NASI DAGANG DAN ASAL USULNYA

>> Sunday, April 1, 2018






NASI DAGANG  DAN  ASAL USULNYA


SETIAP sesuatu mempunyai sejarah atau asal usulnya yang tersendiri. Demikian jugalah dengan nasi dagang.

Nasi dagang ialah sejenis nasi yang berbeza dari nasi biasa. Ia diperbuat dengan menggunakan beras nasi dagang yang khusus, atau menggunakan beras campuran, antara beras putih beras jemah dan beras pulut dengan kadar tertentu sebagaimana masih populer di negeri Terengganu hingga sekarang.





Biasanya nasi dagang dimakan dengan gulai ikan atau gulai ayam yang khusus untuk nasi dagang. Biasanya ia juga diletakkan seiris telur ayam rebus yang dibelah empat. Ia tidak wajar dimakan dengan  ikan singgan, ikan masak tempoyak dan sebagainya.

Bahan bahan  Nasi Dagang

Bahan-bahan untuk membuat nasi dagang,

Beras siam [bukan beras wangi], beras pulut, kelapa, bawang merah, halia, halba, garam dan gula.

Justeru bukan tujuan saya kali ini untuk menulis resipi nasi dagang maka tidaklah saya melanjutkan cara-cara memasaknya.

Pada hari ini sudah beras nasi dagang yang tidak perlu dicampurkan denga beras pulut, kerana sudah berasnya yang khusus untuk membuat nasi dagang tanpa perlu dicampurkan dengan beras pulut lagi. Warnanya kehitam-hitaman.

Kebanyakan peniaga-peniaga nasi di Kelantan sejak kebelakangan ini menggunakan beras khas nasi dagang ini untuk tujuan pemasaran daripada menggunakan beras yang dicampur.

Pada masa dahulu beras khas nasi dagang masih belum terdapat di pasaran, kerana itu mereka menggunakan beras campuran beras pulut dan ceras jemah [beras nasi biasa], seperti Nasi Dagang Terengganu.

Biasanya lauk yang digunakan ialah ikan aya [tongkol] atau ayam yang dimasak gulai yang khusus untuk nasi dagang.

Kalau dahulu orang-orang Kelantan menggunakan sambal kelapa goreng yang ditumbuk hingga berminyak  untuk dimakan dengan nasi dagang. Sambalnya sedikit sahaja untuk sepinggang atau sebungkus nasi. Hari pun masih ada lagi para peniaga yang menggunakan sambal kepala untuk nasi dagang.

Asal Usul Nasi Dagang

Mengikut tradisi dari cerita orang tua-tua nasi dagang itu ciptaan Puteri Saadong. Puteri Saadong adalah Raja Perempuan Kedua memerintah Kelantan dari tahun 1667 hingga tahun1671.

Puteri Saadong adalah anak kepada Raja Loyor dan datoknya Raja Sakti.Puteri Saadong dijadikan angkat oleh Cik Siti Wang Kembang, Raja Perempuan Kelantan Yang Pertama.

Puteri Saadong berkawhin dengan sepupunya Raja Abdullah putera Sultan Samiruddin, iaitu Raja Jembal [Kelantan Selatan[.

Mengikut cerita, salah seeorang daripada Raja Siam telah terpesona dengan Puteri Saadong, lalu menangkapnya dan membawanya ke Siam untuk dijadikan permaisurinya, walaupun tanpa persetujuan Puteri Saadong.

Tapi kerana keberkatan Putersi Saadong Raja Siam tidak boleh mendekati ataupun menyentuhnya. Raja Siam menghidap sejenis penyakit kulit yang misteri yang tidak dapat disembuhkan dalam tempoh yang lama.

Puteri Saadong menawarkan pertolongan dengan syarat beliau dihantar kembali ke Kelantan jika penyakit Raja Siam itu sembuh. Setelah dirawat penyakit itupun sembuh.

Justeru itu Raja Siam terpakasa menghantar kembali Puteri Saadong ke Kelantan menerusi sebuah rombongan yang khusus.

Rombongan yang membawa Puteri Saadong itu sampai ke Kelantan dan berlabuh  di Kuala Kemasin. Pada masa itu bekalan yang mereka bawa, seperti beras, lauk pauk, kelapa dan sebagainya hampir kehabisan.

Puteri Saadong dengan kebijaksanaanya telah memasak nasi dengan menggunakan bahan bahan yang sedikit itu untuk mereka makan.

Masakan itu dinamakan “Nasi Dagang” mengambil sempena keadaan mereka yang berdagang itu.

Kisah ini tidak berakhir di sini, dan ia berakhir dengan trajis. Suaminya Raja Abdullah telah mati terbunuh, kerana tertikam dengan kemucak sanggul Puteri Saadong, dan jenazahnya dikebumikan di Padang Halban, Melor, Bachok Kelantan. Makamnya masih didapati sampai sekarang.

Sementara Puteri Saadong pencipta nasi dagang itu pula menghilangkan diri entah ke mana, dan tidak dapat dikesan hingga ke hari ini.

Namun begitu, panggilan nasi dagang itu terus berkekalan hingga ke hari ini. Demikianlah cerita dari mulut ke mulut tentang nasi dagang, dan mungkin ada kebenarannya.

Nasi Dagang Hari Ini

Rata-rata hari ini nasi dagang yang dijualkan di gerai-gerai atau di kedai-kedai tidak lagi sesedap nasi dagang di masa-masa yang lalu, khususnya tiga empat puluh tahun yang lalu.





Ini berlaku kerana nasi dagang yang dipasarkan itu, terutama yang telah siap dibungkus, tidak berkualiti sebagai nasi dagang tulen kerana beberapa sebab:

Nasi dagang itu terlalu keras, sedangkan ia sepatutnya lembut. Ini mungkin berlaku kerana tidak cukup dikukus menyebabkan ia tidak cukup masak.

Ia juga mungkin menjadi keras kerana berasnya  tidak direndam dalam air secukupnya sebelum dimasak.

Nasi dagang campuran beras pulut dan beras jemah mungkin juga menjadi keras kerana sukatan beras jemah itu tidak seimbang dengan beras pulut yang terlalu sedikit.

Sebaliknya ada pula nasi yang terlalu lembut, jadi lemebek jejek, seperti nasi lembek. Tidak enak dimakan.





Ada nasi dagang rasanya pula terlebih manis, persis ketika memakan nasi dagang sira dengan gula.

Ada nasi dagang yang kering dan tidak lemak kerana tidak cukup santan kelapa ketika menggaulnya.

Ada sesetengah penjual nasi dagang mungkin tidak mengukusnya seperti sewajarnya ketika memasak nasi dagang, tapi sebaliknya menanak nasi itu seperti memasak nasi lemak, akibatnya nasi dagang itu persis nasi lemak yang menggunakan beras yang berbeza.

Kadang-kadang dibubuh halba terlalu banyak, hingga terasa seperti memakan nasi halba. Sedang tujuan utamanya dimasukkan sedidkit halba itu untuk menghilang rasa mual nasi dagang.

Punca semua ini berlaku adalah kerana tidak ada ilmu, akibat tidak belajar atau kurang belajar, dan mungkin kerana ingin meraih keuntungan yang lebih, dengan mengurangkan santan, mengecilkan penggunaan api dan sebagainya.

Kita harap peniaga-peniaga nasi dagang, malah ibu-ibu yang memasak nasi dagang untuk makan sendiri atau keluarga lebih teliti dalam memasak nasi dagang, supaya rasanya enak dan sedap di nikmati dan berkualiti.

Sekian.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg.Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan.




0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP