TITIKSARAN UNTUK HIDUP BAHAGIA

>> Monday, April 9, 2018








TITIKSARAN UNTUK HIDUP BAHAGIA









PENGALAMAN mengajar kita bahawa kehidupan di dunia ini tidaklah sentiasa merupakan karpet yang bertabur dengan bunga-bungi, malah perjalanannya sentiasa dihiasi dengan onak dan duri, yang akan mengiggit kaki sesiapa sahaja yang melaluinya  tanpa beringat-ingat dan berhati-hati.

Malah hidup ini penuh dengan kesukaran, halangan, tekanan dan kepayahan yang mendatang tanpa diharap dan dipinta. Tekanan-tekanan berat yang memerlukan kita bertindak dan berfikir dengan teliti untuk menghadapinya dengan berjaya dan menyenangkan hati.

Kita seharusnya menyedari bahawa Allah mengurniakan kita manusia ini dengan segala kebolehan dan kemampuan untuk menghadapi segala rintangan-rintgan yang mendatang itu untuk membolehkan kita hidup gembira sepanjang hari. Allah mengurniakan kita kemampuan untuk mengatasi segala rintangan-rintangan yang merupakan ujian hidup itu untuk membolehkan kita mengharungi hidup ini dengan senyum dan riang gembira sebagai hamba Allah yang beriman dan bertakwa.

Justeru itu kita mampu menghadapi dunia ini dengan dada yang lapang, muka yang berhias indah dan mulut yang berkembang senyum, bukannya menghadapi dunia ini dengan wajah berkerut dan dada yang sempit kerana kita tidak pandai mempergunakan segala kemudahan-kemudahan yang merupakan perisai  yang Allah kurniakan kepada kita untuk berhadapan dengan segala karenah-karenah hidup yang tidak menyenangkan itu.
Perisai-perisai yang kita miliki itu jika dipergunakan dengan sewajarnya boleh membawa kebahagian dan kesenangan hidup kepada kita sebagai orang yang beriman.

Di sini ada beberapa titiksaran yang simpel yang boleh dilaksanakan oleh setiap orang untuk menghadapi segala karenah-karenah pahit kehidupan ini untuk membolehklan kita hidup dengan riang dan gembira dalam kontak sebagai seorang hamba Allah.

Sangkabaik

 Salah satu sikap yang penting yang perlu kita miliki sebagai seorang insan yang inginkan kebahagian ialah mempunyai sikap sangkabaik. Kita mesti menerima sesuatu dengan sikap yang positif, baik atau buruk yang sesuatu kita hadapi itu. Menerima sesuatu dengan kebaikan, walaupun sesuatu yang tidak kita sukai.

Setiap orang dari kita sudah tentu tidak sukakan rintangan atau halangan yang mendepani hidup kita, menyebabkan terhalang daripada melakukan sesuatu yang kita kehendaki atau kita mahu. Ini mungkin berpunca daripada perbuatan orang yang senghaja ataupun mungkin tidak disenghajakan untuk menghalang rancangan-rancangan kita walaupun pada hakikatnya baik. Terimalah ia dengan baik, dan terimalah sebagai suatu rahsia kehidupan yang berlaku sepanjang masa, dan mungkin dihadapi oleh semua orang yang akan membuat kita lebih matang, kuat dan hati-hati di masa-masa akan datang datang.

Bersangka baiklah terhadap setiap sesuatu, walaupun sesuatu itu tidak kita perolehi sedangkan kita amat berhajatkannya, kerana Allah mungkin akan mengurniakan seusatu yang lebih baik lagi daripada itu kepada kita di masa-masa akan datang.

 Sangkaburuk

Hindarilah diri kita daripada memiliki sikap bersangka buruk terhadap orang lain, kerana sikap ini akan menimpakan petaka kepada kita.

Biasanya berdarakan sangkaburuk inilah kita membuat tanggapan atau keyakinan terhadap seseorang, walaupun masih belum dapat dibuktikan.

Kerana sangka buruk ini menyebabkan kita tidak suka atau bencikan, malah memusuhi  seseorang tanpa sebab yang nyata.

Akibatnya kalau dia senyumkan kita pun, kita kata, dia senyum mengejek.

Kalau dia beri salam kepada kita, maka kita kata dia mengada-ada, tidak ikhlas.

Kalau dia buat baik kepada kita pun, kita kata dia tidak ikhlas dan mempunyai sesuatu niat yang tersembunyi.

Semuanya tidak kena, dan yang kena hanya prasangka kita, sangkaburu kita terhadap orang dan ini menyebabkan fikiran menjadi kelam kabut, tidak tenang, dan tidak aman, serta buntu. Ini menyebabkan kita hilangan ketenangan dean kebahagian hidup yang amat berharga kepada bersangkaburuk terhdadap orang.

Lebih-lebih lagi jauhilah bersangka buruk terhadap Allah SWT yang Maha Berkuasa, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Sebaliknya sentiasalah bersangka baik terhadap Allah dan sentiasa berharap untuk mendapat limpahan rahmat Nya sepanjang masa.

Kasih Sayang

Kasih sayang amatlah penting dalam kehidupan seseorang insan, kerana manusia bukan sahaja hidup dengan akal dan fikiran, tapi juga dengan nafsu dan perasaan yang berpengaruh dalam kehidupan seseorang.

Kasih sayang itu amat luasnya dan banyak cabang-cabangnya mungkin tidak pernah terfikir oleh seseorang yang membatasi kasih sayang itu antara lelaki dan perempuan yang mereka namakan cinta semata. Kasih sayang mencangkup bidang yang luas.

Kasih sayang antara anak dan ibu bapa, yang amat penting nilainya dalam kehidupan setiap insan, sehingga Islam memerintah umatnya supaya memuliakan kedua ibu bapa mereka dengan sewjarnya.

Kasih sayang amat penting antara suami dan isteri. Perkahwinan tanpa kasih sayang, bukanlah sebuah rumahtangga, tapi sebuah kawah neraka.

Kasih sayang antara saudara-mara, keluarga, jiran tetangga semuanya amat penting dijaga. Demikian juga kasih antara sahabat-handai, rakan-rakan sekerja semuanya penting, kerana ianya merupakan sebahagian daripada rangakain kegembiraan kehidupan kita.

Malah berkasih sayanglah dengan seluruh umat manusia sebagai seorang yang beriman dan brtakwa.

Tanpa kasih sayang hidup kita tidak lagi bererti sebagai manusia, kerana di kalangan haiwan pun mereka hidup dengan berkasih saayang sesama mereka.

Tegas Dan Berani

Kita hendaklah menjadi seorang yang tegas dan berani dalam menegakkan keyakinan diri kita dan juga dalam menegakkan kebenaran.

Dalam hal ini, kita tidak wajar menjadi seorang yang lemah semangat yang suka mengalah semata-mata untuk menyukakan atau mengambil hati orang lain, sedangkan kita tahu bahawa kita sebenarnya berada di pihak yang benar. Justeru kita mestilah mempunyai msemangat yang waja dan berani untuk menyatakan apa yang kita wajar lakukan demi kebaikan bersama.

Namun dalam keadaan-keadaan tertentu, seperti dalam soal-soal yang tidak bermakna, tidaklah perlu kita bertegas, sekadar untuk mencari kemenangan diri dan merasa puas hati dengannya. Biarakan mereka merasa menang dalam kelemahannya sendiri.

Senyum

Sentiasalah murah dengan senyum, dan ketawalah dengan wajar dan sekadar yang perlu. Jangan ketawa seperti orang mabuk, hingga termuntah-muntah.



 

Kita bukan sahaja perlu senyum dalam keadaan yang gembira dan menyenangkan, tapi kita hendaklah juga tersenyum  dalam keadaan yang tidak menyenangkan. Tersenyum ketika senang dan susah akan membuat hati kita menjadi bertambah lapang, dengan itu muka kita tidak berkerut masam, tapi berseri-seri tanda kebahagian.

Senyumlah jika berjumpa atau bertermu dengan seseorang, pancarlah kegembiraan wajah kita melalui senuyuman manis yang menyenangkan hati orang pula.

Murahkan dengan senyum, kerana senyum pun dianggap sedekah jika kena pada masa dan tempatnya.

Sebarkan Salam

Senangkan hati orang lain, niscaya hati kita akan senang. Ada berbagai-abagai cara yang simpel untuk menyenangkan hati orang lain, iaitu dengan menyebarkan salam kepada mereka. Menyebarkan salam tidak memerlukan sebarang belanja, atau waktu untuk mengucapkannya.

Salam yang diucapkan ialah “Assalamualikum warahmatullahi wa barakatuh”. Salam ini perlu kita ucapkan kepada sesiapa sahaja, baik kepada  orang tua, orang muda yang kita temui, malah kanak-kanak sekalipun perlu diberi salam.

Memberi salam bukan sahaja terbatas kepada orang yang kita kenali tapi juga diucapkan kepada mereka yang tidak dikenali atau tidak pernah berjumpa sekalipun.

Kepada keluarga sendiri pun kita diperintah memberi salam sewaktu kita memasuki rumah, Allah berfirman: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada [sesiapa yang seperti] kamu  dengan memohon kepada Allah  cara hidup yang berkat dan baik”. Al- Nur 24: 61.

Salam memberi erti yang amat luasnya, antaranya bererti kita memberi jaminan kepada orang yang kita berikan salam itu bahawa mereka selamat dengan kita lahir dan batin, dia selamat baik daripada lidah, tangan dan juga hati kita.

Tapi dalam masyarakat kita mutakhir ini kita hanya bertemu dengan mereka yang memberi salam kepada orang yang merekamikenali sahaja, dan langsung tidak mengambil hal terhadap mereka yang tidak dikenali.

Rasulullah SAW ketika ditanya “Apakah ajaran Islam yang baik”.
Beliau menjawab, “Memberi makan dan memberi salam kepada orang yang kamu kenali, juga kepada orang yang tidak kamu kenali”.

Justeru rajin-rajinlah memberi salam yang memberi manfaat kepada kita juga sebagai pemberi salam yang dilakukan dengan ikhlas dan jujur.

Ini memang wajar kerana membuat orang lain gembira dan senang hati, sudah tentu kita pun turut merasa bahagia dengannya.

Demikianlah beberapa titiksaran yang mudah diamalkan untuk membina kebahagian hidup kita setiap hari. InsyaAllah.


Lorong Masjid al-Qasimi,
Kg. Kubang Siput, Pasir Tumboh,
Kota Bharu, Kelantan








0 comments:

Post a Comment

  © Blogger template Werd by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP