IBRAHIM HAJI ABDULLAH DALAM KERDIPAN KENANGAN

>> Saturday, January 4, 2014













IBRAHIM HAJI ABDULLAH DALAM KERDIPAN KENANGAN 



Ibrahim Hj Abdullah adalah seorang rencanawan dan juga seorang penyair dari Kelantan Darulnaim. Saya mengenali beliau, ketika saya mula-mula bertugas di Pustaka Dian yang pejabat pertamanya terletak di tingkat atas di sebuah deretan bangunan kayu, di tepi Sungai Kelantan, di Cabang Tiga Lido, Kota Bharu. Masa itu beliau masih seorang pelajar.

Saya bersama Allahyarham [Dato’] Ustaz Yusuf Zaky Yaacob pernah bertandang ke rumah beliau di Kampung Betong, Seberang Pasir Mas Salor, menjelang keberangkatannya ke Indonesia untuk melanjutkan pelajaran di  Solo, dalam bidang kewartawanan. Masanya sudah terlalu lama. Beberapa tahun yang lalu secara kebetulan saya dan keluarga menghadiri suatu majlis perkahwinan di kampung Seberang Pasir Mas Salor, lalu saya bertanya tuan rumah tentang beliau, dan di mana rumahnya, tapi tuan rumah itu tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan kerana maklumat yang saya berikan kepadanya tentang saudara Ibrahim tidak berapa cucuk dengan apa yang ada dalam pengetahuannya.

Kami hanya bertemu semula selepas beberapa tahun sekembalinya dari Indonesia. Sayup-sayup dalam ingatan saya, beliau pernah bertugas sekejap di Syarikat Dian Sdn. Bhd. yang pada waktu itu pejabatnya terletak di Lundang, Kota Bharu. Saya tidak pasti tahun berapa beliau mulai bertugas dan bila beliau berundur dari SDSB.

Kemudian menjelang keberangkatan kami ke Mekah, kami bertemu dengan beliau di Batuta Trave & Tour Sdn. Bhd, sebuah syarikat pelancongan kepunyaan, bekas EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Ghani Mahmood. Saudara Ibrahim pada masa itu bertanggungjawab tentang penerbitan suara Batuta Travel. Selepas itu hubungan kami terputus langsung hingga ke hari ini.

Menurut apa yang beliau pernah maklumkan, dari segi akademiknya, beliau pernah belajar di sekolah  Melayu, Sekolah Arabi, Sekolah Inggeris dan Maktab Perguruan Islam Kota Bharu. Kemudian melanjutkan pelajarannya di Institut Jurnalistik Indonesia, Solo.

Katanya beliau pernah bertugas sebagai seorang pendidik.  Kegemarannya membaca, menulis dan  menghayati.

Bidang penulisan yang beliau sumbangkan ialah dalam bidang rencana dan juga puisi. Sejauh yang saya ketahui karya-karya beliau boleh didapati dalam Mingguan Kota Bharu [almarhum], Majalah DIAN [Almarhum], Pengasuh, dan juga dalam akhbar-akhbar tanah air.

Sebuah sajak beliau DI PERKUBURAN yang disiarkan dalam Mingguan Kota Bharu telah disiarkan kembali dalam SETANGGI KOTA BHARU  pada 17 Oktober 2013 yang lalu.

Ayahnya, Hj. Abdullah bin Hj. Daud, seorang petani dan ibunya Hajah Che Yah bt Hj. Abdul Rahman seorang suri rumah. Beliau mempunyai empat orang adik beradik.

Saya percaya beliau masih lagi bergiat dalam dunia penulisan. Beberapa bulan yang lalu saya pernah melihat nama Ibrahim Hj. Abdullah bersama sebuah rencana dalam sebuah akhbar tanah air yang saya lupa tajuk dan kandungannya, dan surat khabar apa.

Sekian Ibrahim Hj. Abdullah dalam kerdipan ingatan saya selepas sekian lama tidak berjumpa dengan beliau. Semoga beliau berada dalam keadaan sihat dan sejahtera.




                                                                 
Kaitan:

DARI IBRAHIM HAJI ABDULLAH
DI PERKUBURAN
   
                                                                    

                                                                              








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP