjatuh ketika anda sedang memandu, berhati-hatilah jika anda ingin mencari dan mengambilnya, terutama jika terjatuh ke atas lantai kendreaan. Jika teralu asyik mencari, boleh menganggau pemanduan anda dan sekali gus boleh mengancam keselamatan anda.



Jika Handfon Memanggil



Kiranya ketika anda sedang memandu, handfon anda berbunyi, jangan jawab sambil memandu. Kalau perlu menjawabnya, berhentikan kereta di tempat yang aman dan selamat sebelum menjawabnya. Jangan guna sebelah tangan memegang handfon dan meletaknya di telinga anda sementara sebelah tangan lagi memegang setering sambil memandu.



Ia mengundang bahaya.



Jangan Bergurau Senda Dengan Penumpang



Jangan sama sekali bergurau senda dengan penumpang, terutama yang berada di sebelah anda, gewang umpamanya. Berbual-buallah sekadar yang perlu dan sopan. Tapi bergurau senda yang melampau akan menggangu pemanduan anda dan mungkin meletakkan anda dalam keadaan bahaya kemalangan jalanraya.



Pada suatu masa kami berada dalam bas expres. Kami duduk di kerusi paling hadapan sekali. Bila sampai di satu kawasan perkampungan yang tidak sibuk, di hadapan ada sebuah kereta yang menghala ke arah yang sama. Di situ memang kawasan boleh memotong. Tapi pemandu bas tidak berani memotong kereta itu, kerana perjalanan kereta itu tidak tetap. Sekali ke kanan dan sekali ke kiri, kadang-kadang sampai melampaui lorong yang bertentangan. Laluan sebelah kanan.



Akhirnya pemandu bas terpaksa membunyikan hon minta jalan, barulah kereta itu masuk ke tepi, beri laluan. “Cari nahas”, rungut pemandu bas itu, “asyik bergurau senda sambil memandu. Bahaya.Bahaya”, katanya.



Berhati-hati Dengan Pemandu Lain



Berhati-hati dengan pemandu-pemandu lain ketika memandu. Buat jangkaan tindakan-tindakan yang akan mereka lakukan, seperti mereka hendak memotong, membelok kanan atau kiri dan sebagainya.



Gunakan Cermin



Gunakan kemudahan alat cermin pandang belakang atau pandang sisi kenderaan. Sentiasalah memerhati cermin-cermin itu untuk melihat pergerakan kenderaaan di belakang. Kalau difikirkan perlu dan sesuai, berilah ruang kepada kenderaan di belakang untuk memotong.



Anda hendaklah mempastikan kedudukan cermin pandang sisi anda berada dalam keadaan yang wajar, iaitu pada sudut 90 darjah untuk mengurang titik buta atau blind spot.



Sebelum Menukar Haluan



Sebelum menukar laluan kenderaan anda, pastikan terlebih dahulu keadaan selamat kepada anda dan orang lain juga untuk berbuat demikian, seperti tiada kenderaan hampir di belakang yang bergerak laju yang mungkin berlakunya pelanggaran jika anda dengan tiba-tiba menukar haluan.



Ketika Berundur



Demikian juga jika anda hendak mengundurkan kereta, pastikan keadaan selamat, tidak ada apa-apa halangan di belakang yang boleh mengancam keselamtan anda dan juga keselamatan orang lain.



Saya pernah melihat seorang pemandu yang tidak waspada ketika mengundurkan keretanya telah melanggar beberapa buah motosikal yang diparking di sebelah belakang, walaupun tidak berada di laluannya. Motosikal-kotosikal itu habis jatuh bergelempangan.



Bersopan Dan Bersabar



Anda hendaklah memandu dengan sopan dan sabar. Kerana tidak boleh berlaku sopan dan sabarlah menjadi punca kepada sebahagian daripada kemalangan jalanraya.



Kerana tidak boleh bersopan dan bersabar, anda akan melanggar segala peraturan jalanraya, seperti memotong di kawasan yang dilarang memotong, berhenti di tempat yang dilarang berhenti, mengejar kereta yang memotong kereta anda di tempat yang anda fikir mereka tidak patut memotongnya dan sebagainya.



Beri Isyarat Yang Sesuai



Jika anda ingin melakukan sesuatu perubahan perjalanan, seperti membelok ke kanan atau ke kiri, berilah isyarat yang sesuai dan dalam masa yang sewajarnya untuk mengelak daripada berlakunya kemalangan yang tidak diingini.



Saya pernah melihat satu kemalangan hampir berlaku, bila pemandu kereta di hadapan tersalah memberi isyarat lampu. Dia ingin memasuki lorong kanan, tapi isyarat lampu keretanya masih menunjukkan hala ke kiri. Nasib baik kereta di belakang sempat membrekkan keretanya. Kalau tidak pelanggaran tentu berlaku.



Hati-hati Di persimpangan Jalan



Anda hendaklah berhati-hati untuk berhenti di persimpangan jalan yang tidak mempunyai lampu isyarat, untuk memberi laluan kepada pemandu-pemandu lain, dan bila keadaan selamat barulah anda meneruskan semula perjalanan. Meneruskan perjalanan tanpa berhenti di persimpangan jalan seperti ini mungkin boleh mengundang bencana.



Dalam Jarak Yang Selamat



Anda hendaklah mempastikan kereta anda berada dalam jarak yang selamat dengan sebarang kenderaan di hadapan anda, terutama sekali untuk memberi kesempatan anda membreakkan kereta anda jika berlaku sesuatu yang tidak diingin kepada kenderaan di hadapan.



Jangan Mencelah



Dan jangan memotong kenderaaan di hadapan dengan mencelah-celah lorong yang anda rasa ada ruang untuk anda berbuat demikian. Ia mengundang kutukan pemandu di sisi dan di belakang anda, kalau tidak berlaku kemalangan pun.



Jangan Kejar Lampu Kuning



Jika lampu isyarat di hadapan telah kuning, jangan mengejar dan berlomba-lomba untuk melepasinya, kerana ia merbahaya, sebab pemandu di hadapan mungkin dengan mengejut membreakkan keretanya bila tiba-tiba lampu betukar merah dan tidak berani melepasinya. Bila keadaan seperti ini berlaku anda terpaksa membreak kereta anda secara mengejut pula untuk tidak menyodok belakang kereta tersebut yang akan mengakibatkan berlakuknya pelanggaran yang tidak diingini.



Saya pernah menumpang kereta seseorang. Di hadapannya ada beberapa buah kereta lagi. Tiba-tiba pemandu-pemandu kereta di hadapan melajukan kereta mereka untuk mengejar lampu isyarat yang berwarna kuning ketika itu. Pemandu kereta yang saya tumpang juga dengan tiba-tiba menekan minyak dan kereta pun bergerak laju. Beberapa buah kereta yang di hadapan berjaya melepasi lampu kuning, tapi sebuah kereta yang betul-betul di hadapan kereta kami tidak berani melepasinya, maka pemandunya lalu membrekkan kereta secara mendadak, menyebabkan pemandu yang kereta saya tumpangi juga terpaksa memberhentikan kereta secara mengejut. Akibatnya kereta mengiggil, dan seorang anaknya yang waktu itu sedang berdiri telah terjatuh.



Tutup Semua Tingkap



Ketika memandu, anda hendaklah menutup semua tingkap dan mengunci semua pintu kereta. Banyak perompakan berlaku di persimpangan lampu isyarat jalan kerana pintu kereta tidak ditutup atau pintu kereta tidak dikunci. Perompak bermotosikal mungkin menghulur tangan ikut tingkap terbuka untuk merampas tas tangan anda di atas kusyin sebelah dan melarikannya, atau menceroboh masuk ke dalam kereta anda untuk melakukan rompakan dan sebagainya.



Jangan Berhenti



Jangan mudah berhenti dan keluar dari kereta jika berlaku kemalangan kecil, terutama di tempat-tempat yang sunyi, kerana dibimbangi ianya merupakan tektik penajahat untuk memerangkap anda. Pastikan keadaan selamat, atau panggil sesiapa untuk membantu anda sebelum keluar kereta.



Jangan mudah berhenti ketika ada orang yang menahan kereta anda untuk meminta bantuan, kerana dibimbanginya ia hanya tektik penjenayah yang berlagak keroskan kereta, terutama jika anda seorang wantia dan memandu sendirian di jalanraya yang sunyi.



Jangan mudah percaya dalam suasana dan keadaan seperti itu. Banyak orang telah dijadikan korban oleh penjenayah kerana niat mereka yang ikhlas untuk mnolong dan membantu.



Jangan Angkuh Dan Sombong



Jangan pandu kenderaan dengan perasan angkuh dan sombong, kerana kereta anda berjenama mahal, atau kerana bersama anda ada orang tinggi prestignya, kelak anda akan binasa.



Allah telah menempelak orang-orang yang sombong ketika berjalan dengan firmanNya, “Janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi gunung”. Al-Isra’: 37.



Dalam ayat yang lain pula Allah mengingatkan kita supaya berjalan dengan sederhana, iaitu tidak terlalu laju atau terlalu perlahan.



Sekianlah sedikit peringatan untuk kita semua, khususnya diri saya sendiri, semoga setiap perjalanan kita akan selamat dan diberkati Allah S.W.T.



End Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd



0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP