Rokok:Meningkatnya Perokok Wanita

>> Tuesday, July 10, 2012


ROKOK: MENINGKATNYA PEROKOK WANITA dan BAGAIMANA HENDAK BERHENTI MEROKOK?



Suatu hari, kami berada di sebuah restoran di jalan belakang berhampiran Cho Kit Road. Hari agak pagi lagi. Kami sedang menikmati karipap dengan minuman. Waktu itu restoran lengang. Hanya tidak berapa jauh di hadapan meja kami, ada seorang wanita muda, duduk sendirian di sebuah meja menghala ke jalan, membelakangkan kami.



Pakaiannya biasalah, seperti gadis-gadis kota hari ini, berbaju t dan berseluar jean ketat, sama sendat dengan tubuhnya yang gempal. Rambutnya separas bahu, dilepasbebaskan, tanpa bertundung. Wajahnya wanita Melayu.



Di tangannya ada sebatang rokok yang masih berasap yang dikepit antara dua jari-jarinya. Sekali sekala dia menghisap rokok itu, mengehembuskan asapnya, berkepul-kepul dan berlegar-legar naik ke udara. Kelihatan begitu nikmatnya dia menghisap rokok.



Kemudian seorang kawannya datang. Juga seorang wanita, duduk di sebelahnya. Di tangannya juga tersepit sebatang rokok yang masih berasap. Dia lalu nelabuhkan punggungnya di kerusi sebelah wanita itu. Tubuhnya susut sedikit, wajahnya China, dan pakaiannya seperti wanita gempal tadi juga, baju t dan seluar jean ketat.



Mereka terus bercakap-cakap sambil kedua-duanya menghisap rokok dengan nikmatya.



Sejurus kemudian sampai lagi seorang wanita muda, India dan duduk di sebelah wanita gempal tadi. Sebaik-baik sahaja duduk, dia membuka tas tangannya, mengeluarkan sebatang rokok, menyalakannya, terus menyedutnya dengan seronoknya.



Di hadapan kami sekarang ada tiga wanita muda rakyat Malaysia, dari tiga kaum terbesar, Melayu, China dan India, semuanya merokok.



Pada suatu malam pula kami sedang makan malam di sebuah restoran di TTDI. Ketika kami sedang menikmati makanan, masuk dua sejoli masih muda, nampak gayanya sedang berpacaran. Di tangan sang teruna tersepit sebatang rokok yang masih menyala dan berasap. Sebaik-baik sahaja mereka duduk di meja di hadapan meja kami, sebelum memesan apa-apa, si dara meminta rokok yang sedang berasap di tangan sang teruna, dan lalu menyedutnya beberapa kali, sebelum menyerahkannya kembali kepada sang lelaki. Demikianlah mereka, bergilir-gilir dengan mesranya menghisap rokok tersebut tanpa segan dan silu kepada orang-orang sekeliling. Yang lelaki berwajah ke Indiaan, smentara yang wanitanya berwajah ke Melayuan.



Pada suatu ketika dahulu, saya juga ada seorang rakan setugas, seorang wanita, perokok tegar. Ketika berihat dalam masa bertugas, dia tidak akan lupa untuk menghisap rokok. Maaflah, ketika melihat dia merokok, saya merasa “malukan diri sendiri”, kerana semua lelaki setugas tidak ada seorang pun yang merokok.



Saya juga teringat kepada Allahyarham Datok Yusuf Zaky Yacob dengan seorang wanita perokok. Beliau pernah menceritakan kepada saya, bahawa dia pernah dikunjungi oleh seorang wanita, [saya masih ingat nama wanita itu], berbangsa Inggeris, seorang tokoh yang menetap di Malaysia. Dalam perbincangan itu, wanita tersebut meminta kebenarannya untuk merokok. Datok Yusuf Zaky tidak menghalangnya, tapi meminta maaf kerana dia tidak merokok.



Apa reaksi wanita itu? Katanya, “Tidak! Tidak! Anda sebenarnya lebih baik dari saya dengan tidak merokok. Bagus!”.



Perokok Wanita



Saya difahamkan bilangan perokok wanita, bukan sahaja di negara kita, tapi di seluruh dunia adalah membimbangkan. Bilangan perokok wanita di negara membangun ialah antara 2 hingga 10 peratus, sementara di kalangan negara maju perokok wanita pula lebih tinggi, iaitu antara 2 hingga 35 peratus.



Ini merupakan sebahagian daripada peningkatan perokok-perokok di seluruh negara. Mengikut kajian yang pernah dijalankan, bahawa pada tahun 2000 terdapat seramai 4.6 juta perokok di Malaysia,yang menghisap rokok sebanyak 23.7 bilion batang, sedangkan pada tahun 1998 jumlah rokok yang dihisap hanya sebanyak 18 billion batang dengan bilangan perokok kurang daripada 32 peratus.



Dari segi kaum pula, mengikut kajian tersebut perokok di kalangan orang Melayu lebih tinggi dari kaum-kaum yang lain, iaitu 35 peratus, diikuti oleh China 23 peratus, India 20 peratus dan lain-lain kaum 22 peratus.



Akibat merokok ini, dianggar sebanyak sejuta wanita di seluruh dunia akan menemui ajalnya setiap tahun akibat merokok pada tahun 2020 nanti, kerana diserang penyakit yang berpunca dari merokok, seperti penyakit barah, sakit jantung dan serangan strok.



Kenapa Merokok?



Mengikut kajian, ada berbagai-bagai sebab yang merangsangkan seseorang wanita untuk merokok, antaranya kerana pengaruh iklan-iklan yang menunjukkan wanita yang merokok boleh menurunkan berat badan mereka.



Pengaruh keadaan juga menyebabkan wanita terpengaruh untuk merokok, terutama di kalangan kaum wanita yang bekerja yang ingin menyesuaikan diri mereka dengan suasana baru yang telah berubah termasuk dengan merokok di kalangan wanita. Kononnya dengan itu status mereka akan terjaga.



Pengaruh keluarga terhadap wanita juga besar yang mendorongkan mereka untuk merokok. Mengikut kajian bilangan perokok daripada kalangan keluarga yang merokok jauh lebih besar daripada perokok di kalangan wanita yang keluarganya tidak merokok.



Pada suatu ketika dahulu, ramai orang di sekeliling saya yang merokok. Kebanyakan mereka perokok tegar. Tapi selepas timbulnya kempen-kempen berhenti merokok, tidak begitu ramai lagi mereka yang merokok. Hanya tinggal sebahagian kecil sahaja lagi yang merokok, yang tidak mampu untuk berhenti dari merokok.



Salah seorang daripadanya bila ditanya kenapa dia berhenti merokok, memberitahu dia tengok gambar akibat orang merokok, kerongkongnya diserang kanser. Katanya dia takut melihat gambar itu, lalu dia pun berhenti merokok.



Ada seorang sahabat saya, seorang ahli politik, ketika saya menemuinya secara kebetulan dalam satu perjalanan, saya amat terkejut mendapati dia tidak boleh bercakap. Suarannya langsung tidak ada. Isterinya yang menemaninya memberitahu, suaminya sakit kerongkong, diserang kanser, dan sedang menerima rawatan, kata doktor, akibat kuat merokok. Tidak lama kemudian saya mendengar khabar dia telah meninggal dunia.



Saya percaya para perokok juga menyedari risiko-risiko penyakit yang mereka hadapi akibat merokok, seperti penyakit jantung, penyakit paru-paru, penyakit kerongkong dan sebagainya.



Perokok-perokok seperti ini juga merasa bimbang dengan ancaman-ancaman penyakit-penyakit berat akibat merokok, dan memasang niat untuk berhenti merokok, tapi mereka tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian. Justeru mereka terus juga merokok.



Kenapa Tak Berhenti Merokok?



Mereka tidak boleh duduk, malah tidak boleh hidup tanpa merokok, kerana itu mereka terus merokok, walaupun mengetahui risiko-risiko besar yang mereka hadapai oleh para perokok.



Kegaglan untuk berhenti merokok ini mungkin kerana beberapa sebab, antaranya mungkin kerana teknik yang tidak tepat. Secara kebetulan saya baru sahaja selesai membaca sebuah rencana berjodol “Good Habits and How to Cultivate Them” yang ditulis oleh “a Medical Psychologist”, terdapat sebahagian daripadanya cara-cara untuk berhenti merokok yang dikelasfakasikannya sebagai sebahagian daripada tabiat yang buruk.



Katanya, tanyalah sesiapa sahaja para perokok, kenapa dia merokok, jawapan biasanya ialah, “Saya tidak tahu, saya duga ia hanya sebagai tabiat sahaja”.



Peningkatan bilangan perokok yang begitu besar sejak kebelakangan ini dianggap sebagai satu-satunya problem sosial yang paling utama jika tidak dikira dengan keuntugan yang dikauk oleh negara daripada tabiat merokok ini.



Merokok sudah pasti mempunyai kesan yang “menenangkan” saraf, tapi boleh dihujahkan dan boleh dipercayai ia bukannya berpunca dari kesan dadah yang terdapat dalam daun tembakau lebih daripada penggunaan mulut sebagai anggota pemuas nafsu. Seorang bayi yang menangis dapat ditenangkan dengan puting susu tiruan. Kepada bayi menghisap merupakan satu kesenangan walaupun tidak dapat menghilangkan kelaparan yang dirasanya.



Merokok telah menggunakan daya berahi mulut ini, dan dalam masa yang sama menyodorkan orang-orang yang berada dalam kegelisahan itu dengan sesuatu bahan untuk digelisahkan. Ia juga telah menjadi suatu tabiat atau kebiasaan sosial. Pertukaran rokok-rokok mencetuskan suatu perpaduan dalam kesedaran kemasyarakatan.



Walau bagaimana pun semua perkara itu tidak penting. Adalah mungkin kepada seorang lelaki untuk merasa damai dengan dirinya sendiri dan juga dengan rakan-rakannya tanpa kabus asap rokok berlegar-legar di sekitar kepala mereka. Ia mungkin waktu-waktu yang cemas di mana kita hidup menyebabkan manusia menjadi surut kebelakang, lebih kebudak-budakan dalam keperluan mereka kepada kedamaian, namun begitu ia mempunyai kemungkinan untuk menghadapi kenyataan hidup tanpa kabus-kabus yang menganggu itu.



Namun, katanya ada caranya kepada mereka yang ingin membebaskan diri mereka daripada tabiat merokok.



Pertama anda pastikan apakah yang mendorong anda untuk berhenti merokok. Apakah sebabnya anda ingin berhenti merokok? Adakah sebab-sebab itu sendiri mempunyai tujuan yang memadai? Ia tidak mencukupi semata-mata dengan alasan ingin berbeza. Ia mesti mempunyai sesuatu dalam berbeza itu yang menjadi daya penarik kepada imaginasi anda yang benar-benar bernilai. Sekali lagi anda perlukan imaginasi. Ia adalah ejen yang sebenarnya yang biasanya menyampaikan berbagai-bagai kebaikan.



Kemudian berhentlah merokok.



Tapi tidak semuanya mudah. Untuk menukar sesuatu tabiat atau kebiasaan tidaklah mudah, samada anda ingin membentuk satu tabiat baru atau menukar tabiat yang lama, peraturannya tetap sama. Anda kena buat keputusasn, dan laksanakannya, dan jangan benarkan sebarang pengcualian.



Dengan perlaksanaan, tabiat-tabiat itu akan terbentuk, samada dengan mengatakan”tidak” kepada rokok, atau mengatakan “ya” kepada belajar waktu petang. Setiap kali anda mengalah, bererti anda kembali ke tempat sebelum anda memulakannya. Setiap kali anda meneruskan tujuan anda, ia akan memudahkan masa-masa akan datang anda.



Jika anda menyembuhkan diri anda dari penyakit merokok, jangan asingkan diri anda dari tembakau atau rokok. Bawalah tembakau atau rokok itu bersama anda seperti sebelumnya, justeru itu anda dapat mengatakan pada diri anda:



“Aku boleh merokok jika aku mahu, tapi aku tidak ingin merokok. Aku nampak kebodohan merokok, dan sebab-sebab aku meninggalkan rokok sahaja pun memang wajar untuk aku berhenti merokok”.



Dengan memberitahu diri anda bahawa anda tidak mesti merokok [atau minum, atau lain-lainnya] tidak akan membawa anda ke mana-mana dan meletakakan anda sentiasa dalam keinginan atau kerinduan kepadanya. Tapi jika anda tidak ingin merokok, baiklah, kenapa anda mesti merokok?



Saya tertanya-tanya, kenapalah kaum wanita, khusus warga Malaysia menjadikan diri mereka begitu bodoh, meniru tabiat merokok kaum lelaki, sedangkan merokok itu bukan sahaja membazirkan wang, tapi juga dapat merosakkan kesihatan seseorang dengan ancaman berbagai-bagai penyakit yang merbahaya bukan sahaja kepada dirinya sendiri, tapi juga kepada orang-orang yang berada di sekitar perokok. Sepatutnya mereka menjadi penghalang kepada orang yang mereka kasihi daripada melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat-merokok.



Kalau tidak mampu menghalang, usahlah libatkan diri dalam merokok, biarkan kaum lelaki sahaja, berada dalam kebodohan menghisap asap beracun yang diusahakannya sendiri untuk merosakkan dirinya sendiri dan juga orang yang mereka kasihi.



EndPr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.Pr.*r.PrEnd

0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP