ABDUL RAHMAN AL-AHMADI ILMUAN YANG BERJASA

>> Sunday, May 29, 2016





ABDULRAHMAN AL-AHMADI ILMUAN YANG BERJASA

Abdul Rahman Al-Ahmadi [Abdul Rahman Bin Hj. Mohamed] bukanlah sebuah nama kecil dalam dunia penulisan ilmiah tanah air, terutama dalam bidang sejarah dan budaya.


                               Abdul Rahman Al-Ahmadi, 
                               4 dari kiri, dalam majlis
                                Pertemuan Mat Kilau dan Mat Kelantan
                                di Kuantan


Hampir setiap kali saya pergi ke Kuala Lumpur atau negeri Selangor terlintas dalam hati untuk berkunjung ke rumah beliau di Sungai Buloh


Saya hanya baru sekali atau dua kali berkunjung ke rumah  beliau selepas beliau pindah ke Sungai Buloh.  Tapi saya biasa tinggal bersama keluarga beliau di rumah lama beliau di Jalan Belangkas, Kuala Lumpur. Waktu itu saya berada di Kuala Lumpur untuk bekerja di Kementeriaan Kebudayaan Belia Dan Sukan, dan tidak mempunyai tempat tinggal, lalu beliau menawarkan saya tinggal di rumah beliau. Saya tinggal berbulan-bulan lamanya sementara mencari rumah sewa yang sesuai, namun begitu akhirnya saya membuat keputusan untuk membangun sebuah rumah setinggan di Jalan Jelatek, Dato’ Keramat, Kuala Lumpur barulah saya pindah.


Pada kali terakhir saya berkunjung ke rumah beliau di Sungai Buloh beliau menghadiahkan kepada saya sebuah buku beliau berjodol “Petua Membina Rumah Melayu: Dari Sudut Etnis Antopologi” yang diterbitkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia.


Kebanyakan perbualan kami pada hari itu berkisar tentang dunia penulisan, diselang seli dengan perkara keluarga. Antara lain katanya beliau telah diminta oleh seorang tokoh akademik supaya menulis tentang penggembaran Hang Tuah dari satu tempat ke satu tempat, berdasarkan nama-nama tempat yang disebut dalam Hikayat Hang Tuah. Menurut beliau, beliau telah menjelajah tempat-tempat tersebut dan terbukti memang benar kewujudannya.


Satu perkara yang sedihnya, ketika buku itu dalam proses penaipan komputer, tiba-tiba semua bahannya yang telah siap ditaip telah hilang dalam komputer yang sedang ditaip oleh puterinya kerana gangguan komputer, dan tulisan manuskrip asal tulisan tangan juga telah hilang, dengan satu cara yang saya telah lupa puncanya. Justeru itu beliau terpaksa mengarang semula buku tersebut dari awal hingga akhir.


Saya tidak pasti adakah buku itu telah dicetak setelah diserahkan kepada penganjurnya yang masih ada lagi hingga sekarang.


Beliau juga memberitahu saya, beliau telah menyerahkan semua koleksi buku-buku simpanan beliau kepada Perpustakaan Negara Malaysia. Katanya beliau diberi ganjaran yang tertentu, namun begitu pada waktu itu beliau masih belum berpuas hati kerana koleksi beliau masih tersimpan dan belum terurus dengan sewjarnya oleh Perpustakaan Negara. Saya percaya keadaan sekarnag telah jauh berubah.


Beliau juga menyarankan saya, jika saya mempunyai banyak buku supaya menyerahkannya kepada Perpustakaan Negara kerana terlebih selamat untuk disimpan.


Dalam koleksi peribadi buku-buku tersebut meliputi buku-buku mengenai sejarah, pendidikan pondok di Negeri Kelantan, novel-novel, kitab tajwid, syair, majalah-majalah, termasuk Majalah Pengasuh yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Kelantan, hasil-hasil karya ulama Kelantan yang tersohor, seprti Hj.Umar Nuruddin, Shaikh Haji Wan Ali, Mufti Hj.Ahmed Mahir, Dato’ Perdana Menteri Hj Nik Mahmood dan Mufti Haji Muhammad Noor Ibrahim.


Sebelum itu beliau juga pernah menceritakan kepada saya tentang nasib salah sebuah karyanya yang terbesar iaitu Ensiklopedia Budaya Melayu yang dihasilkan semasa beliau bertugas di Kementerian Kebudayaaan, Belia Dan Sukan. Pada masa buku tersebut dalam proses percetakan, tiba-tiba pada tahun 1986 bangunan Wisma Keramat, Jalan Gurney, Kuala Lumpur di mana Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan ditempatkan telah terbakar, dan ikut musnah dalam kebakaran itu ialah sebahagian daripada naskah-naskah Ensiklopedia Budaya tersebut. Sementara sebahagian daripada naskah  yang lain yang berada dalam proses semakan percetakan pula telah musnah di pejabat percetakan bila banjir besar melanda Kuala Lumpur.


Beliau juga pernah memberitahu saya, bahawa sekiranya beliau menghadapi kebuntuan dalam membuat sesuatu kajian, khususnya tentang sejarah,  beliau kadang kala akan pergi berkahlwat, memohon pertolongan keapda Allah bersama dengan sahabatnya Abdullah Muhammad [Abdullah Nakula] yang menghadapai masalah yang sama, ke sesuatu tempat khusus. Menurut beliau biasanya mereka akan mendapat jawapan kepada persoalan buntu yang sedang mereka cari jawapanya itu.


PENGALAMANNYA

Saya mengenali beliau pada tahun 1964 di Pustaka Dian, Jalan Chik Su bila beliau mula-mula melaporkan diri untuk bertugas pada suatu pagi bersama kami. Seperti orang-orang lain juga beliau tiba-tiba mncul dan menduduki sebuah meja kosong. Namun tidak menjadi hal, kerana beliau seorang yang cepat mesra dan peramah dan senang didekati.


Pada masa itu Mohd Zain Saleh adalah salah seorang sidang pengarangnya. Pada masa itu Pustaka Dian tidak pernah mengambil sebarang butir-butir peribadi  daripada pekerja atau borang untuk diisi, hanya cukup ditunjukkan kad pengenalan untuk bayaran gaji dan sebagainya. Pada masa itu Yusoff Zaky masih menjalankan tugas utama mengendalikan Majalah Dian, malah Percetakan Dian seluruhnya. Abdula Rahman Al-Ahmadi boleh dikatakan lama juga bersama kami, iaitu kira-kira lima tahun dari tahun 1964 hingga 1969.

Abdul Rahman Al-Ahmadi adalah seorang yang tenang, peramah dan senang didekati. Saya panggil dia Pak Su Man, dan isterinya kami panggil Mak Su, berasal dari Indonesia. Kedua-duanya ramah dan mudah didampingi.


Beliau dilahirkan di Pasir Mas Kelantan, pada 11 Mac 1931; Pasir Mas adalah sebuah bandar yang terletak di pinggir Sungai Kelantan, yang merupakan persimpangan jalan menghala ke Tumpat, Kota Bharu dan Rantau Panjang, Tanah Merah, sekarang ke Pantai Bantai Barat menerusi Jeli.


Beliau menerima pendidikan awalnya di Pasir Mas, iaitu belajar di Sekolah Melayu Pasir Mas dan kemudian melanjutkan pelajarannya ke Madrasah Jame’, Merbau, Kota Bharu 1942-1946. 

Kemudiannya beliau berhijrah ke luar negara untuk meraih ilmu. Pada tahun 1947  beliau melanjutkan pelajarannya ke  Sekolah Menengah Pertama [SMP], Bukit Tinggi, Sumatera Barat, Indonesia. Seterusnya pada tahun 1950 beliau belajar di Sekolah Menengah Atas, Jakarta, Indonesia [SMA].

Berkat rajin dan gigihnya beberapa tahun kemudian beliau  berjaya memasuki Universiti Gajah Mada, Yogyakarta, Jawa Tengah Indonesia dan berjaya mendapat gelaran Doktorandus [Sarjana] dalam bidang Hubungan Antara Bangsa pada tahun 1961. Bila balik ke Malaysia beliau terus meyambung pelajaran akademiknya dan berjaya menggondol Ijazah Sarjana dalam bidang Sejarah daripada Universiti Malaya pada tahun 1978.

Ketika saya tinggal di rumahnya di Jalan Belangkas, beliau sering membawa saya mengunjungi Perpustakaan Universiti Malaya bila beliau ada urusan di Pepustakaan UM untuk membuat kajian.  Beliau nampaknya begitu familiar dengan salah seorang pustakawan di perpustakaan tersebut.


Beliau tidak berhenti setakat itu sahaja dalam pencapai akademik, kerana selepas itu beliau meyambungkan pelajarannya dengan mengikuti kuliah Ph. D. di Ecole des Hautes Etudes en Sciences Sociates di Paris atas biasiswa tajaan kerajaan Peranchis pada tahun 1980 hingga 1981.

Sebelum itu ketika menetap di Kota Bharu, beliau bertugas memberi kuliah di Yayasan Pengajian Tinggi Nilam Puri, Kota Bharu di samping di Institut Pendidikn, Kota Bharu. Kemudiannya dilantik menjadi Pengetua Maktab Adabi Kota Bharu [1970-1972] dan menjad Pengetua Maktab Adabi, Pasir Mas 1973-1975.


Semasa di Kuala Lumpur beliau pernah memegang jawatan pensyarah sambilan di Institut Bahasa, Kesusateraan Kebudayaan Melayu Universiti Kebangsaan [IBKKM], Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada tahun 1976 hingga 1978.


Setelah beliau bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan pada tahun 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Unit, Bahagian Penyelidikan, Kemenerian Kebudayaan, dan telah dilantik mengetuai Unit Ensiklopedia Budaya, Bahagian Penyelidikan , Bahagian Kebudyaan, Kementerian Kebudyaan, Belia dan Sukan. Sebahagian daripada naskah ensiklopedia ini telah musnah dalam kebakaran dan banjir.


Beliau adalah seorang ilmuan ang banyak membuat kajian tentang filologi, terutama mengenai manuskrip Melayu, di mana pada tahun 1984 beliau telah menerima biasiswa UNESCO untuk membuat kajian mengenai manuskrip Melayu di Negeri Belanda. Beliau telah membuat kajian tersebut dari 25 Disember 1984 hingga 25 Mac 1985 di Royal Institute of Linguistics and Anthropology, dan di Leiden University dan Arkib Nasional Belanda  di Amerstdam.


Beliau telah bersara dari jawatan kerajaan pada 15 April, 1992.


Pada tahun 1993 hingga 1994 beliau telah dilantik menjadi Mualim Tamu, Perpustakaan Negara Malaysia yang pertama. Kemudian dilantik semula oleh Perpustakaan Negara untuk tugas yang sama pada tahun 1997 hingga 1998.

Pada tahun 1987 dilantik menjadi menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia.


Pada tahun 1991 dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pembelian Dan Perolehan Muzium Islam, Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Penubuhan Muzium Ethnology Dunia Melayu, Muzium Negara Malaysia.


Di samping itu pada tahun1994-1995 dilantik menjadi Karyawan Tamu di Institut Alam Dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.


Semasa hayatnya beliau telah berjaya menghasilkan sekumpulan buku-buku yang telah diterbitkan, antaranya Pengantar Sastera, Pengantar Ilmu Politik [1966[ dan Detik-detik Sejarah Kelantan, yang diterbitkan oleh Pustaka Aman Kota Bharu.

Lain-lain buku yang diterbitkan oleh Kementeriaan Kebudayaan Beliau dan Sukan, antaranya ialah: Pengantar Budaya dan Masyarakat, Sejarah Kebudayaan Prasejarah di Malaysia, Kalung Bunga [Kolkesi Essei], Tokoh dan Pokok Pemikiran Tuk Kenali, Sejarah Kedatangan Islam ke Asia Tenggara, Sejarah dan Kebudayaan Camp, Batu Bersurat Melayu Kuno, Rakyat, Budaya Dan Agama.

Sebelum itu di samping menterjemah rancana-rencana dari bahasa asing, beliau juga telah menterjemah buku Treasure Island karya R.L. Stevenson dengan jodol Pulau Khazanah, dan diterbitkan oleh Oxford University  Press 1968.

Beliau juga banyak menulis rencana-rencana berkaitan dengan jurusan sejarah, sastera, budaya, agama dan falsafah dan kebudayaan yang disiarkan dalam majalah-majalah tempatan, seperti Dian, akhbar Mingguan Kota Bharu dan lain-lain. Di samping itu banyak menghasilkan kertas-kertas kerja seminar dan dan kuliah serta karya-karya yang diterbitkan oleh Kemenerian Kebudyaan Belia dan Sukan.


Saya mendengar berita duka tentang beliau ketika bersama-sama dengan beberapa orang penulis di kediaman saya, Pondok Ramat. Saya masih belum berkesempatan untuk mendapatkan cerita  yang lanjut tentangnya hingga ke saat hari ini walaupun masa telah agak lama berlalu.



Beliau pernah memberitahu saya bahawa sejak kebekalangan, beliau tidak begitu sihat, dan tidak mampu bergerak seorang diri ke pejalanan yang agak jauh, kerana itu terpaksa membawa isterinya, Mak Su bersama untuk menemaninya. Menurut beliau ini berlaku berpunca daripada pemdedahan yang pernah dialaminya sebelum itu.


Saya bertemu beliau  di Kota Bharu dalam majlis Siri Wacana Tokoh Tuk Kenali pada tahun 2001 yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur  di mana beliau adalah salah seorang pembentang kertas kerjanya. Justeru beliau tidak mempunyai pengangkutan, selepas seminar saya temani beliau ke hotel penginapan, sementara menunggu kapalterbang akan berlepas pada lewat petangnya  dan menghantarnya ke lapanganterbang Pengkalan Chepa.


Saya teringat, beliau pernah beberapa kali memberitahu saya bahawa beliau akan menulis tentang kisah hidup  beliau dari sejak kecil, dan menasihat saya supaya menulisnya juga. Saya masih belum pasti adakah buku tersebut sempat beliau tulis ataupun tidak.


Sekian.

Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Parit,
Pasir Tumboh, Kota Bharu,Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP