MALAYAN UNION DITENTANG RAKYAT KELANTAN- Mengutip Daun Sejarah 1

>> Wednesday, February 26, 2014





                                            BERDENDANG SAYANG-ISMAIL ALI MUDA
       

MALAYAN UNION DITENTANG RAKYAT KELANTAN

                                                          Sultan Ismail

JEPUN menyerah kalah pada bulan Ogos, 1945 dalam Perang Dunia Kedua bila sebutir bom atom digugukan ke atas Kota Hiroshima pada 16 Ogos, 1945.


Sebaik sahaja Jepun menyerah kalah, maka Kerajaan British telah mengarah Lord Mounbatten menduduki semula Tanah Melayu. Beliau tiba di Tanah Melayu pada 5 September, 1945 untuk menyambung semula pemerintahan British di Tanah Melayu yang telah terputus dengan kedatangan Jepun.



                                                                                                                                                                                    [Datin] 
                                                                         Cik Kamariah Idris


Pada 11 Oktober, 1945 Kerajaan British telah mengumumkan di Parlimennya rancangan untuk menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu. Malayan Union ditubuhkan pada  1 April 1946 di King House [Carcosa Seri Negara].


Malayan Union terdiri daripada negeri-negeri Melayu, negeri-negeri Selat, tanpa Singapura sebagai penganti “British Malaya”. Sedangkan Singapura kekal sebagai tanah Jajahan British. Sebab utama Singapura tidak dimasukkan ke dalam Malayan Union ialah dipercayai kerana kepentinga ekonomi British.


Secara ringkasnya, Malayan Union mengandungi Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh Gabenor British. Walaupun Raja-raja Melayu dikekalkan kedudukannya, tapi mempunyai kuasa yang amat terbatas, iaitu hanya mengenai Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu sahaja.


Walau bagaimana pun British akan terus mengekalkan pemerintahannya melalui Majlis Penasihat yang dilantik oleh Gabenor Malayan Union itu sendiri.


Berikutnya, Setiausaha Tanah Jajahan British, George Hall ketika mengumumkan rancangan  Malayan Union itu antara lain menegaskan, “Penyatuan negeri ini dan membaharui kandungan undang-undang kerakyatan yang akan memberikan hak kerakyatan yang sama rata kepada sekalian penduduk yang mengaku negeri ini sebagai tanah air mereka”.


Kerajaan British berani memaksa rancangan Malayan Union itu kerana orang-orang Melayu pada masa itu telah berpecah belah dalam perjuangan dengan kelahiran berbagai-bagai persatuan dan pertubuhan yang memperjuangkan rancangan masing-masing.


Setiausaha Tanah Jajahan British itu juga mengumumkan bahawa Sir Harld Mac Michael telah dilantik oleh Kerajaan Britih untuk mengurus dan mendapatkan persetujuan mengenai rancangan baru itu daripada Raja-raja Melayu.


Mac Michael telah datang ke Tanah Melayu membawa rancangan itu. Tapi di luar dugaan British, umat Melayu telah bangkit menentang Rancangan Malayan Union itu. Di seluruh pelosok tanah air mereka  bangkit menunjukkan tentangan dan cabaran terhadap Malayan Union.


Demikian juga dengan rakyat Kelantan yang telah menganggap Malayan Union itu satu penghinaan kepada kedaultan negeri-negeri dan Raja-raja Melayu.


                                            Rakyat Kelantan Beraka Di Jalan-jalan Raya


Pada waktu itu telah wujud beberapa pertubuhan yang aktif di Negeri Kelantan. Antaranya ialah Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan yang telah aktif dalam masa menjelang pendudukan Jepun lagi. Ianya merasa tercabar dengan rancangan Malayan Union British itu, dan  mengambil langkah bertindak untuk menghadapinya.


Antara tindakan-tindakan penting yang pernah dilakukan oleh Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan ialah menyembah sepucuk surat kepada Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim memperingatkan Baginda supaya tidak menandatangani perjanjian Malayan Union itu. Antara lain kandungan surat itu berbunyi:


“........ Pendudukan tanah air hari ini dan akan datang bergantung kepada keteguhan ikatan setia di antara kedua-dua belah pihak, iaitu rakyat jelata Melayu dengan pemerintahan Melayu. Sekira sepihak telah mencuaikan kewajipannya maka di situlah terlahirnya nasib buruk Bangsa Melayu, Tuanku dan Kemulian taraf Sultan-sulatan Melayu. Akan tetapi sekiranya kedua-dua pihak telah berikat setia dan berpegang teguh menunaikan kewajipan masing-masing mengikut keadaan dan masa kehendak orang Melayu, maka pada masa itulah kemulian dan  kebesaran yang belum pernah dirasai oleh pemerintah-pemerintah Melayu pada beratus-ratus tahun dahulu akan terlahir dengan sejelas-jelasnya”.

Di samping itu PPMK juga telah melancarkan gerakan-gerakan penerangan kepada rakyat Kelantan mengenai bahaya-bahaya dan keburukan Malayan Union jika benar-benar dilaksanakan nanti.


Dengan itu timbullah kesedaran yang meluas di kalangan orang ramai terhadap keburukan-keburukan yang akan dialami oleh bangsa dan negara mereka angkara rancangan Malayan Union itu. 

Mac Michael tiba di Kota Bharu dalam usahanya untuk mengambil persetujuan dan tandatangan Sultan Kelantan, Sultan Ibrahim pada 15 Disember, 1945. Beliau meminta Sultan Kelantan menandatangani perjanjaian Malayan Union sebagaimana dilakukan oleh raja-raja yang lain juga. Melihat raja-raja Melayu lain telah menandatangani perjanjian itu, maka Sultan Ibrahim pun ikut menandatangnainya dengan disaksikan oleh pembesar-pembesar negeri Kelantan. Dengan itu bererti Sultan Kelantan menyerahkan negeri ini kepada Kerajaan British.


Orang-orang Melayu Kelantan, seperti juga orang-orang Melayu di negeri-negeri lain menyambut ketibaannya dengan mengadakan satu rapat raksaksa menentang Rancangan Malayan Union itu.


Perarakan bermula dari Padang Bank, [Padang Merdeka], lalu berarak menuju ke kediaman Penasihat British di Jalan Sultanah Zainab.


Perarakan diketuai oleh Allahyarham [Dato’] Ishak Hamid. Di antara pemimpin yang ikut serta dalam perarakan itu ialah seorang pemimpin wanita, Cik Kamariah Idris. Kumpulan itu telah merempuh masuk ke kediaman Penasihat British itu untuk menyerahkan surat bantahan. Bila melihat kumpulan orang ramai datang menemuinya, Penasihat British merasa cemas dan cuba memalu gong untuk memanggil pengawal keselamatan. Ishak Hamid melarangnya berbuat demikian, dan sebaliknya menjelaskan tujuan mereka hanya untuk menyerahkan surat bantahan terhadap Rancangan Malayan Union, dan bukan sama sekali untuk mencetuskan kekacauan.

Kemudian perarakan raksaksa itu menghala ke Istana Mahkota Sri Chemerlang untuk mengadap Sultan Ibrahim. Wakil Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan yang menganjurkan rapat raksaksa itu telah mengadap Sultan Ibrahim, dan mempersembahkan bantahan terhadap penubuhan Malayan Union.

                                                   Rakyat Kelantan Dalam  Perakaran

Semua golongan rakyat menyertai rapat itu,baik kanak-kanak, para belia, orang-orang tua, lelaki dan perempuan telah memenuhi jalan-jalan raya untuk mengambil bahagian dalam rapat itu. Adalah dipercayai demonstrasi yang diadakan di Negeri Kelantan itu mengatasi dmonstrasi yang diadakan oleh orang-orang Melayu di negeri-negeri lain.


Perhimpunan itu merupakan perhimpunan terbesar yang pernah diadakan dalam sejarah Negeri Kelantan. Kira-kira 30,000 orang dikatakan membanjiri Padang Bank dan jalan-jalan seluruh bandar Kota Bharu.  Ini membuktikan perpaduan orang-orang Melayu Kelantan yang kukuh untuk menentang penjajah British.


Dalam perhimpuan raksaksa itu, bergai-bagai cogankata dipaparkan, antaranya berbunyi, “Jahanam Malayan Unon”, “Kembalikan Hak Kami”, “British Pecah Amanah” dan “British Mungkir Janji”.


Kemudian pada 10 Febuari, 1946 Sultan Ibrahim  telah menganjurkan sendiri satu perhimpunan rakyat di halaman Istana Sri Chemerlang, di Jalan Kebun Sultan di mana Baginda sendiri menyampaikan titah ucapannya di majlis itu.


Kemuncak gerakan orang-orang Melayu menentang Malayan Union itu ialah Kongres Melayu Malaya Pertama yang diadakan pada 1, 2, 3 dan 4 April 1946 di Sultan Sulaiman Kelab Kuala Lumpur. Ia dianjurkan oleh Persatuan Melayu Selangor, tanpa menghiraukan Tanah Melayu pada masa itu dalam pemerintahan tentera British.


Sebanyak 41 buah persatuan telah hadir, terdiri dari 107 orang perwakilan, 56 orang pemerhati, termasuk Persekutuan Persetiaan Melayu dan Persatuan Melayu Kelantan.


Tiga orang wakil PPMK yang menghadiri kongres tersebut ialah Haji Fadullah Suhaimi sebagai ketua, dan dua oang lagi ialah, Mohammad bin Busu dan Haji Ishal Lotfi Omar.


Wakil Persatuan Melayu Kelantan juga tiga orang, iaitu terdiri daripada Nik Ahmad Kamil bin Nik Mahmud [Dato’ Setia Di Raja} sebagai ketua deligasi dan dua orang lagi ialah Ahmad Mahir Ismail dan Ismail Ibrahim.


Ini membuktikan bahawa pada masa itu telah timbul kesedaran di kalangan orang-orang Melayu bahawa mereka tidak boleh berjuang secara bersendirian ataupun berpuak-puak, tapi sebaliknya memerlukan perpaduan dan pengembelingan tenaga yang kental. Oleh sebab itulah agenda pertama kongres tersebut ialah menubuhkan sebuah badan yang akan dijadikan pusat perjuangan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu.

                                                             

Bersambung Ke Bahagian 2:


RAKYAT KELANTAN 
MENENTANG MALAYAN UNION























0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP