KHABAR DARI SEBERANG

>> Wednesday, October 21, 2015







KHABAR DARI ‘SEBERANG”


Saya harap anda aka terus membaca tulisan ini sampai selesai mengisahkan sebuah khabar dari “Seberang” sana..







”Baru saat ini
Aku terjaga dari satu mimpi
Makan malam bersama Alang
Di dapur lama rumah Salor
Di atas rumah
Kayu itu


Tiba-tiba Mok Munah
Dan Cik Yah [Alang] datang
Membawa hidang
Sup bebola daging
Nasi yang beruapan

Mok Munah memasukkan sup ke dalam bekas lain
Tampak lebih menawan
Untuk anak menantu cucunya makan
Lalu ditanya Alang
Mengapa
Mengapa
Mengapa perlu disalin bekas yang masih bersih
Hanya untuk cantik pandangan
Aku menyampuk
Langit Biru Laut Biru
Sekadar menyampuk
Hanya menyampuk
Tapi Alang tersenyum
Dan bersamanya
Cik Yah dan Mok Mnah turut mengangguk
Senyum bersama


Di dalam mimpi tadi
Aku tiba-tiba teringatkan Bak
Dan terasa amat rindu


Langit Biru Laut Biru
Kini aku menangis
Kerinduan
Memang rindu yang tak terkata
Pada mereka yang dah tiada
Kasih sayang mereka kita simpan
Sampai bila-bila
Mimpi tu sebagai satu tanda
Marilah kita sedekah Alfatihah pada mereka
Hanya itu tanggungjawab kita
Mok, Cek Leh, Ayah Pin, Cik Yah, Ayah Cik dan Tok Ngah
Tapi sama-sama kita jangan lupa
Tanggungjawab kita pada mereka
Yang masih ada bersama kita.


Nubli


Bait-bait di atas dinukil oleh Nubli bin Othman yang dikirimnya kepada kami beberapa hari yang lalu. Tersedu juga hati saya membacanya.


Ia mencetuskan hati saya untuk menulis rencana ini. Ketika saya titik tulisan ini, hati saya sebak kerinduan, merindukan orang yang telah bertahun-tahum tiada dan berada di sebalik tabir perpisahan yang tidak mungkin akan kembali lagi. Tapi kenangan dan kerinduan melewati segala ruang dan waktu tanpa sempadan.


Saya lalu teringat seseorang yang kami kenali, dan biasa dengan anakku Ahmad Syaibani Zaini, pada suatu malam, sehari selepas Mamanya meninggal dunia menelefon beliau. Orang itu, Hasnah [bukan namanya yang sebenar] antara lain memberitahu beberapa perkara berhubung dengan kematian Mamanya yang dikasihi, Asiah Yaacob itu.


Hasnah memberitahu bahawa beliau baru sahaja bertemu dengan Mamanya dengan berpakaian serba putih dan wajah yang berseri-seri. Katanya beliau belum pernah lagi melihat orang yang telah meninggal begitu berseri wajahnya sebelum ini.


Hasnah memanggil Ahmad Syaibani Ayah Su dan isterinya Cik Su. Katanya dalam pertemuan itu Mamanya membuat beberapa pesanan kepada Ayah Su.


“Ayah Su tidak boleh terlalu sedih dengan kematian Mamanya, kerana Mama sentiasa berada di sisi Ayah Su walaupun dia telah meninggal. Mama akan sentiasa gembira.


“Ayah Su kena jaga tanggungjawab Ayah Su dengan sempurna. Cik Su juga perlu jaga tanggungjawabnya dengan baik.


“Kalau ada apa-apa perselisihan faham, janganlah perbesar-besarkan. Sabik-baiknya tanganilah dengan cara yang baik.


“Mama terlalu berharap kepada Ayah Su dan Cik Su, sebab Ayah Su anak bongsu dan banyak belajar ilmu agama.


“Mama tak pernah ambil hati terhadap anak-anak dan menantu walaupun pernah membuatkan hati Mama terguris. Mama tahu hati perut orang muda, mereka memang macam tu, Mama juga pernah lalui benda tu”


“Kata Mama, “Inilah pegangan Mama menyebabkan Mama tidak pernah mengambil hati terhdap orang-orang yang pernah mengguris hati Mama”.


“Abang-abang dan kakak-kakak kenalah balik selalu, jangan pula, Mama dah tiada, tak balik terus. Jangan pernah renggan hubungan sesama sendiri”.


Adakah peristiwa ini hanya mimpi semata?


Adakah ini satu impian, igauan, fantasi, imaginasi atau manifestasi?
Kisah-kisah seperti ini berlaku di luar sempadan sains, selangkah ke alam ghaib yang penuh misteri.


Di antara alam nyata dan alam ghaib ini hanya dipisahkan oleh sebuah tabir yang tipis sahaja yang memsiahkan  antara kedua alam. Justeru orang-orang yang dikurnia Allah rahmat-Nya dapat meninjau apa yang tersembunyi di sebalik tabir yang tipis itu, malah kadang-kadang dapat melangkauinya untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri.


Itulah sebabnya, orang yang telah pergi ke sebalik tabir sana itu, kadang-kadang dirasa oleh orang yang masih hidup semacam masih ada, walaupun telah tiada, atau walaupun telah tiada terasa macam masih ada. Itulah sebabnya mereka yang masih hidup itu kadang-kadang terasa-rasa orang-orang yang telah tiada itu seolah-olah berada di kalangan mereka yang masih ada.


Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kampung Kubang Siput,
Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP