TOLEH KE BELAKANG; PERUPOK 60 TAHUN YANG LALU

>> Thursday, March 12, 2015




PERUPOK SEKARANG DAN 60 TAHUN YANG LALU




PANTA IRAMA. Tempat bersantai yang popular bagi orang Kelantan. Orang luar Kelantan, malah dunia pun mungkin mengenalinya sebaga sebuah tempat pelancungan yang menark.




Mereka tahu Pantai Irama – Beach of Melody- letaknya di Jajahan Bachok, salah sebuah daripada beberapa jajahan pertadbiran dalam Negeri Kelantan. Letaknya dekat dengan Masjid Bachok, menghadapi Laut China Selatan, dan berhampiran dengan Pasar Bachok.


Pantai Irama sebuah pantai yang menawan. Sedap dipandang mata, tenang untuk beristirihat, riang untuk bersantai, diayuni oleh irama-irama aslinya mengusik hati dan perasaan.


Justeru, khususnya hari Jumaat dan Sabtu, pesisir pantai itu penuh dengan para peminatnya yang ingin menikmati keindahan, kenyamanan, dan irama melodinya yang sentiasa berbisik mendendangkan lagu alam yang tersendiri.


Tapi satu faktor orang mungkin terlepas ingat Pantai Irama ini terletak dalam Daerah  Perupok, yang merupakan salah satu daripada lapan daerah yang membentuk sebuah Jajahan Bachok. Daerah-daerah itu ialah Perupok, Gunong, Tawang, Melawi, Telong, Bekelam, Mahligai dan Tanjong Pauh.


Perupok adalah asalnya sebuah perkampungan nelayan yang terletak di pinggir Laut China Selatan yang memanjang sampai ke Tumpat, di sebelah Utara Negeri Kelantan.


Perupok sebuah kampung yang telah lama terkenal, sebagai sebuah kampung nelayan di Negeri Kelantan. Ia pernah dijadikan sebuah kampung nelayan contoh dalam bidang pendidikan negara Malaya, sebelum merdeka. Ia termasuk dalam sukatan pelajaran negara waktu itu.


Ketika membincangkan kehidupan para nelayan di Malaya, Perupok telah dipilih sebagai model penangkapan ikan untuk dperbincangkan dalam buku  teks sekolah.


Perkara ini terdapat dalam buku ilmu alam [kini telah ditukar kepada geografi] yang diterbitkan oleh Department Of Education Federation Of Malaya”. Ia tercatat dalam buku “Ilmu Alam Darjah Tinggi 1” yang diterbitkan pada tahun 1951 untuk pelajar-pelajar sekolah Melayu waktu itu. Buku yang ada di tangan saya adalah buku ulang cetak pada tahun 1953.


Buku itu dihasilkan oleh L. Dudley Stamp , Professor of Social Geography in the University of London dan G.E.D, Lewis, B. Sc., Ph.D. [London], Dip. Ed. F.R.G.S, Colonial Education Service, dan di Melayukan oleh Pejabat Karang Mengarang Jabatan Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu, Kuala Lumpur.


Dalam Bab “Menangkap Ikan-Negeri Kelantan Dan Terengganu,”, penulsnya menjelaskan bahawa tempat yang paling banyak sekali menjalankan perusahaan menangkap ikan di Malaya ialah di Pantai Timur-Laut Semenjanung Tanah Melayu, iaitu di pantai Negeri Kelantan dan Terengganu.


Sebahagian besar penduduk-penduduk kedua-dua negeri itu adalah Melayu. Kebanyakan mereka bersawah padi dan menjadi nelayan menangkap ikan. 





 Oleh sebab-sebab di pantai-pantai kedua negeri tu ada beratus-ratus pekan nelayan, maka penulisnya memilih Perupok sebagai contoh sebuah kampung nelayan untuk dibincangkannya.


PERUPOK


Katanya, “Perupok, duduknya kira-kira 10 batu dari Kota Bharu. Dalam pekan ini ada kira-kira 300 buah rumah duduknya di tepi pantai laut serta diselang seli dengan pokok-pokok kelapa”.


“Adapun pantai laut di situ lebar dan pasirnya putih, curamnya menurun beransur-ansur hingga sampai ke kaki air”.


“Kebanyakan penduduk-penduduk di situ orang Melayu melainkan sedikit-sedikit sahaja orang China dan India yang datang ke situ kerana berkedai”.


“Kira-kira sebatu arah ke darat dari pantai laut itu ada sebuah sungai bernama Sungai Kemasin; iaitu mengalir arah ke utara dan selari dengan pantai laut, kemudian mengalir masuk ke dalam laut kira-kira 3 batu ke utara Pekan Perupok itu. Di kiri  kanan  Sungai Kemasin itu ada banyak sawah-sawah padi”.


“Maka orang-orang yang tinggal antara sungai yang tersebut  dengan pantai laut itu kebanyakkannya bekerja menangkap ikan tetapi mereka-mereka yang tnggal arah ke darat dari sungai itu kebanyakannya bertanam padi”.


“Boleh dikatakan lebih daripada 75 peratus daripada orang yang tinggal dalam pekan Perupok itu 
bekerja menangkap ikan belaka”.


“Sungguhpun setengah daripada mereka memakai kail sahaja atau jala, iaitu di tempat-tempat yang cetek airnya, tetapi kebanyakannya menggunakan pukat tangkul”.


“Mereka-mereka yang tidak bekerja menangkap ikan, membuat pekerjaan-pekerjaan yang bersangkut paut dengan perusahaan menangkap ikan itu juga. Misalnya setengah daripada mereka berniaga ikan, iaitu dibeli mereka ikan daripada nelayan-nelayan itu kemudian dijual kepada orang-orang lain, dan setengah bekerja membuat jala”.


Seterusnya sebagai sebuah buku teks, penulisnya menceritakan cara-cara menangkap ikan dan alat-alat menangkap ikan yang mereka gunakan.


Antara alat-alat menangkap ikan konvesional yang diterangkan ialah pukat tangkul, pukat tarik dan pukat payang.


Penulis memberi pujian terhadap kerja juruselam yang pandai mengesan ikan-ikan di dalam laut dengan menggunakan pancainderanya semata-mata.


Katanya, “Juruselam ini sangat pandai dan cekap dalam pekerjaannya. Setengh daripada mereka tahu di mana banyak ikan, iaitu dengan menyelam dan memasang telinga mendengar dalam air itu. Adapun cara menangkap ikan itu sangat seronok melihatnya”.


Adakah tenaga juruselam ini masih digunakan oleh nelayan-nelayan hari in? Dan adakah jenerasi hari ini memiliki ilmu mendengar bunyi ikan seperti nenek moyang mereka dahulu itu?


Seterusnya dgambarkan lagi, “Setelah ikan-ikan itu ditangkap maka sekaliannya pun dimuatkan ke dalam sebuah daripada perahu-perahu itu dan dibawa ke darat. Biasanya penangkap-penangkap ikan itu bertolak balik dan sampai ke pantai pekan Perupok pada petang hari”.


“Di pantai itu ada sedia peraih-peraih ikan menunggu hendak membeli ikan-ikan mereka. Setelah bertawar-tawaran maka ikan itupun dijuallah kepada pembeli-pembelinya dan dimasukkan ke dalam bakul besar-besar  dibawa dengan bas ke pekan yang dekat sekali dengan pekan Perupok itu terutama ke Kota Bharu”.


“Ada juga setengah daripada ikan-ikan itu dijual di pantai pekan Perupok itu iaitu kepada penduduk-penduduk di situ dan setengah dijual kepada penjual-penjual ikan yang mengandar atau membawanya atas basikal, ke kampung-kampung yang jauh dari pekan itu”.


“Jika kekurangan ikan di pekan Perupok, maka penjual-penjual ikan itupun kelihatan berebut-rebut hendak membelinya apabila penangkap-penangkap ikan sampai dengan perahu ke pantai; masing-masing berlawan dan menaikkan harga ikan itu supaya dijual kepadanya. Tetapi sebaliknya apabila banyak ikan, susahlah kelak lakunya dan biasanya ikan-ikan itu dijemur dibuat ikan kering atau belacan  dan dijual apabila kekurangan ikan dalam bulan Disember dan Januari bila tiba angin monsoon. Kadang-kadang ada juga ikan-ikan yang tidak laku itu direbus orang tetapi ikan rebus demikian tidak tahan lama; setelah beberapa hari lamanya busukah ia kelak”







Kita tertanya-tanya betulkah ikan yang tidak lakukan tu dibuat belacan, dan tidak dibuat budu?.
Walau bagaimanapun, kata penulisnya, perusahaan menangkap ikan itu tidak dapat dijalankan setiap hari di sepanjang tahun, seperti dalam bulan Disember dan Januari, pekerjaan menangkap ikan tidak dapat dijalankan, kerana berlaku hujan dan ribut  disebabkan angin monsoon timur laut. Kadang-kadang sebaliknya berlaku, iaitu ketika tidak cukup angin bertiup, maka perahu-perahu tidak dapat belayar ke tempat-tempat yang terdapat banyak ikan.


Dan istimewanya, pada hari Jumaat  para nelayan itu pergi ke masjid untuk solat Jumaat.


Untuk mengatasi problan cuaca yang menghalang mereka menangkap ikan di laut, ada nelayan-nelayan itu menggunakan alat-alat menangkap ikan yang khusus untuk digunakan di tepi-tepi pantai, seperti jala, belat, rawai dan menggunakan joran untuk memancing ikan.


Demikanlah Pekan Perupok dalam gambaran penulis Barat kira-kira 60 tahun yang lalu, yang dengan jelas membayangkan di mata kita bagaimana nelayan-nelayan kita menjalankan perusahaan mereka.
Mereka adalah datok nenek kita para nelayan yang kehidupannya bergantung kepada laut. Kisah ini patut benar dibaca oleh jenerasi-jenerasi kini, warga Perupok khususnya untuk mengetahui peri hidup datok mereka dahulu.


Kampung Parit,
Pasir Tumboh, KB. Kelantan.





0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP