Islam Sebagai Dasar Perjuangan

>> Saturday, June 9, 2012

ISLAM SEBAGAI DASAR PERJUANGAN



Sejarah membuktikan, bahawa dengan keperibadian yang mulia dan keimanan yang unggul dan teguh, umat Islam telah berjaya melebarkan kekuasaannya dari Timur ke Barat, hingga terbentang sampai ke negeri China.



Walaupun bilangan umat Islam pada masa itu hanya kecil, tapi dengan jiwa dan semangat Islam yang kental mereka telah berjaya menundukkan pemimpin-pemimpin besar yang berkuasa pada masa itu. Kejayaan itu tidak akan mereka perolehi tanpa keperibadian dan akidah Islamiah yang benar dan agung.



Mereka telah berjaya menundukkan berjuta-juta umat manusia, walaupun mereka tidak menggunakan kekuatan senjata.



Tapi kemudiannya kaum atheis yang tidak bertuhan telah berjaya merosakkan kemuliaan keperibadian Islam mereka di seluruh dunia, maka dengan itu mereka telah berjaya merosakbinasakan akidah suci umat Islam. Keadaan ini menjadi bertambah buruk lagi dengan berlarutannya perangai keji dan hina yang terdapat di kalangan umat Islam, dan lesapnya segala sifat-sifat yang mulia yang menghiasai diri mereka sebelum itu.



Akibatnya daripada umat yang berani mereka telah bertukar menjadi manusia yang pengecut. Daripada bersemangat waja kepada lemah semangat dan mereka juga telah kehilangan semangat juang dan jihad, berubah daripada bersikap jujur kepada bersikap dusta, malah mereka sanggup menjadi pengkhianat kepada bangsa dan agama mereka sendiri dan mereka lebih mementingkan kepentingan peribadi daripada kepentingan agama dan negara.



Walau bagaimana pun kegemilangan umat Islam yang telah hilang itu Insya-Allah dapat ditegakkan kembali dengan kembalinya mereka kepada akidah Islam yang sebenarnya dan juga dengan pemilikian kuasa, khusunya kuasa politik. Tulisan berikut sumbangan daripada Jabatan Penerangan PAS Pusat dan merupakan jawapan kepada persoalan tersebut.



Agama Sejagat



“Islam merupakan agama sejagat yang diturunkan oleh Allah kepada Rasul-Nya untuk kepentingan manusia seluruhnya. Islam bukanlah merupakan agama yang mengatur perhubungan manusia dengan Allah semata-mata tetapi ianya mempunyai ruang lingkup yang lebih luas dan menyeluruh. Adalah merupakan tanggapan yang salah kiranya kita cuba menyempitkan pengertian Islam sebagai agama yang hanya berkisar di sekitar ibadat semata-mata.



Penghayatan Islam yang sempurna adalah mengikut garis-garis yang ditetapkan oleh syariah. Syariah Allah adalah merupakan nadi bagi penghayatan Islam. Oleh yang demikian Syariah Allah merangkumi semua aktiviti manusia, bermula dari peraturan yang berkaitan dengan akidah, ibadat , akhlak hinggalah kepada urusan harian, politik dan kenegaraan. Sebagai Muslim, kita berkewajipan menghayati Islam dengan sepenuhnya demi untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.



Dasar Islam



Perjuangan PAS ialah untuk menegakkan Islam sebagai sistem kehidupan yang lengkap dan sempurna merangkumi akidah, akhlak, ekonomi, kemasyarakatan, kekeluargaan dan politik kenegaraan.



Sumber-sumber perundangan Islam yang didasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak, Qiyas dan kaedah-keadah syarak yang lain adalah pegangngan ideologi dan kefahaman yang menjadi landasan pergerakan dan harakah PAS.



Pendapat dan ijtihad para ulama dan imam-imam muktabar, adalah dihormati dan disanjung tinggi sebagai sebahagian daripada penghormatan dan sanjungan serta keyakinan kepada ilmu pengetahuan yang merupakan kekuatan dan unsur kehidupan yang penting.



Realiti kehidupan dan suasana tempat hendaklah diambil kira di dalam memahami sesuatu perkara dan menggerakkan sesuatu langkah dan usaha. Tetapi realiti itu sendiri, bukan suatu yang kudus dam suci di mana ianya terdedah kepada perubahan dan boleh diusahakan untuk merubahnya.



Oleh yang demikian, keadaan realiti tidak dijadikan sesuatu yang dipuja sehingga dipercayai dan diletakkan di tempat tertinggi sebagai ukuran menilai benar dan salahnya sesuatu perjuangan dan tindakan. Bahkan jika realiti itu bercanggah dengan dasar pokok perjuangan, iaitu Islam, realiti tersebut hendaklah diubah dan dihapuskan.



Akal fikiran yang matang dan cara berfikir yang ilmiah dan berasaskan kaedah-kaedah ijtihad dan prinsip-prinsip sayarak yang betul, adalah kekuatan yang dapat menyingkap kebenaran dan dapat dimanfaatkan untuk memahami Islam dan hukum-hukum perjalanan alam serta realiti persekitaran yang melingkungi kehidupan manusia.



Kenapa Islam Dipilih Sebagai Perjuangan Politik



Di Malaysia hanya PAS satu-satunya parti politik yang memilih Islam sebagai dasar perjuangannya bagi melaksanakan syariat Allah dalam pemerintahan negara.



Adapun parti politik yang lain, tidak meletakkan dasar perjuangannya berasaskan Islam sekalipun keanggotan parti mereka dibuka kepada orang-orang Melayu yang beragama Islam. Kerana pada pandangan mereka bahawa Islam tidak lebih dari agama beribadat sahaja, bukan untuk urusan negara dan pemerintahan.



Juga mereka beranggapan bahawa sebahagian dari ajaran Islam hanyalah sesuai di zaman Nabi SAW. dan para sahabat sahaja. Tapi sekarang sudah tidak sesuai dilaksanakan lagi. Fahaman inilah yang mendorongkan mereka menolak Islam sebagai asas perjuangan dan seterusnya memusuhi PAS yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan mereka. PAS berkeyakinan sekiranya memilih dasar yang lain daripada Islam sebagai dasar perjuangan politik samalah ertinya dengan menolak hukum-hukum Allah itu sendiri. Justeru itulah PAS telah memilih Islam sebagai dasar perjuangan manakala al-Quran, al-Sunnah Rasulullah SAW.,ijmak ulama, qias dan kaedah-kaedah syarak yang lain sebagai panduan gerakannya.



Kuasa Politik



Melaksanakan hukum Allah dalam bentuk ibadat seperti puasa, sembahayang, zakat, haji dan sebagainya agak mudah untuk dilakukan, tapi untuk melaksanakan hukum Allah yang lain seperti undang-undang, sistem ekonomi, politik, sosial dan sebagainya tidak mudah dilaksanakan, melainkan dengan diwujudkan sebuah “pemerintahan” Islam.



Berdasarkan kepada hakikat di atas adalah merupakan suatu realiti bahawa kuasa adalah menjadi syarat utama untuk melaksanakan hukum Allah. Dengan sebab itu, perjuangan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan adalah merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh setiap orang Muslim. Dan kuasa memerintah inilah yang disebut sebagai Kuasa Politik. Kuasa politik yang sedemikianlah yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.



Kuasa politik adalah nerupakan wasilah untuk melaksanakan hukum Allah. Hukum Islam tidak akan terlaksana dengan sendirinya kecuali melalui institusi pemerintahan. Pemerintah yang memperjuangkan hukum Islam sahaja yang dapat memberikan jaminan tentang pelaksanaan hukum Allah. Berdasarkan kepada fakta di atas, PAS telah memilih jalan perjuangnanya melalui parti politik yang berlandaskan Islam sebagai dasar perjuangannya untuk menuju ke tampuk pemerintahan secara Islam. Oleh yang semikian, apa yang diperjuangkan oleh PAS hendakalh disokong oleh setiap golongan masyarakat, terutama sekali umat Islam di negara ini.



Berpolitik Untuk Menegakkan Islam



Matlamat perjuangan PAS adalah jelas dan menyeluruh. Ia bukan sekadar untuk membela bangsa dan negara seperti yang diperjuangkan oleh parti-parti politik lain, tetapi ianya bertujuan untuk menegakkan Islam dan hukum Allah yang lebih memberikan jaminan dan keadilan kepada semua tanpa mengira keturunan dan agama.



Bagi PAS, politik adalah sebahagian daripada agama. Politik tidak mungkin dipisahkan dari agama. PAS tidak dapat menerima dasar pemisahan antara agama dan politik atau agama adalah urusan individu.



Oleh kerana politik sebahagian daripada ajaran agama, maka secara langsung perjuangan poltik untuk menegakkan Islam adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Mereka yang sama-sama mendokong perjuangan politik bagi menegakkan Islam dianggap sebagai gabungan yang menjunjung dan patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya.



Bukan Parti Perkauman



Dasar perjuangan PAS adalah Islam iaitu agama yang menjamin kebahagian dan keadilan kepada dunia seluruhnya. Adalah salah kalau dikatakan bahawa PAS sebagai sebuah parti perkauman. Justeru itu, PAS akan terus berjuang dan mempertahankan yang hak tanpa mengira kaum dan agama sepertimana yang dituntut oleh Allah.



Tidak Bencikan Orang Bukan Islam



Islam yang menjadi dasar perjuangan PAS tidak pernah mengajar umatnya supaya bencikan orang-orang bukan Islam. Apa yang diajar oleh Islam ialah supaya menjaga kepentingan manusia seluruhnya. Kerana itu peranan PAS bukan hanya setakat menjaga dan melindungi orang bukan Islam, malah akan menberikan hak-hak mereka selagi mana ianya tidak bercanggah dengan nilai-nilai keadilan dan kemanusiaan.



Sejauh Mana Peluang Kejayaan?



Ramai yang meragui perjuangan PAS, mereka menganggap PAS hanya berkhayal dalam mencapai cita-citanya untuk menegakkan negara Islam. Sebenarnya tidak mustahil bagi PAS untuk mendapatkan kuasa memerintah di negara ini, walaupun ada yang menyatakan negara ini mempunyai penduduk yang berbilang kaum [majmuk], kiranya semua golongan masyarakat memahami dan mengenali keluhuran Islam yang diperjuangkan oleh PAS.



Keyakinan ini dikuatkan lagi dengan jaminan Allah dalam al-Quran bahawa suatu hari nanti Islam pasti akan diberi kemenangan. Apa yang diperlukan ialah pengelibatan seluruh masyarakat, terutama umat Islam dalam perjuangan yang dibawa oleh PAS.



Dimanakah Letaknya Kekuatan Itu?



Kekuatan PAS sebenarnya terletak pada kekuatan jiwa tiap-tiap ahlinya. Jiwa yang kuat berbekalkan iman yang mantap akan membuahkan pengorbanan dan amal bakti yang sihat kepada parti.



Maka setiap ahli hendaklah bertanya dirinya apakah sumbangan yang dapat dia berikan kepada PAS bagi memenuhi tanggungjawab kita sebagai ahli? Adalah salah kiranya kita beranggapan bahawa dengan menyertai PAS kita akan mendapat kepentingan peribadi. Hasrat dan niat begini akan mengecewakan kita dalam perjuangan yang suci ini.



Dalam melibatkan diri dengan perjuangan PAS kita hendaklah membetulkan niat, yang merupakan asas bagi setiap perbuatan dan amalan, kerana pahala seseorang itu akan dinilai berdasarkan kepada niatnya. Kepentingan yang akan diperolehi dari perjuangan PAS ialah keagungan dan kedaulatan Islam itu sendiri.



Apakah Tugasnya?



Tugas pertama sebagai ahli PAS ialah memahami perjuangan PAS supaya dapat dihayati dengan sepenuhnya. Adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli dan penyokong PAS menyokong dasar perjuangan Islam yang didukung oleh PAS. Maka dengan itu menghayati ajaran Islam bermula dengan diri sendiri, keluarga dan masyarakat perlulah diwujudkan, penghayatan ini akan berjalan serentak dengan perjuangan kita dalam menegakkan pemerintahan secara Islam dalam negara.



PAS mmenyeru agar kewajipan terhadap agama janganlah diabaikan, akhlak Islam mestilah sentiasa dipelihara. Di samping itu kita hendaklah terus melibatkan diri dengan mempelajari, memahami dan mengamalkan ajaran Islam. Andainya apa yang dinyatakan di atas dapat dilakukan dengan baik, maka Insya-Allah keyakinan cita-cita kita untuk menegakkan negara Islam akan tercapai. Sebagai seorang ahli PAS, kita hendaklah sentiasa mendampingi para ulama, kita juga mesti patuh kepada arahan pucuk pimpinan dari semua peringkat.



Matlamat Setiap Individu



Melaksanakan ajaran Islam dalam kehidupan harian individu, masyarakat juga negara yang menuju kepada keredaan Allah adalah matlamat utama perjuangan PAS. Jika ini tidak dilakukan, masyarakat tidak akan menaruh keyakinan terhadap cita-cita PAS untuk menegakkan sebuah negara Islam.



Pentup



Keazaman yang tinggi dan kesabaran yang tebal serta ketabahan hati merupakan senjata utama dalam mendorong kita untuk mencapai matlamat murni yang sedang kita terokai.



Kita berkewajipan meningkatkan perjuangan suci ini. Kita mesti berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mempastikan perjuangan kita terus meningkat maju dan berjaya mencapai apa yang dicita-citakan selama ini”.



End Pr.Pr.Pr.Pr.PrEnd


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP