MASJID AT-TAQWA KEPALA BATAS, KAMI MEMULAKAN RAMADAN

>> Monday, June 6, 2016







MASJID AT-TAQWA KEPALA BATAS, KAMI MEMULAKAN RAMADAN







“Wahai orang yang beriman
diwajibkan k atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan
atas orang-orang yang sebelum kamu,
agar kamu bertaqwa”.
-Al-Baqarah [2]: 183



Hari ini, 6 Jun, 2016 tibalah hari mulia, satu Ramadan, seribu empat ratus tiga puluh tujuh yang ditunggu-tunggu dengan penuh debaran oleh seluruh umat Islam.


Tidak seperti lumrah, kami menyambut kunjungan Ramadan kali ini dalam permusafiran kerana urusan pendaftaran cucu N. Noor Syafiqah Zaini, di Kolej Metrik Metrikulasi, Pulau Pinang.



Saya rasa inilah julung-julung kalinya kami menyambut awal  Ramadan sebgai musafir yang jauh dari rumah. Namun begitu tidak ada apa-apa masalah, kami merasa semacam berada di rumah juga. Cucu-cucu yang ada bersama kami juga nampaknya tidak menunjukkan sebarang perbezaan, dan mereka pun turut berpuasa seperti biasa.


Sejak semalam kami tinggal di kawasan Masjid At-Taqwa Kepala Batas, bersolat Tarawih di masjid dan bersahur di ini. Kami sekeluarga tinggal di sebuah bilik sewa Taqwa Inn kepunyaan Masjid At-Taqwa yang letaknya bersebelahan Masjid Taqwa.


Bilik keluarga yang kami sewa untuk beberapa hari ini lapang dan selesa untuk ditempati, di mana bangunannya terletak dalam kawasan masjid yang terasa aman tenteram dengan aura keimanan yang memancar dari rumah Allah itu.




Untuk sebulan di bulan Ramadan ini Masjid At-Taqwa dibuka sepanjang masa siang dan malam untuk  umat Islam datang beribadat, khususnya kepada mereka yang ingin beriktikaf di sepanjang bulan yang mulia ini




 Kawasan masjid ini agak luas, di mana dibangunkan dengan beberapa buah kedai jualan, coop mart yang menjual barang keperluan yang terletak dalam kawasan masjid, dan di hadapan kawasan parkir. Ini nampaknya mungkin merupakan sebahagian daripada pendapatan masjid yang berguna untuk membiaai pengurusan masjid.


Ketika kami sampai tengah hari semalam, kami lihat berpuluh-puluh buah gerai berkhemah telah siap didirikan berjajar di tepi longkang besar di pinggir jalan di sisi masjid untuk jualan sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula pada hari ini.


Seperti biasa, pihak masjid menyediakan jamuan berbuka mulai hari ini untuk umat Islam, di samping menyediakan bubur lambuk yang khusus untuk orang ramai menikmatinya. Kami lihat sejak semalam lagi, kerusi dan meja telahpun disiapkan uuntuk tujuan tersebut.


Pihak masjid juga sekarang merancang untuk meningkatkan lagi pembangunan masjid, termasuk pembinaannya dan merayu orang ramai memeri sumbangan untuk menyempurnakannya.

Pada pengamatan saya masjid ini kemas dan bersih, serta selesa kepada para Jemaah untuk beribadat. Masjid dilengkapkan dengan system penghawa dingin.


Ruang dalam masjidnya lapang. Tidak ada sebatang tiang pun yang terletak di bahagian tengah masjid untuk menyanggah bumbung bangunan. Sedangkan kebanyakan masjid-masjid yang pernah kita kunjungi semunya mempunyai tiang-tiang penyokong di tengah ruang masjid. Malah ada sesetengah masjid mempunyai tiang-tiang yang terlalu banyak sehingga melibatkan penyusunan barisan jemaah solat.


Imam solatnya, khususnya soalat tarawih diundang dari luar negara. Suara bacaannya lantang dan menyegarkan.


Sangatlah menyenangkan melihat ramai orang-orang datang memenuhi masjid yang agak luas itu untuk bersolat, khususnya solat tarawih.


Kami akan berbuka puasa dua kali di sini dan bersahaur dua lagi kali  di sini, sebelum kami balik ke kampung halaman kami di Kota Bharu pada hari Rabu untuk menyambung puasa dan solat Tarawih kami sehingga tiba hari mulia, Idilfitri.






Pada mulanya saya seorang merancang dari sini untuk ke Kuala Lumpur, tapi membatalkanya untuk balik ke rumah dahulu di Kota Bharu, dan kemudian akan meneruskan rancangan tersebut.


Semoga Nur Ramadan akan terus bersinar menyinari  hati kita dari Ramadan ke Ramadan yang mendatang sehingga kita kembali kepada Allah sebagai manusia yang beriman dan bertaqwa yang mereda dan diredai oleh Maha Pencipta.


Masjid At-Taqwa,
Taman Bertam Indah, Kepala Batas,
Pulau Pinang.






0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP