UTHMAN EL-MUHAMMADY DALAM LINTASAN KENANGAN

>> Wednesday, March 27, 2013






UTHMAN El-MUHAMMADY DALAM LINTASAN KENANGAN


Ketika membaca tulisan ringkas Subky Latif pagi kelmarin dalam Facebooknya, saya terpaksa mencari fakta-fakta tambahan mengenai kata-kata singkatnya itu dan ini membuat saya melayari Malaysiakini. Dan bila saya meniliti tajuk-tajuk baru Malaysiakini hari itu, saya tidak menemui apa yang saya cari, tapi sebaliknya menemui berita yang mengejutkan tentang pemergian abadi seorang cendekiawan negara dan tokoh pemikir, Dr.Muhammad Uthman El-Muhammady.


Berita mengharu ini telah membuka otak fikiran saya untuk mengenang beberapa episod pengenalan saya dengan tokoh cendekiawan itu yang timbul tenggelam dalam ingatan saya.

 
Saya pertama kali menenal beliau ketika masuk belajar di Sultan Ismail Kolej [SIC], Kota Bharu seputar tahun 1970-an. Waktu itu saya berada di kelas peralihan yang dikenali dengan “Remove Class”.


Pada tahun tersebut pelajar-pelajar darjah lima di Sekolah-sekolah Melayu di seluruh negeri Kelantan diarah memasuki peperiksaan untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di sekolah aliran Inggeris. Hasil daripada peperiksaan itu saya adalah salah seorang daripadanya yang berjaya. Oleh sebab kami tidak mengetahui bahasa Inggeris, maka kami ditempatkan di darjah peralihan itu untuk mendalami bahasa Inggeris dan juga belajar mata-mata pelajaran yang biasa selama setahun. Selepas setahun barulah kami dimasukkan ke tingkatan satu atau Form 1.

Pada masa itu saya telah pun mulai menulis dalam akhbar-akhbar, antaranya Utusan Pemuda. Saya tidak begitu ingat, bagaimana saya dan Uthman El-Muhammady oleh berkenalan. Yang saya ingat ialah pada suatu hari beliau memanggil saya dari arah belakang dalam satu lorong berteduh di maktab itu. Sejak itulah persahabatan kami mula terjalin.


Dalam pertemuan yang singkat itu beliau memberitahu saya, salah seorang jawatankuasa penubuhan persatuan penulis Kelantan yang berada dalam rangka penubuhannya, dengan nama Asmupati ingin bertemu dengan saya. Beliau memberitahu orang tersebut namanya Tajul dan tempat tinggalnya di kuarter Balai Bomba, Kota Bharu.


Selepas itu perhubungan kami agak rapat. Beliau pernah sekali berkunjung ke rumah saya di Kg. Salor atas jemputan saya. Dari SIC, selepas sekolah tamat, kami berdua berbasikal sejauh kira-kira 12 km ke rumah saya.


Ibu saya, Maimunah [ya Allah cucurilah rahmat-Mu ke atasnya] menyediakan makan tengah hari untuk kami berdua. Saya tidak ingat apa lauknya, tapi agak istimewa  juga sebagai masakan orang kampung.


Selepas berihat sekejap dan selepas solat Asar, kami terpaksa menggatih basikal ke Kota Bharu, kerana beliau akan meneruskan perjalanan balik ke rumahnya di Kg. Teluk Panji. Saya ikut menemaninya hingga ke Kota Bharu, kemudian selepas itu berbasikal pula balik sendirian ke Kg.Salor.


Selepas itu, saya pula berkunjung ke rumah beliau di Kampung Teluk Panji, dan bertemu dengan keluarga beliau, salah seorang daripada mereka yang sempat saya temui ialah ayahanda beliau. Beliau juga menceritakan sedikit latar belakang keluarganya di masa-masa yang lalu.


Kemudian kami menghadiri, kalau tidak silap saya mesyuarat penubuhan Asmupati yang telah saya lupa di mana tempatnya. Mesyuarat hari itu diadakan pada hari Jumaat. Ia mengambil masa yang agak panjang, hingga waktu solat Jumaat hampir tiba, mesyuarat masih belum juga selesai.


Bila beliau menyedari waktu Jumaat telah masuk, Uthman terus mengangkat tangan mencadangkan supaya mesyuarat ditangguhkan buat sementara waktu untuk membolehkan para perserta Solat Jumaat, kerana masa itu waktu Jumaat telah pun masuk.


Kami pernah berpakat untuk membuat sebuah antologi cerpen. Kalau tidak silap saya, dua puluh buah cerpen, dibahagi sama banyak, sepuluh buah cerpen seorang. Kami memang berjaya menyelesaikan cerpen-cerpen itu dalam masa yang kami tetapkan.


Beliau menjadi juru salinnya. Saya menulis dalam askara rumi, dan disalin semula oleh beliau ke dalam tulisan Jawi, kerana tulisan Jawi saya tidak memuaskan.Tempat kami bekerja ialah selepas sekolah, di bilik bacaan Carnege Libray, Kota Bharu.


Bila semuanya selesai kami kirim antologi cerpen itu kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk dipertimbangkan untuk dicetak. Tapi tidak lama kemudian, antologi itu dipulangkan kembali kepada saya oleh Dewan Bahasa, dan saya telah lupa apakah alasan yang diberikan oleh Dewan ketika itu. Saya berihtahu beliau tentang hal itu, dan beliau tidak mengatakan apa-apa.


Manuskrip itu tidak saya serahkan kembali kepada beliau, dan saya simpan elok-elok dalam laci  berkunci meja tulis saya di rumah ibu di kampung. Bertahun-tahun saya simpan bersama-sama dengan sekumpulan sajak-sajak guntingan dari akhbar, termasuk sebuah sajak saya yang saya sayangi menggambarkan keindahan kampung saya yang ditebritkan oleh Utusan Kanak-kanak.


Ketika saya bekerja di Kota Bharu, di DIAN saya tidak berulang alik ke rumah setiap hari, tapi saya tinggal di Kota Bharu. Oleh sebab terlalu sibuk dengan kerja kadang-kadang seminggu sekali pun saya tidak berpeluang untuk balik ke rumah, kecuali ada urusan penting.


Tiba-tiba pada suatu hari, bila saya balik ke rumah, saya dapati laci meja berkunnci yang mengandungi sedikit barang-barang peribadi saya yang berharga  telah pun diumpil, dan lacinya pun sudah tidak ada lagi, dan yang tinggal hanya meja tanpa laci. Barang-barang saya di dalamnya telah lesap menjadi abu dibakar. Bagaimana kecewanya hati saya tidaklah dapat digambarkan.


Kadang-kadang ketika melihat gambar Uthman El-Muhammady di dada-dada akhbar dan majalah  saya teringatkan antologi cerpen yang kami usahakan itu.


Tapi bila kami berjumpa berkali-kali selepas itu beliau tidak pernah menyebut atau menanyanya, dan saya juga tidak teringat untuk memberitahu tentang perkara tersebut sehingga  beliau meninggal dunia kelmarin.


Waktu saya berada d tingkatan satu, beliau telah berhenti sekolah kerana tamat peperiksasan Senior Cambridge dan melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya.


Selepas tamat pengajian universiti, beliau menyertai sebuah pertubuhan dakwah dan tinggal di Kg. Tal Tujuh, Pasir Mas. Saya pernah sekali berkunjung ke rumah beliau di situ, tapi waktu itu beliau tidak ada di rumah.


Sejak itu kami tidak banyak lagi bertemu, kecuali secara kebetulan di tempat-tempat atau di majlis-majlis tertentu.


Pada suatu ketika, kami bertemu di sebuah tokoh buku kepunyaan sahabat kami. Allahyarham M. Amin di Buluh Kubu, Kota Bharu. Pada masa itu beliau sedang menyelesaikan terjemahan kitab suci al-Quran Yusuf Ali. Beliau menaip dengan menggunakan sejenis taip elektrik yang kecil.


Saya ceritakan kepada beliau Allahyarham Ustaz Yusof Zaky [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] juga sedang berusahakan menterjemah tafsir al-Quran Sayid Qutb. Tapi katanya, beliau lebih sukakan terjemahan Yusof Ali yang tenang dalam penyampaiannya.


Beliau juga memberitahu, beliau sedang mencari buku terjemahan al-Quran oleh Pick Hall. Bila saya beritahu saya memiliki terjemahan itu, beliau meminta diberikan kepadanya kalau saya tidak keberatan. Tapi saya tidak menjawab apa-apa, dan terjemahan al-Quran itu tidak pernah saya serahkan kepada beliau dan masih ada lagi dalam simpanan saya sehingga sekarang.


Saya juga teringat, ketika Allahyaramah isteri saya, Asiah Yaacob [ya Allah cucirilah rahmat ke atasnya] mengurus kanten Jabatan Agama Islam, di Kompleks Balai Islam, Kota Bharu, beliau beberapa kali berhenti makan bila beliau pergi ke Majlis Agama Islam Kelantan [MAIK] yang bangunannya terletak bersebelahan sahaja. Beliau pada masa itu adalah salah seorang penulis tetap Pengasuh, majalah yang dikeluar oleh MAIK, sebuah majalah yang telah lanjut usianya tapi masih hidup sampai ke hari ini.


Saya masih ingat pada suatu hari, hari itu hari Khamis, bila saya sampai di kanten itu, beliau sedang minum sendirian di sebuah meja. Saya duduk di sbelahnya selepas bersalaman. Beliau mempelawa saya minum, dan katanya beliau ingin membelanja saya makan, walaupun dia tahu, isteri saya yang berjualan di kanten itu.


Dan memang selepas selesai makan, beliau membayar minuman saya, dan beberapa orang lain lagi yang makan di meja berhampiran dengan meja kami makan itu. Beliau memanggil isteri saya “Mek”, sebuah panggilan umum untuk wanita-wanita Kelantan.
 

Setelah tidak berjumpa sekian lama, beberapa bulan yang lalu, secara kebetulan saya bertemu dengan beliau secara kebetulan di Lapangan Terbang Subang. Pada masa itu saya sedang menunggu-nunggu kesampaian beg saya di pelatar berpusing, tiba-tiba saya melihat beliau sedang berjalan menuju ke pintu keluar dengan membawa sebuah beg. Agak terkebelakang sedikti, ada seorang lelaki yang tidak saya kenali berjalan di sebelahnya. Rupanya dia berada dalam satu penerbagnan dengaan saya dari Pengkalan Chepa tadi.


Saya melangkah ke arah beliau, setelah memberi salam, kami bersalaman. Oleh sebab beliau nampak begitu sibuk, saya pun tidak memperkenalkan diri saya, kerana itu beliau pun tidak berkata apa-apa dan hanya tersenyum. Kalau tidak, beliau tentu akan bercakap juga sepatah dua seperti biasa. Saya percaya beliau masih tertanya-tanya pada waktu itu siapakah saya sebenarnya.


Anak saya Arhman Zaini yang menunggu kesampaian saya di luar kawasan masuk untuk berlepas turut bersalaman dengan beliau, bila dia melihat saya bersalam dengannya. Katanya dia cam orang itu salah seorang daripada sahabat saya.


Itulah pertemuan saya yang terakhir dengan beliau sehinggalah saya mendengar kabar kematiannya pada malam 26 Mac 2013 kelmarin kerana sakit jantung. Beliau meninggal dalam usia 70 tahun di kediamannya di Kuarters Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa [ISTAC].


Semasa hayatnya beliau adalah Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia dari tahun 1995 hingga tahun 2000, dan dilantik semula ke jawatan tersebeut pada tahun 2010. Beliau juga Felo Amat Utama Akademik ISTAC, UIA.


Beliau bertugas sebagai Pensyarah Sambilan peringakt Ijizah Sarjana dalam perbandingan agama Universiti Teknologi Mara [UiTM].


Di samping itu, beliau adalah salah seorang anggota Pemegang amanah Yayasan Karyawan.


Uthman El-Muhammady adalah mantan Profesor Adjung Pengajian Islam Universiti Petronas.


Beliau telah ditabal menjadi Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2005 [1426 Hijriah].


Demikianlah perginya seorang cendekiawan Islam meninggalkan seorang balu Mariam Hussin, 65 tahun, serta 12 orang anak berusia antara 30 hingga 45  tahun.


Beliau meninggalkan jejak-jejak bertapak sebagai seorang cendekiawan Islam yang banyak memberi sumbangan buah fikiran dan penulisan yang berkaitan Islam dan ketamadunan Islam menerusi ceramah-ceramah, tulisan-tulisan di dada-dada akhbar,majalah-majalah dan buku-buku, termasuk buku-buku terjemahan daripada bahasa Arab dan Inggeris ke bahasa Melayu.


Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan UIAM, Gombak. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.


Tiba-tiba saya teringat kata-kata seorang bekas Profesor Universiti Malaya yang pernah berkata kepada kami dalam satu pertemuan di Kota Bharu, ketika itu Uthman masih lagi berada di kampus UM, antara lain katanya, “Kalau Uthman itu pandai berpidato seperti Anuar Ibrahim, dia juga akan menjadi seorang pemidato yang handal”.


Sekian.







0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP