TUMPAT DALAM SECEBIS KISAH CINTA

>> Thursday, November 20, 2014




TUMPAT DALAM SECEBIS KISAH CINTA


                                         Tenang dan damai di Pantai Sri Tujoh


JIKA kita pergi ke pantai perkelahan Pantai Sri Tujoh ertinya kita pergi ke Tumpat, kerana Pantai Sri Tujoh itu terletak dalam Tumpat. Tumpat adalah sebuah Jajahan dalam Negeri Kelantan yang terbentuk daripada beberapa daerah pula.


Pada masa-masa yang lalu kami sering pergi Ke Tumpat. Antara tempat yang sering kami kunjungi ialah Pantai Sri Tujoh, pasar malam dan Masjid Tumpat. Pada tahun-tahun tersebut hampir setiap minggu kami pergi Ke Tumpat untuk ambil angin dan cari makan.

                                         Membeli makanan laut di Tumpat


Biasanya kami pergi bertiga, Allahyarham [Dato’] Ustaz Yusuf Zaky Yaacob, sahabat saya iaitu pemandunya, dan saya, dan kadang-kadang Allahyarham juga membawa keluarganya bersama. Beliau mempunyai sahabat baik di sana.


Bila beliau banyak kerja, umpamanya untuk menyiapkan sesebuah rencana penting untuk Majalah DIAN, iaitui rencana pengarang, beliau akan mencuit mengajak saya keluar untuk ambil angin, antaranya ke Tumpat. Kami berihat-rihat di Pantai Sri Tujoh sambil berbual-bual, dan kemudian bersolat di Masjid Tumpat.


Kami juga sering pergi lewat petang, kerana waktu itu ada sebuah pasar malam yang saya lupa di mana tempatnya dalam bandar Tumpat. Ada seorang wanita penjual nasi di pasar malam itu, di mana masakannya sesuai dengan selera kami, terutama nasi dagangnya yang mencabar selera.


Di Pantai Sri Tujoh pula beliau sering membeli makanan-makanan laut yang dijual di bawah pohon-pohon rhu di situ. Masa itu tidak ada tempat menjual khas sperti kebelakangan ini. Yang membelinya ialah [Dato’] Yusuff sendiri yang kami panggil Abang Soh. Biasanya beliau suka membeli “ti-jah”. Jika beliau membeli, semua yang ada bersama akan dibelinya juga sama banyak dengan beliau. Kalau sekelo, semuanya dapat sekelo.


Ti-jah ini sedap dimasak lemak bersantan, atau masak sayur air katak [ketok] serai.


Ataupun dalam perjalanan pulang, kalau hari masih awal kami singgah di Pasar Tumpat untuk membeli sesuatu untuk dibawa pulang.


                                         Gembira berjaya menangkap ikan

 
Pada masa itu beliau terlalu baik dengan saya. Saya merasa beliau melayan saya seperti saudaranya sendiri. Dan malang kemudiannya, perkara ini menjadi punca masalah. Saya menjadi mangsa iri hati rakan-rakan yang merasakan saya dilebihkan dari mereka.


Jajahan Tumpat


Mengikut sejarahnya, Jajahan Tumpat ini diwujudkan pada bulan Januari 1949. Sebelum itu ianya merupakan sebahagian daripada Jajahan Kota Bharu


Tumpat adalah salah satu sepuluh jajahan di Negeri Kelantan Darulnaim. Ia mempunyai sebuah bandar, iaitu Bandar Tumpat yang merupakan salah sebuah daripada bandar penting bagi negeri ini.


Luasnya 169.50 batu persegi, iaitu jajahan yang paling kecil di Negeri Kelantan. Selain daripada Pantai Sri Tujoh yang menarik itu, ia juga mempunyai sebuah pantai lagi, iaitu Pantai Suri.


Jajahan Tumpat di bahagikan pula kepada tujuh daerah, iaitu Daerah Tumpat, seluas 15.5 km persegi, Daerah Terbak seluas 25.9 km persegi, Daerah Sungai Pinang seluas 28.5 km persegi, Daerah Wakaf Bharu, seluas 23.3 km persegi, Daerah Pengkalan Kubor seluas 25.9 km persegi, Daerah Jal seluas 31.0 km persegi dan Daerah Kebakat seluas 18.1 persegi.



                                         Mandi-manda di air yang tenang


Daerah-daerah itu pula dibahagikan kepada mukim-mukim, iaitu sebanyak tiga puluh buah mukim.


Tumpat mempunyai lima belas buah pulau. Hampir keseluruhan pulau-pulau itu telah lama dijadikan kampung halaman oleh para penduduk.


Di samping itu ada lagi tidak kurang daripada 25 buah pulau yang muncul kemudiannya, tapi pulau-pulau ini kecil sahaja. Kemunculannya berlaku akibat pemendapan lumpur dalam air Sungai Kelantan yang melalui perjalanan yang jauh berliku-liku. Pulau-pulau tumbuh itu telah dinaiki oleh pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan.


Justeru Tumpat ialah sebuah jajahan yang paling banyak memiliki pulau-pulau di negeri ini.


Adalah difahamkan keadaan pantai-pantai di Tumpat ini juga sedang menghadapi ancaman hakisan dan ditelan ombak laut.


Ia mempunyai sebuah Kawasan Bebas Cukai, iaitu di Pengkalan Kubor tidak berapa jauh dari bandar Tumpat. Ia mempunyai sebuah stesen Kereta Api Tanah Melayu, yang terletak di hujung jalan kereta api di Pantai Timur.


Pada tahun 2010, penduduknya berjumlah seramai 153,976 orang.


Sebelum itu, pada tahun 1980 mengikut banci, penduduk Tumpat adalah seramai 89,519 orang. Sedangkan dalam tahun 1991 penduduknya seramai 115, 925 orang. Daripada itu 56,493 orang lelaki, dan 59, 432 perempuan.


Mengikut ethnik mereka adalah terdiri dari Melayu 90.8 peratus [93,536 orang], Thai 6.0 peratus,[6,224 orang], China 2.7 peratus [2,831 orang] dan India dan lain-lain 0.5 peratus [381 orang].


Kisah Cinta


Pada masa itu di bandar Tumpat itu ada sebuah rumah rihat atau Rest House kepunyaan pihak berkuasa kerajaan. Allahyarham [Dato’] Yusuf Zaky pernah berihat di rumah rihat tersebut.


Saya tidak pasti sekarang di manakah letaknya bangunan tersebut. Rumah Rihat itu boleh disewa oleh orang ramai. Allahyarham [Dato’] Yusuf Zaky pernah menyewanya. Saya tidak pasti berapa kali beliau menyewa di situ sepanjang hayat beliau.


Apa yang saya ingat pada suatu masa beliau dan keluarganya menyewa Rumah Rihat tersebut. Beberapa hari sebelum itu, saya telah memberitahu bahawa saya bermaksud untuk memperkenalkan kepada mereka seorang gadis pilihan hati saya untuk dijadikan suri rumahtangga. Beliau dan isteri [Datin] Azizah yang kami panggil Kak Wan bersetuju untuk menemuinya.



                                                       Menunjukkan Jajahan Tumpat


Pada malam tersebut dengan berkereta yang dipandu oleh seorang sahabat karib saya, Allahyarham Ustaz Raffie’, wartawan Utusan Melayu di Kelantan membawa kami menemui beliau dan keluarga. Selain itu ada lagi beberapa orang yang kami bawa bersama-sama, tapi buat waktu ini tidak saya ingat siapa mereka.


Setelah berbual-bual kami pun minta diri, tapi kami tidak terus balik, malah menuju ke tepi pantai, kerana kami tahu kebetulan malam itu, orang-orang Thai menyambut hari Loi Kraton. Kami lihat ramai gadis-gadis dan pemuda-pemuda yang menyambut Loi Kraton dengan melepaskan perahu-perahu kecil dari kertas ke dalam laut untuk dibawa arus.


Bila beliau balik ke rumah beberapa hari kemudiannya, beliau dan isteri [Kak Wan] memberitahu persetujuan dengan pilihan saya itu. Maka dengan itu diatur upacara peminangan, setelah terlebih dahulu mendapat perstujuan daripada kedua orang tua saya yang dikasihi.


Gadis yang bersama kami malam itu ialah Asiah Yaacob gadis yang saya nikahi selepas itu. Sebenarnya beliau tidak tahu apa-apa tentang tujuan kami membawa beliau berjumpa dengan [Dato’] Yusuf Zaky dan keluarganya itu, kerana kami hanya memberitahu beliau sekadar untuk ziarah Ustaz  yang sedikit uzur ketika itu dan sedang berihat di situ. Saya tidak tahu juga adakah dia mengetahuinya selepas itu setelah kami menjadi suami isteri.


Perkahwinan kami terus berkekalan hingga ke akhir hayatnya menelan masa hampir empat puluh  tahun, di maa kami hidup sebagai suami isteri hingga beliau menghembuskan nafasnya yang akhir beberapa tahun yang lalu. Semoga Allah cucuri rahmat ke atasnya.


Demikianlah Tumpat dalam lengkaran kisah hidup kami sebagai insan yang kerdil dalam mengharungi kehidupan dunia yang fana ini. Dalam lengkaran itu terpaut secebis dari kisah cinta kami.


Pasir Tumboh, 
Kota Bharu.

 

.


0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP