MISTERI MENJELANG FAJAR MENYINGSING

>> Friday, May 9, 2014





MISTERI MENJELANG FAJAR MENYINGSING


Sebelum fajar menyingsing atau sebelum Subuh menjelang, ada seorang lelaki berusia, akan membuka pintu rumahnya, lalu menuruni tangga dan membuka kunci pintu pagar, dan terus berjalan melangkah meninggalkan rumah.


Dia mengatur tapaknya secara biasa, tidak laju dan tidak pula perlahan. Suasana masih sepi. Penghuni-penghuni rumah di sekitar masih diulit mimpi dalam tidur mereka yang nyenyak.


Dia terus melangkah, sambil dalam hati tak luput dari berzikir kepada Allah, Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Maha Pemurah. Udara pagi yang nyaman dan bersih segar membelai-belai sekujur badannya menemani langkah-langkahnya yang pasti.



 Dari beberapa buah masjid di kejauhan, biasanya dia mendengar ayat-ayat suci al-Quran dikemundangkan memecah kesunyian pagi yang hening. Alunan ayat-ayat suci al-Quran yang menenang dan mententeramkan, membawa hati dan jiwanya terbang jauh melepasi angkasa raya.


Keluar dari lorong rumahnya itu, dia menyusuri jalan kampung yang bertar. Kadang-kadang di tengah-tengah jalan yang sepi dari laluan ada beberapa kucing peliharaan sedang bergurauan, tapi akan menghilangkan diri bila dia menghampirinya.


Biasanya sepanjang perjalanan yang dikeliling oleh pokok-pokok di tempat-tempat yang masih belum berumah, dia akan disapa oleh makhluk Allah, yang dijeniskan sebagai unggas-unggas yang bebas di alam maya. Selain beraneka jenis burung yang sering menyalaminya setiap pagi, yang dikenali dari nada suaranya, dan ada juga burung-burung yang hanya sekali sekala yang bertenggek di dahan-dahan pokok di tepi jalan turut menyalaminya. Ada burung-burung itu duduk di atas pokok yang dahan-dahannya memayungi jalan, sambil berdendang, di mana dia melewati di bawahnya. Dan nyanyian itu akan berhenti selepas dia melepasinya.

Lampu-lampu jalan yang tergantung pada tinag-tiang yang kaku di tepi jalan, masih menyala, lesu menerangi sepanjang jalan yang ditapakinya. Kadang-kadang  cahaya bulan mengembang di atas ubun-ubun kepala di langit yang cerah menerangkan susana alam yang sepi dengan taburan ribuan bintang-bintang yang gemerlapan.


Pokok-pokok di kiri kanan jalan kadang-kadang lesu dan sepi, dan kadang daun-daunnya gemersik bunyinya bila dihembus bayu pagi yang tidak menentu. Ia kedengaran semacam bisikan-bisikan yang mengasyikkan mendendangkan rahsia alam jagat yang penuh dengan kemisterian.


Kadang-kadang kalau dia mendongak sedikit ke langit sebelah barat sana, di tempat yang lapang, dia melihat bola bulan terpampang di kaki langit yang bening, menyinarkan cahaya yang lembut suram dari kejauhan. Yang pasti di kaki langit itu ada sebuah bintang yang terang yang sentiasa kelihatan berkelap-kelip, bila langit tidak mengandung awam gelap pekat.


Perjalanannya setiap pagi adalah nyaman, hanya ada sebuah atau dua kenderaan yang melewatinya setiap hari di sebatang jalan yang banyak menabur budi dan jasa kepada pelalu-pelalunya. Khususnya kepada penduduk sekitar. Namun begitu tidak banyak dari manusia yang mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan itu.


Kepadanya perjalanan menjelang fajar setiap hari itu, kira-kira satu kilometer jauhnya pergi balik, amat menyenangkan, menyegarkan hati dan jiwanya, menambahkan rasa kudus dan khusyuknya kepada Yang Maha Pencipta. Ia merupakan suntikan ruhani yang menyegarkan.


Tidak berapa lama selepas dia memasuki bangunan yang mulia itu dengan penuh takzimnya, maka Bilal pun akan mengkemundangkan Azan memanggil-manggil hamba Allah bersolat jemaah untuk mengingati-Nya. Dan ini akan menambahkan lagi ketenangan hati dan jiwa dalam pengabdian kepada Allah.


Walaupun azan itu tersusun dalam ungkapan-ungkapan yang simple, tapi di sebaliknya tersembunyi hakikat dan falzafah dan prinsip-prinsip luhur yang terlalu tinggi untuk jangkauan akal dan fikiran, dan ia hanya dapat dinikmati dengan hati dan jiwa yang disaluti dengan keiklasan dan keimanan.


Ungkapan-ungkapan azan yang simple itu membawa makna yang begitu agung dan tinggi:

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar

Aku mengaku tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah.


Aku mengaku Muhammad itu utusan Allah.

Marilah bersama-sama dirikan sembahayang.

Marilah bersama-sama rebutkan keuntugan.

Sembahayang itu lebih baik dari tidur.

Allah Maha Besar, Allah Maha Besar.

Tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah.        


Selepas selesai solat Subuh yang penuh berkah itu, dia akan melangkah pulang, dan pada waktu itu jalan tersebut mulai sibuk sedikit dengan kenderaan-kenderaan yang bermuat dengan penumpang yang hendak pergi ke tempat kerja masing-masing. Namun begitu kehadiran sekali sekala suara-suara kenderaan itu tidaklah menghalanginya daripada menikmati dendangan ungas-ungas dan beburung yang kian banyak dan beraneka suara menyambut kedatang pagi knriaan Allah itu.


Semunya menyenangkan kurnian nikmat Allah yang tidak ternilai harganya. Semuanya itu mencermin kewujudan dan kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Pengasih dan Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya.


Menikmati segala keindahan di waktu fajar itu menyegarkan jiwanya dengan penuh kesyukuran kepada Maha Pencipta yang kurnia-Nya sentiasa melimpah-ruah kepada setiap makhluk-Nya. Hanya hamba-hamba-Nya sahaja ada yang melupai Kemurahan kurniaan-Nya itu yang memenuhi alam maya ini.


Allah bukan sahaja mencipta keindahan, tapi juga cintakan keindahan, sejajar dengan DiriNya yang Maha Indah. Sesungguhnya Allah itu indah. Itulah dikatakan, andainya Allah membuka sedikit sahaja hijab yang menutupi wajah-Nya yang indah itu, maka sinar yang memancar dari wajahnya itu akan membakar segala sesuatu yang ditimpa oleh pandangan-Nya itu.


Cintailah keindahan ciptaan Allah itu. Cintalah Allah. Dan Allah Maha Besar!




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP