Istana Negeri Kubang Kerian Diserbu Rakyat

>> Saturday, December 8, 2012




ISTANA NEGERI KUBANG KERIAN DISERBU RAKYAT



Sempena Ekspo Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan [MAIK] selama sebulan dan berakhir pada 6 November yang lalu saya dan keluarga mengambil kesempatan berkunjung ke ekspo itu yang diadakan di dalam kawasan Istana Negeri, di Kubang Kerian.


Inilah kali kedua saya memasuki istana itu sejak berhenti bekerja beberapa tahun yang lalu. Semasa bekerja biasanya sekurang-kurangnya empat atau lima kali setahun saya akan memasuki istana itu kerana urusan.


Seperti mana-mana istana lain juga, baik istana dalam negara atau luar negara, Istana Negeri Kubang kerian tidaklah terbuka kepada ramai. Ia merupakan kawasan ekslusif dan terkawal keselamatannya.


Istana Negeri Kubang Kerian adalah merupakan istana kediaman rasmi kepada Kbawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke-V setelah baginda ditabalkan menjadi Sultan Kelantan beberapa tahun yang lalu.





Ia dibina dalam zaman pemerintahan Almarhum KDYMM Al-Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang memerintah dari tahun 1960 hingga 1979.


Pada masa-masa yang lalu, seperti dalam zaman pemerintahan KDYMM Al-Sultan Tuanku Ismail Petra istana ini digunakan untuk mengisi salah satu acara sambutan Hari Keputeraan baginda dengan mengadakan majlis-majlis taman di istana itu.



Sultan Muhammad ke-IV
 

Sungguh pun pada hari-hari tersebut, istana itu dibuka kepada orang ramai, tapi bukan untuk semua orang bebas masuk, ia hanya terbatas kepada para jemputan sahaja, yang teridiri dari orang-orang besar, para kerabat, pegawai-pegawai keraajaan, pemimpin-pemimpin masyarakat, wakail-wakil rakyat, pelajar-pelajar sekolah yang terpilih dan wakil-wakil pertubuhan.


Di istana inilah, bonda KDYMM Sultan Ismail petra iaitu nenekanda kapda Sultan Muhammad ke-V sekarang, iaitu Almarhum Raja Perempuan Zainab [RPZ] mangkat.


Sultan Yahya Petra
 

Tidak ada aktiviti-aktiviti di istana itu yang melibatkan rakyat jelata. Justeru, walau pun setiap hari rakyat  melintasi istana itu, yang terletak di Kubang Kerian, di jalan Kota Bharu-Pasir Puteh tapi istana itu seolah-olah tidak wujud kepada mereka,  andainya tidak ada amaran jangan memandu laju kerana kawasan istana, mereka mungkin melupakannya kerana tidak ada apa-apa kaitan dengan mereka.


Hanya di zaman KDYMM Al-Sultan Tuanku Muhammad Faris Petra yang bergelar Sultan Muhammad Ke-V  aktiviti-aktiviti tertentu telah dilaksanakan di istana itu yang melibatkan rakyat negeri ini dari segenap lapisan masyarakat.


Dalam bulan Ramadan 2012 yang lalu, telah diadakan solat sunah Tarawih di kawasan istana di mana Sultan Muhammad ke-V turut  berangkat bersolat Qiamulai bersama dengan rakyat jelata baginda. Mengikut laporan lebih dari 6,000 orang telah hadir bersolat bersama tuanku pada malam itu.



Yang terbaru pula, baginda mengizinkan kawasan itu diadalah Ekpo 100 tahun MAIK yang berlangsung selama sebulan dan berakhir pada 6 Disimber 2012. Sepanjang ekspo itu diadakan rakyat segenap peringkat bebas keluar masuk istana. Justeru seramai 150,000 pengunjung dilaporkan telah membanjiri expo itu.


Saya dan keluarga adalah sebahagian daripada 150,000 orang yang mengunjungi expo MAIK itu. Majlis perasmian pembukaannya disempurnakan oleh KDYMM Al-Sultan Muhammad ke-V, sementara majlis penutupnya telah dirasmikan oleh Tengku Mahkota, Dr.Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.



Meninjau  sepintas expo itu, khususnya berhubung dengan pengajurnya MAIK yang bertujuan untuk memperkenalkan MAIK kepada masyarakat negeri ini dengan lebih dekat lagi, saya menjadi tertanya-tanya adakah ia benar-benar berjaya mencapai tujuannya itu sebagai direncanakan? Kerana saya dapati aktiviti-akticiti yang didedahkan tentang sejarah   perkembangan badan itu di ekspo tersebut amatlah sedikit, tidaklah mencukupi untuk mencapai matlamatnya.


Saya rasa masih ada lagi aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan secara langsung oleh MAIK di expo itu untuk memperkenalkan MAIK dan sumbangannya yang memang tidak dapat dinafikan, dan bukan hanya skadar penjualan beberapa buah buku yang dikeluarkan oleh MAIK, dan penempelan gambar-gambar sejarah MAIK.





DYMM Tengku Anis di majlis taman sempena dengan sambutan hari keputeraan baginda sultan Kelantan di masa yang lalu 


Penjualan barangan, makanan minuman di Expo MAIK yang dikatakan memberi keuntungan sebanyak RM5 juta, tidaklah dapat memperkenalkan MAIK secara langsung dengan peranannya yang penting kepada masyarakat, lebih daripada sekiranya MAIK mengadakan aktiviti-aktivitinya  sendiri di ekspo itu untuk memperagakan dirinya secara langsung.


Di samping itu amatlah wajar kiranya lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti yang berguna yang melibatkan rakyat jelata diadakan di kawasan istana yang begitu luas dan masih kosong, dan sebahagian daripadanya kelihatan macam tidak terurus dengan sebaik-baiknya sesuai dengan sebuah istana.


Apa kata kalau sebuah muzium di raja yang khusus dibinakan dalam kawasan istana itu, dan dibuka kepada orang ramai, secara percuma atau dikenakan  bayaran yang sesuai jika perlu untuk pengurusannya. Walau pun muzium di raja telah sedia ada di Kota Bharu, tapi muzium baru ini hendaklah dibuat berbeza dan khusus daripada muzim yang sedia ada  itu.


Di samping itu barang-barang cendera hati boleh juga dijual kepada orang ramai, khsusnya pengunjung-pengunjung muzium. Dengan itu istana itu akan memberi lebih banyak manfaat dan sentiasa dikunjungi dan diinagati bukan sahaja oleh rakyat Kelantan, tapi juga rakyat luar Kelantan dan juga luar negara.


Demikianlah sedikit kenangan kami selepas berkunjung  ke Istana Negeri Kubang Kerian pada hari itu untuk dijadikan titik menungan bersama, semoga istana itu akan memberi lebih manfaat kepada rakyat negeri ini baik secara langsung atau tidak langsung.


Pada akhirnya patik berdoa semoga KDYMM Al-Sultan Muhammad ke-V lebih berdaulat memayungi rakyat dan negeri ini dalam menempa pembangunan jasmani dan ruhani untuk mencapai kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.


Amin!











0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP