ABDULLAH TAHIR DALAM PERCIKAN KENANGAN

>> Wednesday, September 11, 2013




ABDULLAH TAHIR DALAM PERCIKAN KENANGAN



Selepas menemui puisi Abdullah Tahir di bawah dan menyiarkan dalam SETANGGI KOTA BHARU V timbul tenggelam dalam benak saya kenangan kepada penyairnya yang telah berpergian terlebih dahlu itu. Ia  merupakan percikan-percikan kenangan zaman silam yang muncul dalam timbunan masa-masa lampau yang ligas berlalu:


WARKAH KEPADA MENTERI

Bapak,
Kami laung dan sebut namamu
Ketahuilah
Kami hidup atas tegak anak umat
Paling celaka
Bila
Kami ini anjing-anjing
Yang dijamu makan
Tapi tersepit mulut


Walaupun puluhan tahun telah berlalu, tapi imbasan-imbasan wajah beliau masih segar dalam ingatan, dan mendorongkan saya untuk menyelongkar album foto saya untuk mencari wajah beliau, salah seorang sahabat saya, dan rakan dalam penulisan. Alhamdulillah saya sempat menemui beberapa keping foto beliau.

Saya telah lama mengenal beliau, iaitu sejak  tahun enampuluhan lagi. Waktu itu beliau sering berkunjung ke pejabat kami, PUSTAKA DIAN,  di Kota Bharu, dan kemudiannya SYARIKAT DIAN SDN BERHAD, di Lundang, Jalan KB- Pasir Puteh. Biasanya setiap kali beliau datang, beliau akan membawa buah tangan berupa karya-karya atau tulisan-tulisan beliau untuk siaran MINGGUAN KOTA BHARU atau DIAN DIGES/Majalah DIAN.

 


                      Beliau berdiri no lapan dari kanan


Beliau juga sering hadir di majlis- majlis yang kami anjurkan. Pada masa itu kami sering menganjurkan berbagai-bagai aktiviti dari masa ke masa, terutama majlis-majlis budaya dan sastera.

Saya masih ingat pada suatu pagi, ketika beliau datang ke pejabat kami di Lundang, dia memberitahu saya, “Zain rencana awak terbit dalam majalah Qiblat yang terbaru. Dah tengokkah belum?”. Saya jawab saya belum melihatnya, dan beliau lalu mencadangkan saya supaya segera membelinya.

Setiap bulan Ramadan selama usia Mingguan Kota Bharu kami anjurkan majlis dialog Ramadan setiap minggu, di pejabat kami dan berbagai-bagai tokoh agama kami undang sebagai peserta, temasuklah mufti Kerajaan Kelantan. Selepas solat Maghrib kami berbuka puasa sebelum beredar untuk pulang ke rumah masing-masing.

Beliau juga seingat-ingat saya pernah hadir ke majlis dialog-berbuka yang kami anjurkan itu. Kadang-kala beliau juga membawa isteri beliau ke majlis-majlis yang kami anjurkan itu.

Dalam satu majlis Deklamasi Sajak menyambut Maulud yang pernah kami adakan ada secara besar-besaran di Padang Merdeka Kota ribuan orang telah hadir membanjiri padang yang bersejarah itu, termasuklah para penulis. Ramai para penyair yang ikut mendeklamasikan sajak-sajak mereka pada malam itu, dan di antara mereka hari ini ada yang mempunyai kedudukan yang kukuh dalam dunia sastera dan juga sebagai kakitangan kerajaan. Di akhir majlis diadakan pula penyampaian hadiah untuk para peserta.Dan ada di antara mereka itu sampai ke hari ini ada yang masih terus berkarya dalam kelanjutan usia.

Selain daripada menyumbang puisi untuk Mingguan KB, beliau juga menyumbangkan puisi, cerpen dan  rencana-rencana untuk Majalah DIAN.
Sewaktu saya bertugas di DIAN, kami memang kerap bertemu, tapi setelah saya meninggalkan DIAN, kami hampir tidak bertemu lagi, itupun secara kebetulan sahaja. Sepanjang masa berpuluh-puluh tahun hanya beberapa kali sahaja saya bertemu dengan beliau.

Kami pernah bertemu secara kebetulan di kampus Universiti Malaya. Pada masa itu saya bersama dengan Drs. Abdul Rahman Al-Ahmadi dan Ustaz Abdullah Nakula bertemu dengan beliau ketika makan tengah hari di salah sebuah kantin Univisiti Malaya. Saya menumpang Drs. Rahman Al-Ahmadi, yang kami panggil Pak Su Man pergi ke Perpustakaan Universiti Malaya. Tidak banyak yang sempat kami bincangkan pada hari ini, kerana pertemuan berlangsung dalam masa yang begitu singkat.

Beberapa tahun kemudian, saya rasa saya pernah bertemu dengan beliau di sebuah resturan di Jalan Pantai Baru untuk makan tengah hari, di mana di situ juga saya pernah bertemu dengan seorang sahabat saya, juga seorang penulis, Ashari Muhammad yang berkhidmat denganTNB.

Saya juga teringat pada suatu masa beliau telah berpesan kepada isteri saya, Allahyarhmah Asiah Yaacob [semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya] ketika mereka bertemu di suatu majlis sastera yang dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kelantan di Kota Bharu. Pesanan itu berkait dengan orang ketiga yang saya hormati yang menggantung harapan pada saya pada waktu itu untuk melaksanakan sesuatu projek. Tapi pesanan beliau itu tidak dapat saya penuhi kerana waktu itu saya telah mulai bertugas di Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, mengendalikan SINAR KELANTAN, lidah resmi kerjaan negeri ketika itu.




             Yang tidak kelihatan dalam gambar ialah Datin Azizah dan Allahyarham


Saya rasa itulah kali terakhir saya bertemu dengan beliau sepanjang berpuluh-puluh tahun yang lalu. Setelah sekian masa berlalu, tiba-tiba saya mendapat berita sahabat saya itu, Abdullah Tahir telah meninggal dunia.

Demikianlah percikan-percikan kenangan saya terhadap sahabat saya Abdullah Tahir seorang yang bersahaja, ramah dan senang di dekati.

Beliau dilahirkan di Kubang Kerian, Kota Bharu pada 19 Mac 1945. Kembali ke rahmatullah pada 5 Julai 1997. Seorang cerpenis, dan juga penyair. Tapi lebih terkenal sebagai seorang cerpenis. Pernah menjadi tutor dan pensyarah di Universiti Malaya. Prof, Madya dan Ketua di Jabatan Penulis  Kreatif dan Deskreatif Universiti Malaya.

Beliau mempunyai lapan orang adik beradik dan beliau adalah merupakan anak keempat. Salah seorang daripada saudara beliau yang saya ketahui ialah Rahim Tahir yang pada suatu ketika pernah juga terlibat dalam dunia penulisan. Saya juga telah bertahun-tahun tidak bersua dengan beliau hingga ke hari ini.

Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diridhari-Nya”. 89: 28.

Demikianlah perginya seorang insan ke pangkuan Ilahi meninggalkan jejak-jejak bertapak dalam sastera tanah air yang akan menjadi kenangan sepanjang zaman.

Sekalung al-Fatihah untuk beliau.



4 comments:

Erry May 13, 2018 at 8:12 PM  

Assalaamualaikum Tuan. Terima kasih atas coretan berkenaan Almarhum Ayahnda saya. Terubat juga rindu kami sejak hampir 21 tahun ketiadaan beliau. Semoga Allah jua merahmati urusan Tuan.

Pondok Rahmat May 16, 2018 at 9:15 AM  

Walaikummusalam.Saya mungkin akan menghubungi anda untuk mendapat butir butir tambahan singkat mengenai Allahyarham. Saya sedang merancang untuk membuat dalam bentuk yang lain dalam buku saya nanti. Insyaaalah. Bagaimana untuk menghubungi anda.Salam untuk ibu anda kalau tidak keberatan.

povial October 6, 2020 at 9:45 PM  

Salam sejahtera! Saya mencari goto Abdullah Tahir untuk buku saya. Boleh bantu?

povial October 6, 2020 at 9:46 PM  

Maaf foto povial@yahoo.com

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP